Bab 10 : Ular Menyusur Akar, Takkan Hilang Bisa
Di halaman dewan makan itu ada sebuah lapangan tanah rata, terang disinari obor api di merata tempat. Putera Zulkarnain santai menapak ke tengah-tengah lapangan itu sambil membuat regangan badan secara ringan. Capalnya ditendang agak jauh sebelum berpaling memandang para Satria yang sudah keluar berkumpul di pintu dewan.
"Peraturannya mudah. Pertarungan tanpa senjata. Setiap dari kalian hanya ada satu peluang untuk bertarung dengan beta. Salah seorang dari kita akan kalah jika tubuhnya terhempas dulu ke tanah. Kalahkan beta dan beta akan bersetuju untuk menerima kalian menjadi sebahagian anak buah beta. Ayunda beta mempunyai 15 orang Srikandi, jadi bilangan yang beta terima terhad dari itu."
"Tengku memakai baju putih. Adakah disengajakan untuk ini?" soal salah seorang Satria separuh melaung.
Putera Zulkarnain sekadar senyum sambil mengangkat bahu. Itu membuatkan Satria yang bertanya itu melepaskan tawa yang kuat, terhibur dengan jawapan senyap yang diterimanya.
Beberapa orang Satria yang berada di sekelilingnya mulai menangkap maksud soalan itu lalu memberikan reaksi yang berbeza. Ada yang tersenyum sambil menggeleng, ada pula wajahnya membengis tidak suka. Tidak kurang juga ada yang masih terpinga-pinga.
"Ada udang di sebalik batu rupanya," kata Satria itu lagi. Tetapi, kali ini suaranya agak perlahan, hanya cukup untuk didengari oleh orang di sekelilingnya.
"Tengku mencadangkan debu tanah yang akan jadi pengukur menang atau kalah. Baginda pula datang dengan persalinan berwarna cerah dan putih bersih? Semua ini sudah sengaja. Sudah dirancang dari awal," kata yang lain pula.
"Apa lagi? Kita layankan sahajalah kehendak anak raja kita yang seorang ini."
Satria yang pertama tadi melepas capalnya lalu turun ke tanah. Sorakan yang gemuruh menggegar suasana mengiringi langkah Satria itu menuju Putera Zulkarnain. Serta-merta, keadaan di depan dewan makan itu serta-merta riuh seperti pesta.
Sebaik sahaja mereka berhadapan, terlihatlah ketinggian mereka lebih kurang sama. Bezanya, satria yang mencabar itu tampak lebih kekar dan sasa. Sementara susuk Putera Zulkarnain pula tampak lebih sederhana. Sang putera menyambut kedatangannya dengan senyuman tenang.
"Patik merafak sembah pertama kepada Tengku Putera." Satria itu menyapa dengan tertib, disambut putera itu dengan anggukan. "Patik tidak sangka pertemuan patik dengan Tengku akan begini jadinya. Sungguhkah Tengku tidak sudi pada kami sampai ajak bertarung?"
"Bukan beta tidak sudi, Tuan Satria. Beta yang tidak berkenan dengan apa yang diaturkan orang. Namun, tidak ada yang mahu mendengar. Maka, beginilah harus beta menunjuk perasaan. "
Satria itu ketawa kecil. "Kalau dengan pertarungan inilah cara Tengku hendak menunjuk perasaan, maka wajarlah patik menyambut niat tengku dengan bertarung bersungguh-sungguh."
"Sebaiknya begitu." Pendek ucapan Putera Zulkarnain menamatkan bicara mereka.
Serentak, mereka berdua sama-sama menyatukan telapak tangan separas dada lalu saling menunduk. Itulah tanda lapangan itu telah menjadi sebuah gelanggang. Bukan lagi darjat atau kedudukan yang membezakan, sebaliknya kemahiran dan kekuatan bertempur yang menentukan keputusan.
"Tengku tidak akan murka jika pukulan patik menghinggap di tubuh Tengku?" Satria itu bertanya dengan nada bergurau. Mereka berdua mempasak kekuda masing-masing.
Putera Zulkarnain menggeleng sambil menjawab, "Tentu sahaja beta tidak boleh murka. Jika hendak belajar seni bela dari jaguh, maka haruslah beta tahan banting."
"Sungguh tak sangka Tengku rupanya orang yang pandai merendahkan diri." Satria itu melangkah ke sisi, membuka bunga seni bela.
"Mengapa tidak? Ular tidak akan hilang bisa jika menyusur di akar," balas Putera Zulkarnain, juga ikut berkitar sambil mengekalkan jarak. Meskipun senyuman tenang kekal terpampang, mata sedang tajam memerhati dan akal sedang menyusun strategi.
"Hiah!" Satria itu melancarkan tumbukan sulung. Pantas menuju ke rahang Putera Zulkarnain. Sepantas itu juga, Putera Zulkarnain berbalik. Dia pula menghunjam tumbukan balas.
Namun serangannya berjaya ditepis. Dua pemuda itu bertukar serangan demi serangan, tangkis menahan tangkis. Kabur gerakan tangan dan kaki mereka pada yang menonton, membangkitkan sorak-sorai mereka. Makin gamat suasana apabila seolah-olah dapat Satria mengasak Putera Zulkarnain dengan serangannya yang bertubi-tubi itu.
"Urgh!" Putera Zulkarnain melompat ke belakang. Mulai sedar yang Satria itu bukan menyasarkan untuk mendaratkan serangan ke tubuhnya. Tetapi, hantaman demi hantaman sebenarnya untuk mencederakan lengan dan kaki yang kerap menangkis. Taktik bertahan tidak sesuai untuk Satria yang agresif ini.
Tukar! Kali ini, Putera Zulkarnain pula yang menyerang.
Ternampak kosong dalam pertahanan Putera Zulkarnain, Satria itu menerpa. Namun, rupanya itu hanya umpan. Sekelip mata, Putera Zulkarnain menyusup rapat, lalu merodok sikunya ke rusuk sekuat hati.
"Argh!" Impak sikuan itu berjaya membuatkan Satria itu berundur ke belakang. Tapi, itu tidak cukup membuatnya tumbang ke tanah. Putera Zulkarnain cergas menyergap. Namun, Satria itu lebih pantas mengukuhkan kekuda.
Tidak semena-mena, Satria itu membuat tendangan layang. Nyaris menjamah wajah, Putera Zulkarnain spontan menyendeng ke belakang.
Putera itu merendahkan tubuh lalu melibas kaki. Satria itu tangkas pula lompat mengelak. Ketika tubuhnya rendah kerana mendarat semula, ketika itulah Putera Zulkarnain pula meloncat tinggi naik ke bahu. Kakinya pantas mencangkuk di ketiak, lalu mengunci sendi Satria itu.
Dengan pantas dia menghayun lengan, membuat pusingan dengan membanting seluruh berat badannya. Daya pusingan yang kuat itu menyebabkan Satria itu terpulas pinggang. Mendadak dia hilang keseimbangan tubuh.
Sekelip mata, dia dapati dirinya terbaring ke tanah, sementara Putera Zulkarnain mendarat di atas kedua kakinya. Satria itu refleks melompat bangkit semula, bersedia untuk serangan selanjutnya.
"Tengku Putera, satu! Satria, kosong!" Suara lantang seseorang berteriak, disambut sorakan penonton.
Satria itu memandang sekeliling, tidak mengerti.
"Oh." Dia pun tersedar.
Sebentar tadi, dirinya sudah tergolek ke tanah. Bererti dia telah kalah. Satria itu ketawa kuat sambil turun melutut sebelah kaki lalu mengangkat sembah, tanda dia menerima kekalahan itu.
Putera Zulkarnain membetulkan postur berdirinya. Dia menghulur tangan lalu membantu satria itu untuk tegak berdiri. Mereka bertentangan mata. Dengan tangan yang kekal berjabat, putera itu berkata, "Beta berharap, tidaklah Tuan Satria menyimpan rasa pada beta."
"Sama sekali tidak, Tengku. Manusia diikat pada janji. Jika ada, patik hanya menyesal kalau ini kali pertama dan terakhir patik menemui Tengku."
"Jika tuan tidak memusuhi beta, pasti masih ada peluang untuk kita bersua lagi."
"Patik berharap begitu jua." Satria itu mengangkat sembah lalu berlalu.
Putera Zulkarnain menghela nafas dalam, mengatur kembali detak jantungnya.
"Seterusnya, seterusnya!" Seorang remaja, memakai pakaian seragam awang istana mengetuk-ngetuk kuali dengan sudip kayu. Melihat dari lagaknya, dia bertindak menjadi pengadil.
"Pencabar seterusnya, silakan turun ke tanah!"
Seorang Satria turun, sekali lagi memicu kegamatan. Tubuhnya lebih besar, tegap dan tinggi dari Putera Zulkarnain. Tanpa berbasa-basi, dia terus memberikan salam pertarungan pada Putera itu. Kedua-duanya berkitar, membuka bunga-bunga seni bela diri.
Mencerlung mata Putera Zulkarnain diam menganalisis lawannya.
"Satria itu besar macam bota. Macamana Tengku Putera akan mampu menewaskannya?" tanya seorang dayang dengan cemas. Dia menggigit jari menyaksikan pertarungan yang sedang berlangsung itu dengan dayang-dayang yang lain.
Zuss!
Berdesup angin yang datang bersama tumbukan Satria itu. Bertubi-tubi lagi serangan yang datang. Putera Zulkarnain juga cekap menghindar. Panjang jangkauan Satria itu, membuatkan Putera Zulkarnain semakin mengundur untuk mengekalkan jarak yang selamat.
"Sekarang!" Putera Zulkarnain tiba-tiba menutup jarak, melompat tinggi dan menghentakkan kepala lutut ke rahang. Namun, kaki kanannya ditangkap, membuatkan Satria itu dapat mencekak kolar bajunya.
Sebelum tubuhnya dihempas ke tanah, Putera Zulkarnain lebih cepat menjambak rambut dan mencangkuk kaki kirinya ke tengkuk. Dia melontarkan seluruh berat badannya untuk naik ke pundak Satria itu.
Sekelip mata, Satria itu roboh ke belakang dan jatuh terlentang.
"Yaa!" Gempita suara sorakan para penonton. Putera Zulkarnain segera melepaskan Satria itu lalu kembali berdiri. Lutut kirinya yang terkena debu tanah ditepuk-tepuk.
'Tang! Tang! Tang!' Bunyi kuali dipalu menyertai.
"Putera Zulkarnain, dua! Satria, kosong! Tuan Satria yang berada di gelanggang, sila bergerak keluar." Awang yang jadi pengadil tadi berteriak.
Satria yang baru bangkit dari berbaring itu nampak tidak berpuas hati namun dia akur berjalan keluar dari lapangan itu. Putera Zulkarnain menyeka peluh yang menitik turun ke dagu.
Dua tumbang, dua puluh lapan masih menanti.
Ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya
[Maksud: Orang besar yang merendahkan diri tidak akan jatuh martabatnya]
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro