Bab 3
Rizal menyidai tuala di ampaian. Matanya meninjau isterinya yang sedang melipat telekung. Hatinya serba-serbi tak kena. Kini mereka berdua telah berada di dalam satu ikatan yang dinamakan pernikahan. Terasa berat hati pula mahu tinggalkan Kuala Lumpur. Kejadian yang dilihatnya siang tadi membuatkan jiwanya gusar. Dalam gusar ada tanda tanya. Benarkah dia tidak tersalah pandang?
Seorang gadis yang begitu banyak kenangan bersamanya suatu ketika dahulu sedang beramah mesra dengan lelaki lain. Namun, mengapa gadis itu sedikit pun tak berasa janggal? Boleh bergurau senda dengan lelaki yang Rizal sendiri kurang pasti. Lusa dia akan pulang ke Pulau Pinang semula. Di mana sebenarnya tempat tinggal gadis itu sekarang?
Rizal hela nafas. Siapa lelaki yang bersama bekas tunangnya? Hatinya mula tak tenteram. Menyesal apabila mengenangkan perbuatan lampaunya. Dalam kepura-puraan sikapnya sebelum ini, ternyata dia masih jatuh hati pada kekasih lamanya. Bagaimana caranya untuk Rizal menebus segala penipuan?
"Abang..." Syuhaida menyapa meragut lamunan Rizal yang sudah jauh entah ke mana-mana. Lelaki itu berpaling.
"Ya?"
"Lusa abang balik ke Pulau Pinang pukul berapa? Kalau abang tak keberatan, kita singgah rumah mak teh dulu boleh? Dah lama dia ajak kita ke rumah dia. Tapi kalau abang sibuk, tak apa. Mungkin lain kali," maklum Syuhaida. Dia tahu perkahwinan mereka boleh dianggap masih baru. Rasa janggal itu masih ada.
Rizal tersenyum nipis. Wajah Syuhaida dia renung. Mengapa dia boleh bertindak bodoh begitu? Mengapa dia curang terhadap Mariah waktu itu? Rasa cinta kian membuak-buak dalam hatinya. Ada kala Rizal terfikir, mengapa dia sukar untuk menerima Syuhaida sebagai isteri? Bukankah dia yang mahu begitu? Apa kurangnya isterinya berbanding Mariah?
"Esok saya ada lagi satu seminar. Tak tahu sempat atau tak jumpa dia." Acuh tak acuh sahaja dia jawab.
"Mama awak ada apa-apa plan dengan mak teh?"
Syuhaida geleng. Dia menuju pula ke meja solek. Rambutnya yang lembap dikeringkan dengan tuala. Hujan di luar lebat sungguh. Syuhaida bangkit semula dari bangku sejurus menutup tingkap kamarnya.
"Tak ada. Mak teh sengaja ajak saya semalam. Dia dengar kita ada kat sini. Alang-alang tu, apa salahnya kita jenguk dia. Bukan selalu. Cuma, saya tak tahulah sama ada awak lapang atau tak."
Rizal menguak anak rambutnya ke belakang. Bagaimana dia harus memaksa hatinya untuk menyintai Syuhaida melebihi cintanya pada Mariah? Mampukah dia menolak semua rasa sayang terhadap Mariah dan memindahkan rasa itu kepada isterinya?
Lenggang-lenggok gadis itu yang lembut membuatkan dia mahu menyentuh Syuhaida. Tetapi cinta yang mencengkam mengakibatkan dia sendiri rasa terhalang untuk melakukan perkara itu. Untuk apa dia membelai wanita itu kalau tak ikhlas? Rumah tangga mereka hampir lima bulan terbina. Ingatannya terhadap Mariah masih utuh. Masa berlalu dirasakan begitu pantas.
"Nantilah saya usahakan. Saya takut saya sibuk aje. Kalau tak sibuk, boleh aje kita pergi. Kan?" Lelaki itu peluk bantal. Sesekali matanya mencuri pandang isteri yang masih tekun menyisir rambut. Dia telan liur. Tidak sama sekali dia menikahi Syuhaida kerana perempuan itu merupakan anak orang kaya. Ah! Dia juga keliru. Dia terlalu terburu-buru melangsungkan perkahwinannya bersama gadis itu. Adakah isterinya akan berasa tertipu sekiranya Syuhaida dapat meneka apa yang bermain dalam hatinya?
"Tak apa. Saya tak paksa. Lain kali aje kalau macam tu." Syuhaida berhenti dari menyikat rambut.
"Abang, esok saya nak teman mama pergi ke butik sementara tunggu abang habis seminar. Abang nak kirim apa-apa?"
"Tak ada kut. Awak keluar ajelah dengan mama awak."
Syuhaida tersenyum nipis. Kenapa suaminya langsung berubah? Riak wajahnya juga tawar. Sepatah yang ditanya, suku patah yang disahut. Wanita itu duduk di sisi Rizal yang sedang bersandar di kepala katil. Dia ikhlas mencintai lelaki itu dan menerimanya sebagai suaminya yang sah.
"Abang, Syu ada buat salah ke?" kendur suaranya.
Rizal tersentak. Dia melarikan tangannya daripada disentuh perempuan itu. Entah mengapa, amat terasa perasaannya yang sifar dan hambar.
Patutkah dia berperasaan begitu? Sayangnya, Syuhaida tidak tahu apa yang berlaku antara dia dan Mariah sebelum mereka berdua bernikah. Sebolehnya dia tak mahu Syuhaida tahu siapa kekasih lamanya. Dapatkah dia sembunyikan dari pengetahuan isterinya? Tak terbongkar hari ini, esok lusa... Boleh jadi.
"Mana ada. Syu tak ada salah apa-apa."
"Abang dah tak banyak bercakap. Abang yang Syu kenal sebelum kita kahwin dengan lepas kahwin, lain. Abang marahkan Syu?"
Rizal hela nafas.
"Saya penat aje, Syu. Tak ada yang lainnya saya ni. Awak janganlah tanya macam-macam. Saya rimaslah. Awak tak pernah ada kesalahan dengan saya, okey." Rizal lantas menjatuhkan kepala ke bantal. Comforter ditarik hingga ke paras pinggang. Wanita itu tarik nafas. Tangan suaminya dikucup hormat. Rizal telan liur. Cepat-cepat dia memejamkan matanya. Kemudian Rizal menjeling ke arah tingkap yang basah dek rintikan butiran air hujan. Samar-samar raut Mariah sedang tersenyum terbias ke mukanya. Rizal balas bayangan itu.
"Abang, sejak kita balik dari shopping tadi abang macam tak nak aje nak tengok muka Syu. Syu risau kalau abang sakit."
"Syu, awak tengok saya ni ada rupa orang sakit ke? Saya dah kata tadi, saya penat. Kenapa awak susah sangat nak faham? Saya okey, sihat wal afiat." Rizal genggam erat jari-jemarinya.
Jika ditanya kepada sesiapa pun, semua orang mahukan Syuhaida dijadikan isteri. Memang manusia gila sahaja yang enggan bernikah dengan gadis sebaik itu. Termasuk dirinya yang turut serta tersenarai dalam golongan manusia kurang waras. Yang dia mahukan adalah Mariah. Argh! Dia sudah terlanjur menjadi suami Syuhaida. Apakah Syuhaida sudi hidup bermadu kelak? Jika ya, dia lega. Bila dia sudah lega, apa pula respons Mariah?
"Abang ada teringatkan sesiapa ke? Atau abang ada ternampak sesiapa ke masa kat tempat tadi tu? Apa yang buat abang serabut sangat ni? Cuba bagi tahu." Ada kerutan di dahinya. Syuhaida lepaskan satu keluhan.
"Abang, abang tahu tak apa tujuan kita kahwin? Kita kahwin bukan setakat kahwin aje tahu? Bukan setakat halalkan hubungan aje. Hubungan takkan kekal kalau ada yang berahsia. Tak boleh macam ni."
"Syu..."
"Ya, bang?"
"Sorry." Maaf kerana sering mengimpikan wanita yang tidak halal baginya. Maaf, kerana kerap bersikap tidak mengambil berat perihal isteri di sisi. Maaf juga kerana telah menipu atas segala-galanya. Pernikahan yang bukan daripada seratus peratus rasa cinta sebaliknya atas kepentingan nafsu. Walhal dia maklum, Syuhaida menyayangi dirinya sepenuh hati.
Rizal menggaru-garu kepalanya yang tak gatal. Sungguh dia bingung. Benarlah situasi yang dilalui begitu menghimpit diri. Mengapa dia bersetuju untuk bernikah jika begini kesudahannya? Dia gigit bawah bibir.
"Syuhaida, awak kecil hati dengan saya?"
"Maksud abang?"
"Awak cintakan saya?"
"Kalau saya tak sayang, tak adalah saya bernikah dengan awak. Saya cuma takut aje. Kut-kut awak yang dah tak sayangkan saya. Yalah, kita kenal pun tak sampai setahun. Kahwin baru lima bulan."
Rizal telan liur. Pernah ibu mentuanya memberitahunya Syuhaida baru sahaja kehilangan bakal suaminya sebelum wanita itu memberi kata putus untuk menikahi Rizal. Senangnya Syuhaida lupakan bekas tunangnya.
"Bukankah mama cakap awak baru saja putus tunang dengan Fitri? Kenapa mudah awak terima pernikahan kita?"
"Fitri dah selamat jadi suami orang, bang. Biarlah dia. Dia dah ada isteri, saya ada abang. Saya boleh lupakan dia sebab mungkin cara saya bercinta tak sama dengan orang lain," ujar Syuhaida panjang lebar.
Rizal menyesal kerana terburu-buru melicinkan urusan perkahwinannya bersama Syuhaida. Sungguh! Dia memerlukan pengampunan daripada Mariah atas segala perbuatannya selama ini.
"Syu, apa maksudnya cara bercinta awak berbeza dengan orang lain?"
Syuhaida tersenyum lagi. Rizal terus merenung isterinya. Syuhaida bagai memakai alas muka kekasih lamanya.
"Saya bercinta dengan dia dalam keadaan sederhana tanpa mengharapkan apa-apa walau ada rasa cinta. Saya tunggu dia untuk masuk meminang, tapi dia tak pernah buat. Saya syak dia dah ada buah hati lain. Bukan saya lagi. Saya minta dia berterus terang dan dia jujur. Buat apa saya nak paksa? Itulah orang kata, kalau bercinta jangan sampai obsess. Nanti bila dah kemaruk sangat, senang rasa kecewa."
"Erk..." Rizal tergamam seminit. Sentap pun ya juga. Terasa macam disindir.
"Saya rasa bersalah."
"Kenapa nak rasa bersalah?
"Syu, saya risau."
"Risau?"
"Saya risau kalau-kalau saya tak dapat terus setia. Memang saya suami Syu, tapi hati manusia boleh berubah-ubah."
Maaf, Syu. Semuanya berpunca daripada saya sebenarnya. Tapi awak pula yang dapat balasan. Perkahwinan kita bukan atas kejujuran. Debaran dalam hati lelakinya tiada siapa dapat menyangka. Banyak perkara yang perlu dia hadapi. Rintangannya detik itu perit tidak tertanggung.
"Syu, sebenarnya ada perkara yang awak tak tahu..." Lelaki itu berkira-kira sama ada mahu memberitahu atau tangguhkan dahulu?
Saya bernikah dengan awak sebab Mariah, bisik Rizal sendiri. Syuhaida kecil hati dengan ayat suaminya tadi. Daripada meleret, lebih baik diam. Syuhaida bangun. Mahu menerpa keluar.
"Saya harap abang tak cakap lagi macam tu. Memang hati manusia boleh berubah, tapi hati juga boleh dikawal. Kalau dilayankan sangat, boleh jadi nafsu. Nafsu yang melarat dalam badan. Layan hati dengan baik, insya-Allah baiklah semuanya."
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro