5
SEMBILAN buah buku Matematik berada dalam pelukan. Langkah kaki diatur sepanjang laluan bangunan itu. Keriuhan suara kanak-kanak di dalam kelas dan suara pendidik yang menjalankan aktiviti pembelajaran bergabung. Maka suasana bangunan tadika ini tidak pernah sunyi.
Pintu kelas diketuk dua kali sebelum ia dibuka dari dalam.
"Oh, Cikgu Yeji rupanya."
Yeji seorang cikgu yang murah dengan senyuman. Tambah-tambah dengan mata sepetnya yang semakin sepet apabila hujung bibir melengkung ke atas. Kanak-kanak di sini memanggilnya sebagai cikgu 'Omey-omey'.
"Ini dia buku yang Cikgu Mina minta. Saya lebihkan sebuah buku untuk kegunaan dan rujukan Cikgu Mina sendiri." Yeji menyerahkan buku-buku tersebut kepada Mina. Matanya beralih pula kepada kanak-kanak yang ada di dalam.
"Mana anak murid yang cikgu maksudkan semalam?" tanya Yeji.
"Itu... Nama dia Changbin." Mina menunding ke arah seorang kanak-kanak yang sedang leka bercakap dengan kanak-kanak yang lain. Pantang cikgu mereka mengalihkan tumpuan sekejap, keadaan mula menjadi riuh-rendah.
Yeji mengangguk sebelum meminta izin untuk beredar. Mina menutup pintu kayu sebelum menyambung sesi pelajaran yang tergendala tadi.
"Okey, anak-anak cikgu semua. Kita mulakan..." Mina mengerutkan dahi saat terpandang seorang budak lelaki yang menunduk di balik meja.
"Yongbok? Kamu buat apa tu?" tegur Mina dengan penuh kelembutan.
Sejurus namanya dipanggil, budak lelaki itu pantas mengangkat muka bersama matanya membulat kerana tersentak. Pipinya pula mengembung di kedua-dua belah.
Yongbok menggeleng apabila cikgu langsung tidak mengalihkan pandangan mata daripada menilik mukanya.
"Kamu makan brownies ya?" duga Mina. Kanak-kanak yang lain sudah ketawa mengekek.
Terus Yongbok menelan segala isi yang sempat dikunyah. Nampak terseksa pula cara Yongbok menurunkan makanan di celah kerongkong. Mesti banyak sangat kek yang disumbatnya tadi.
Tanpa diminta, Yongok menganga untuk menunjukkan tiada lagi sisa makanan dalam mulutnya.
"Minum air. Lap mulut sekali," pesan Mina. Dia tidak mahu membuang masa dengan lebih lama. Buku Matematik diedarkan kepada setiap orang anak muridnya.
"Okey kelas, buka muka surat satu. Hari ini cikgu nak ajar tentang operasi tambah. Semua tengok kat tangan cikgu. Ada apa?" Mina melunjurkan tangan dan menayangkan sesuatu.
Semua murid mula memanjangkan leher. Cahaya mata mereka nampak bersinar diikuti dengan perasaan teruja.
"Di tangan kanan cikgu ada tiga biji guli manakala di tangan kiri cikgu ada dua biji guli. Sekarang cikgu campurkan semua biji guli ni..." Mina satukan bilangan guli tersebut ke dalam sebuah bekas jernih yang leper.
"... Sekarang ada berapa banyak biji guli?" tanya Mina.
Satu kelas mula membisu. Jari-jemari yang kecil mula melakukan kiraan. Ada yang meletakkan jari di atas meja untuk mencongak, ada yang masih melihat biji guli dalam bekas tersebut dan ada yang menjadikan potongan brownies sebagai contoh gambaran yang lain. Selepas dikira, disumbat pula kek itu ke dalam mulut.
"Lima."
Jawapan daripada kanak-kanak yang bernama Changbin kedengaran. Mina tersenyum bangga dan menepuk tangan. Tepukan itu disambut kanak-kanak yang lain dek kagum dengan kecekapan pelajar itu.
"Sekarang kita lihat pada soalan pertama di dalam buku. Dalam gambar tersebut terdapat empat tangkai lolipop di sebelah kiri yang ditambah dengan tiga lagi tangkai lolipop di sebelah kanan. Jadi berapa jumlah lolipop yang ada?" tanya Mina. Dia tidak sabar untuk mengetahui, siapa yang pantas dalam menjawab soalan asas ini.
"Tujuh. Tujuh!" jawab seorang kanak-kanak perempuan dengan kuat. Dia tidak mahu ada orang memintasnya dalam menjawab soalan tersebut. Lagi-lagi Changbin.
"Bagus, Lia. Tepuk tangan untuk Lia."
Satu kelas memberikan tepukan gemuruh. Melihat Lia yang sudah tersengih comel, budak lelaki bergigi jongang seperti tupai menjuihkan mulut. Tangan terus diangkat, mahu menarik perhatian Mina.
"Semalam ayah saya belikan sepuluh lolipop untuk saya," kata budak lelaki itu.
"Woah." Kawan-kawannya terpegun. Budak lelaki itu menyilangkan tangan dan tersenyum bangga. Lolipop yang dia peroleh lebih banyak daripada jawapan yang Lia berikan.
"Eleh. Sepuluh je. Cikgu, cikgu. Ayah saya bagi saya sekotak lolipop! Dalam tu lagi banyak lolipop!" pintas seorang budak perempuan yang duduk di bahagian belakang. Giginya juga seperti tupai.
Senyuman budak lelaki tadi bertukar cemberut. Budak perempuan itu sengaja bikin hatinya sakit.
Tidak sampai sesaat, mereka mula bergaduh mulut. Masing-masing tidak mahu mengalah dengan bilangan gula-gula bertangkai yang pernah diperolehi daripada ibu bapa mereka.
"Mak aku bagi enam kotak!"
"Ayah aku ada kedai gula-gula! Lagi banyak!"
Mina menjadi tidak tentu arah. Kepalanya terasa sedikit pening. 'Kenapa pulak dengan budak-budak ni?'
"Cikgu! Ayah saya tak bagi saya makan gula-gula. Ayah kata tak baik untuk gigi. Ayah awak, Changbin? Dia bagi awak makan gula-gula tak?" Suara ketua kelas yang berwajah pucat, mendorong kanak-kanak yang lain memandang Changbin.
Changbin yang dari tadi tersenyum melihat telatah kawan-kawannya, terus menunduk memandang soalan di dalam buku. Jawapan bagi soalan matematik lebih mudah diduga daripada jawapan tentang lelaki yang bergelar ayah.
Melihat Changbin diam seribu, cepat-cepat Mina menamatkan perbalahan anak didiknya.
"Sudah. Kita sambung soalan kedua, ya?" pintas Mina. Sempat dia mengerling kepada Changbin. Dapat Mina agak, rasa teruja Changbin untuk belajar terus merundum.
βββββββββββββββ
KACANG badam dan coklat Kit Kat diletakkan di atas aiskrim perisa pistachio. Pemegang aiskrim kon itu dipusing ke kiri dan kanan demi memastikan kesempurnaan hiasan aiskrim tersebut.
Aiskrim berperisa caramel pula, ditaburkan serbuk seakan emas dan coklat.
Sambil menghias, Wooyoung berlagu riang.
"Loohk sho good yeah lookh sho swheet! Loohking good enoughhh toh eaht." Wooyoung menggerakkan tubuhnya seakan menari.
Jaebum dan Hyungwon yang bersedia untuk mengambil gambar, sedikit tercengang. Seohyun yang sedang menyediakan minuman petang, menelengkan kepala.
"Ayah... Yang 'sweet' tu ayah kena sebut betul-betul walaupun ayah sengau...," tegur Jaebum dengan berhati-hati. Takut Wooyoung terasa hati, payah hendak meminta maaf nanti.
Silap-silap surat beranaknya pula dibakar!
"Behtollah ayahhh sebuhht. Swheet." Wooyoung masih bertegas dengan pendiriaannya. Jaebum mengalah manakala Hyungwon hanya mampu mengangkat kening.
"Kamu mencarut ke apa?" Itu dia soalan jujur daripada Seohyun. Dulang yang berisi set minuman petang, diangkat untuk dibawa ke pangkin di laman rumah.
Wooyoung berfikir sejenak lalu bertanya kepada diri sendiri, "Terukh sangaaht keh haku sehbut? Selahma niyyh haku cahkap kat mendiahng istehri haku, macahm tuhla. Youh are sho swheet!"
"Agaknya itulah punca kematian isteri pak cik." Hyungwoon menduga dalam nada perlahan. Kalau Wooyoung dengar, Hyungwon bakal mengikut jejak mendiang mak ciknya!
Bunyinya agak kurang ajar, tetapi Jaebum tidak dapat menahan tawa. Dia sudah gelak berguling. Kamera DSLR di tangan ikut berguling sekali.
"Hahahahahah. Bodohnya sepupu aku ni." Jaebum mengesat air mata. Kakinya terasa lemah untuk berdiri.
Hyungwon sudah tersengih. Dia tidak mahu menyambung tawa Jaebum. Wooyoung yang melihat pasti akan rasa dirinya diejek.
Gambar diambil menggunakan kamera Canon Jaebum dan kamera telefon milik Wooyoung. Hyungwon yang membantu, menyerahkan semula telefon kepada bapa saudaranya. Dengar kata, Wooyoung mahu memuat naik gambar aiskrim tadi ke dalam laman akaun sosial media, Instagram.
Wooyoung sudah menaip laju kapsyen yang mahu diselitkan. Jaebum di sebelah mengintai skrin telefon bapanya. Sekejap sahaja mukanya berubah.
"Er... Ayah. Jaebum tolong ayah taipkan kapsyen, ya?" Dari tangan Wooyoung, telefon itu Jaebum ambil dengan sopan.
Berkerut dahi Jaebum membaca sepatah dua perkataan kapsyen yang sempat ditaip Wooyoung tadi.
Sudah dia agak! Macam mana pertuturan Wooyoung, macam itulah ejaannya dalam kapsyen ini.
Jaebum menggeleng laju lantas memadam perkataan itu.
"Korang ni tak habis-habis lagi ke dengan gambar tu? Pergi minum petang dekat pangkin tu ha... Wooyoung, kamu pun." Lagak Seohyun sudah seperti seorang ibu buat tiga orang anak. Dua anak teruna, seorang anak telanjur usia.
"Alright, ibu," jawab Hyungwon, mewakili Jaebum dan Wooyoung.
βββββββββββββββ
DUA tangan bertaut diiringi dengan langkah kaki yang diatur sepanjang lorong di taman perumahan. Perjalanan mereka ditemani dengan suara kejiranan dan bunyi kenderaan yang lalu-lalang seperti basikal dan motor.
"Senyap je anak mama ni. Kenapa?" tanya Mina. Tangan Changbin digenggam lembut dan kemas.
Changbin memandang Mina sambil berjalan. Dirinya menagih sebuah jawapan.
"Kenapa Changbin tak ada ayah?" soal Changbin.
Soalan itu dijawab dengan senyuman nipis daripada Mina. Lagi beberapa langkah sahaja, mereka akan tiba di rumah. Namun, sempat Mina berhenti dan memberikan tatapan penuh kelembutan buat anak lelakinya.
"Bukan Changbin tak ada ayah, sayang. Ayah Changbin sibuk sikit. Mama janji, ayah akan datang berjumpa dengan Changbin suatu hari nanti." Mina mengusap rambut yang menutup dahi Changbin dengan belaian penuh kasih.
Changbin mengetap bibir. Dia mungkin seorang kanak-kanak yang tidak tahu apa-apa, tetapi dia juga tahu erti lali lantaran Mina yang seringkali memberikan jawapan yang sama. Changbin merasakan dirinya sangat berbeza berbanding kanak-kanak lain.
Sebelah tangannya digenggam Mina manakala sebelah lagi kosong tiada penghuni. Tiada seorang ayah yang memegang erat tangannya sejak dulu lagi.
Mina menyembunyikan perasaan sebenar di sebalik wajah keibuannya. Dalam hati, hanya Tuhan yang tahu.
Jiwanya dipukul setiap kali memikirkan soalan Changbin. Ada kalanya dia dipalit runsing, ada kalanya dia sudah tidak mahu berfikir.
Hanya kesabaran yang mampu menjadi peneman setia Mina. Tidak kira apa jua soalan yang bakal dilontar, kasih sayangnya terhadap Changbin tidak akan berubah. Tetap sama sejak anak ini lahir ke dunia.
Sebelum sempat mereka menjejakkan kaki di hadapan pagar rumah, seorang lelaki dilihat sedang berdiri di situ.
Mina dan Changbin memandang antara satu sama lain. Langsung kanak-kanak itu angkat bahu tanda tidak tahu siapakah gerangan lelaki itu.
Mina membuka pintu pagar dan meminta Changbin masuk ke dalam rumah terlebih dahulu.
"Awak tak faham bahasa atau awak nak saya panggil polis?" Mina melemparkan senyuman manis dalam menahan hati yang mula meniupkan rasa sebal.
Lelaki ini sukar untuk menjauhkan diri daripadanya!
"Kalau panggil polis sekalipun, saya akan diikat jamin dan saya tetap akan jalankan tugas saya untuk bawa-"
"Saya dah kata saya tak nak balik. Awak beritahu orang yang upah awak ni, yang saya tahu nak selesaikan masalah saya macam mana. Tolonglah jangan ganggu saya lagi," rayu Mina yang ternyata keletihan.
Lelaki upahan itu mengeluh. Dia hanya mahu menjalankan amanat yang diberi. Sebolehnya, dia tidak mahu memaksa, namun tugas untuk membawa Mina dan Changbin pulang ke pangkuan keluarga adalah menjadi keutamaannya sekarang.
"Sebelum korang bertumbuk, aku nak kutip hutang korang dulu," sampuk seseorang.
Mina dan lelaki upahan itu serentak berpaling. Seorang lelaki berbaju t-shirt putih dan berseluar jeans biru tua, menghampiri mereka dengan wajah selamba.
Hutang apa yang dimaksudkan lelaki ini?
"Siapa nak bayar aiskrim tanduk tu? Kau?" Jari menunding ke arah Mina.
"... Atau kau?" Lelaki upahan itu pula ditunjuk.
Saat itu juga, rindu menghentam hebat dada Mina sebaik sahaja bayang seseorang terlayar di sudut memorinya. Dia tidak percaya dengan apa yang dilihat sekarang. Sahabat baiknya berada di depan mata setelah sekian lama mereka tidak bertemu.
"Jae!"Senyum riang Mina terpampang sebaik sahaja nama panggilan itu disebut.
ββββββ BERSAMBUNG ββββββ
SAMBUNGAN CERITA INI BOLEH DIDAPATI DENGAN MELANGGAN BUKUΒ
COLD SUMMER: UNCONDITIONAL LOVE
PENULIS: RUBY.N
GENRE: ROMANCE + KOMEDI
414 MUKA SURAT TERMASUK KULIT BUKU
UNTUK TEMPAHAN SILA HUBUNGI: 011-18545793
BαΊ‘n Δang Δα»c truyα»n trΓͺn: Truyen247.Pro