Bab 4
Tersentak daripada tidur. Harraz menguap. Ya Allah! Lama dia terlelap rupa-rupanya. Dia menghidupkan suis komputer. Tangannya meraup muka untuk yang kali yang ke berapa. Apakah dia juga berasa tersepit? Siapalah bekas kekasih Hana yang diceritakan Puan Ashikin? Jemarinya lincah menaip sesuatu. Tak keruan apabila fikiran Hana benar-benar dirasuk oleh keluarga sendiri. Termasuk juga dirinya yang kerap berdalih-dalih kisah.
Mungkin hasrat Puan Ashikin ada benar dan kebaikannya juga untuk sementara waktu ini. Namun, perkara itu membebankan Harraz yang terkepit dengan situasi. Kadang-kadang ada rasa bahagia dia bersemuka dengan insan bernama Hana. Lelaki itu bersandar. Cinta? Harraz ketawa sinis. Ah! Merepek.
Takkanlah aku suka kat Si Hana tu? Gilalah kau, Raz!
Sungguh dia gerun, sungguh dia khuatir untuk mengakui perasaannya yang semakin terpaut dengan Hana. Risau seandainya cintanya dibalas dengan sebuah kebencian.Warna akal dan matanya kian kelabu.
Apa reaksi wanita itu sekiranya di penghujung antara kisah mereka tercetus beberapa tanda tanya? Ya, waktu itu Hana pasti akan menyoal siapa Rizal? Siapa Harraz Nazran? Siapa yang telah membuatkan dia cedera? Juga, mengapa Harraz sengaja berlakon? Harraz tarik nafas.
Maaf, Hana. Kepalanya jatuh ke atas meja. Pening kepala! Harraz pejam mata. Rapat. Sanggupkah dia hentikan semuanya? Hutang kesalahannya belum langsai. Dia... Dia penyebab segala punca hingga menjadi bimbang kepada kemunculan 'Hana' akan datang.
Eee, yang geramnya dengan mak dialah. Beragaklah kalau nak ugut orang pun, bisik hati Harraz geram.
JEMARINYA menari-nari di atas petak-petak abjad papan kekunci mengarang sesuatu. Harraz senyum sendiri. Jujur, semakin lama bersama Hana, hatinya semakin tertarik. Mana mungkin dapat singkirkan perasaan itu begitu sahaja. Harraz dan Hana begitu ceria setiap kali mereka bertemu. Tapi apakah keceriaan hari ini akan berubah menjadi tusukan ngilu antara mereka kelak? Adakah Hana akan membencinya? Dia pula bakal terasa sakit seandainya kehilangan Hana.
Berlakon. Rupa-rupanya bukanlah kerja mudah. Terlalu banyak pembohongan yang terpaksa dia lakukan. Huh!
Telefon bimbitnya berdering minta disahut. Harraz terus menekan punat hijau.
"Helo, assalamualaikum..."
"Waalaikumussalam. Hai, Harraz tak tidur lagi?" ceria suara Hana di hujung talian. Dia tersenyum nipis. Jari telunjuk menggaru kening.
"Hai, Hana. Errr..." Harraz kerling waktu yang tertera di skrin komputer. Hampir dua belas tengah malam.
"Belum. Ada kerja sikit. Tadi tertidur. Awak?"
Hana ketawa kecil.
"Belum juga. Saja aje telefon awak. Sebab tak boleh tidur. Tapi awak pula ada kerja. Awak buat kerja apa?" Sempat Hana bergurau. Harraz berdehem.
"Buat research sikit-sikit sambil baca artikel dalam Internet."
Harraz membiarkan Hana bersuara lagi. Apa yang ditanya, dia akan jawab. Fikirannya benar-benar kosong. Telefon masih terlekap di cuping telinga.
"Saya ganggu?"
"Tak, tak. Tak apa. Ada apa yang awak nak cakap?"
"Harraz." Hana di hujung talian mengusap sekeping foto mereka berdua semasa di laman rumah bermain buaian. Sungguh dia ingin tahu bagaimana dia boleh berada di kawasan rumah yang indah itu. Jadi, niat hatinya mahu meminta Harraz menceritakan kembali apa yang dia telah lupa.
"Urmmm?"
"Saya tengah tengok gambar awak."
"Oh! Gambar yang mana, eh?" Terbabas soalan. Pap! Dia menampar bibirnya. Menggatal tanya soalan tu! Ah! Tapi kalau aku tak tanya, dia yang akan tanya aku. Harraz berdehem.
"Saya tengok gambar kita berdualah. Awak tengah senyum lebar. Gambar awak masa kecil tengah duduk kat buaian rumah saya. Comel! Masa ni awak buat apa ya, datang rumah saya?"
Harraz menepuk dahi. Foto itu sendiri dia tak pernah lihat. Mana mungkin dia boleh huraikan apa yang sedang ditatap oleh Hana ketika itu.
Tu bukan saya. Gambar tu entah gambar awak dengan siapa, saya pun tak tahu. Haih! sangkal Harraz sendiri. Hana sememangnya sudah tak ingat apa-apa. Dia telah lupa semuanya. Harraz gigit bawah bibir.
"Haah. Kenapa?"
"Haah? La, kalau macam tu baik tak payah jawab. Hari ni awak macam tak mahu layan saya aje. Saya tanya awak, awak tanya saya balik. "
Harraz tarik nafas. Dia biarkan komputernya menyala sementara sepasang kaki diayun keluar dari bilik menuju ke ruang tamu. Matanya menekur lantai yang licin berkilat. Sungguh! Hatinya goyah setiap kali mendengar suara Hana yang sentiasa percayakan dia. Percaya? Benarkah?
"Awak tanyalah umi awak. Hana, awak boleh jawab soalan saya pula tak?"
"Boleh. Tapi jangan soalan Sejarah. Itu memang saya fail. Hehe." Senda gurau memang tak pernah lekang dari bibir Hana.
"Sepanjang kita berkawan, apa perasaan awak?" Entah mengapa Harraz mahu tahu sejauh mana keikhlasan dalam diri Hana terhadapnya.
"Maksud saya, awak..."
"Saya suka awak! Haaa... Terkejut tak?"
Harraz gigit bibir. Isy! Termalu sendiri. Hana tak menyempat-nyempat.
"Nakal awak sekarang, Hana," ucapnya perlahan.
Perempuan itu ketawa besar. Lekas dia menekup mulut.
"Eh, suka tak semestinya jatuh cinta. Saya suka awaklah sebab awak baik dengan keluarga saya. Awak pun baik sangat dengan saya. Umi saya kata, orang yang baik ni, kita kena selalu ingat kat dia, sebab..." Hana sudah mula membebel.
Lelaki itu mengetap bibir. Televisyen yang tergantung kemas di dinding dia tenung dengan pandangan hambar. Nampaknya Hana ikhlas bersahabat dengannya. Namun Harraz tahu ketulusan itu tak akan kekal lama setelah gadis itu terjumpa sebuah kebenaran. Harraz telan liur. Ikutkan, dia seorang yang baharu dalam hidup Hana. Bukankah nanti kebenaran akan terbukti pada yang tak bersalah?
"Hana, dah-dah. Okey, saya tahu awak nak leterkan saya dengan ceramah percuma awak. Dengar sini, saya pun suka kawan dengan awak." Bukan sekadar perasaan sebagai seorang teman. Lebih daripada itu! Namun dia tahu akan kesilapannya yang lalu. Apatah lagi sekarang. Dia perlu mengotakan janji yang telah dia tautkan terhadap keluarga Hana demi melangsaikan keampunan.
Menjauhkan Hana dari Rizal ada bagusnya untuk menyelamatkan gadis itu dari terus dianiaya buat kali kedua. Harraz mengerti niat Puan Ashikin yang mahu melindungi anak perempuannya dari terus diperalat. Dia? Huh! Dia terpaksa berhadapan dengan dua situasi. Menjaga Hana sepenuh jiwanya semata-mata demi melangsaikan kesalahan lampau.
Mengaku sebagai seorang teman rapat yang tahu isi hati Hana, menyesakkan setiap hela nafasnya. Tak pernah tenang. Argh!
Harraz keliru. Apakah semua yang berlaku ini bakal memberi manfaat kepadanya? Mahu berterus terang, Hana perlu diberi tempoh kerana ingatannya belum cukup sihat. Adakah berakhir dengan perpisahan sekiranya Hana tahu siapa dia yang sebenar?
"Harraz! Helo, helo lo lo looo..."
Tersentak lelaki itu. Banyak berangan!
"Ya, ya Hana." Harraz berkerut seraya geleng kepala. Mengelamun teruk! Dia betulkan duduk.
"Hana, dalam banyak-banyak perkara, perkara apa yang paling awak takut?"
Gadis itu tarik nafas. Matanya melilau ke serata siling bilik tidurnya.
"Saya takut kehilangan awak. Susah nak jumpa kawan yang ambil berat macam awak. Segala apa yang awak pernah buat, saya hargai sangat-sangat. Terima kasih. Heee... Awak pula?"
Harraz mengusap dahi. Tekaknya pula mula pedih.
"Saya?" Berjeda. Telan liur.
"Saya, takut jatuh cinta kat awak. Tapi perkara tu takkan mungkin berlaku, kan?" Dia menghembuskan nafas yang bagaikan berdebu.
Lambat-laun saya dapat rasa yang awak akan tinggalkan saya, Hana, bisik hati Harraz.
"Kenapa awak cakap macam tu?"
"Kita ni kawan, Hana. Hal yang paling sakit, jatuh cinta dengan kawan sendiri. Tapi tak apa, awak tak boleh sukakan saya. Saya pun tak boleh sukakan awak. Kita BFF." Sengaja Harraz mengulang ayat yang pernah dia coretkan dalam kad pemberiannya kepada pesakitnya yang seorang itu.
Benaknya berbisik, walaupun kita akan berpisah satu hari nanti, saya harap dan saya percaya masih ada peluang untuk awak kembali pada saya. Saya harap perkara tu terjadi.
"Awak nak pergi mana? Saya nak ikut."
"Buat masa ni, saya tak pergi mana-mana."
"Awak nak pergi jauh ke? Bila? Janganlah pergi tak ajak."
"Satu hari nanti. Bila awak dah mula benci saya." b\Bersahaja Harraz berkata-kata. Hana mula sebak. Sampainya hati!
"Kan kita dah janji kita takkan berpisah? Awak ni saja aje tau! Buat apa saya nak benci kawan saya sendiri?"
"Hana, hati manusia boleh berubah-ubah. Hari ni suka, esok benci. Hari ni benci, esok suka dan ada juga yang benci sampai bila-bila."
"Ah! Saya bukan jenis macam tu."
Harraz tergelak sinis.
Hana yang tengah sakit memang bukan jenis macam tu. Tapi Hana yang sewaktu sihat begitu! Nama dan watak itulah mengakibatkan diri lelaki itu tak pernah aman.
"Sampai bila awak nak bergantung hidup dengan saya? Awak kena belajar hidup tanpa saya. Saya bukan suami awak. Pertemuan dan perpisahan tu semua mesti berlaku dalam setiap perjalanan manusia."
"Saya tak nak." Berkerut lebat Hana di corong telefon. Apa angin Si Harraz ni? Malam-malam merepek bukan main.
Harraz menekup muka. Haih! Hana.
"Saya tak nak hidup berdikari. Biarlah saya nak bergantung kat awak. Awak ni, tak payah berkias-kias, berdalih-dalih. Kalau awak dah tak ingin jadi kawan saya, cakap aje. Saya tahu saya banyak menyusahkan awak. Tapi awak tahu tak, awak satu-satunya lelaki yang saya boleh luahkan segala-galanya dengan selesa. Tak ada lagi lelaki macam awak kat dunia saya ni." Bergetar nadanya meluahkan bicara.
Dia memejamkan mata serapatnya. Sanggupkah Harraz hentikan semuanya? Hutang kesalahannya belum selesai. Dia... Dia penyebab segala punca hingga menjadi bimbang kepada keadaan akan datang.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro