Bab 10
Rizal duduk di atas sofa sambil menyelak majalah sukan dengan penuh minat. Penat dengan kesesakan lalu lintas sepanjang perjalanannya dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur.
"Aku mula-mula ingatkan nak tunjuk bossy sikit." Hasmiza ketawa kecil. Pantas Syuhaida menampar lembut lengannya. Sama sekali tak suka dengan sepupunya yang asyik membahan orang.
"Janganlah macam tu, Miza. Hana tu kan masih baru. Janganlah kasar-kasar dengan dia."
"Ya, aku tahu. Eh! Yang kau ni kenapa awal sangat datang? Si Hana tu pun belum sampai lagi."
"Tak apalah datang awal. Boleh temankan kau juga."
"Cakap pasal Hana, dia ada cerita kat aku pasal kawan dia sorang ni. Siap tunjuk gambar lagi. Aku sukalah dengan doktor tu. Nama dia..." Hasmiza garu-garu kepala. Cuba mengingati semula doktor bergaya itu.
"Alah, aku tak ingatlah. Tapi aku suka tengok muka dia."
Syuhaida menggeleng. Sesekali matanya memandang suaminya.
"Handsome. Macam suami kau. Tapi aku tak boleh puji laki kau sebab dia tu kau punya."
"Kalau dah suka kenapa tak nak belajar dekatkan diri? Dah berkenan suruh ajelah dia masuk meminang."
"Aiyo, aku minat ajelah. Bukannya menggatal tak tentu pasal." Hasmiza memuncung. Dilihatnya Rizal bangkit dari sofa. Haaa... Nak ke mana pula?
"Syu, abang nak keluar pergi kedai kamera sekejap, ya? Nak tengok kamera keluaran terbaru," maklum Rizal langsung melencongkan kaki. Berselisih dengan dua orang lelaki berbangsa Cina yang baru masuk ke kedai milik bapa mentuanya. Matanya memerhati manusia yang tak pernah surut di bangunan mewah itu. Setiap hari pasti ramai. Terharu juga rasa apabila pendatang asing sudi menjadikan Malaysia sebagai destinasi percutian mereka. Rizal tersenyum sendiri.
Suasana di KLCC masih lagi ceria. Hana masuk ke dalam bangunan itu, melenggang kangkung menuju ke tingkat lima. Leka mengatur langkah, sedikit pun tak melihat manusia di hadapan. Sebelah tangan memegang tali beg di atas bahu. Wajah pula menekur lantai. Telefon bimbit dikeluarkan dari kocek seluar apabila terasa getaran menandakan ada mesej masuk. SMS dari Puan Ashikin!
Umi ni asyiklah nak risau tak habis-habis. Macam aku ni tak reti jaga diri, hatinya mengomel.
Dia melewati lorong-lorong di situ. Dan...
"Auch!" Satu suara lelaki mengaduh kesakitan. Membulat biji mata Hana.
Aku terpijak kaki orang ke? Hana mendongak. Lelaki itu turut membalas pandangannya dengan renungan yang aneh. Jantung Hana semakin gelisah. Risau dimaki hamun.
"Maaf encik. Saya tak sengaja."
Apa pasal la, aku selalu berlanggar dengan orang? Argh! kutuknya.
Lelaki itu masih tak beranjak. Tidak berkelip memandang Hana. Hana berganda-ganda jadi pelik.
"Encik, maaf... Saya tak sengaja. Maaf, ya?" Hana tunduk dua kali. Dah seperti orang Jepun memberi hormat. Rizal berkerut. Terpatung. Dia menggosok-gosok mata.
Ma... Mariah? Mengapa Mariah seperti tak mengecam dirinya? gumam Rizal dalam hati.
"Ma... Mariah?"
"Mariah pula dah. Siapa Mariah?" Hana garu kepala. Bingung.
"Oh! Errr... Nama saya Rizal. Awak ingat tak?"
"Rizal? Oh! Hai, saya Hana. Maaflah saya memang tak kenal encik. Maaf ya, encik sebab terlanggar. Saya nak pergi kerja ni." Hana tersenyum mesra. Meleret sengihannya sampai ke telinga.
Lelaki itu masih kaku. Hana berkerut nipis.
"Encik, ooo encik." Tangannya melambai-lambai di depan muka Rizal yang terlopong seperti dipukau bomoh.
Rizal tersentak. Ya, dia yakin! Perempuan itu memang Mariah. Inilah perempuan yang bercakap dengannya dalam telefon tempoh hari! Walaupun gadis itu sudah bertudung, raut dan suaranya tetap sama seperti dulu. Telefon bimbit yang berdering dibiarkan tak bersahut.
"Errr, maaf. Saya tengok awak ni macam muka kawan lama saya. Tapi saya dah tak tahu dia kat mana."
"Saya?" Hana tuding jarinya ke muka. Dia tergelak.
"Encik salah orang kut. Saya Hana. Biasalah orang kata dalam dunia ni ada tujuh orang muka yang sama. Adatlah tu kan, kalau tersilap orang? Okeylah encik, saya pergi dulu, ya? Nanti lambat kena marah dengan bos pula."
"Hana..." Apa perasaannya saat ini? Gembira? Syukur?
"Ya, encik?"
"Errr, selamat bekerja. Assalamualaikum."
Lelaki itu bersandar di dinding. Dari jauh jiwa lelakinya menyoal sesuatu. Mengapa sekejap sahaja Mariah sudah melupakan dia? Rizal menolak anak rambutnya ke belakang.
Tak, aku tak salah orang, gumam hatinya. Rizal merelakan anak matanya menyusuli kelibat gadis tadi. Gerak laku Hana mencurigakannya. Atau memang dia tersilap orang. Tak! Ini bukan suatu kesilapan.
Ya, Mariah mesti sudah melemparkan dirinya jauh-jauh. Rizal sukar mahu menerima hakikat. Dia bingung dengan watak gadis itu. Apakah kekasih lamanya menyimpan dendam terhadapnya sehingga dia berubah tingkah? Sengajakah wanita itu bertukar peranan sebagai Hana?
RAMBUT yang basah dilap dengan tuala. Hana merebahkan diri di atas katil. Hana merenung terus ke atas sambil menyilang kedua belah tangan mengalas kepala. Penat berbaring dia duduk bersandar di kepala katil memeluk lutut. Wajah lelaki yang dijumpa di pusat membeli-belah terlayar di ruang mata. Siapa dia? Siapa Mariah? Huh! Hana menahan tawa. Dia mengelap lagi rambutnya. Sungguh kelakar bila diulang kembali babak mereka berlanggar.
"Tak tidur lagi?"
Hana menoleh ke sebelah kiri. Yusnita terpacak seperti tiang bendera dimuka pintu.
"Belum. Akak pun tak tidur lagi? Esok kan kerja?" Kain tuala disidai di ampaian. Kemudian dia menyisir rambutnya dengan sikat. Yusnita pula mencapai beberapa bukunya yang tertinggal di bilik Hana.
"Akak dah nak tidurlah ni. Hana jangan tidur lewat sangat," pesan Yusnita sebelum dia keluar semula dari kamar adiknya itu. Bertambah pelik apabila adiknya itu tiba-tiba meledakkan tawa riang di tengah malam di hadapan cermin solek.
Apa kena dengan Hana ni? Tanpa waswas lagi, Yusnita meletakkan tangannya di atas dahi Hana. Tak pula rasa panas atau tanda-tanda demam.
"Apa yang lawak sangat?"
Cepat Hana menekup mulut. Dia sekadar menggeleng.
"Cakaplah!" Yusnita mencucuk pinggang adiknya. Hana lekas mengelak.
"Tak ada apa. Tadi, masa Hana nak ke kedai jam, Hana terpijak kaki sorang mamat ni. Dia pandang Hana semacam aje. Kut la dia marah Hana ke kan sebab pijak kasut mahal dia. Tapi Hana dah minta maaf."
Yusnita ketawa. Asyik cuai sahaja Hana sejak kebelakangan ini. Dia mendakap buku yang diambil tadi. Hana menyanggul rambutnya. Dia pusing tubuh menghadap kakaknya yang sedang bersandar di almari pakaian.
"Lepas tu?"
"Lepas tu dia panggil Hana ni, Mariah."
"Ya ke dia panggil macam tu? Dia panggil Hana, dengan nama tu? Kenapa?" Yusnita tergelak besar. Namun hatinya gundah tak terkata. Apapun, dia kena berpura-pura bersahaja di depan Hana. Yusnita menekup mulut. Hana tergelak kecil. Tapi... Haih!
"Dia ada beritahu siapa nama dia?" soal Yusnita.
"Nama dia Rizal. Orangnya tinggi, lebih kurang tinggi Harraz jugalah. Hana syak dia silap orang."
Sah! Rizal si pendusta! Puan Ashikin yang baru menaiki anak tangga menangkap suara anak-anaknya yang sedang bersembang di kamar tidur. Wanita itu cemas. Hana tak boleh tahu siapa Rizal. Ya, lelaki itu satu-satunya manusia yang tak tahu sama sekali bahawa ingatan Hana bermasalah. Bagaimana Rizal boleh berada di Kuala Lumpur? Tak cukup lagi apa yang dia sudah lakukan terhadap puteri bongsunya?
Angkara Rizal, mereka sekeluarga dapat malu, perlu menadah tohmahan-tohmahan keji dari jiran tetangga. Rizal tergamak meninggalkan anaknya di majlis akad nikah, menyakiti gadis itu sebaik sahaja kad jemputan telah diedarkan. Menjatuhkan air muka mereka sekeluarga sewaktu seluruh undangan berkumpul mahu meraikan upacara mulia itu. Berjam-jam menunggu kehadiran pengantin lelaki namun hampa. Rizal berkahwin dengan orang lain yang mereka sendiri tak tahu siapa gerangan isteri lelaki itu sekarang. Siapa yang patut dipersalahkan?
Sejurus peristiwa itu juga, Rizal menghaibkan diri entah ke mana tanpa khabar berita. Puas dia cuba menghubungi lelaki itu, tetap gagal! Rizal langsung lesap. Mengapa Rizal tergamak melakukan perkara busuk begitu? Tak bolehkah bawa berbincang daripada membiarkan mereka terima makian daripada masyarakat?!
Aku dah agak dah! Hatinya takkan pernah salah menduga apa yang bakal berlaku ke atas anaknya. Sejak hari pertama Hana bekerja lagi Puan Ashikin terasa serba terganggu. Bayangan Rizal menujah-nujah ingatannya.
Yusnita menjeling ke arah Puan Ashikin yang sedang terpaku. Perlahan-lahan Puan Ashikin menggeleng. Jari telunjuk di bibirnya sebagai tanda supaya Yusnita senyap. Mujur tubuh Hana membelakangkan pintu.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro