ChΓ o cΓ‘c bαΊ‘n! VΓ¬ nhiều lΓ½ do tα»« nay Truyen2U chΓ­nh thα»©c Δ‘α»•i tΓͺn lΓ  Truyen247.Pro. Mong cΓ‘c bαΊ‘n tiαΊΏp tα»₯c ủng hα»™ truy cαΊ­p tΓͺn miền mα»›i nΓ y nhΓ©! MΓ£i yΓͺu... β™₯

3

MENGGIGIL tangannya melihat orang yang dikenali sedang bermesra di hadapan sebuah restoran. Setiap kelakuan mereka disusuli rasa mual dan menyampah. Kening Mina bertaut dek melihat babak yang tidak sepatutnya dilayarkan pada pandangannya.

Mina mengeluarkan telefon bimbit lantas nombor yang sudah terpahat dalam ingatannya didail. Dia ingin menentukan sebuah kepastian.

"Hello, Sungjae," sapa Mina dengan suara yang sudah serak basah. Seboleh-bolehnya dia tidak mahu lelaki yang dilihat ketika ini menjawab panggilannya.

Sayang seribu kali sayang, kenyataan itu yang harus ditelan pahit! Lelaki itu dilihat mengeluarkan telefon dari poket seluar.

"Mina? Saya dah sampai ni. Lama lagi ke nak make-up tu...?" Sempat Sungjae mengusik tanpa dia sedar Mina berada di seberang jalan sambil memerhati.

Hati Mina remuk bagai dihentam sesuatu yang keras. Jiwanya lumat bagai dicincang halus. Kain gaun paras bawah lutut digenggam kuat. Mina tidak mengizinkan air matanya keluar.

"Mina?" Sungjae memanggil nama itu sekali lagi. Hairan jadinya apabila suara Mina tidak kedengaran.

"Si... siapa perempuan tu?" soal Mina ingin tahu. Bibirnya sudah menggigil hebat. Segala nasihat Dahyun terngiang-ngiang di telinga. Hatta nasihat Jae yang kononya berbunyi dalam hati, berlegar-legar seperti memaksa sebuah kekesalan terzahir daripada dalam diri Mina.

Sungjae terdiam sejenak. Senyuman nipisnya mula terukir. Matanya langsung tidak berminat untuk mencari keberadaan Mina.

"Awak dah nampak, ya?" tanya Sungjae.

"Kenapa awak...? Kita kan..." Wajah Mina menegang tatkala menahan air mata sekali lagi. Dia tidak pernah menangis kerana lelaki. Orang mengenalinya sebagai perempuan berjiwa kental.

Sungjae menutup corong suara sebelum ketawa.

"Ehem!" Sungjae berdehem. Puas dia ketawa kerana Mina juga sama bodoh dengan gadis di hadapannya.

"Kalau awak dah nampak, saya rasa tak perlulah awak nak makan malam dengan saya. Well, Mina, saya ingat hati keras awak tu susah nak disentuh lelaki. Rupanya tidak. Awak mudah diduga, Mina..."

"... Lagipun, saya rasa malu. Perangai awak, cara pakaian awak. Semualah! Hurm... Anyway, happy birthday Yoon Mina. Kalau awak rasa nak hadiah daripada saya, awak boleh tuntut dalam restoran. Makanlah sepuas-puasnya sampai badan awak bertambah debab pun tak apa," sambung Sungjae.

Mina terus menamatkan panggilan. Tangan sudah tidak sabar untuk menumbuk Sungjae, namun dia cuba mengawal perasaan daripada meledakkan amarah.

Di sebalik wajah kacak Sungjae, mulut manis dan perilaku yang baik, terdapat dusta yang bersarang!

━━━━━━━━━━━━━━━

WOOYOUNG perasan seseorang keluar dari bilik air. Rambut yang basah dilap bermula anak rambut di belakang tengkuk dan membawa ke atas kepala. Nampak serabai.

"Haa... Dah helok keh kahki tuhh? Tehruk sahngat keh samhpai Mihna hantar bahlik?" perli Wooyoung.

"Sikit jelah, ayah. Mina yang beria hantar sampai rumah. Padahal boleh je balik sendiri."

"Bolehh bahlik sendihri hapanya? Dahlah kehna buhli dehpan pehrempuhan. Heii kaamuu nih." Wooyoung menggeleng kepala. Pantang keturunannya berlaku lembik di hadapan wanita. Biar sengau, jangan lemah!

"Selamat malam, ayah." Tidak mahu mendengar Wooyoung bersyarah panjang, pintu bilik terus ditutup rapat.

Telefon bimbit berbunyi menandakan ada panggilan masuk. Melihat nama yang tertera, membuatkan keningnya bertaut. Sempat dia melihat paparan jam pada skrin telefon yang sama.

Deringan panggilan itu seperti seorang ibu terpekik memanggil nama anaknya. Panggilan itu cepat-cepat dia jawab.

"Nyah woi... Kenapa telefon aku ni? Pukul 11.58 malam. Nak aku countdown birthday kau sekali ke?" Itulah mukadimmah perbualan mereka.

"Jae..." Mina bersuara sayu dan lemah. Entah mengapa firasat Jae mengatakan ada sesuatu yang sudah berlaku.

"Kau kena game dengan Sungjae ke?" duga Jae. Suara garaunya kedengaran. Suara lembutnya pula hilang entah ke mana.

Mina teresak, namun masih mampu menahan letusan tangisan yang mahu keluar. Kesedihan disalurkan kepada jiwa Jae yang ingin memahami.

Jae keluar dari bilik lantas dia ke ruang tamu setelah memastikan bayang Wooyoung tiada di situ. Barangkali ayahnya sudah masuk tidur.

"Nangislah dulu kalau nak. Sementara kau nangis, sempat rasanya aku pergi cekik leher Sungjae. Biar tercekik sampai halkum dia terkeluar. Puas hati aku. Ada kawan sotong yang baru," seloroh Jae.

"Pft. Hahahahahahah!" Mina meletuskan tawa besar bersama air mata kesedihan dan kegembiraan. Luka di hatinya sedikit terubat walaupun niat Jae itu tidak akan tertunai. Jae takut untuk berlawan. Lagi mahu cekik anak orang ke?

Jae sudah tertunduk dalam mengukir senyuman. Dia gembira mendengar hilai tawa Mina. Terubatnya hati Mina, terubat juga hati si Jae.

Sekuat mana pun Mina, Mina masih seorang perempuan. Akan menangis jika disakiti. Namun, Jae tidak mahu Mina memendam luka itu seorang diri.

Mina kembali senyap. Entah kenapa dia berasa terharu dengan kewujudan dua orang kawannya. Kalau ikutkan hati, mahu dia serbu rumah Dahyun dan menangis sepuas-puasnya. Lantaklah sekiranya Dahyun mahu memarahinya kerana bersikap degil dan tidak mahu mengikut nasihat sebelum ini.

"Jae," sebut Mina.

"Erm?"

"Aku ada benda nak beritahu kau. Pasal ayah aku. Aku tak pasti kalau aku dapat teruskan pengajian ni. Ayah aku jatuh sakit. Aku ingat nak balik jenguk ayah aku sebelum exam, tapi ayah aku tak bagi." Mina mengetap bibir.

Segala yang Mina terima malam ini, bercampur baur dengan rasa rindu yang bergumpal buat ayahnya di kampung. Sangkanya, rindu itu akan terubat seketika apabila dia bersama Sungjae. Pantas saja lelaki itu membunuh perasaannya.

"Aku tak tahu sama ada boleh tunggu sehingga final exam bulan depan atau tak. Aku rindu... Rindu sangat dengan ayah aku," sambung Mina.

Jae memandang lantai dengan pandangan kosong. Tubuhnya sudah lama bersandar pada badan sofa. Dia tidak mampu memberikan nasihat yang sewajarnya untuk Mina. Wooyoung berada di depan mata, sementara Mina? Setiap hari Mina berharap ayahnya mampu bertahan sehingga dia pulang ke pangkuan keluarga.

"Aku nasihatkan kau untuk dengar cakap ayah kau. Mesti kau satu-satunya harapan keluarga, kan? Kalau tidak, takkan ayah kau minta kau tunggu sampai selesai final exam," pesan Jae. Itulah yang terbaik buat Mina pada pendapatnya yang tidak seberapa ini.

Mina mengangguk kepala walaupun Jae tidak dapat melihat. Berat untuk menurut, tetapi ada kebenaran dalam nasihat Jae. Dia perlu menamatkan pengajian ijazah dalam bidang Sains Matematik dengan jayanya. Segulung ijazah perlu diraih dan ditunjukkan kepada keluarga.

"Terima kasih, Jae." Mina tersenyum sendiri. Alangkah baiknya kalau Sungjae juga memberi kata-kata semangat yang sama.

"Lantaklah lelaki celaka tu," marah Mina entah kepada siapa.

"Woi! Agak-agaklah cakap ayah sendiri macam tu." Jae sedikit terkejut apabila carutan keluar daripada mulut Mina.

"Bukan ayah akulah! Si Sungjae tu." Mina sudah mengherotkan mulut. Mana mungkin dia carut kepada ayah sendiri. Mahu tersedak satu malam ayahnya nanti.

"Kau dekat mana ni? Dekat luar lagi?" tanya Jae. Rambutnya sekejap sahaja sudah kering. Rambut pendek lelaki, bukannya perlu dikeringkan dengan pengering rambut seperti orang perempuan.

"Aku dekat depan rumah kau. Ingatkan nak tumpang sekejap bahu kau tu. Okeylah. Aku blah dulu. Bye. Night!" Mina terus mematikan panggilan.

Jae menjauhkan muka dari telefon sebelum bangun. Dia melangkah ke luar rumah untuk mencari gerangan Mina.

Tiada.

Pasti Mina sudah melarikan diri kerana tahu Jae akan menemaninya pulang.

Jae menggaru kepala yang tidak gatal. Risau sekiranya Mina diganggu ketika dalam perjalanan pulang ke rumah.

'Perempuan tu berani betul!' getus hati yang mula terganggu.

━━━━━━━━━━━━━━━

KALAU dikatakan bodoh, pasti dia dimarahi semula. Tapi hendak buat macam mana? Mina memang bodoh!

"Aku malas nak ulas panjang-panjang macam pembaca berita. Aku dah cakap, kan? Kan? Kau degil macam batu. Batu pun senang nak dibuat berunding dan dengar kata, tau? Buktinya? Kepala Jae." Dahyun tunding jari kepada lelaki yang mula terpinga-pinga.

Mina yang dimarahi, tetapi kepalanya dijadikan contoh? Jae geleng laju.

'Dia nak cakap kepala aku keras atau bebal lagi naif ke apa sebenarnya?' rungut Jae dalam hati.

Bebelan ringkas itu hanya disambut dengan reaksi kosong Mina. Buku setebal 1100 muka surat menjadi tatapannya. Formula matematik entah ke mana, jawapan entah ke mana. Sudahnya Mina hanya jadi tunggul di atas pangkin.

Wajah putih Dahyun bertukar sedikit merah. Geram dengan Sungjae. Geram juga dengan Mina.

"Nah, hadiah hari jadi kau!" Dalam rasa membungkam, Dahyun menunjukkan bungkusan warna merah kepada Mina. Mina yang duduk menongkat dagu terus meluruskan badan.

"Seriuslah?" Mina tidak percaya. Jarang sekali Dahyun hendak menghadiahkan sesuatu selain belanja makan sempena hari jadinya.

Hadiah sudah bertukar tangan dan dibuka dengan rakus. Mina sudah tidak sabar. Tangan yang mengoyakkan pembalut itu dipandang Jae dan Dahyun tanpa berkedip.

"Dia tak pernah dapat hadiah ke sebelum ni?" tanya Jae. Dahyun hanya mengangkat bahu.

"Wah!" Mina teruja apabila dihadiahkan sepasang kasut jenama Converse buatnya. Cepat-cepat Mina mencuba lantas berjalan untuk memastikan saiznya tepat dan selesa dipakai.

"Terima kasih, beb!" ucap Mina dengan lantang. Dahyun angkat kening berkali-kali kerana bangga dengan pilihannya menepati citarasa Mina. Saiz pun Dahyun tahu. Kawanlah katakan.

Tidak mahu kalah, Jae juga mengeluarkan sesuatu dari beg galas. Bungkusan di tangannya agak kecil berbanding dengan apa yang Dahyun berikan, tetapi Mina tidak peduli. Disambar sebelum sempat Jae berkata apa-apa.

"Woah..." Kali ini Dahyun pula terpegun melihat isi di dalamnya. Sebuah topi jenama Adidas dan pengikat rambut seperti cekak berwarna merah jambu dijadikan hadiah buat Mina.

Cekak yang begitu comel dan feminin dipandang Mina silih berganti dengan wajah Jae.

"Cubalah, nyah. Pandang je tak jadi apa," bebel Jae.

Mina terpaksa menurut walaupun dia alah dengan barang perhiasan seperti itu. Jae memang mencari pasal!

"Jemput minum," tegur ibu Dahyun yang keluar membawa dulang berisi air dan kuih.

Dahyun tidak peduli dengan kemunculan ibunya. Dia sudah tersengih melihat Mina yang begitu comel dalam mengenakan cekak rambut itu.

"Ayah sihat ke, Jae?" tanya Chaerin. Wanita itu seperti biasa, sangat lemah lembut dalam pertuturannya.

Terus Dahyun beralih pandang. Soalan apakah yang keluar daripada mulut ibunya?

"Sihat," jawab Jae dengan sopan.

Chaerin sudah menutup mulut dengan hujung jari kerana teruja walaupun hanya mendengar khabar tentang Wooyoung. Langsung dia tidak sedar Dahyun yang sudah melopong.

'Kenapa gedik sangat ibu aku ni? Pak Cik Wooyoung? Yang sengau tu?' soal Dahyun dalam hati. Kalau ditanya depan-depan, ada yang kena piat telinga nanti.

Masuk sahaja Chaerin ke dalam rumah, Jae tersengih lebar. Sengau-sengau ayahnya, masih ada peminat. Boleh tahan juga ayahnya.

Senyum Jae pudar apabila teringat sesuatu yang masih belum diserahkan kepada Mina. Mina yang baru sahaja selesai menjawab panggilan, didekati.

"Mina, aku ada surat." Kata-kata Jae tergantung lantaran melihat mimik wajah Mina yang berubah mendadak. Hendak kata tidak berminat langsung dengan hadiah yang diberikan, tidak juga.

Mina menamatkan panggilan dan terus mendaki anak tangga ke rumah sewanya. Jae dan Dahyun tidak dipedulikan lagi. Mereka sedikit termangu sebelum meneruskan tugasan subjek Geometri yang tertangguh.

Sepuluh minit kemudian, Mina turun bersama sebuah bagasi. Dahyun terus meletakkan pen di atas buku lantas mendapatkan Mina yang sudah dibasahi dengan air mata. Jae juga melakukan hal yang sama.

"Mina, kau nak ke mana ni?" Dahyun mula gusar dengan keadaan Mina. Bawah mata yang kemerahan, air mata berjurai dan esakan yang tenggelam timbul.

"Ayah aku... Ayah aku meninggal. Aku kena balik sekarang." Mina jadi tidak tentu arah. Dia sudah tidak pedulikan sesiapa di situ. Teksi yang dipanggil lima minit lepas, telah tiba di hadapan rumah Dahyun.

Dahyun dan Jae tergamam dengan berita mengejut ini. Baru sahaja Mina bercerita tentang ayahnya kepada mereka berdua.

"Biar kami yang hantar kau balik," pujuk Dahyun. Lengan Mina dipegang lembut. Dia tahu Mina tidak berdaya untuk menghadapi perkara itu seorang diri. Dia mahu menemani kawannya sehinga tiba di kampung halaman.

Mina tidak melayan permintaan Dahyun. Beg sudah dimasukkan ke dalam perut teksi. Jae yang masih terkejut hanya mampu menghantar Mina melalui pandangan mata.

"Mina, kau akan balik ke sini, kan?" tanya Jae. Sejujurnya dia risau sekiranya Mina terus tinggal di kampung dan tidak lagi mempedulikan baki semester yang hanya tinggal sebulan sahaja.

Soalan itu tidak dijawab. Mina sempat menggenggam tangan Dahyun dan Jae sebelum melolos masuk ke dalam teksi.

Teksi yang dinaiki terus membawa Mina jauh meninggalkan dua orang sahabatnya. Dahyun dan Jae masing-masing membisu. Hati mereka dilanda pilu. Mereka berharap agar Mina sabar dalam menempuh ujian ini dan akan pulang sebelum peperiksaan bermula.

Namun, tiada siapa yang dapat menduga. Pemergian Mina itu akan memakan masa yang lama. Penantian bakal menjadi peneman buat Dahyun dan Jae.

══════ BERSAMBUNG ══════

BαΊ‘n Δ‘ang đọc truyện trΓͺn: Truyen247.Pro

Tags: #fanfiction