Bab 14
Ting! Lif terbuka. Hana keluarkan sekeping kertas yang tertulis alamat rumah Harraz. Dia hela nafas. Setapak, dua tapak, Hana terpaku di hadapan pintu rumah berangka 2-8-2 yang terkutup rapat. Dari tingkap dapur, lampu terang menyala. Jari telunjuk mahu menekan loceng, tapi... Nafsu menyuruh akal pula melarang. Tak mengapalah, terbantut dari perlakuannya.
"Hana..." seru seorang lelaki. Gadis bertudung itu berpaling semula. Syafiq? Dia berkerut. Jejaka muda itu mengunci daun pintu. Dari segi penampilan, kemas semacam! Berbaju-T kolar dan berseluar jean. Syafiq tersenyum. Alang-alang dia mahu keluar beli barang di Aeon Sri Gombak, lebih baik ajak Hana sekali.
"Awak datang ke sini dengan siapa, Hana?" soal Syafiq seraya menyarung selipar.
"Urm, sorang. Saya balik dululah." Hana mahu mengelak. Syafiq dapat mengagak tentulah pesakitnya itu nak mencari Doktor Harraz.
"Kejap, kejap. Aik? Baru datang terus nak minta diri. Buat penat ajelah macam tu."
Hana tersenyum. Memang penat.
"Alah! Kebetulan lalu kat sini."
Syafiq geleng. Tengok reaksi Hana, dia sudah pun dapat meneka. Hana rindukan sahabatnya.
"Jomlah Hana, ikut saya."
"Huh? Pergi mana?"
"Temankan saya pergi Aeon. Banyak barang saya nak kena beli. Buat rugi aje awak datang sini. Orang yang awak nak jumpa tak ada. Jadi, nak ganti rugi tenaga awak tu, meh la kita pergi jalan-jalan sekejap. Lepas tu saya hantar awak balik."
"Okey. Boleh juga. Nanti saya bayar duit minyak." Hana tersengih lebar. Ikut ajelah. Dia terus berpatah balik ke pintu lif. Syafiq mengekori langkahnya dari belakang.
Syafiq tarik nafas. Menekan butang ke tingkat bawah. Wajah Hana dicuri pandang dengan ekor matanya. Dia bersiul-siul kecil.
Sampai di tingkat bawah, mereka berdua menuju ke kereta Proton Persona milik Syafiq. Enjin dihidupkan, berundur meninggalkan Pangsapuri Laman Mutiara.
"Hana, awak nak cari Harraz ke? Dia belum balik lagi." Tangan masih mengawal stereng. Mata fokus pada jalan raya. Haih! Lebuh raya Kuala Lumpur tak pernahlah tak meriah. Banyak betul kenderaan.
Hana menyentuh lubang penghawa dingin. Sejuk!
"Ya ke? Patutlah senyap aje. Dah lama tak dengar khabar dia. Berapa lama dia pergi Brunei? Nampaknya betul-betul sibuk, kan dia?"
Syafiq berkerut. Aik? Itu aje? Dia memijak pedal brek apabila lampu isyarat berubah merah.
"Dia bukannya sengaja biarkan awak. Harraz ada urusan penting kat sana." Syafiq membela sahabat baiknya itu.
Si Harraz pun satu hal. Dah sampai sana bukannya reti nak telefon aku. Kut ya pun dah seronok sangat kat sana telefonlah, getus hati lelakinya.
"Tak apa. Saya ingatkan dia dah balik. Tu yang nak jumpa dia tu." Tak mengaku. Mengapalah ke mana sahaja dia berada seakan-akan ternampak bayangan Harraz? Bila rindu, terasa betapa kuatnya cinta.
"Kenapa? Dah rindu?" usik Syafiq selamba.
Hana mencebik. Sejak bila Syafiq jadi seorang penilik perasaan orang?
"Taklah." Tali pinggang keledar diusap dengan jemarinya takut Syafiq dapat membaca fikirannya. Syafiq memandu dengan berhati-hati.
"Sebenarnya Harraz tu ego sikit. Awak kena banyak bersabar dengan dia."
"Kenapa tiba-tiba saya terasa macam Harraz tu bagaikan orang baru dalam hidup saya?"
"Apa maksud awak tu?"
Ada rasa sangsi yang mulai terbit dalam hati gadis itu. Memang sepanjang perkenalan Hana dengan Harraz, Hana tak pernah tahu siapa ibu bapa Harraz. Siapa lelaki itu, dari mana asal-usulnya. Segalanya disembunyikan.
"Umi cakap kami berkawan sejak kecil. Tapi, Raz tak pernah sebut pasal keluarga dia. Tak pernah sekali dia bawa saya jumpa mak ayah dia."
"Oh..." Gigi diketap rapat. Syafiq garu kepalanya yang tak gatal. Apa aku nak cakap? Harraz!
"Adalah. Pernah mak ayah dia lawat awak kat hospital. Yalah awak mana nak sedar, awak sakit masa tu."
Yakah? Kenapa Hana langsung tak ingat sekelumit pun memori lepas? Hana geleng. Pelik. Rizal... Mengapa watak lelaki itu umpama seseorang yang pernah dia kenal? Isy! Merepek. Sungguh! Peti memorinya kosong. Hambar. Mungkin... Bayangannya saja.
"Kenapa perasaan saya lain sekarang? Tapi saya dah lama keluar dari hospital. Sampai sekarang Harraz tu anak siapa pun saya tak tahu. Lama-lama terasa macam dia seorang yang baru. Lagi-lagi sejak jumpa Rizal, saya pelik."
"Rizal?" Syafiq mengetuk-ngetuk jemarinya di atas stereng. Kurangkan resah gelisahnya.
"Rizal tu kan, saya baru jumpa dia dua kali. Errr, saya terbayang perasaan dia yang tengah cari kekasih lama. Kata Rizal, muka saya mengingatkan dia kepada bekas kekasih yang dah pergi membawa diri. Saya pun tak pasti. Nampaknya perempuan tu bermakna sangat pada dia. Hairan, kalau dah sayang, kenapa tinggalkan?"
Syafiq mengambil nafas. Gelabah dibuatnya. Ya, Rizal itulah bekas teman lelaki Hana.
Raz, lekaslah balik weh! Syafiq tersengih-sengih. Belum sampai seminggu jiwanya sudah melalak mahu sahabatnya muncul secepatnya. Hana menggeleng. Huh!
Hana tersenyum tawar. Dia menguap berkali-kali. Sepasang matanya kian layu.
Syafiq memberi sepenuh perhatiannya kepada jalan raya. Suasana di dalam kereta sunyi sepi.
"Apalah agaknya kisah antara Rizal dan perempuan tu, kan? Cinta ni memang susah nak tafsir. "
Syafiq tersenyum sendiri. Anak matanya lurus memerhatikan kenderaan lain. Dia mengambil nafas sebelum menyambung.
"Pasal apa kisah perempuan tu dan Rizal, awak tak payahlah tahu. Itukan urusan dia orang. Yang penting urusan awak dengan Harraz. Kasihan awak, Hana. Kalaulah awak tahu apa yang dah berlaku antara kau orang, mesti awak... Kecewa."
Lama mereka berdiam. Hampir lima minit perut kereta ternoktah daripada suara mereka berdua. Syafiq bertambah pelik. Dia menoleh ke kiri. Ceh! Hana dilihatnya sudah nyenyak tidur. Erk... Syafiq mengetap bibir.
"Ini yang buat aku marah ni," gumam Syafiq. Melihatkan Hana yang sudah lena, Syafiq batalkan niatnya pergi ke Aeon. Alamatnya, dia kena hantar Hana pulang ke rumah Puan Ashikin terus. Tak semena-mena jadi pemandu tanpa gaji!
Malu aku cakap sorang-sorang. Argh! Terjun bangunanlah macam ni, omel Syafiq.
TELEFON yang berbunyi tidak dihiraukan. Hana masih duduk di birai katil. Sejadah diletakkan di atas rak. Tubuhnya dibiarkan berbalut telekung putih. Kemudian dia merebahkan diri di atas tilam empuk. Wah! Baru dia sedar sejak kebelakangan ini dia selalu tidur awal. Balik dari kerja, tidur. Malam pun tidur awal.
"Hana, angkatlah telefon tu. Bisinglah!" bebel Yusnita seraya menyangkut kain telekungnya di dalam almari. Sebelum dia melangkah keluar dari kamar tidur adiknya, sempat dia mencapai alat canggih yang riuh sejak tadi. Siapa? Entahlah! Lekas dia mencubit lengan Hana. Berkerut adiknya diperlakukan begitu oleh kakaknya.
"Nah! Jawab..." Alat segi empat itu dihulurkan kepada Hana.
"Siapa?"
"Entah. Ni nombor entah siapa-siapa. Cubalah angkat. Tak angkat mana nak tahu." Yusnita pulangkan kembali ke tangan Hana. Dia menjegilkan biji matanya sedikit menyuruh Hana sahut panggilan itu.
"Isy!"
Pantas punat hijau disentuh. Yusnita sudah pun menarik tombol merapatkan pintu kamar adiknya. Tinggal Hana seorang.
"Helo, assalamualaikum."
"Waalaikumussalam. Hana, ni saya..."
"Hai, Raz. Awak nak apa?"
"Saya nak cakap sikit dengan awak."
Terubat sikit rindunya apabila mendengar suara lelaki itu.
"Cakaplah. Apa? Bila nak balik? Dahlah sampai sana tak telefon."
Harraz hembus nafas berat.
"Sorry, Hana. Sebab dah lama tak tanya khabar awak. Maklumlah saya memang sengaja buat ulam dengan telefon ni. "
"Dahlah buat saya tertunggu-tunggu. Mengada-ada!" tambah Hana lagi.
Tiba-tiba Hana meletuskan tawa geli hati. Harraz tersengih nipis di hujung talian.
"Yalah, lain kali jangan buat lagi. Saya pun tak nak ganggu urusan awak kat sana."
"Eloklah macam tu. Kalau awak dah tahu saya sibuk, sekurang-kurangnya awak tak adalah tertunggu- tunggu pangilan saya, kan? Macam tu bolehlah saya sibuk selalu." Ada tawa halus di situ.
Harraz mendakap tubuh. Entah mengapa apabila berbual bersama Hana, hilang segala keletihan. Namun, dia tak boleh harapkan apa-apa.
"Awak tak rindu saya, ke?" soal Harraz tiba-tiba. Hana menggigit bibir.
"Mana ada! Buat apa nak rindu awak? Entah-entah awak yang rindu saya."
"Tak usah perasan," sanggahnya selamba.
"Erk..." Hana menggaru-garu kepalanya.
"Esok saya balik KL."
Hana menengadah awan gebu...
"Hana, saya nak jumpa awak nanti boleh?"
"Insya-Allah boleh. Kat mana?"
"Urm, kat satu tempat. Nanti saya mesej awak tempatnya. Saya nak kenalkan awak dengan seseorang."
Seseorang? Hana telan liur. Cemburu. Siapa yang dimaksudkan? Lelaki atau perempuan?
"Siapa?"
Harraz geleng. Emilia! Halkumnya mula terasa pedih.
"Awak betul nak tahu?"
Hana tersenyum nipis.
"Kalau macam tu, kita kena jumpa esok."
"Oh! Okeylah awak, saya kena turun bawah kejap. Umi panggil." Aduh, menyesal tanya! Talian lantas diputuskan. Harraz sudah bersiap sedia untuk hari esok. Marahkah Hana kerana dia membawa pulang Emilia? Maaf, Hana.
Kalau umi awak nak saya bawa awak lari, saya pun nak lari. Saya nak lari dari semua ni. Tak sanggup menipu.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro