Bab 11 : Kuat Ikan Kerana Radai
“Tuan-tuan!” Tempik dari Putera Zulkarnain tiba-tiba memetir. Terdiam semua orang, menantikan kata-katanya.
“Adakah tuan-tuan menganggap beta masih terlalu mentah atau beta yang terlalu memandang tinggi kemampuan tuan-tuan?” Putera Zulkarnain menghembuskan nafas. Kecewanya ditunjuk, tidak berlapik-lapik.
“Beta katakan sekali lagi. Beta tidak memerlukan pengawal yang banyak! Kecuali jika ada antara kalian yang bersungguh, kalahkan beta sekarang atau pulanglah ke angkatan asal masing-masing!”
“Cis!” Beberapa urat saraf timbul pada dahi-dahi dan penumbuk para Satria itu. Ada keegoan yang tercalar dan ada kemarahan yang tercetus.
“Baru mengalahkan dua orang! Putera atau bukan, kalau angkuh mendongak langit, harus diajar juga menekur bumi!”
“Berdua, berlima atau semua, marilah bermain dengan beta!” Putera Zulkarnain ketawa kecil apabila pancingan emosinya mengena. Dia menendang debu ketika kekudanya dibuka. Telapaknya diangkat lurus ke hadapan. Gerak jari menggamit para Satria itu untuk datang.
“Se… seorang sahaja dalam satu masa!” Awang yang menjadi pengadil menjerit panik. Empat orang Satria meluru pada Putera Zulkarnain serentak! Dia cemas memandang sekeliling, mencari sesiapa yang boleh menghentikan pertarungan itu. Bagaimana jika mereka mencederakan putera raja itu dalam amuk mereka?
Matilah mereka para orang suruhan istana!
Tanpa diduga, ada angin kencang melanggar tubuh semua orang di situ.
“Argh!” Empat Satria itu tadi meluru ke arah Putera Zulkarnain terlempar ke belakang. Mereka berguling di tanah lalu kembali bingkas bangun. Terbeliak mata mereka, cuba memproses perkara yang baru sahaja berlaku. Langit malam tenang tidak berawan, pokok juga tidak bergoyang sama sekali. Jadi, dari mana datangnya angin kencang tadi?
“Karunia!” Seorang lelaki separuh menjerit. “Tengku Putera baru sahaja menggunakan kuasa saktinya!”
Segala perhatian terpusatkan kembali pada susuk tubuh Putera Zulkarnain. Dia sedang menutup gerak jurusnya. Bagai menari, gerakannya lembut dalam ketegasan. Telapak tangannya memancung angin, dari atas kepala membawa ke hadapan. Lutut kanan diangkat tinggi lalu tumit dipasak pada bumi.
“Bererti, kami boleh menggunakan sakti kami juga! Ah, barulah pertarungan ini lebih menarik!” Seorang Satria ketawa kuat. Dia menolak kasar orang di laluannya untuk melompat turun ke tanah. Retak tanah yang rata kerana pendaratannya. Angin mula berpusar di sekelilingnya, ganas.
“Sudah lama kami ingin melihat kuasa sakti itu! Karunia yang hanya dimiliki oleh golongan istimewa seperti Tengku!" Seorang lagi menyertai Satria itu. Dia mengangkat tangan ke arah salah satu obor api yang terdekat. Bagai dijemput tangan ghaib, api obor itu meninggalkan kayunya lalu terbang pantas menuju kepadanya lalu terapung-apung di atas telapak tangan.
"Kalau begitu, beta akan tunjukkan segalanya." Putera Zulkarnain mencantumkan telapak tangannya. Apabila dipisahkan, ada bilah api yang tercipta antara keduanya. Tangan kanan menggenggam lalu menyentap ke sisi. Kini, Putera Zulkarnain menghunus bilah serupa parang yang terbuat dari api.
"Apalah kiranya jika kalian memperkenalkan diri dahulu? Dari keluarga bangsawan mana kalian?" tanya Putera Zulkarnain.
"Nama patik Damrik dari keluarga Mulradi!" laung Satria yang pertama. Dia membuka kekuda, berada dalam dua tiga depa dari Putera Zulkarnain. Angin yang berpusar laju di sekeliling tubuhnya bagai menghisap api-api obor yang berdekatan. Semuanya berkumpul menjadi bebola api besar di atas telapak tangannya.
"Patik pula Sabrang Narsungka. Tengku pasti kenal!" Satria kedua pula menangkap bola api yang terapung dengan tangan kosong.
"Tentu sahaja beta ingat nama-nama keluarga bangsawan Inderagana. Salam kenal." Putera Zulkarnain tenang namun meningkatkan siaga. Fikirannya pantas menyelak kembali dokumen pemberian Puteri Zulaikha dalam memori.
Damrik, anak lelaki tertua keluarga Mulradi. Selepas mendapatkan pangkat 'Satria Tunggal', Damrik mengetuai pasukan peribadi keluarganya. Digeruni kerana keganasan dan kekuatannya. Sabrang, rakan rapat Damrik, anak lelaki ketiga keluarga Narsungka. Dia juga diselubungi kabar tidak enak kerana peribadinya yang suka membuat masalah.
”Pertarungan antara para pewaris sakti alam 'Karunia' ini sudah bukan tempat kita. Dibandingkan mereka, kita ini mentimun dengan durian! Menggolek rosak, digolek binasa!"
Melihatkan perkembangan itu, empat orang Satria yang tadi baru diterjang angin, cepat-cepat bangun menjauh.
"Jarakkan diri dari tempat pertarungan! Cari tempat selamat!"
Dayang-dayang mencicit kecoh berlari masuk ke dalam dewan makan untuk berlindung. Manakala, para Satria pemenang sayembara masih kekal berada di luar, tegar menghadap gelanggang.
“Kuat ketam kerana sepit, kuat ikan kerana radai.” Satria pertama yang dikalahkan Putera Zulkarnain hanya menggeleng. Rasa gerun di dalam dada meletup-letup seperti maraknya api yang dimanipulasi oleh putera raja dan anak-anak bangsawan itu. Namun, mereka tetap kekal di situ untuk memerhatikan kesaktian yang tidak dimiliki oleh mereka yang hanyalah orang kebanyakan.
Kesedaran turut menampar wajah. Mereka yang hanya rakyat biasa tidak akan dapat menandingi kekuatan para pewaris sakti Karunia. Mereka dapat mempelajari ilmu seni bela diri yang boleh membuatkan tubuh mereka kebal untuk waktu yang singkat.
Tapi, setakat itu sahaja.
Berbeza dengan golongan bangsawan dan golongan diraja. Mereka yang merupakan keturunan pahlawan silam turut mewarisi 'Karunia'. Kesaktian itu pernah digunakan untuk menentang makhluk-makhluk raksasa yang suatu ketika dahulu menguasai langit, bumi dan laut. Kesaktian itu ialah kemampuan luar biasa untuk melentur, mengalir, mengubah dan mengawal elemen alam.
Bezanya, keturunan diraja dapat menghasilkan elemen alam dari tenaga alam, manakala keturunan bangsawan hanya dapat melenturkan elemen alam yang sedia di sekelilingnya.
"Tengku, patik lega Tengku masih ada. Ke mana Tengku Putera bersembunyi selama ini? Patik sampai lupa kewujudan Tengku. Fikirkan pewaris Karunia murni Inderagana sudah hilang sejak beberapa dekad lalu!" Suara Damrik gitu kuat, dapat didengari oleh semua orang di situ.
Penumbuk Putera Zulkarnain tergenggam seketika mendengar kata-katanya itu. Dia menayang senyuman sebelum bertanya, "Maafkan beta kerana menghilang sejak sekian lama. Tapi, mengapa mencari beta? Bukankah ayunda beta ada?"
"Ah, tuan puteri tidak boleh dijemput turun ke gelanggang. Kerana itulah patik tercari-cari Tengku selama ini. Sekian lama patik ingin membanding kekuatan dengan Tengku!" balas Damrik. Tidak semena-mena, dia melemparkan bebola api ke arah Putera Zulkarnain.
Putera Zulkarnain pantas menghunjam tangannya rendah hampir ke tanah, sebelum melontar genggamannya tinggi. Serentak, air memancut dari tanah membentuk dinding air lalu bertembung dengan bebola api yang dilempar Damrik. Berdesis bunyinya api dipadamkan air, menghasilkan wap yang menyelubungi susuk tubuh Putera Zulkarnain.
"Adakah Tengku memilih untuk bersembunyi di dalam kabus itu sekarang?" Sabrang pula melaung. Dia memandang Damrik. Rakannya itu mengangguk.
Sabrang tersengih sebelum dia meluru ke arah gumpalan kabus itu sambil melontarkan bebola api. "Keluarlah, Tengku putera! Jangan takut!"
Putera Zulkarnain bersiap-siaga. Bebola api bertubi-tibi datang merodok kabus itu. Putera Zulkarnain menunduk, dan melompat kuang balik untuk mengelak.
"Berhenti! Tidakkah kalian keterlaluan menyerang Tengku Putera demikian rupa?" Ada suara seseorang melarang dari sisi. Semua yang memerhatikan dapat melihat. Serangan Sabrang sebentar tadi bukan hanya acah-acahan. Salah perhitungan, pertarungan yang tadinya ringan-ringan itu bakal berubah tragedi.
"Nampaknya kalian berdua yang harus aku tolak keluar dahulu," getus Putera Zulkarnain.
Sebaik sahaja dia mendarat semula di atas kakinya, tenaga alam ditumpukan di bebola kaki. Tanah ditendang lalu momentum yang kuat terhasil, menghantar Putera Zulkarnain melaju ke hadapan seperti peluru, ke arah Sabrang.
"Sabrang!"
Amaran Damrik menyentak Sabrang. Spontan dia menoleh semula, hanya untuk pipi kirinya dihentam buku lima Putera Zulkarnain. Terundur pemuda itu kerana impak. Sepakan bertubi-tubi Putera Zulkarnain ditahan dengan lengan.
Melihat Sabrang diasak, Damrik pula menerpa dengan parang api. Dia cuba menetak namun putera cekap pula melompat ke sisi. Damrik tebas melintang, memaksa Putera Zulkarnain untuk menunduk. Api serta merta membalut lengan kanan Putera Zulkarnain, meramalkan serangan Damrik yang seterusnya.
"Berhenti!"
Akan ada lagi bab tambahan! Jangan lupa save, vote, comment and share!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro