Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 4

DENGAN motosikal Honda EX5 yang dipinjamkan oleh Yahaira, Zinnirah hampir tiba di tempat yang ditujunya. Sebelum membelok ke simpang menghala ke kebun buah-buahan, mata Zinnirah terpaku pada kenderaan SUV berwarna hitam yang terparkir di tepi jalan. Tidak pernah ada kenderaan yang berhenti di kawasan itu sebelum ini.

Motosikal diberhentikan di sisi kenderaan itu. Tingkap kenderaan yang agak gelap dengan cuaca yang mendung tidak membolehkan Zinnirah melihat apa dan siapa yang berada di dalam kenderaan itu.

Tingkap kenderaan itu diketuk beberapa kali namun tiada apa-apa respons. Pintu kenderaan di bahagian pemandu cuba untuk dibuka tetapi tidak berjaya. Pintu itu berkunci. Zinnirah memerhatikan nombor plat kenderaan serta jenis kenderaan tersebut sebelum kembali menunggang motosikalnya.

Sepanjang perjalanan menuju ke rumahnya diiringi dengan pokok-pokok pisang di kiri dan kanan jalan. Dari jauh lagi Zinnirah dapat melihat pintu utama rumah yang terbuka. Pita kuning yang direntang minggu lepas masih lagi utuh kedudukannya.

"Abang Talha ni pun..." Zinnirah membebel sendiri. Sangkanya, pihak polis yang meninggalkan rumahnya dalam keadaan begitu setelah segala urusan pihak polis selesai.

Zinnirah turun dari motosikal. Anak tangga rumahnya didaki lalu pintu utama ditolak.

Belum sempat kepalanya dijenguk ke dalam rumah, tiba-tiba sahaja muncul sepasang tangan yang menarik kepalanya dan menekup mulutnya. Zinnirah menjerit. Tangan yang menekup mulutnya digigit sekuat hati sehinggakan dia dapat merasakan bibirnya basah. Deria rasanya jadi peka dengan rasa seperti besi.

Apabila tangan yang menekup mulutnya teralih, pantas Zinnirah berpaling dan menolak lelaki di belakangnya. Lelaki itu rebah di atas lantai sambil mengerang menahan kesakitan pada tangannya. Zinnirah meludah air liurnya. Segera Zinnirah merapatkan lengannya pada leher lelaki itu sehinggakan kepala lelaki itu tertolak rapat pada lantai.

"Siapa kau?" Bulat mata Zinnirah merenung wajah lelaki itu.

Lelaki itu ketawa. "Aku yang patut tanya soalan tu. Siapa kau?"

"Apa yang kau buat dekat rumah aku?" Zinnirah menghentakkan tangannya.

Terbatuk-batuk lelaki itu dibuatnya.

"Aku cuma buat kerja aku!" tengking lelaki itu.

Zinnirah ketawa sinis. "Dan aku tak rasa menyentuh aku ialah salah satu kerja kau, kan?"

Bibir lelaki itu merapat. Matanya jelas mengandungi amarah.

"Apa yang kau nak cari dekat sini?" Keras suara Zinnirah melontar soalan.

"Haatim."

Zinnirah terkesima apabila mendengar nama arwah bapanya. Dia tidak pernah nampak bapanya berkomunikasi dengan lelaki di hadapannya itu sebelum ini.

"Dia dah meninggal. Apa yang kau nak dari dia?"

"Ya, aku tahu dia dah meninggal. Sebab tu aku datang sini. Ada hutang yang dia belum langsaikan."

Perlahan-lahan Zinnirah melepaskan tangannya. Nafasnya ditarik.

Tidak semena-mena selepas itu, lengannya ditarik dari arah belakang dan Zinnirah dipaksa untuk berdiri.

"Argh!" Zinnirah bengang.

"You shouldn't have let your guard down, baby." Bisikan suara daripada wanita di belakangnya berjaya membakar hati Zinnirah. Lelaki yang digigit tangannya tadi ternyata tidak berseorangan.

"Kalau kau tak melawan, kami tak perlu pun buat kau macam ni." Lelaki yang berdarah tangannya itu terus berdiri menghadap Zinnirah.

"Kau tengok apa yang kau dah buat!" Berang lelaki itu melihat tangannya yang berbekas dengan kesan gigitan Zinnirah serta darah.

"Korang sedar tak yang korang ni tetamu dalam ni? Mak ayah korang memang tak ajar adab eh? Macam ni korang buat bila masuk rumah orang?" Selamba Zinnirah menjawab.

"Zinnirah... Kan?" tebak lelaki itu. Nama itu ialah satu-satunya nama lain yang dapat dia lihat selain nama Haatim dan Zahida di dalam surat-surat yang dihantar ke alamat rumah ini. Tidak sia-sia dia menggeledah barang-barang yang ada di dalam rumah ini tadi.

Lelaki itu mendekati Zinnirah. Tangannya menjangkau menghampiri pipi Zinnirah.

Zinnirah memerhatikan tangan itu. Sebelum sempat tangan itu menyentuh pipinya, Zinnirah melonjakkan tubuhnya dan mula menendang. Tangannya yang dipegang oleh wanita tadi terlepas jua meskipun terasa sedikit sengal. Zinnirah tersenyum sinis, gembira apabila melihat tendangannya tepat mengenai sasaran.

"Hafeez!" Wanita tersebut membantu sahabatnya yang terguling-guling menahan sakit.

"I guess now you know what a man gets when he touches a woman." Zinnirah menutur sinis.

Zinnirah menyambung lagi bicaranya. "Oh, to be exact, when he touches Zinnirah Haatim."

"Nak air? I boleh sediakan. Boleh kita duduk, borak-borak." Zinnirah melangkah ke dapur.

"Kau anak Haatim?" Soalan itu menyapa gegendang telinga Zinnirah. Sebotol air masak yang disejukkan dikeluarkan dari dalam peti dan dibawa ke ruang tamu bersama-sama tiga biji cawan plastik.

"Kau pun dah dengar siapa nama aku, kan?" Zinnirah memasang sila di atas lantai. Rumahnya memang tidak mempunyai banyak perabot. Katil pun tak ada. Hanya tilam sahaja yang diletakkan di atas lantai. Kehidupan mereka yang selalu berpindah-randah tidak menggalakkan mereka untuk membeli perabot. Disebabkan sudah terbiasa hidup tanpa perabot, di rumah pusaka ini pun mereka tidak terfikir untuk membeli perabot.

"Air ni aje yang ada. Korang dah buat kat aku macam-macam, jangan mimpi nak air sedap-sedap." Zinnirah menuangkan air sejuk ke dalam cawan. Lelaki dan wanita tersebut membetulkan duduk mereka.

"Arwah abah hutang apa dengan korang?" tanya Zinnirah. Secawan air diletakkan di hadapan setiap orang.

"Tu kau kena tanya tuan. Aku datang ni atas arahan."

"Apa yang tuan kau suruh buat?" Zinnirah memerhatikan wajah lelaki itu. Melalui pemerhatiannya, dia mengagak usia lelaki itu lebih kurang sahaja dengan usianya.

"Ambil geran rumah dan tanah ni."

Kening Zinnirah berkerut. "Apa kaitan geran rumah dan tanah mama aku dalam hal abah aku?"

"Masalah rumah tangga jangan cerita dekat aku. Yang aku tahu, hutang kena bayar. Tak kesahlah rumah dengan tanah ni mama kau punya sekali pun," ujar lelaki itu sambil mengibas-ngibas tangannya yang cedera. Baru sekarang terasa bisanya.

Zinnirah bangun daripada duduknya lalu masuk ke dalam biliknya. Sarung tangan kebun yang masih belum pernah digunakan diambil dan disarungkan pada tangannya. Peti bantuan kecemasan bersaiz kecil turut diambil dan dibawa keluar.

Selamba dia menapak mendekati lelaki yang telah dicederakan tadi. Duduk dilabuhkan berhadapan dengan lelaki itu setelah cawan tadi dialih ke tepi.

Terkebil-kebil lelaki itu memerhatikan Zinnirah. Tertanya-tanya juga dia sama ada perempuan yang sedang berada di hadapan dia itu adalah perempuan yang sama dengan yang menyerangnya tadi atau tidak. Cepat betul berubah karakter.

"Siapa nama?" Zinnirah mencapai tangan lelaki itu.

"Apa benda ni?" Lelaki itu menarik kembali tangannya, terkejut dengan tindakan Zinnirah.

"Kau luka kan tu? Aku yang buat tangan kau macam tu. Tak payah nak apa benda sangat. Bak sini tangan kau tu." Tegas Zinnirah memberi arahan. Peti bantuan kecemasan dibuka dan alat-alat yang diperlukan dikeluarkan.

Wanita yang sedari tadi asyik menjadi pemerhati sketsa di hadapannya sudah tidak dapat mengawal tawanya daripada terlepas. Dia geli hati melihat air muka rakan sekerjanya yang jelas benar terkejut dengan perubahan karakter Zinnirah.

Zinnirah menjeling tajam ke arah tuan punya tawa. "Apa gelak-gelak! Kau pun nak rasa kena gigit ke?"

Mati terus tawa wanita itu. Garang sungguh Zinnirah ni!

Zinnirah mencapai tangan lelaki di hadapannya. "Ni bantuan sementara saja. Nanti kau kena pergi klinik atau hospital. Aku pun tak tahu penyakit apa yang aku ada. Kutlah berjangkit."

"Kau tak ada HIV, kan? Aku rasa macam tertelan darah kau tadi." Mulut Zinnirah bergerak-gerak seperti sedang mengunyah. Kemudian gadis itu menggeliat kegelian.

"Serius ni aku tanya. Kau tak ada HIV, kan?" Zinnirah merenung tepat ke dalam mata lelaki itu. Tangannya ligat bergerak membersihkan luka pada telapak tangan lelaki itu.

Lelaki itu menggeleng laju.

"Geleng tu maksudnya tak ada ke tak tahu?"

"Tak ada! Mak ayah aku tak ada HIV. Aku tak main dadah. Aku pun bukannya bernafsu kuda. Kau ingat semua perempuan aku sapu ke? Aku pun tahulah zina tu apa!" tengking lelaki itu dengan riak wajah teragak-agak.

Zinnirah memandang lelaki itu sekilas sambil membalut luka yang sudah disapukan ubat. "Yalah. Siapa nama awak?"

"Kau nak buat apa? Nak report polis ke?"

Zinnirah tayang muka menyampah. "Kalau aku nak report polis, tak adanya aku nak buang masa duduk depan kau macam ni. Dari tadi lagi aku dah call polis."

Setelah hampir 30 saat lelaki itu diam, dia akhirnya bersuara. "Hafeez."

"Awak pula?" Zinnirah menyoal wanita pemerhati.

"Cindy."

Bandage fastener disematkan pada balutan yang mengelilingi pergelangan tangan Hafeez. "Done!" Zinnirah memandang Hafeez dengan senyuman.

Hafeez berdehem beberapa kali sebelum tangannya ditarik. Balutan pada tangannya diperhatikan.

"Anyway, you guys macam tak sesuai jadi criminal. Muka memang nampak ganas, tapi karakter tak ganas mana." Zinnirah memasukkan semula semua peralatan yang dikeluarkan tadi. Peti bantuan kecemasan ditutup.

"We're not criminals!" tegas Hafeez menafikan.

"Aik? Sejak bila masuk rumah orang tanpa pengetahuan tuan rumah tak dikira sebagai jenayah?" Zinnirah menyoal dengan nada naif.

"You ni memang macam ni ke?" Cindy menyoal.

"Macam ni macam mana?" tanya Zinnirah.

Cindy merenung wajah Zinnirah. "Senyum tayang gigi macam tu, seolah-olah you tak ada masalah langsung dalam dunia ni. You orang pertama yang tak takut dengan kita orang, tau?"

Zinnirah tarik senyum. "Siapa kata saya tak ada masalah? Saya tengah fikir ni macam mana nak bayar hutang arwah abah saya."

"Senyuman you tak tunjuk semua tu."

"Sebab tu saya senyum, Cindy. It is a way to hide your sorrow. It is a way to comfort others and it is a way to comfort you. You tahu kenapa senyum dikira sebagai satu sedekah dalam Islam?"

Cindy menggeleng.

"Sebab walau susah macam mana pun masalah yang kita hadapi pada ketika itu, instead of expressing our grief, we smile. It is the best thing that you are giving even when you are unable to give. Awak tak mampu untuk menghulurkan bahagia kerana awak sedang bersedih, tetapi awak tetap tersenyum semata-mata untuk menggembirakan orang yang melihat. Sedekah ialah memberi sesuatu yang bernilai kepada orang yang memerlukannya. You won't realize that you need a smile from others just like others need your smile until you're in the situation yourself. Akan ada hari yang awak rasa susah sangat, tapi disebabkan segaris senyuman yang bersinar dengan harapan, awak juga akan kembali berharap."

Senyum tersungging pada bibir Cindy. "I think I like you. Not in a strange way, of course."

Zinnirah menggeleng. "You don't like me. You just like my thoughts." 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro