Bab 3
TALHA menjeling telefonnya yang terletak di sudut meja.
"Harith, aku tengok kau ni sejak tadi lagi asyik melekat dengan telefon. Ni telefon dekat atas meja, kau jeling pulak. Ada apa?" Faleha menegur apabila dia berasa tidak senang melihat keresahan pada wajah Talha. Sejak pagi tadi lagi wajah sahabatnya itu keruh semacam.
"Adik aku, telefon tak berjawab. Dia naik bas ke Lumut sejak pagi tadi lagi. Tapi setiap kali aku call, tak jawab. Kalau tak nak bercakap dengan aku, paling-paling pun, hantarlah mesej bagi tahu yang dia dah sampai. Tak adalah aku risau."
"Adik mana pula ni? Kau punya adik ada dua orang saja. Sorang dah kahwin. Yang bongsu tu cikgu sekolah menengah. Hari ni hari bekerja. Buat apa dia nak datang Lumut?" Berkerut kening Faleha. Setahunya, Talha memang ada dua orang adik saja.
Talha pandang Faleha sekilas. "Long lost sister."
"Aik? Siapa?" Semakin berkerut kening Faleha. Dia berkawan dengan Talha sejak kecil lagi. Meskipun dia ialah seorang perempuan, dia sebenarnya lebih selesa berkawan dengan lelaki. Tidak banyak kerenah dan tidak menyerabutkan kepala. Apabila dia berpindah ke Perak semasa usianya 15 tahun, dia kerap berhubung dengan Talha. Mereka sama-sama menjadi anggota PDRM. Apabila dia mendapat tahu Talha dipindahkan ke IPD Manjung, dialah orang yang paling gembira sekali menyambut kedatangan Talha.
Sepanjang tempoh itu, tidak pernah langsung Talha bercerita tentang adik perempuan.
"Harith..." Faleha seperti teringatkan sesuatu.
Talha menjongketkan keningnya.
"Jangan kata adik kau tu Neralah, kan? Zinnirah?" telah Faleha.
Talha tarik sengih seolah-olah mengeyakan telahan Faleha itu.
Faleha tertawa tidak percaya.
"Eh, bukan ke masa aku pindah dulu dia pun pindah? Tak silap aku, kau dah lost contact dengan dia, kan? Macam mana kau boleh jumpa?" Faleha bertanya dengan nada teruja. Kerusi beroda ditarik merapati meja Talha.
"Kes dekat Lumut..." Talha berjeda seketika.
Faleha mencelah. "24 Ogos punya kes? Kau punya kes, kan?"
Talha mengangguk. "Yang meninggal tu mak ayah Zinnirah."
Tersandar Faleha pada kerusinya dek terlalu terkejut.
"Allah punya perancangan tu cantik sangat, Faa. Masa aku dapat arahan berpindah tu, entah berapa banyak aku merungut dekat ibu. Tak ada pula aku terfikir yang Zinnirah tengah tunggu kami kat sini. Betullah kan, boleh jadi apa yang kita tak suka tu ialah yang paling baik untuk kita."
Faleha mengangguk perlahan. Dia masih senyap. Fikiran sibuk menerawang memikirkan Zinnirah. Dia pernah berada di tempat Zinnirah. Hilang kedua-dua ibu bapanya serentak. Sudahlah dia merupakan anak tunggal. Kehilangan ibu bapanya itulah yang menyebabkan dia terpaksa berpindah ke Perak untuk menetap dengan keluarga bapa saudaranya.
Wajah Talha diperhati oleh Faleha lalu dia menyoal, "Apa reaksi Nera bila kau bagi tahu fasal mak ayah dia?"
Talha senyap. Pandangannya dilarikan ke bingkai gambar yang terletak di atas mejanya. Wajah ahli keluarganya diteliti satu per satu. Di sudut bingkai gambar tersebut, terselit gambar Zinnirah ketika gadis itu berusia 6 tahun. Gambar yang diambil untuk pendaftaran sekolah rendah gadis itu.
Talha mengukir senyum sinis. "Sedangkan aku, seorang inspektor pun takkan mampu terima berita ibu bapa aku mati dibunuh, Faa."
"Harith!" Kening Faleha berkerut.
"Kau tak bagi tahu dia?" soal Faleha.
Talha menggeleng. "Kau bagi tahu aku, macam mana caranya aku patut bagi tahu dia? Zinnirah, mama dengan abah meninggal bukan sebab mereka bunuh diri, tapi sebab mereka dibunuh."
Senyum sinis terbit pada bibir Talha. "Apa aku nak tunjuk dekat Zinnirah kalau dia tanya siapa yang buat semua tu? Apa aku nak jawab dekat dia kalau dia tanya apa salah mak ayah dia sampaikan mak ayah dia kena bunuh? Kau pun tahu victims can also be guilty. What if they are not innocently killed? What if they are killed because they are someone's enemy? Aku tak nak Zinnirah ada tanggapan yang buruk terhadap mama dan abah dia, Faa. Cukuplah usia kecil dia begitu menyedihkan. Aku tak nak dia susah hati lagi sekarang."
"Tapi Harith, kau biarkan dia fikir yang mak ayah dia bunuh diri." Faleha cuba untuk menyedarkan Talha.
"That is for the better," putus Talha.
"SIAPA lelaki tadi, Nera? Bukan main lagi dia pandang kau." Turun dari motosikal, itulah soalan pertama yang Yahaira hulur kepada Zinnirah. Bukannya dia tidak perasan mata lelaki tadi yang asyik melekat pada Zinnirah. Kalau diikutkan hatinya, ingin sahaja dia hadiahkan penumbuk emas kepada lelaki itu. Anak berdukung dalam tangan pun sempat lagi lelaki itu pandang perempuan lain.
"Tak tahu. Tak berminat nak tanya nama. Lain macam betul mata kau ni. Dari jauh boleh nampak dia pandang aku."
Yahaira tersengih. "Aku teka-teka aje. Tengok kau macam baru lepas bercakap dengan dia. Dia pulak lepas kau berjalan, dia berdiri aje dekat situ tak gerak ke mana-mana. Kepala pun pandang ke arah kita. Aku teka aje yang dia tengah pandang kau. Tak nampak pun muka dia tu. Handsome ke tak pun aku tak tahu."
"Aku tak kenal pun dia. Aku terlanggar dia masa aku tengah call kau. Buah tembikai anak dia terjatuh. Berlari aku cari Pak Akob nak beli buah tembikai baru. Sesak aku tengok budak tu menangis." Zinnirah bercerita dengan nada teruja.
Yahaira ketawa. "Tulah, kau. Dengan budak-budak kau tak nak bergaul. Dukung baby pun kau tak pandai. Aku tak boleh bayang macam mana kau nak jadi mak nanti."
Zinnirah menjeling wajah Yahaira. "Kau tahu tak benda jadi mak ni memang dah nature seorang perempuan? Walaupun dia tak tahu, naluri dia akan tolong dia. Kau rasa orang dulu-dulu tu ada ke orang ajar dia orang macam mana nak membesarkan anak?"
"Banyaklah kau punya nature. Orang dulu-dulu tu belajar daripada haiwan dan pengalaman. Adalah banyak kepincangannya. Kita ni dah ada ilmu yang diturunkan oleh manusia, belajarlah daripada manusia. Sekurang-kurangnya banyak musibah yang dapat kita elakkan." Yahaira membebel sambil melangkah untuk masuk ke dalam rumah sementaranya. Asrama pekerja yang menjadi tempat dia dan Zinnirah tinggal semasa mereka bekerja.
"Musibah apa yang kau mengarutkan ni?" Berkerut kening Zinnirah memandang belakang tubuh Yahaira yang sudah hilang di sebalik dinding. Pantas dia menyusul masuk ke dalam rumah.
"Kau tahu kenapa bayi yang belum boleh duduk elok-elok, apabila kita dukung dia, kita kena berhati-hati dengan pergerakan kepala dia?" tanya Yahaira.
"Tak tahu. Kau ni, mentang-mentanglah anak saudara ada lima orang, kau nak berlagak dengan aku, ya?" Zinnirah mencebik. Langkah diatur mendekati kabinet separas pingang yang di atasnya terletak sebuah jag plastik berisi air masak.
"Saraf tunjang dekat tengkuk baby tu kena jaga. Mak aku cerita, anak jiran dia dulu masa kecil terjatuh masa mak dia dukung sebab kepala baby tu bergerak ke belakang secara mengejut. Mak dia ralit berborak, tak sempat nak react. Sudahnya sampai sekarang ni anak jiran mak aku tu tak boleh buat apa-apa. Tilam ajelah life dia. Nak berjalan pun tak boleh." Sambil bercerita, Yahaira mengambil kotak yang terletak di sebelah tilamnya. Kemudian dia mendekati Zinnirah.
"Kau biar betul?" Zinnirah meneguk air masak dari dalam gelas.
"Betullah. Buat apa aku nak tipu? Cerita tu punyalah seram sampaikan setiap kali aku dukung anak-anak saudara aku, mesti aku terbayang yang bukan-bukan." Yahaira menggelengkan kepalanya. Meremang bulu tengkuknya setiap kali bayangan jahat melintas di ruang mata.
"Nah, ni barang-barang kau." Kotak tersebut diletakkan oleh Yahaira di atas meja bersebelahan dengan kabinet.
Zinnirah mengambil kotak tersebut lalu dibuka. Barang-barangnya diperiksa satu per satu.
"Tapikan Nera..."
Zinnirah pandang wajah Yahaira sekilas. "Apa?"
"Lelaki tadi tu kan, kenapa dia pandang kau macam tu eh? Anak dia pun sama. Budak sekecil tu pun nampak macam dia kenal betul dengan kau. Kau pasti ke kau tak kenal dia orang?" tanya Yahaira.
Zinnirah ketawa. "Apa kau mengarut ni? Obviously aku tak kenal dia orang."
"Yalah, manalah tahu kau ni dah mengalami resurrection ke, kan. Mana tahu dia orang tu kenalan kau dalam kehidupan masa lalu kau?"
Tidak menunggu lama, Zinnirah terus menjentik dahi Yahaira.
"Aduh!" Yahaira menggosok-gosok dahinya. Bisa sungguh jari-jemari Zinnirah.
"Ha, tahu pun sakit! Berapa kali aku nak cakap, kau nak baca Webtoon ke, Manhwa ke, komik ke... Boleh, tak ada masalah. Yang jadi masalahnya bila macam nilah. Aku dah kata kan, akidah orang yang tulis semua tu dengan akidah kita lain. Kau jangan nak sebut-sebut benda macam tu. Kita memang percaya pada kebangkitan semula. Tapi kebangkitan semula kita nanti dekat mahsyar, bukan dekat dunia. Tak adanya kehidupan lalu, kehidupan terkini. Jaga-jaga dengan apa yang kau cakap. Boleh jadi apa yang keluar dari mulut kau tu ialah benda yang kau percaya. Jaga akidah tu. Ingat, benda yang berlaku pada tiga aspek dalam hidup kita ni boleh effect akidah kita. Hati, tutur kata dan perbuatan. Jangan lupa tu," bebel Zinnirah.
"Yalah, yalah. Aku gurau aje, Nera. Bukannya aku percaya pun benda tu. Kau janganlah cakap macam ni. Takut aku tau?" Yahaira menggosok-gosok lengannya. Seram sejuk apabila menghadam bicara Zinnirah itu.
"Lain kali sebelum cakap tu, fikir dulu. Kan orang dulu dah kata, terlajak perahu boleh diundur, terlajak bicara buruk padahnya. Apa-apa benda yang keluar dari mulut kita ni, boleh affect hidup kita dan hidup orang lain. Sebab tu Rasulullah ajar kalau tak ada benda elok nak cakap, baik kau diam aje." Tak sudah-sudah Zinnirah membebel. Kotak sudah ditutup semula setelah dia selesai memeriksa barang-barangnya.
Tersengih-sengih Yahaira memerhatikan sahabatnya itu.
Zinnirah memandang wajah Yahaira. "Kenapa pandang aku macam tu?"
"Kau selalu macam ni, kan?"
"Macam ni macam mana?" tanya Zinnirah. Terpinga-pinga dia cuba untuk memahami maksud Yahaira.
Yahaira menarik tubuh Zinnirah ke dalam pelukannya. Erat dia merangkul tubuh gadis itu. Nafasnya ditarik dalam. Belakang kepala Zinnirah diusap-usap lembut.
"Sedih dan susah kau, jangan simpan sorang-sorang. Kalau kau rindukan mama dengan abah, bagi tahu aku. Aku pun nak rindu dia orang sama-sama dengan kau."
Lembut bicara Yahaira menyisip perlahan ke dalam hati Zinnirah. Matanya bergenang. Pelukan Yahaira dibalas. Juga erat.
"Rindu tu rasanya sakit sangat, kan?" bisik Zinnirah.
Yahaira tersenyum kelat. "Rindu tu anugerah, Zinnirah. Hanya manusia yang berhati nurani boleh merasai rindu."
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro