Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 6

Langkahnya semakin perlahan tatkala matanya melihat kereta Toyota Corolla terpakir di depan rumahnya. Tak lain tak bukan itu kereta Harraz. Rasa bersalah pula. Siap sedialah kena hambur dengan Puan Ashikin. Sudahlah keluar tanpa izin. SMS dan panggilan lelaki itu pun dia tidak jawab. Sampai ke rumah hampir jam enam tiga puluh minit petang. Tak tahu pula ada masalah dengan pengangkutan semasa pulang tadi. Hana tarik nafas sebelum memberi salam. Punat loceng ditekan. Automatik pintu pagar terbuka.

"Assalamualaikum." Dia memberi salam. Degupan jantungnya deras dan terasa bergoncang-goncang. Hana telan liur. Belum sempat dia mengetuk daun pintu...

"Waalaikumussalam. Hana, kau pergi mana?" soal Yusnita khuatir. Tubuh adiknya dipandang dari atas ke bawah. Ya, adiknya itu semakin keras kepala. Makin dilarang makin dia buat.

"Ha... Hana..."

"Ha! Balik pun," celah Puan Ashikin sambil bercekak pinggang. Mukanya merah menahan marah. Hana tunduk. Rasa bersalah. Perlahan-lahan dia melangkah masuk. Sedikit terkejut apabila tubuh seorang lelaki sedang duduk di atas sofa membelakangkan dirinya.

"Kan umi dah cakap, kalau nak keluar beritahu umi dulu! Dahlah keluar sorang-sorang. Harraz pun tak teman!" tambah ibunya lagi. Lama dia pendam sabar.

"Sorry, umi. Hana tak sengaja."

"Tak sengaja?! Kau pergi mana, hah? Orang telefon berkali-kali tak jawab. Seharian kau buat umi risau. Karang kena culik, kena ragut siapa yang susah?"

Hana geleng. Ke situ pula perginya! Alahai, dia bukan budak kecil yang tak pandai jaga diri.

"Umi, Hana retilah jaga diri. Umi tak payahlah kalut sangat."

"Mana umi tak kalut? Kau tu baru aje..." Ayatnya tergantung. Takkan dia mahu melancangkan lagi lidahnya untuk menyambung kata? Puan Ashikin jeling Harraz yang juga membalas renungannya.

Hana mendekati Harraz yang diam sejak tadi. Anak tekaknya terasa kelat. Dia seperti dapat mengagak pasti lelaki itu turut dimarahi ibunya. Huh! Harraz merengus. Sikap Hana memang menyakitkan hati. Yang lebih parah, lelaki itu kerap jadi mangsa. Kadang-kadang dia sungguh penat. Apa-apa kejadian, Puan Ashikin selalu cari Harraz. Terganggu kerjanya di hospital.

Kalaulah aku tak terlanggar minah ni dulu, mesti sekarang ni aku dah bersenang-lenang. Harraz berdehem. Sekarang, dia terpaksa akur dengan setiap satu perintah Puan Ashikin. Urmmm... Silapnya sendiri kerana pernah berjanji untuk terus setia tak kira apa jua. Harraz tarik nafas. Sakit batinnya memendam perasaan sendiri. Seksa!

Jika cintanya dibalas Hana sekarang, tak mungkin perkara yang sama akan berlaku pada masa hadapan. Barangkali rasa kasih Hana boleh bertukar jadi kebencian. Kan?

"Awak..." tegur Hana. Harraz mendongak. Ada senyuman nipis di bibir Harraz. Dia meraup muka.

"Awak dah balik?" tanyanya bernada tawar. Harraz bangkit mahu pulang. Penangan bebelan Puan Ashikin memang menguji emosi.

"Saya minta diri dulu, mak cik. Assalamualaikum." Harraz menyeluk kocek seluar mengeluarkan gugusan kunci kereta. Hana berkerut. Dia mengejar langkah lelaki itu. Puan Ashikin dan Yusnita saling berpandangan dan membiarkan sahaja Hana dan Harraz berurusan di luar.

"Harraz!" panggil Hana sambil menyarung selipar. Laju Hana mengejar lelaki itu.

"Harraz!" Seruannya masih tak diendahkan. Dia tarik sedikit baju kemeja di tubuh lelaki tegap itu. Hana beranikan diri bertentang mata dengan Harraz. Harraz membalas dengan renungan yang bersahaja.

"Awak nak apa?"

"Awak marah?" Soalan berganti soalan. Hana gigit bawah bibir.

Harraz ketawa sinis. Dah tahu lagi mahu tanya!

"Bukan setakat marah, tapi saya geram dengan awak. Hana oiii, saya rasa dah berjuta kali umi awak ingatkan awak. Nak pergi mana-mana tolong beritahu dulu. Lepas tu saya telefon awak tak angkat. Alih-alih umi awak cari saya tahu?" Dia garu kening. Hana diam membatu. Burung-burung di dahan mengintai perbalahan mereka berdua.

"Kerja saya kat hospital berlambak lagi. Pesakit saya bukan awak seorang aje. Macam mana saya nak buat kerja kalau asyik terganggu? Kalau awak nak merayau sekalipun, tunggulah saya lapang. Saya boleh bawa awak pergi mana-mana tempat yang awak nak!"

Macam mana kalau awak terjumpa orang jahat? Tak ke menempah satu masalah lagi? Haih! Kacaulah, sambung Harraz dalam hati. Harraz mendongak merenung dedaun yang gugur dari pohon. Wajah Hana dikerling sekilas.

"Tapi saya bukan budak-budak lagi. Apa pasal semua orang buat saya ni macam budak kecil?" Kadang-kadang dia meluat akan segala-galanya.

Harraz pandang tepat wajah sayu Hana. Ya Allah! Betapa dia mendambakan segunung harapan meminta supaya diputarkan kembali masa lalu.

"Sebab saya pun macam umi awak. Saya risau! Awak tahu tak Hana, saya ni penat? Saya banyak kerja. Awak tu belum sembuh sepenuhnya. Awak jangan cakap ikut sedap mulut awak aje." Tanda-tanda mahu marah jelas kelihatan.

"Saya cari kerja tadi. Apa yang nak dirisaukan? Saya bukannya orang buta yang nak kena dipimpin selalu. Kalau awak rasa saya menyusahkan, awak tak payah sibuk urusan saya. Kita buat hal masing-masing. Lagipun, saya memang terasa hidup saya ni dikongkong. Itu tak boleh, ini tak boleh. Meluat."

Harraz angkat sebelah kening.

"Cari kerja?"

"Haah! Saya rasa eloklah saya cari kerja. Daripada ganggu awak aje. Itu yang awak nak, kan? Huh! Berbaloilah rasa penat hari ni, saya pun dah diterima kerja dan minggu depan saya boleh mula." Lengan bajunya ditarik sedikit. Meredakan panas. Harraz berkerut. Matanya mengecil melihat garisan luka di tangan Hana.

"Tangan awak tu dah kenapa?"

"Tak ada apa. Tak sakit pun. Sibuk aje." Lekas dia menutup semula bekas lukanya.

"Awak jatuh?"

"Tak. Mana ada saya jatuh."

"Bak sini saya tengok luka tu."

"Tak apa. Sikit aje. Awak ingat saya ni lembik sangat ke?"

Tanpa banyak soal Harraz terus keluarkan sebotol ubat dari dalam keretanya. Dia berikan kepada Hana.

"Sebabkan saya tahu awak tu lembiklah saya tanya. Jangan nak pura-pura gagah sangatlah. Nah, awak cuci luka tu dengan ubat ni. Biarpun sikit asalkan awak letak ubat, okeylah nanti."

Perlahan-lahan hulurannya disambut. Eee! Ayat Harraz ni... Puaka!

Harraz tarik pintu kereta. Dalam marahnya, ada rasa kasihan. Isy! Harap-harap janganlah Hana simpan rasa cinta terhadap dia. Harraz lebih rela dirinya yang menanggung perasaan seorang diri.

"KAK Ita, Hana nak tanya sikit. Akak mesti tau kan macam mana Hana boleh kemalangan?"

Yusnita hela nafas. Berlagak selamba.

"Hana pengsan masa tu," bohongnya. Dia juga seperti Harraz yang terpaksa akur dengan segala suruhan. Apatah lagi dia seorang kakak kepada mangsa. Rizal, Harraz...Kedua-duanya akan membuatkan Hana keliru. Tapi tidak mustahil akan menyebabkan Hana merajuk dalam jangka masa yang panjang.

"Kenapa Hana pengsan?" Dia geleng. Mengapa dia langsung tak ingat apa-apa? Yang dia tahu, saat matanya celik ada seorang doktor berjubah putih berdiri betul-betul di tepi katilnya.

"Sebab Hana dilanggar oleh seseorang. Orang tu tak nak bertanggungjawab. Tapi mujur waktu tu Harraz yang datang selamatkan Hana. Dia yang bawa Hana ke hospital." Niatnya biar Harraz itu dipandang baik oleh adiknya.

"Harraz yang selamatkan Hana? Siapa yang langgar Hana tu, kak?"

Yusnita menjongket bahu.

"Orang tu langgar lari. Tak sempat Harraz nak ambil nombor plat kereta pemangsa. Nasib baik dia doktor. Dia tolong bawa Hana pergi hospital. Alhamdulillah, Hana tak apa-apa."

Langgar lari? Hana mencengkam bucu bantal. Argh! Geramnya.

"Tak bertanggungjawab punya orang! Kenapa akak tak buat laporan polis?" rungutnya. Bengang pula rasa.

Yusnita menenangkan adiknya. Hana tak boleh tahu siapa gerangan manusia yang menjadi penyebab dia hilang ingatan. Semarah-marah Yusnita terhadap Harraz, marah lagi dia terhadap perbuatan Rizal. Tujuan mereka berpindah pun adalah untuk mengelakkan Hana dari bertemu Rizal semula. Namun... Menghukum Harraz dengan ugutan? Huh! Separuh hati setuju, separuh lagi...

Kelak, Harraz sendiri yang sengsara. Hana juga terbeban dek air mata darah yang mencurah-curah. Dia? Bertampung-tampung dosa bersalah!

Hana... Akak minta maaf, ujar Yusnita dalam hati.

"Hana, buat apa nak buat report? Hana tak apa-apa. Harraz dah selamatkan adik akak."

"Dahlah. Jom tidur." Yusnita tarik selimut. Mengelak untuk menjawab pertanyaan Hana.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro