Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 1 : Tiada Rotan, Akar Berguna Juga

Kota Mahkota, Inderagana
— Hari Sejana. Bulan ke-7, Tahun 296, Kalendar Benua.

Puteri Zulaikha memegang selendang yang tersemat di bahunya. Angin laut yang deras membuatkan pakaiannya berkibaran. Namun, dibiarkan saja melanggar tubuh kerana angin yang sama bakal menghantar geliung yang dinantikan dengan lancar ke dermaga.

“Dang Anum,” Puteri itu memanggil nama srikandi yang setia berdiri di belakangnya. Dang Anum segera menapak ke hadapan, menanti titah yang bakal diterimanya. Puteri Zulaikha menyambung, “Sudah adakah khabar kedatangan bahtera dari Empayar Ardalisia?”

Sebelum menjawab, Dang Anum merafakkan sembah. “Sudah ada, Tengku. Helang kiriman Angkatan Satria Laut sudah sampai ke mari. Patik yakin, tidak lama lagi kita akan melihat rombongan bahtera yang kita nanti-nantikan.”

Benar kata Dang Anum. Tidak lama kemudian, kelihatan sebuah geliung besar yang mengibarkan bendera Empayar Ardalisia muncul di ufuk laut. Geliung itu diapit oleh empat buah kapal layar milik Angkatan Satria Laut Inderagana.

Ada senyuman lega yang memekar pada bibir Puteri Zulaikha. Namun, secepat itu juga senyuman itu lenyap apabila seorang lelaki tua berdiri di sebelahnya tanpa dijemput.

"Akhirnya... Tidak tergambar leganya hati patik melihat satu-satunya pewaris sakti Karunia kembali juga ke pangkuan kita. Selepas ini, lebih seimbanglah Inderagana dengan adanya kedua-dua putera dan puteri baginda raja di sini. Bukan begitu, Tengku Puteri?" Lelaki tua itu terus berkata-kata tanpa sapaan.

"Datuk Jendaya berfikir begitu?" Puteri Zulaikha sekadar membalas soalan dengan soalan. Dia hanya mempamerkan senyum segaris. Kalau diikutkan hati, dia tidak ingin berbicara langsung dengan bangsawan tua itu. Datuk Jendaya antara golongan bangsawan yang terang-terangan berseteru dengannya. Datang menegur dirinya ketika ini, tidak lain tidak bukan ingin mencari ulah.

"Bukan patik seorang, Tengku. Jika tidak, takkan timbul desas-desus putera pewaris takhta dijadikan tawanan di Empayar Ardalisia?"

Puteri Zulaikha melipat kipas tangan lalu menoleh pada Datuk Jendaya. Akal menyusun balasan sedang bibir mengulas senyum sinis. Kepantangan Puteri Zulaikha membenarkan dirinya dipijak-pijak begitu sahaja. Apatah lagi di hadapan khalayak bangsawan dan rakyat jelata yang berkumpul di dermaga pada saat itu.

"Adinda beta tidak pernah pergi ke mana-mana, Datuk. Selama ini, dia sentiasa berada di dalam Inderagana. Hanya Datuk sahaja yang tidak tahu. Maklumlah, kami bersaudara, bukan kerabat bau-bau bacang seperti Datuk.” Puteri Zulaikha menyelitkan tawa di sebalik kipas tangannya. Sengaja, buat merengsakan hati Datuk Jendaya.

“Maka, usahlah Datuk khuatir. Inderagana sentiasa mempunyai kedua-dua putera dan puterinya. Tiada yang akan berubah. Bahkan menjadi lebih baik, sementelah adinda beta, Putera Zulkarnain bukan lagi anak kecil. Dia punya kemahuan dan akal fikirnya sendiri. Tidak mudah dia akan mengikut telunjuk sesiapa, apatah lagi orang-orang yang suka membuat kacau di dalam negeri."

Ketika mengucapkan ayatnya yang terakhir, Puteri Zulaikha melirik Datuk Jendaya atas ke bawah. Jelas, pandangannya itu pandangan yang menuduh.

Datuk Jendaya berdehem untuk menahan panas hati yang nyaris meluap. Dia memaksakan senyum lalu berkata, "Begitukah? Legalah hati patik. Pada masa yang sama, patik ingin bergembira untuk Tengku.”

“Apakah yang hendak dibahagiakan, Datuk?”

“Sudah lama Tengku Puteri menjadi pengganti sementara Tengku Putera. Sudah sampai masanya Tengku Puteri beristerahat. Mungkin wajarlah mula mencari belahan jiwa buat teman sehidup semati. Lepaskanlah takhta itu kepada Tengku Putera Zulkarnain. Hanya baginda yang layak menjadi pewaris takhta kerajaan ini. Tidak seperti Tengku Puteri, baginda sepenuhnya memiliki sakti Karunia."

Meletus tawa Puteri Zulaikha. Terhibur bila kata-kata Datuk Jendaya sama persis yang dia jangkakan. Terlalu kerap dia mendengar pernyataan-pernyataan yang merendahkan dirinya itu. Terlalu kerap dia dengar sehingga sedikit pun tidak lut pada dirinya lagi.

"Ah, beta faham, Datuk! Antara rotan dan akar, memang rotan yang lebih berharga. Namun, jangan lupa Datuk… jika tiada rotan, akar berguna juga," balas Puteri Zulaikha dengan ceria.

Dang Anum mencelah sebelum Datuk Jendaya sempat membalas, “Tengku, rombongan kapal dari Empayar akan berlabuh. Eloklah kita bersedia untuk menyambut Tengku Putera.”

Puteri Zulaikha dan srikandi-srikandinya meminta izin untuk naik ke dermaga. Datuk Jendaya ditinggalkan di situ dengan dahi yang berkerut seribu. Terbit gusar di dalam hatinya memikirkan maksud perkataan puteri itu.

Dia tidak hairan bila puteri itu tidak terusik sedikit pun dengan cercaannya. Puteri itu sememangnya terlalu keras kepala untuk disukai. Tidak padan dengan statusnya yang bukan anak gahara kerana berbondakan wanita marhaen, ada hati pula puteri itu mengidamkan takhta.

Tapi, mengapa Puteri Zulaikha nampak tenang? Padahal Putera Zulkarnain, iaitu pesaing utamanya dalam merebut takhta kini sudah pulang? Datuk Jendaya merenung tajam Puteri Zulaikha yang berdiri anggun di atas dermaga, masih tertanya-tanya.

“Adakah puteri itu sudah memasang muslihat?”

"Jika tiada rotan, akar berguna juga"
[Maksud: Kalau tidak ada yang baik sekali, yang kurang baik pun berguna juga.]

"Bau-bau bacang"
[Maksud: Persaudaraan yang jauh]

"Belahan jiwa"
[Maksud: Orang yang sangat dikasihi atau kekasih]

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro