Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 7

Pap! Satu tepukan singgah di bahu Harraz. Dia mendongak.

"Haaa... Termenung! Nah." Syafiq menghulurkan satu tin minuman Sarsi kepada teman serumahnya. Lelaki itu ketawa.

"Kenapa tak tidur lagi? Tadi apa cerita?" soal Syafiq bersahaja.

Harraz hela nafas. Syafiq satu-satunya sahabat yang tahu segala kisah. Dia juga antara doktor yang bertugas di bilik pembedahan sewaktu Hana kemalangan gara-gara dirinya yang terlanggar perempuan itu dalam keadaan hujan yang sangat lebat. Dia bangkit menuju ke jendela.

"Hana," jawabnya sepatah. Terus Syafiq berkerut. Dia bangun menghampiri Harraz seraya meneguk tin minuman. Seakan faham masalah yang membelit fikiran Harraz.

"Oh! Apa cerita kes petang tadi? Kau dah terus terang ke dengan Hana?"

Dua soalan itu dijawab dengan sekilas gelengan daripada Harraz.

"Petang tadi dia sendiri yang merayau. Hana kata dia pergi cari kerja. Entahlah. Aku rasa penatlah terus-terusan macam ni. Boleh jadi gila aku dibuatnya." Dia meneguk lagi. Banyaknya kereta yang lalu-lalang di bawah. Walau sudah hampir sepertiga malam, jalan raya masih sibuk. Mengacau-bilaukan lagi minda Harraz. Dia meraup wajah dengan telapak tangannya yang basah dek sisa sejuk yang berpeluh pada tin minuman tadi.

"Oh!" Syafiq angguk.

"Kau rasa aku ni bodoh ke?" Sungguh! Harraz buntu dia sudah tak tahu apa yang harus dia tanyakan lagi. Syafiq menepuk bahunya. Sejak di awal kisah dia mengerti perasaan Harraz. Kerana dia juga hampir-hampir terjebak dalam kes ini. Atas alasan Syafiq juga antara doktor yang bertugas merawat Hana pada asalnya sebelum diberikan kepada Harraz.

"Aku faham. Kau tak bodoh, Raz. Kalau akulah ada di tempat kau, mungkin aku akan rasa benda yang sama. Tapi kau kena ingat, kau tak boleh main sergah aje. Hana tu belum sembuh. Aku tengok dia pun... Kadang-kadang aku kesian juga. Dia tak tahu apa-apa."

Harraz hela nafas berat.

"Bukan selamanya Hana akan hilang ingatan. Lambat-laun dia akan ingat segala-galanya. Waktu tu mungkin Hana juga terasa diperbodohkan oleh orang-orang sekelilingnya. Aku tahu kesalahan aku kat dia besar. Bukan kesalahan aku langgar dia tapi kesalahan sebab aku dah banyak tipu dia. Aku tak rasa dia akan maafkan aku." Gusar suaranya jelas terpancar. Sepasang anak matanya tekun merenung langit gelap.

"Macam mana aku nak hentikan semua ni? Kalau boleh, aku tak nak terlalu rapat dengan dia. Realitinya aku ni orang baru bagi Hana. Tapi... Mati-mati dia anggap aku kenalan lama dia. Sedangkan aku ni bukan siapa-siapa."

"Sumpah aku cakap aku makin nak gila ikut perintah umi Si Hana tu. Boleh sewel kepala aku kalau macam ni, weh. Aku rasa aku patut cakaplah yang aku nak berhenti daripada semua ni. Apa nak jadi, jadilah. Aku kena ambil langkah untuk berjauhan dengan anak dia."

"Boleh ke kau berjauhan dengan perempuan tu? Macam aku tak tahu yang kau sebenarnya simpan perasaan pada dia, kan?"

Harraz tersentak. Huh? Reaksinya membuatkan Syafiq ketawa.

"Raz, aku yakin yang kau takkan berjauhan dengan dia. Aku boleh nampak semuanya. Sampai bila kau nak pendam hati tu?" Syafiq menghentikan ayatnya. Dia segera mengalih perhatian. Harraz menjongket sepasang keningnya.

"Kenapa? Memang eloklah aku pendam."

Syafiq gigit bawah bibir.

"Aku rasa Hana anggap kau lebih dari seorang kawan," responsnya ringkas. Jururawat di hospital pun ada yang mengatakan mereka berdua seperti kekasih.

"Jangan merepeklah, Syafiq. Aku dah janji kat orang tua dia yang aku takkan jatuh cinta dengan Hana. Aku ni kaki penipu! Huh." Kusut fikirannya begitu menambahkan keyakinan dalam hati Syafiq bahawa Harraz tiada pilihan lain.

Harraz membuka pintu gelongsor dan melangkah keluar ke balkoni.

"Eh! Kau tak boleh macam ni, Raz. Perkara ni bukan kesalahan kau seratus peratus. Kau tak boleh letakkan diri kau macam kau punca segalanya. Kau nak tolong Puan Ashikin. Tu aje. Untuk kebaikan..."

"Untuk kebaikan dia orang sekeluarga tapi apa kebaikannya untuk aku?" Harraz memotong kata-kata Syafiq. Tangannya merenyukkan tin yang sudah kosong. Isy! Mengapa dia boleh terpaut hati pada Hana, mangsanya sendiri? Gila!

"Aku tak boleh buat dia sukakan aku. Kalau Hana pernah kata yang aku dan dia cuma berkawan, jadi aku akan layan dia seperti kawan. Walau dalam hati aku ada taman," tegas Harraz. Mampukah dia? Syafiq geleng sahaja. Dia tahu sahabatnya itu takkan terdaya.

"Masalahnya Hana tu memang sukakan kau. Mungkin dia nak tunggu aje luahan daripada kau."

"Tunggu luahan daripada aku? Huh!" Harraz menafikan.

"Aku takkan luahkan sampai bila-bila. Tak wajib pun luahkan kata cinta tu. Aku ni ada maruah juga. Aku akan simpan rasa ni sampai dia tahu siapa aku. Lepas tu biarlah dia nilai sendiri aku ni jenis manusia yang macam mana." Tin kosong tadi lantas dia campak jauh ke luar. Matanya menengadah langit.

"Kau ni, Raz! Mencemarkan alam sekitar betullah!" sakat Syafiq.

"Habis tu? Okey, andai kata Hana luahkan perasaan dia, apa kau akan buat?" Syafiq bertanya pula apabila gurauannya tidak bersambut.

Harraz jongket bahu. Entahlah! Dia sendiri pun tak tahu.

"Aku tak rasa dia akan luahkan. Sampai masa, aku akan tinggalkan dia. Dia pun akan tinggalkan aku. Aku kena renggangkan hubungan aku. Aku lagi rela tengok dia bercinta dengan orang lain. Aku harap sangat ada seorang lelaki yang pikat dia."

Syafiq hembuskan nafas.

"Isy, mabuk ke kau ni? Sampai ke situ pula. Acah-acah aje ayat kau ni, kan? Nak sangat ke tengok Si Hana tu terpikat dengan orang lain? Jadi betul-betul termakan sumpah kau baru tahu. Nanti kau pula yang cemburu. Ni Raz, mak ayah kau tahu pasal ni?" Harraz laju menggeleng. Perlu ke orang tuanya tahu? Sedangkan dia seperti anak yang tak dihiraukan. Orang tuanya di Brunei. Tapi... Perasaan rindu terhadap ibunya di sana tak dapat dia nafikan.

"Tak. Benda ni tak ada kaitanlah dengan mak ayah aku. Kau dah kenapa?"

Syafiq mula simpati terhadap Harraz. Begitu banyak ujian hidup lelaki itu. Mujur Syafiq ada pada setiap waktu Harraz memerlukan pertolongan.

"Aku hanya boleh cakap aje, Raz. Susah bila kita jatuh cinta dengan seseorang dalam situasi yang menghimpit kita. Macam kau dengan Hana. Mulut kau menolak tapi hati kau tak boleh tolak. Aku harap andai kata satu hari nanti kau nak tinggalkan dia, biarlah secara baik. Macam aku kata tadi, dia tak tahu apa-apa," jelas Syafiq. Tangannya memaut bahu sahabatnya.

Syafiq menggaru kening. Ada satu perkara yang belum selesai untuk dia jujurkan kepada Harraz. Khuatir akan gerak balas yang terpamit dari bibir sahabatnya. Dia menghitung dua tiga kali.

"Errr... Raz."

"Kenapa?"

"Siang tadi masa kau ke rumah Hana, mak kau ada telefon aku."

Harraz ketawa sinis. Memang sengaja dia enggan menjawab panggilan daripada Puan Bashira.

"Oh! Apa dia nak?"

"Dia tanya bila kau nak ke Brunei? Kawan kau Emilia akan balik Malaysia katanya." Perlahan nadanya menyebut nama gadis itu. Harraz mengecilkan sepasang matanya. Emi... Emilia? Macam mana dia boleh terlupa tentang perempuan itu. Jantungnya pantas mengepam darah. Dia telan liur. Kekasih lamanya...

"Buat apa dia datang sini? Alah, susahlah macam ni," dalih Harraz.

Syafiq menggeleng.

"Aik? Raz, Emi tu kan cinta pertama kau. Dah lupa, eh? Emi akan kerja dengan kita."

Allah! Harraz tertunduk. Aduh! Lelaki itu tepuk dahi. Serius?

"Buat apa dia nak datang sini? Dah tak ada tempat lain lagi ke?" Seakan-akan kurang percaya Emilia juga bakal menjadi seorang doktor. Fantasi atau realiti? Angan-angan atau sekadar mimpi?

"Sabar, Raz. Biarlah dia nak kerja kat mana-mana pun. Hospital tu pun bukannya kau punya," seloroh Syafiq sembari meletuskan tawa.

"Emi tahu tak yang dalam hati kau dah ada orang lain?"

"Aku..." Lelaki itu telan liur.

"Memang aku pernah sayangkan dia dan aku yang tinggalkan dia macam tu aje sebab..." Ah! Syafiq tak boleh tahu.

Haih! Macam-macam. Emilia! Kenalannya yang dahulunya buas dan liar. Sering bergelumang dengan dosa dan noda. Harrazlah yang selalu ambil berat soal Emilia sehingga gadis itu tersalah anggap.

Sehingga suatu insiden berlaku di mana mereka berdua difitnah berkhalwat. Emilia menuduh Harraz meragut maruahnya sewaktu dia tak sedarkan diri.

Selepas peristiwa itu terjadi, Harraz mengambil keputusan berpindah ke Malaysia tanpa pengetahuan sesiapa. Pada hari pertama dia bekerja di situlah dia berkenalan dengan Syafiq. Syafiq mengajak Harraz untuk tinggal serumah memandangkan rumah yang disewa itu pun masih perlukan penghuni lain.

Lima tahun mereka tidak berjumpa. Akhirnya, Emilia sekali lagi hadir sebagai seorang Muslimah sejati. Harraz bagaikan sebuah tunggul mati. Hana, Emilia... Huh! Harraz berundur meninggalkan Syafiq keseorangan di situ. Bingung!

"MANA Hana?" Leka Yusnita mengemaskan tudung di kepala di hadapan cermin. Dari tadi tak nampak adiknya.

"Pergi kerja. Dia dapat kerja kat KLCC. Katanya di kedai jam."

"Umi bagi pula Si Hana tu pergi kerja?"

"Sebenarnya umi memang tak nak bagi. Tapi, yalah kalau dah larang pun, dia tetap buat juga. Harap-harap dia tak apa-apa. Ayah kau mana?" tanya Puan Ashikin. Majalah dan surat khabar yang bertaburan di atas meja, dikumpulkan lalu disusun semula di rak.

"Ayah ada kat atas. Kejap lagi turunlah."

Wanita itu terhenti sejenak. Saban hari bayangan Harraz tergawang-gawang dalam fikiran. Entahlah, hatinya tiba-tiba berasa tidak enak. Andai kata Harraz tu jadi menantunya, pasti dia akan menyuruh lelaki itu menemani Hana selalu. Baru padan muka Rizal!

"Ita..."

Yusnita telan liur. Dia masih diam.

"Apa pendapat kau kalau umi satukan Harraz dengan Hana?"

Semerta Yusnita menggeleng. Tak setuju. Sebolehnya apapun tindakan lepas ni, biarlah adil.

"Umi cakap apa ni?"

Puan Ashikin menghenyakkan punggung di atas sofa.

"Umi nak Harraz ada di samping Hana sentiasa. Umi tak mahu Hana diganggu. Umi tak sedap hati. Macam ada sesuatu aje yang akan terjadi kat tempat Hana kerja tu nanti." Firasat seorang ibu sentiasa risaukan anaknya.

Yusnita memeluk tubuh.

"Umi, apa yang kita dah buat ni pun cukup menyeksakan Harraz. Apatah lagi nak suruh dia kahwin dengan Hana. Umi pasti ke yang kali ni dia akan ikut cakap umi? Kenapa umi bersungguh-sungguh sangat nak Hana bersama Harraz?"

"Maksud kau?"

"Kita kena fikirkan perasaan Harraz juga. Bukan ke umi dulu yang pernah pesan kat dia supaya jangan jatuh cinta kat Hana? Sebab umi tak nak anak umi disakiti lagi. Jujur Ita cakap, Ita kesiankan Harraz. Kesalahan dia tu satu kesalahan yang sepatutnya boleh diampunkan. Disebabkan dia nak kata ampun dari umi, dia ikut cakap umi. Daripada seorang yang jujur terpaksa jadi seorang penipu. Ita tahu sampai sekarang Harraz rasa bersalah. Tapi untuk kahwinkan dia orang tu bukan satu tindakan yang bijak." Ketegasan Yusnita benar-benar membuatkan Puan Ashikin terpaku. Gelisah. Dialah punca yang menyebabkan Harraz turut rasa berdosa.

Yusnita hela nafas berat.

"Cukuplah umi, kita dah buat dia macam boneka. Ita harap umi hormat perasaan Harraz lepas ni. Selama mana kita bohong, suatu hari Hana akan tahu juga pokok pangkalnya. Itu yang Harraz risaukan, umi. Dapat bayangkan tak kalau dia orang kahwin juga?" Tekan Yusnita berpihak pada Harraz.

"Harraz tu pun ada hidup dia juga, umi. Bukannya kuasa kita nak kawal dia. Kita tak ada hak tau? Rizal memang dah malukan kita sekeluarga. Dia tinggalkan Hana sewaktu hari pernikahan. Dia biarkan keluarga kita tanggung malu. Ita tahu masa tu Hana sangat-sangat kecewa dan menderita. Tapi tolong umi, jangan buat Harraz macam tu."

Puan Ashikin terdiam. Ya Allah! Kenapa selama ini dia tak pernah hiraukan perasaan Harraz? Sepasang kelopak matanya dipejam. Terbukti apa yang dia lakukan segalanya bersimpuh pada ugutan nafsu semata!

"Kita tak tahu isi hati masing-masing. Mungkin dalam hati Harraz dah ada orang lain. Kita aje yang tak tahu dan dia pun tak berani nak mengaku sebab takut dengan umi kut. Ita tak nak umi desak dia."

Ya, Hana nampak bahagia di samping Harraz. Namun di sebalik keceriaan wajah lelaki itu belum tentu batinnya ikut ceria. Sesiapa sahaja boleh bermuka palsu tapi perasaan? Jika ditakdirkan Harraz berjodoh dengan wanita lain, mereka tiada hak untuk menggesa. Kerana lelaki itu tetap mengehadkan hubungan antara dia dan Hana. Itu yang termaktub dalam janji Harraz terhadap mereka semua.

Yusnita merenung tepat ke dalam anak mata uminya. Berharap Puan Ashikin terima apa yang dia tegaskan tadi.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro