Bab 12
Bersama langkah yang santai dan bersahaja, Heidry menuruni tangga spiral menuju ke tingkat bawah kafe. Sebuah buku nota leather bersaiz A5 persis sebuah diari terselit di tangannya. Mata dililaukan ke segenap ruang kafe, mencari Farha yang tidak kelihatan sejak pagi tadi. Victoria Sandwich Cake yang dijanjikan pun tidak nampak bayang.
Pelik.
Gadis itu masih lagi tidak kelihatan. Di ruang depan kafe tiada. Di dapur pun tiada. Heidry kerling jam di pergelangan tangan.
Dah pukul 11.30 pagi, takkan Farha tak masuk lagi? desis hati Heidry.
"Kau cari apa? Cari Farha ke?" soal Razi bila dia tengok Heidry mundar-mandir di depannya, dengan mata yang melilau ke setiap sudut kafe, bagaikan mencari sesuatu.
Heidry menoleh ke arah Razi yang berdiri tidak jauh daripadanya. Kepalanya dianggukkan.
"Dia tak masuk kerja hari ni. EL," beritahu Razi.
"Kenapa?"
"Anak dia demam."
Heidry terdiam seketika. Raut wajah seorang budak lelaki yang pernah dia temui beberapa hari yang lalu terlayar di ruang fikiran. Mata Heidry kembali terarah pada Razi.
"Budak tu memang anak dia ke?"
Tanpa sedar, soalan itu terpacul dari bibir Heidry.
"Hah?!"
Razi terpinga-pinga. Blur sekejap bila Heidry tiba-tiba tanya dia macam tu. Tidak menjangkakan soalan itu akan keluar dari bibir Heidry.
Heidry telan liur.
"Maksud aku... Farha tu kan tak kahwin lagi. So, anak dia tu anak angkat ke atau memang anak dia?"
"Oh..."
Panjang oh Razi.
"Hafiy tu anak kembar dialah. Kembar dia meninggal waktu lahirkan Hafiy. So, dia yang jaga dan besarkan Hafiy. Dia dah anggap Hafiy tu macam anak dia sendiri."
"Suami kembar dia mana? Dia tak jaga Hafiy ke?"
"Entah. Yang ini aku tak tahu. Dia tak pernah cerita. Dan aku tak pernah tanya."
Razi pandang Heidry dengan mata yang semakin mengecil. Senyuman nakal terbentuk di hujung bibir.
"Kenapa kau macam interested sangat dengan Farha ni? Lain macam aje aku tengok."
Tawa terhambur di bibir Heidry. Terasa lucu dengan bicara lelaki itu.
"Tanya aje," kata Heidry dengan nada yang bersahaja.
"Ya ke?"
Razi masih tidak berpuas hati.
"Ada satu lagi benda pasal Farha yang aku tak beritahu kau."
Mata Heidry membulat. Rasa ingin tahu mula menghimpit diri.
"Tapi... Aku tak tahu aku perlu bagi tahu kau ke tak? Aku tahu kau takkan suka kalau kau tahu benda ni."
Razi mula tarik tali. Sengaja nak mendera perasaan Heidry.
"Habis tu, kau ingat aku suka ke bila kau buat aku macam ni?"
Tawa terlepas dari bibir Razi.
"Kau nak bagi tahu aku ke tak ni?"
Razi tayang sengih dan menggelengkan kepalanya.
Heidry mendengus.
"Dahlah... Aku nak keluar jumpa supplier."
"Janganlah marah... Nanti-nanti kau akan tahu juga!" kata Razi separuh menjerit kepada Heidry yang sudah berjalan menjauh.
MALAM tadi Hafiy meracau-racau dalam tidur dan suhu badannya tiba-tiba sahaja naik. Farha terus membawa anaknya ke klinik. Bimbang. Sebab Hafiy jarang sakit, jarang demam. Masa tu Farha dah tak fikir apa. Selamba aje dia ambil kunci kereta ayahnya dan pergi ke klinik dua puluh empat jam tanpa mengejutkan kedua-dua ibu bapanya yang sudah lena. Tidak mahu mengganggu. Bila doktor beritahu Hafiy hanya demam biasa, baru Farha boleh hela nafas lega.
Namun, ada perkara lain yang membuatkan dia risau. Kata-kata yang dituturkan Hafiy sewaktu anaknya itu meracau malam tadi masih terngiang-ngiang di telinga. Malah, selepas anaknya itu terjaga pun, Hafiy masih bercakap pasal hal yang sama. Siap dengan pakej linangan air mata. Luluh hati Farha melihat tangisan anaknya.
"Hafiy mimpi Hafiy jumpa papa."
Sungguh, Farha terkejut. Hatinya bagaikan direntap. Tergamam. Terkesima. Selama ini, Hafiy tidak pernah sebut, tidak pernah bertanya pasal papa dia. Seolah-olah faham yang Farha tiada jawapan untuk setiap soalan tentang papanya. Tapi malam tadi... Tiba-tiba sahaja Hafiy berbicara tentang papanya.
"Papa peluk Hafiy. Cium Hafiy banyak kali. Papa menangis."
Oh, Tuhan. Hati Farha terasa pedih. Bagaikan disiat-siat. Dia tak mampu nak pandang wajah sedih Hafiy ketika itu.
Pertemuan dengan lelaki bersut di kediaman rumah Erin kembali terlayar di ruang minda. Terimbau momen lelaki bersut itu menolong Hafiy membukakan bungkusan lolipop.
Farha mengetap bibir. Perlahan. Pandangan mata dihalakan ke wajah polos Hafiy yang baru sahaja lena di sebelahnya.
Kalaulah Hafiy tahu lelaki itu papanya, desis Farha dalam hati.
Oh, Tuhan. Apa yang harus aku lakukan?
Farha buntu. Dia tak tahu apa yang harus dia lakukan. Perlukah dia mencari lelaki itu demi Hafiy? Demi kebahagiaan Hafiy. Tapi kalau lelaki itu sendiri tidak hiraukan kewujudan Hafiy, untuk apa dia terhegeh-hegeh? Nampak muka dia yang seiras macam Yaya pun, lelaki itu buat tak tahu sahaja. Seolah-olah wajah ini cukup asing buat lelaki itu.
Ya. Farha tahu dia dengan lelaki itu saling tidak mengenali. Mereka tidak pernah bertemu. Tidak pernah berbicara. Tapi Farha dan Yaya mempunyai rupa paras yang sama. Bukankah sepatutnya lelaki itu terkejut melihatnya di dalam lif tempoh hari? Takkanlah lelaki itu tak terkesan melihatnya? Atau lelaki itu dah buang segala memori tentang Yaya seperti mana dia buang Yaya?
Kejamnya.
Sudahlah dia dan Yaya kahwin senyap-senyap masa mereka masih belajar di London. Lepas tu tak sampai lima bulan, dia tinggalkan Yaya yang sedang berbadan dua. Kembarnya terpaksa tangguhkan pengajiannya dan pulang ke Malaysia kerana kandungannya yang semakin membesar.
Semua orang terkejut bila Yaya tiba-tiba muncul di depan pintu dengan perut yang berisi. Ayah dan ibu Farha sangat kecewa dan terkilan dengan apa yang Yaya buat. Lebih-lebih lagi bila Yaya ditinggalkan dalam keadaan berbadan dua. Rumah mereka diselubungi dengan kesedihan berhari-hari lamanya.
Farha masa tu tak tahu nak buat apa. Dia pun masih dalam fasa terkejut. Tapi dia tahu Yaya perlukan dia walaupun kembarnya itu selalu berpura-pura kuat. Dia tahu masa tu Yaya hanya ada dia bila Encik Nordin dan Puan Salwa melancarkan perang dingin dengan Yaya. Farha yang sentiasa ada di sisi Yaya. Sehingga ke nafas terakhir gadis itu.
Air mata yang mengalir di luar sedar segera diseka. Kenangan pahit itu cuba diusir dari minda. Hatinya terlalu pilu setiap kali teringatkan penderitaan adiknya.
"Kenapa duduk dalam bilik aje ni, Faa? Kita kan ada tetamu kat luar," tegur Puan Salwa yang tiba-tiba muncul di dalam bilik.
"Faa jaga Hafiylah, ibu," balas Farha bersahaja.
Farha ambil cuti hari ini bukan sebab patuh pada arahan ayahnya. Dia ambil cuti sebab Hafiy. Dan sekarang ni dia nak jaga Hafiy. Tidak mahu berenggang daripada anaknya itu.
"Budak tu tengah tidur. Faa pergi teman Zaid kat luar. Dia duduk sorang-sorang aje tu."
Farha mula buat muka tak puas hati. Belum sempat dia nak membantah, Puan Salwa dah menjegilkan matanya.
"Jangan nak buat perangai. Pergi keluar."
Terbit keluhan di bibir Farha. Nak tak nak, dia terpaksa bangkit dari katil dan bersiap-siap untuk bertemu dengan tetamu yang tak diundang. Tak diundang olehnya tetapi diundang oleh kedua-dua ibu bapanya.
LANGKAH disusun menghampiri Zaid yang sedang mengambil angin di laman rumah. Bibir mengukir senyum saat mata mereka bertemu pandang.
"Buat apa sorang-sorang kat luar ni?" tanya Farha sekadar berbasa-basi. Punggungnya dilabuhkan bersebelahan dengan lelaki itu. Dalam jarak yang selamat. Tidak terlalu dekat. Tidak terlalu jauh.
"Tak buat apa. Saja duduk. Tak ada siapa nak temankan abang."
Farha senyum tawar. Tekaknya dibersihkan.
"Faa tidurkan Hafiy."
"Dia dah tidur ke?"
Kepala Farha mengangguk perlahan.
"Oh... Dapatlah abang berbual lama dengan Faa," kata Zaid dengan nada berseloroh.
Entah kenapa, Farha berasa kurang senang dengan bicara Zaid. Pandangan matanya dilarikan ke tempat lain.
"Badan Hafiy panas lagi ke?"
"Dah kurang sikit," balas Farha datar.
Suasana bertukar sepi. Farha diam membisu. Tak tahu topik apa yang boleh dibualkan dengan lelaki di sebelahnya. Kekok. Janggal.
"Ayah dengan ibu Faa ada cakap apa-apa tak?" soal Zaid dengan nada yang sedikit serius.
Farha tersentak. Liur yang ditelan terasa kesat.
"Cakap pasal apa?" tanya Farha. Pura-pura naif.
"Pasal kita."
Farha ketap bibir. Pandangan matanya terus dilarikan ke tempat lain. Lambat-lambat kepalanya dianggukkan.
"So, macam mana? Faa setuju?"
Farha membisu. Lama.
"Abang serius nak jadikan Faa isteri abang."
Hati Farha bagaikan dihempap satu bebanan yang cukup berat. Dia tak tahu macam mana nak tolak lamaran Zaid. Mindanya cuba mencari-cari ayat yang sesuai untuk dituturkan.
"Faa..."
"Atau Faa dah ada boyfriend?" soal Zaid, memotong bicara Farha.
Farha pandang Zaid. Lelaki itu melirikkan matanya ke satu arah dan Farha ikut melirik ke arah yang sama. Matanya membulat. Terus dia berdiri.
"Assalamualaikum," ucap seorang lelaki yang sedang berdiri di depan pintu pagar rumahnya.
"Waalaikumussalam," jawab Farha seraya berjalan menghampiri pagar.
"Awak buat apa kat sini?" tanya gadis itu. Sedikit terkejut melihat Heidry terpacak kat depan rumah dia. Tapi dalam masa yang sama bersyukur sebab Heidry telah selamatkan dia daripada menjawab soalan Zaid.
"Jumpa awak."
Mata Farha membulat.
"Jumpa saya? Kenapa?"
"Sebab awak lupa janji awak dekat saya."
Farha terlopong. Mulutnya membentuk huruf O. Biar betul Heidry cari dia sampai ke rumah semata-mata sebab janji semalam?
Heidry tertawa halus.
"Taklah. Saya gurau."
Heidry buka pintu keretanya. Sebuah diari dicapai dan diserahkan kepada Farha.
"Nah! Awak tertinggal dalam kereta semalam."
Mata Farha membulat. Pandangan matanya terpaku ke arah diari di tangan Heidry. Itu diari Yaya yang diambil dari bilik kembarnya semalam. Macam mana diari tu boleh tertinggal dalam kereta Heidry? Bukankah diari itu disimpan di dalam beg tangannya? Mungkin gadis itu tak perasan diari itu terjatuh dari beg tangannya. Perlahan-lahan Farha ambil dairi itu dari tangan Heidry.
"Hmmm... Diari tu mungkin terlalu personal untuk awak. So, saya rasa macam tak sedap kalau saya simpan lama-lama."
Heidry pandang Farha. Cuba baca riak wajah gadis itu.
"Jangan risau. Saya tak buka diari awak."
Cepat-cepat Heidry beritahu. Takut Farha salah faham dan fikir yang bukan-bukan tentang dia.
"Errr... Tapi saya ada selak muka surat depan. Sebab saya ingat tu buku Dhani," kata Heidry. Jujur.
Farha pandang Heidry.
"Habis tu, macam mana awak tahu diari ni saya punya?"
"Ada gambar awak dekat muka surat pertama. Gambar polaroid."
Farha terus selak diari tersebut. Satu raut wajah persis sepertinya menyapa pandangan mata. Sebuah senyuman tersungging di bibir gadis itu.
"Ini diari kembar saya. Bukan diari saya. Dan gambar yang awak tengok tu, gambar kembar saya," beritahu Farha.
Mata Heidry membulat.
"Kembar awak?"
Farha mengangguk-anggukkan kepalanya.
"Muka dia sama macam awak."
"Dah nama pun kembar," kata Farha bersama senyuman nipis.
Heidry tergelak kecil.
"Saya tak dapat bezakan muka awak dengan kembar awak."
"Kalau awak kenal kami lebih lama, mungkin awak boleh bezakan."
Farha membersihkan tekak yang terasa kesat.
"Anyway... Thanks. Buat susah awak aje datang sini untuk hantar benda ni."
Heidry melakarkan senyuman nipis. Kepalanya digeleng perlahan.
"Tak susah pun. Rumah awak bukannya jauh mana."
"Tapi yalah... Awak datang sini semata-mata untuk bagi saya benda ni. Saya rasa macam dah menyusahkan awak."
"It's okay. Sekurang-kurangnya saya dapat jumpa awak."
Farha terlopong. Matanya tidak berkelip memandang Heidry.
Apa yang baru aku dengar ni? Eh, jangan nak fikir jauhlah, Faa. Dia tak maksudkan apa-apa pun. Sila kawal sikit perasaan tu.
Farha tayang sengih. Cuba berlagak biasa.
"Oh, ya... Sekejap. Saya hampir lupa," kata Heidry.
Lelaki itu kembali membuka pintu kereta dan kali ini lelaki itu membawa keluar sesuatu dalam beg plastik putih.
"Ini untuk Hafiy. Razi cakap dia demam. So, saya belikan Kool Fever untuk dia," kata Heidry seraya menghulurkan bungkusan beg plastik itu kepada Farha.
Oh.
Em.
Gee.
Kenapa dia baik sangat? Kenapa dia prihatin sangat? Kenapa dia boyfriend husband material sangat? Dia datang jumpa aku semata-mata nak pulangkan diari Yaya dan bagi Kool Fever untuk Hafiy. Satu rasa aneh mula menyelinap dalam diri Farha.
Senyuman terbentuk di bibir Farha. Terharu. Huluran plastik di tangan Heidry dicapai.
"Thank you, Heidry. Thank you so much," tutur Farha seikhlas hatinya.
Heidry senyum nipis. Kedua-dua tangannya diseluk ke dalam poket seluar jean.
"So... Hafiy macam mana? Badan dia masih panas lagi ke?"
"Dah kurang sikit. Alhamdulillah."
"Hmmm, okeylah. Saya pergi dulu. Awak pun ada tetamu. Daripada tadi dia asyik pandang sini."
Farha tersentak. Saat itu baru dia teringat Zaid yang turut berada di luar rumah. Sungguh, dia sudah lupa akan lelaki itu. Teruknya kau Faa, kutuk gadis itu dalam hati.
"Boyfriend awak, eh?" bisik Heidry dengan nada nakal.
Laju Farha menggelengkan kepalanya. Menafikan.
"Taklah. Itu anak kawan ayah saya."
Heidry senyum segaris dan mula menghilangkan diri ke dalam kereta.
"Bye!" ucap Heidry dari dalam kereta sebelum memandu pergi.
Farha sekadar memandang kereta Heidry yang semakin menjauh dari laman rumahnya. Lambat-lambat Farha membuka langkah.
"So... Itu boyfriend Faa?" soal Zaid tanpa sebarang riak.
Farha pandang Zaid. Dan tanpa dia sedar, kepalanya mengangguk. Mengeyakan soalan Zaid.
"Okey. Abang faham. Abang takkan paksa Faa."
Farha ketap bibir. Bila dia tak tahu nak cakap apa lagi, dia terus masuk ke dalam rumah. Melarikan diri ke dalam bilik.
Ya Allah, apa yang aku baru buat? Kenapa aku angguk masa Zaid tanya pasal Heidry?
Gadis itu melepaskan nafas berat. Wajahnya diraup.
Eh tapi... Bukankah selepas ini Zaid akan mengundur diri dan tak akan mengganggunya dengan isu kahwin lagi? Bukankah ini satu berita gembira buat dia?
"Kalau Heidry tahu macam mana? Kalau perasaan crush aku pada Heidry terbongkar macam mana?" soal gadis itu pada diri sendiri dengan nada yang cukup perlahan.
"Argh! Lantaklah. Asalkan aku boleh lari daripada kena kahwin dengan Abang Zaid."
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro