Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 11

Bagasi diletakkan di tepi dinding. Siap sudah dia berkemas hampir setengah jam. Harraz mengibas-ngibas baju yang tersarung di tubuh mengurangkan bahang. Panas. Dia membawa langkah ke ruang tamu. Suis televisyen dihidupkan sambil bersantai di atas sofa. Alat kawalan jauh dipusing-pusingkan menghilangkan rasa bosan. Jam empat petang dia akan berangkat ke Brunei.

Harraz merehatkan tangan di sisi sofa. Terasa kosong tanpa kerja. Syafiq pula tidur memanjang. Eloklah tu. Mentang-mentang hari ini bercuti.

Siaran ulangan filem Mom At Sixteen di Hallmark Channel ditonton dengan pandangan bersahaja. Kisah seorang anak dan pelajar yang masih bersekolah. Berumur enam belas tahun melahirkan anak kepada kekasih hati tanpa restu seorang ibu yang begitu inginkan yang terbaik buat anaknya.

Teringat Harraz pada satu peristiwa di mana seorang gadis muda meminta supaya menggugurkan kandungannya yang berusia tiga bulan. Sanggup untuk membayar beratus ribu ringgit. Harraz cuma mampu menolak. Kemalangan yang berlaku ke atas Hana sudah dianggap suatu kebodohan inikan pula mahu membuat perkara keji begitu. Nauzubillah.

"Wei, Raz," Syafiq memisat mata. Wah! Sedapnya tidur.

Ding dong! Loceng pangsapuri Laman Mutiara berdenting. Siapa pula yang datang? Syafiq merelakan diri menuju ke pintu utama. Harraz berkerut. Sejak bila pula temannya itu bangkit daripada tidur? Syafiq mengintai dari lubang pintu siapa gerangan tetamu yang hadir.

"Assalamualaikum," suara seorang wanita memberi salam.

"Waalaikumussalam," jawab Harraz dan Syafiq serentak.

"Siapa datang?" soal Harraz. Syafiq mengukir senyuman tawar. Dia tak menjawab pertanyaan lelaki itu sebaliknya membuka pintu. Membuntang biji mata Harraz melihat Puan Ashikin menerpa masuk. Syafiq meluaskan daun pintu dan pintu cermin memandangkan wanita itu hadir berseorangan.

"Mak cik, jemput duduk." Harraz menolak segala surat khabar dan majalah di atas meja. Berselerak. Dia menyusun naskhah-naskhah itu lalu disambut Syafiq.

Puan Ashikin menyimpulkan senyuman.

"Maaf, mak cik datang tak beritahu."

"Tak apa. Mak cik nak minum?"

"Biar saya buatkan," sampuk Syafiq. Meluru dia ke dapur membancuh minuman. Puan Ashikin meliarkan matanya ke serata rumah yang dihuni oleh dua orang doktor itu. Fail menimbun di atas meja makan. Risau pula dia terjah semasa Harraz sedang sibuk.

Aik, dia tak kerja ke hari ni? Puan Ashikin betulkan duduk.

"Ada apa mak cik ke sini?"

"Raz mesti tahu yang Hana dah mula kerja, kan?"

Harraz angguk kecil. Dia menyilangkan jemarinya. Syafiq muncul kembali bersama dua muk berisi Nescafe panas. Sejurus itu terus dia menyorok di belakang dinding. Mencuri dengar perbualan Harraz dan Puan Ashikin. Apa yang serius sangat sampai Puan Ashikin datang ke rumah?

"Semalam Hana jumpa Rizal. Dia orang terserempak di KLCC."

Harraz terkedu. Dia menggaru kepala. Lama wanita berhijab itu diam.

"Harraz rasa apa tujuan Rizal kali ini?" tanya Puan Ashikin lagi.

"Entahlah, mak cik..." Tersarat beban lidahnya untuk berkata-kata.

"Eddy Rizal tu lelaki yang memang tak reti malu, juga satu-satunya lelaki yang masih tak tahu apa-apa soal hidup Hana sekarang."

Harraz tetap bereaksi biasa. Seolah-olah jiwanya tenang setenang air mukanya. Nafas panjang dihela. Harraz menelan liur. Halkumnya bergerak-gerak. Sungguh dia tak tahu apa yang wajar dia balas. Fikirannya juga kusut.

"Tapi Hana mesti tak kenal dia, mak cik. Mak Cik Shikin pun tahu kan, ingatan Hana memakan masa untuk pulih semula. Selagi dia tak tahu cerita sebenar dan tak ada sesiapa yang cuba ingatkan dia, dia takkan ingat. Melainkan ada orang yang beritahu dia." Harraz meraup wajah. Lelaki itu merenung asap yang keluar dari muk.

Puan Ashikin mengangguk. Ya, dia tahu itu semua. Apa yang mustahak baginya dia takkan membiarkan Hana menjadi wanita buruan Rizal lagi.

Harraz menghimpunkan kekuatan untuk berterus terang. Lelaki itu duduk tegak.

"Mak cik, kalaulah masa tu boleh diputarkan semula macam kita putarkan roda basikal, benda ni semua takkan terjadi. Saya pun tak payah berpura-pura jadi macam yang saya sekarang ni. Berbohong depan Hana. Buat tambah dosa."

"Raz cakap memang senang. Mak cik seorang perempuan. Mak cik tahu perasaan sakitnya hati bila maruah kita dipijak-pijak macam tu aje. Apatah lagi Hana. Dulu, dia sangat cintakan Rizal. Tapi apa yang Rizal dah buat kat dia? Mak cik tak nak perkara tu berulang lagi pada Hana." Minuman yang terhidang dihirup.

"Mak cik, Hana yang dulu atau yang sekarang sama aje. Mungkin sekarang kita rasa selamat sebab Hana dalam proses nak jadi diri dia yang baru. Percayalah, harapan yang mak cik nakkan tu lambat-laun musnah juga."

"Tak! Harapan mak cik takkan musnah kalau Raz sudi tolong mak cik kali ni. Tolong mak cik, Raz. Itu aje yang mak cik minta."

Allahuakbar! Harraz mengurut hidungnya yang terasa pedih. Terseksa batinnya selama beberapa bulan ini.

"Mak cik, satu hari nanti Hana akan tahu siapa pembohong dan Hana akan tahu juga siapa pengkhianat. Jadi sama ada saya atau Rizal, dua-dua akan terima padah. Secara tak langsung mak cik juga akan dipersalahkan."

"Hati anak mak cik yang sebelum ni cuma ada Rizal. Tapi hati dia yang sekarang, mak cik percaya cuma ada Harraz."

Harraz tersentak! Dia mendongak.

"Mak cik risaukan Hana. Jangan sampai Rizal buat anak mak cik menderita lagi. Hana dah cukup sakit. Tolong faham."

Ya Allah, apa patut aku buat? bisik Harraz di dalam hati.

"Harraz sayangkan Hana?"

"Mak cik... Apa yang mak cik nak sebenarnya daripada saya?" perlahan dia membariskan soalan.

Puan Ashikin menahan air jernih di mata. Harraz serba salah.

"Jadi menantu mak cik, Raz. Jadilah suami Hana dan bawa dia sejauh mungkin. Bahagiakan hidup dia." Setengah hati dia merayu.

Terbeliak mata Harraz dan Syafiq yang sejak tadi menyorok di belakang dinding.

"Huh? Saya? Saya kena kahwin?"

"Ya, kahwin dengan Hana."

"Tak. Tak boleh. Saya tak boleh."

"Kenapa?"

"Kenapa mesti saya? Mak cik ingat saya ni apa? Semata-mata mak cik pentingkan kisah silam anak mak cik tu, mak cik sanggup buat saya macam ni? Kahwin ni bukan untuk kepentingan peribadi. Bukan. Dengan berkahwin pun, masalah takkan selesai kalau mak cik terus-terusan paksa saya. Minta maaf, kali ini saya terpaksa bantah cakap mak cik. Kalau tujuan mak cik nak suruh saya kahwin dengan Hana semata-mata supaya saya boleh bawa Hana pergi jauh, mak cik silap. Saya pun ada hati, maruah dan pendirian saya sendiri." Harraz bangkit dengan rasa geram.

"Soal kahwin, bukan perkara yang remeh-temeh."

Dia masuk ke bilik.

TIKET penerbangan dibelek depan belakang. Pasport disisipkan ke dalam poket. Cadangan Puan Ashikin pagi tadi memang tak masuk akal.

Mana mungkin aku dapat tunaikan apa yang dia nak. Nanti macam-macam hal aku kena galas. Yang Hana pun kenapa tak bincang dengan aku sebelum suruh mak dia datang rumah? Topi di atas kepala dia tekup dengan telapak tangan. Mata menembusi kaca bangunan lapangan terbang. Memerhatikan badan-badan pesawat. Harraz hela nafas. Jaket Puma dia letakkan di atas bagasi. Tubuhnya yang berbaju-T lengan pendek dan berseluar paras betis cukup untuk keselesaannya yang memang suka fesyen begitu.

Dalam sepi, Harraz menunggu masa untuk berangkat. Dia yakin, setibanya di sana pasti Puan Bashira susah mahu melepaskannya pulang ke Malaysia.

Dia menghidupkan telefon bimbitnya semula mahu menghubungi Hana. Serta-merta jantungnya kencang. Entah mengapa hasratnya terbantut untuk melakukan hal itu.

Harraz Nazran, kenapalah dengan kau hari ni? Harraz menelan liur.

"Weh, Raz..." tegur Syafiq yang baru keluar dari kedai coklat.

"Urmmm?" Harraz tersenyum seraya menepuk sekilas bahu Syafiq. Kasihan sahabatnya yang seorang itu. Tak pasal-pasal kena jadi pemandunya ke lapangan terbang. Dia memusing leher menjenguk manusia di belakang yang sedang ke hulur ke hilir.

"Kau ni, macam tak happy aje nak balik rumah? Dah empat tahun Raz, kau tak jumpa mak ayah kau kat sana. Bulan puasa pun belum tentu kau balik, kan? Apatah lagi hari raya. Tak baik buat macam tu. Untung mak tu ada lagi." Syafiq sekadar mengingatkan.

Harraz ketap bibir. Sekejapnya masa berlalu. Semenjak Harraz meninggalkan rumah, hatinya sudah bagaikan tong kosong tanpa isi. Rindu terhadap kedua ibu bapa memuncak tinggi, dia tahankan sahaja rasa itu. Yang hairannya, boleh pula dia tanggung azab seksa rindu seorang diri.

"Kenapa? Rajin pula kau kira berapa lama aku dah tak balik Brunei, eh?" Harraz ketawa.

Syafiq menggeleng sambil mengeluh.

"Aku bukan nak menyibuk. Kita kan kawan. Aku perasan yang kau sebenarnya tak ada hati pun nak ke sana. Tapi kau kena ingat, mak ayah kau masih ada lagi. Setakat bercakap kat telefon, mana sama dengan kau ada di sisi dia orang. Kau ego sebenarnya. Nampak aje sempoi, tapi jiwa kau ego sangat Raz. Kenapa ni? Raz, kita sebagai lelaki memang kena ada ego, tapi dengan mak ayah jangan melampau."

"Bagi aku, pergi ke Brunei satu perkara yang buang masa. Kau lainlah, anak emas. Setiap hari telefon mak kat Kelantan. Setiap saat tanya menu." Harraz menekan bahu Syafiq. Rakannya itu tersenyum diusik begitu. Ada kelainan pada nada suara Harraz.

"Tak ada apa yang buang masanya, Raz. Kau tak boleh anggap macam tu. Kita sebagai anak Raz, kenalah faham perasaan mak ayah. Bukan setakat dengan pesakit aje kita kena faham. Dahlah... Kau balik rumah kali ni, mesti mak ayah kau seronok."

"Raz,"

"Urm?"

"Sorry, pagi tadi aku curi dengar perbualan kau dengan Mak Cik Ashikin."

"Eloklah kau dengar. Tak payah aku terangkan kat kau panjang lebar lagi. Kalau aku tak cerita sekarang pun, esok lusa aku akan ceritakan juga. Ha, kau dah dengar sendiri, jimat tenaga aku."

"Jadi, apa keputusan kau?"

"Kau kata tadi kau curi dengar? Kau tak dengar ke aku tolak apa yang dia minta? Tiba-tiba aje dia suruh aku kahwin dengan anak dia. Bab kahwin ni bukannya hal yang senang. Macam-macam benda aku kena fikir."

Syafiq menghela nafas separuh berat.

"Tapi Raz, kalau dah sayangkan Hana tu baik kau kahwin aje."

"Aku tak boleh terburu-buru. Macam satu kejutan tahu, tak? Mak Cik Ashikin datang ke rumah, suruh aku kahwin. Huh! Hana pun tak cakap apa-apa kat aku. Ini mesti dia yang pandai-pandai minta umi dia buat macam tu."

"Woi! Kalau betullah Hana yang suruh mak dia buat macam tu, apa salahnya? Mak Cik Ashikin mungkin terlalu risaukan anak dia. Sekurang-kurangnya bila kau terima cadangan dia, kau boleh jaga Hana."

"Masalahnya, dia gunakan alasan kahwin tu untuk aku bawa lari Hana. Masalah takkan selesai. Ini kes menipu, tau? Aku ni kalau ikutkan bukannya kenal sangat pun dengan anak dia. Selama ni aku kena ugut, aku ikut. Kali ni aku terpaksa bantah. Aku ni ada jiwa juga, Syafiq. Pening kepala ya, sakit jiwa pun ya. Aku ada perasaan kat Hana tapi aku sedar aku ni siapa. Aku tak nak sakitkan hati sendiri." Harraz merengus. Jika dia memberikan cinta kepada Hana hari ini, akankah esok mahupun lusa Hana turut membalas cintanya juga? Di situ akan menimbulkan persoalan.

"Alahai, kau janganlah fikir keadaan makin teruk. Kau kena positif. Kalau kau kahwin dengan Hana, Si Hana tu tetap tak boleh lari daripada kau sekalipun dia tahu hal sebenar. Walaupun aku tak pernah bercinta dan belum pernah ada kekasih, tapi aku tahu adalah salah andai kita membenci ketetapan yang ada dalam hati kita sendiri." Syafiq menekur lantai. Janganlah tegar mahu tergolong dalam manusia yang sedang bermunafik dengan cinta. Yang langsung tak mengerti arah tujuan tapi menggoreskan nanah terhadap diri sendiri semata-mata.

"Maksud kau? Aku kena terima untuk kahwin dengan Hana juga? Tak naklah. Tu kahwin terpaksa, bukan kahwin sebab ikhlas. Yang aku hairannya, Mak Cik Ashikin tu dah kenapa sampai merayu-rayu nak aku kahwin dengan anak dia? Isy! Kerja gila." Sehingga hari ini Harraz masih tak faham, apa hajat Puan Ashikin sebenarnya? Tergamak menggesa orang lain supaya akur pada titahnya. Kenapa boleh jadi begitu? Apa yang wanita itu fikir?

"Raz, janganlah putus asa. Aku..." Syafiq mematikan bicara apabila keruhan muka Harraz melonjak ketara.

"Ah! Aku tak nak. Cinta tak semestinya bersama. Aku takkan kahwin sampai Hana tahu kebenarannya. Lagi sekali kalau Mak Cik Ashikin desak aku, aku rela Hana tahu siapa dia yang sebenar. Dan kaitan aku, dia dengan Rizal." Sebal! Isy! Bengangnya.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro