Bab 13
"Raz," tegur Puan Bashira. Harraz tersenyum.
"Raz tengah fikirkan siapa?" Dia melabuhkan punggung di atas sofa. Sama-sama meluangkan masa di malam hari.
Harraz geleng.
"Tak adalah, bu. Raz teringatkan Syafiq," respons terbaik! Salahkah? Syafiq kawan baiknya.
"Syafiq? La, kenapa tak ajak dia datang sini sekali?"
"Dia ada kerja lain, bu. Dia kena jaga pesakit Raz. Lagipun Raz tak boleh balik lama."
Puan Bashira ketawa kecil. Rambut anaknya diusap. Sudahkah Harraz memiliki buah hati?
"Yalah, ibu faham. Raz, ibu nak tanya sikit."
"Tanyalah."
"Raz dah boleh maafkan Emi? Ibu tengok hari tu keadaan kamu berdua dah baik. Raz dah tak marahkan dia lagi?"
Wajah lembut Puan Bashira ditenung. Entah mengapa jantungnya berdegup pantas.
"Bu, Raz dah tak marahkan dia. Raz bersyukur dia dah berubah. Kita doakan semoga dia teruskan sikap baru dia. Ya, bu?"
Alhamdulillah. Puan Bashira tersenyum senang. Dia mencapai tangan anaknya itu. Kasar telapak tangan Harraz. Urat-urat di tangan anaknya gagah menonjol. Harraz turut menggenggam erat tangan ibunya.
"Ibu suka sangat dengan diri Emi yang sekarang. Raz, nanti di Malaysia jaga Emi baik-baik ya?"
Harraz angguk.
"Dia kan dah besar, ibu. Tahulah dia jaga diri nanti. Ibu janganlah risau sangat. Kita orang akan selalu jumpa. Tak lama lagi kan dia akan kerja kat tempat yang sama dengan Raz."
"Apa pula pandangan Raz tentang Emi?"
"Dia..."
"Cantik?" potongnya.
"Memang cantik. Ibu, semua perempuan bila menutup aurat tu cantik. Dah memang kewajipan orang perempuan menjaga tu semua. Lagi nampak terpelihara, nampak sopan santunnya." Harraz hembus nafas.
"Aurat perempuan bu, kalau dibiarkan terdedah akan mengundang malapetaka. Raz suka perempuan yang cantik bukan kerana paras rupa aje tapi sikap dia dalam menjaga batas pergaulan dan maruah."
Puan Bashira angguk setuju.
"Orang macam Emi tu antara calon menantu yang ibu mahukan. Bukan Emilia lima tahun dulu, tapi yang Raz kenal hari ni."
Beberapa hari lepas, Puan Ashikin menyuruh dia menikahi Hana. Malam ini, ibu kandungnya sendiri berhajat nak satukan dia dengan Emilia. Keliru. Harraz hela nafas buat kesekian kali.
"Bu, kita cakap hal lainlah," dalih Harraz tak berminat. Dia perlukan waktu untuk bersedia dengan segala kemungkinan yang bakal berlaku kelak. Ada seperkara yang Harraz rahsiakan daripada pengetahuan keluarganya yang dia sendiri tak tahu harus mulakan dari mana.
"Raz..." Puan Bashira menyentuh mukanya. Harraz ketap bibir. Dia kelu. Segala urat sarafnya dingin membeku.
"Raz faham maksud ibu?"
"Raz faham, tapi Raz perlukan masa. Hal yang dah lepas tu memang Raz dah lupakan. Bu... Raz baru aje balik, ibu dah buat permintaan yang Raz sendiri tak sangka. Okey, Raz akan jaga Emi untuk ibu tapi tolong beri Raz masa. Boleh?"
"Emi cintakan Raz. Dia masih sayangkan Raz."
"Raz tahu. Tapi hati Raz kat dia dah tak macam dulu, bu."
"Cuba perlahan-lahan. Insya-Allah boleh."
"Emi perlukan kasih sayang daripada seorang suami. Dia perlukan teman. Raz, hidup dia dah tak ada sesiapa."
"Ibu, Raz faham bu. Raz tahu keadan Emi sekarang. Raz janji Raz akan jaga dia seperti yang ibu minta. Tapi macam Raz cakap tadi, benda ni perlukan waktu. Sekalipun Raz dah maafkan dia, mana mungkin akan ada rasa cinta Raz untuk dia. Bu, Raz tak nak kita bergaduh pasal perkara ni."
"Raz dah ada orang lain?" tanya Puan Bashira tak puas hati.
"Siapa perempuan tu?"
"Dia..." Mangsa Raz. Seorang perempuan yang dah hilang memori sebabkan Raz, sambung Harraz dalam hati. Tak tergamak meluahkan cerita sebenar kepada ibunya.
"Pesakit Raz."
"Belajar cintakan Emi, Raz," gesa wanita itu lagi. Walau ujarannya lembut, tapi Harraz fasih benar apa yang tertulis dalam benak ibunya.
Harraz memicit-micit dahi. Payah apabila bertukar bicara dari bibir ke bibir tanpa hati yang memahami. Harraz beristighfar panjang. Adakah dia reda akan semua ini?
EMILIA duduk di antara pusara Puan Dalila dan Encik Anwar. Menadah tangan berdoa kepada Allah S.W.T agar kedua-dua orang tuanya dikelaskan dalam ahli-ahli syurga.
Di pagi yang dingin dia menyelimut hati sedihnya sendiri. Tangannya menyentuh batu nisan yang menjadi kubu petanda nama ibu dan bapa. Tuhan pemilik setiap yang hidup.
Emilia tersenyum nipis. Lusa dia akan berangkat ke Malaysia. Walau di mana dia berada jarak sudah tak penting lagi baginya. Tangan mengelap matanya yang berair. Ya, dia sudah penat berbuat dosa.
Kelopak bunga ditabur untuk arwah ibu tersayang sebelum disiram air. Selepas itu, beralih pula pada arwah bapa tercinta.
Emilia bangkit seraya menggulung tikar. Dia menapak. Jag kaca dibawa bersama menuju ke kereta yang terparkir di luar pagar. Sedikit aneh apabila matanya bertembung dengan Harraz yang sedang bersandar di belakang kereta miliknya. Cermin mata gelap lelaki itu ditanggalkan lalu disisipkan ke dalam poket kemeja.
"Assalamualaikum..." Harraz memberi salam. Mukanya tenang.
"Waalaikumussalam." Emilia kalih kiri dan kanan. Memerhati sekitar kawasan tanah perkuburan di situ. Hanya segelintir manusia yang menziarahi pusara.
"Awak buat apa, Raz?"
Lelaki itu merengus. Dia memeluk tubuh.
"Raz tunggu Emi dari awal pagi tadi. Ibu cakap, Emi dalam perjalanan ke sini. Sementara tu, Raz lawat kubur arwah mama dan papa Emi."
"Terima kasih sebab sudi bacakan Yasin untuk mama dan papa saya." Emilia memicit punat di gugusan kunci kereta. Tikar dan bekas air dia letak di tempat duduk belakang pemandu.
"Okeylah, Raz. Emi balik dulu. Assalamualaikum." Belum sempat Emilia masuk ke dalam perut kereta, Harraz lekas menahan.
"Errr... Raz ada benda nak cakap dengan Emi. Boleh kita jumpa sekejap? Tak sopan pula berborak dekat tempat macam ni."
Emilia tak membantah.
"Kat mana tu?"
"Kat mana-mana aje," jawab Harraz sedikit bingung. Mata mereka bertembung.
"Apa kata Emi belanja Raz minum?" pelawa Emilia. Harraz sekadar mengangguk.
BANGKU merah ditarik. Harraz cuma meniru tindakan Emilia. Duduk diam tanpa suara. Selepas membuat pesanan, mereka masih melayan perasaan masing-masing. Lima minit kemudian, nasi lemak kukus dan dua gelas teh O panas menjadi hidangan mereka berdua pagi itu. Harraz tarik nafas.
"Nah." Emilia menolak pinggan kepada Harraz sambil tersenyum.
"Makanlah."
"Terima kasih." Aroma sambal tumis ikan bilis begitu menyelerakan. Harraz hirup minuman membasahkan tekak.
"Emi..."
"Urm?"
"Emi mesti tahu kan yang ibu sayangkan Emi?"
Emilia senyap. Kunyahannya semakin perlahan.
"Malam semalam, ibu kata dia suka Emi jadi menantu dia. Dia puji diri Emi yang sekarang dan sangat berharap supaya kita bersama."
Emilia menyepi. Dia tak mahu berangan dengan sesuatu perkara yang belum pasti. Emilia berlagak bersahaja. Harraz mencuri pandang jemari Emilia yang sedikit menggigil. Apa yang perempuan itu risaukan?
"Jangan difikirkan sangat, Raz. Itu kata-kata Mak Cik Shira aje. Jodoh bukan ibu bapa yang tentukan. Ini semua kerja Dia."
Harraz angguk. Bacaan bismillah disertakan sebelum menyuap nasi ke dalam mulut.
"Emi ada simpan perasaan pada Raz?" Entah mengapa Harraz ingin tahu. Emilia telan liur yang pahit seperti kopi. Bisu seribu bahasa. Sepasang mata lelaki itu tak berani ditatap. Harraz tetap merenung wajah Emilia yang tertunduk.
"Kenapa diam?"
"Emi tak ada jawapan. Dahlah Raz, tak..."
"Raz dah maafkan Emi," potong Harraz. Mukanya serius. Emilia tersenyum.
"Terima kasih."
"Berbalik soalan tadi, tolong jawab sejujurnya. Raz tak marah, Raz nak tahu aje. Emi cintakan Raz?" Harraz menyilangkan jemarinya sambil siku direhatkan di sisi bangku. Emilia pejam sepasang kelopak matanya. Ada pertanyaan yang muncul dalam kepala. Antara cinta dan tak percaya. Emilia gigit bibir.
"Ya, masih cinta. Tapi dah tak ada makna semua tu. Emi tak mahu paksa Raz. Tak nak Raz sibukkan kepala dengan hal rumit macam ni."
Harraz hela nafas. Dia mengangguk.
Jadi betullah kata ibu, Emi cintakan aku. Harraz menggumam.
"Urm, ibu juga kata semalam Emi perlukan seorang suami. Ibu nampaknya ambil berat tentang diri Emi. Raz tahu hidup Emi sunyi kan tanpa mama dan papa? Emi ada kawan aje yang jadi teman Emi untuk sementara waktu ni." Harraz tersenyum nipis.
"Raz janji akan jaga Emi."
"Kenapa Raz nak buat semua ni untuk Emi? Sebab mama dan papa dah tak ada?"
Lelaki itu geleng.
"Raz dulu pun banyak simpan dendam dengan Emi. Raz rasa Raz nak baiki semula hubungan kita. Kenapa? Emi takut Raz jatuh cinta kat Emi?"
"Jangan jatuh cinta dengan Emi lagi. Emi dah tak nak harap perkahwinan lagi dalam hidup Emi."
"Maksudnya?"
"Manusia mengatakan kadangkala cinta itu berkuasa membutakan hati insan yang menyimpan rasa cinta. Indah di awal tapi pedih di akhir. Emi kena banyak lagi belajar. Emi tahu ibu Raz sayang Emi. Tapi kahwin dengan Emi tu bukan pilihan yang baik."
Harraz diam.
"Raz... Raz boleh belajar cintakan Emi." Hatinya terpaksa akur pada Puan Bashira. Belajar cintakan Emilia. Bolehkah begitu? Pupuk rasa cinta itu... Adakah mudah?
"Jangan. Emi tak nak Raz merana. Lagi indah kalau kita ada kisah cinta yang terpelihara, kan? Dalam setahun Emi curahkan rasa cinta pada hampir dua hingga lima lelaki yang berbeza. Kalau Emi kahwin dengan Raz, suami sendiri jadi orang yang ke berapa pula? Takkan lepas dah bertukar-tukar tangan, baru nak kahwin? Tak adil untuk Raz."
"Emi cukuplah ungkit dosa lalu. Kita boleh cuba. Raz akan belajar kalau ini akan bahagiakan semua orang."
"Raz, Emi tahu Raz rasa terpaksa. Ni semua demi ibu Raz, kan? Jangan macam ni Raz. Lebih baik Raz kahwin dengan pilihan hati Raz sendiri. Janganlah fikirkan sangat pasal Emi. Emi tak apa-apa."
Lelaki itu terpaku. Matanya masih setia meneliti raut Emilia yang tunduk mengunyah nasi. Berkaca sepasang mata gadis itu.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro