Bab 15
Bangunan hotel Shangri-La itu diratah dengan anak matanya. Hana hela nafas. Laju pula jantungnya berdegup hari ini. Dia masuk ke ruang lobi lalu menuju ke kafe.
Tak sampai lima minit, Hana tiba di muka pintu kafe. Pelayan di situ tunduk menyambut pelanggan. Hana mencari kelibat Harraz. Dia menghala ke arah gadis yang disaluti pakaian santai. Berseluar slack, berbaju-T lengan panjang, dan bertudung kemas sedang merenung kolam renang di luar yang membiru. Di sebelahnya ada Harraz.
"Assalamualaikum," sapanya.
"Waalaikumussalam," jawab Harraz dan Emilia serentak.
Hana angguk kecil. Beg tangan yang tersangkut kemas di atas bahu dicengkam kuat. Apa tujuan Harraz? Lelaki itu senyum sambil melirikkan anak matanya kepada Emilia. Adakah dia kekasih Harraz? Gadis itu hulurkan tangan. Hana menyambut.
"Hana, inilah Emilia. Dan Emi, ini Hana."
Gadis itu menghela nafas seraya meneliti wajah Hana. Mengapa Hana nampak murung? Kurang sihatkah? Harraz merenung kedua-dua wajah itu dengan pandangan yang kosong.
"Okey, Hana. Jom kita duduk. Saya dah tempah meja." Harraz menarik kerusi kayu berukiran itu untuk pesakitnya. Seperti robot Hana labuhkan punggung. Agak terkejut apabila Harraz mengambil tempat di sebelah Emilia.
"Hana, untuk pengetahuan awak Emi juga seorang doktor. Dia akan kerja kat hospital sama tempat dengan saya juga."
Pesakitnya itu cuma melayani kesepian. Hatinya bimbang. Harraz telan liur. Sempat anak matanya menangkap jemari Hana yang memintal-mintal napkin. Emilia berkerut. Dia sendiri pun tak mengerti sama sekali.
"Saya yang bawa Emi pulang ke Malaysia."
"Okey, patutlah awak sibuk ke Brunei," spontan Hana balas. Konon ada urusan! Sinar matanya menajam. Harraz tundukkan sedikit mukanya. Tak sanggup melihat parut-parut di tangan Hana yang masih berbaki.
"Ya, saya sibuk ke sana. Jumpa ibu abah, dan... Emilia. Kan, Emi?"
Air muka Hana semakin mendung.
"Raz, awak cakap apa ni?!" bisik Emilia keras. Sungguh! Dia tak faham.
"Hana." Harraz mendekatkan mukanya. Mengintai raut perempuan itu yang leka menunduk. Dia berharap satu hari, Hana akan faham mengapa dia bersikap begitu. Harraz juga tersepit antara bayangan Mariah dan Hana.
"Awak pesakit dan kawan baik saya. Jadi, tak salahkan kalau saya nak kongsi dengan awak sesuatu?" jelas Harraz lagi. Ada rahsiakah yang sahabatnya itu sembunyikan?
Hana ketap bibir. Jadi, selama ini dia ibarat menepuk sebelah tangan?
"Dan Emi... Sebenarnya calon pilihan ibu saya. Ibu saya pilihkan dia untuk saya."
Sentap! Hana gesa bibirnya untuk senyum. Perlahan-lahan dia bangkit dari kerusi.
"Raz," tegur Emilia.
Hana gigit bawah bibir. Ngilu. Inikah erti cinta? Mungkin selama ini dia saja yang bertepuk sebelah tangan.
"Tahniah. Saya doakan awak bahagia dengan Emilia. Kau orang berdua memang padan. Harapnya cinta kau orang sampai ke syurga. Insya-Allah." Hana mengorak langkah dipimpin pilu di dada.
"Hana."
Seruan Emilia di belakang tak dia peduli lagi. Sudahlah... Tiada guna lagi bergantung hidup dalam angan-angan. Emilia ingin mengejar tapi Harraz menghalang.
"Tak baik Raz buat dia macam tu. Pergilah kejar." Dia berpeluk tubuh.
"Kalau dah tak sanggup nak sebut pasal calon isteri, jangan cuba-cuba disebut. Emi tahu Raz tak ikhlas pun buat semua ni."
"Siapa kata Raz tak ikhlas? Kan Raz dah kata, Raz akan cuba belajar terima Emi."
"Jangan paksa diri. Raz tak rela buat semua ni. Emi tahu Raz buat ni demi ibu Raz. Janganlah macam tu. Kenapa Raz ni? Habis macam mana sekarang? Emi tahu Raz ada simpan perasaan kat Hana. Hana cemburu tu." Ya, dia tahu perasaan Hana. Kerana dia juga seorang perempuan.
"Apa kenalah dengan awak ni, Raz? Ya Allah."
"Emi..." Lengan Emilia dipegang. Tepat matanya merenung ke dalam mata gadis itu. Emilia sedikit kaget.
"Kenapa? Emi memang tak nak kasi Raz peluang langsung ke? Raz tak boleh sukakan Hana. Sebab tu Raz..."
"Sebab tu Raz desak diri Raz? Harraz Nazran, janganlah dera hati sendiri. Kalau Raz paksa diri pun, apa yang Raz dapat? Untuk apa Raz pura-pura sayangkan Emi tapi jiwa sebenar Raz ada pada orang lain? Raz, jangan bagi Emi harapan walaupun Emi... Sukakan Raz." Perlahan hujung ayatnya diluahkan. Harraz mencari sinar mata Emilia. Sesekali gadis itu tunduk, kalih ke kanan kiri. Melarikan pandangannya.
"Hana hilang ingatan disebabkan Raz."
"Hana? Kenapa dengan dia?"
"Emi..." Harraz separuh merayu.
"Boleh Emi janji satu perkara dengan Raz?"
Emilia kaget. Perlahan-lahan dia mengangguk.
DARI dapur, Puan Ashikin melihat gerak laku Hana yang tak senang duduk. Beg tangan dan tudung terus dicampakkan ke atas sofa. Anaknya muram.
Hana bersandar. Akhirnya, cemburu berjaya membakar hati. Segalanya telah terlambat untuk dia jujurkan rasa hatinya. Hana ketawa dalam tangis. Tak apalah, kumbang bukan seekor. Nelayan di laut bukan seorang. Huh!
Matanya mengerling ibunya yang baru keluar dari dapur.
"Hana tengah buat apa tu?"
"Tak ada apa," jawabnya acuh tak acuh.
"Hana dan Harraz bergaduh?"
"Taklah. Umi, Hana nak tanya umi. Kenapa umi tak pernah cakap kat Hana yang sebenarnya Harraz dah ada buah hati? Umi tahu tak apa yang dah jadi hari ni?" Hana berlagak biasa. Puan Ashikin sentap. Apakah?!
"Umi tahu kan Raz dah ada pilihan hati dia? Lagi satu, betul ke umi kenal siapa Harraz tu? Umi kenal Emilia? Mesti kenal, kan?"
Puan Ashikin menggeleng. Dia tak tahu! Emilia?
Hana ketawa sinis.
"Umi tipu. Dia kawan Hana, umi. Umi kan kenal dia? Mana mungkin perkara ni umi tak tahu? Atau umi sengaja tak nak kasi Hana tahu? Betul ke Hana ni dah lama kenal dia?"
"Hana, umi..." Puan Ashikin gigit bawah bibir. Bahu anaknya dipegang lembut.
"Hana hairan. Mak ayah dia tinggal kat Brunei pun, Hana tak tahu. Hana macam tak kenal Raz tu, umi."
Dia geleng.
"Hana dapat rasa yang ada benda pelik. Seolah-olah Hana macam tak tahu apa-apa pasal dia. Kenapa, ya?" Tangannya meraup muka. Entah mengapa terasa banyak pula perkara tentang diri Harraz yang dia belum pasti.
"Betul ke Hana kenal Raz? Emi?" Tangannya meraup muka. Entah mengapa, terasa banyak pula perkara tentang diri Harraz yang dia belum pasti. Sakit otaknya apabila mahu mengimbas zaman silamnya. Dia bagaikan sesat di tengah-tengah kabus yang tebal.
"Hana tolong jangan persoalkan lagi. Hana kena banyak bersabar. Tahulah umi nak cakap kat Harraz nanti."
"Umi jangan cakap apa-apa. Biarkan aje dia. Umi tak boleh paksa dia. Ibu Raz lebih berkuasa tentukan jodoh anak-anak dia. Mulai hari ni, kita jangan dekat dengan dia. Hana tak nak rosakkan perancangan keluarga dia."
"Tapi Hana tu sakit, tau? Umi nak Harraz jaga anak umi sampai sembuh."
"Itu alasan umi semata-mata. Umi selalu gunakan alasan yang sama. Tak apa. Kita boleh cari doktor lain, umi. Lagipun Hana sihat. Umi..." Hana mencapai tangan ibunya dan diletakkan di pipinya. Tunak biji matanya merenung ke dalam mata si ibu.
"Sebenarnya Hana sakit apa? Hana dah sembuh. Tengok badan Hana. Okey aje semua. Yang umi kenapa bersungguh-sungguh nak Hana bergantung sangat pada doktor? Hana tak perlukan doktor dan ubat-ubat lagi, umi. Hana dah tak larat dengan hidup yang asyik nak dikawal macam budak tak cukup akal. Tanpa Raz, Hana janji kat umi, Hana boleh teruskan hidup Hana."
Puan Ashikin enggan mengaku kalah.
"Hana, umi nak yang terbaik untuk anak umi. Salah ke?"
"Apa lagi yang ada kat Harraz tu, umi? Memang tak salah umi nak buat yang terbaik untuk Hana. Tapi yang salahnya bila perkara yang umi nakkan tu, menyakitkan Hana dan menyeksakan Harraz. Tu satu azab tau, umi."
Huh! Cukuplah. Untuk apa dia menunggu lagi? Kakinya menerpa keluar. Mahu ambil angin di luar.
Telefon bimbit di dalam kocek seluar berdering. Cepat tangannya menyeluk saku. Jari Hana menyentuh punat hijau tanpa melihat siapa gerangan pemanggil.
"Helo..."
"Hai, Hana."
"Maaf, siapa ni?"
"Aik, takkan dah lupa? Saya Rizal."
Ada senyuman nipis di wajah Hana. Rizal...
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro