Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 1

Gadis itu membuka matanya perlahan-lahan memandang siling yang bercahaya. Di manakah dia sekarang? Ya Allah! Sakitnya kepala. Dia merenung sekeliling ruang wad. Di depannya ada seorang doktor berjubah putih sedang tersenyum manis. Kacaknya! Sempat matanya mengerling tanda nama di baju lelaki tegap berambut kemas itu. Harraz Nazran! Seperti seorang jejaka yang dikirim dari alam kayangan.

"Anak umi dah sedar?" Puan Ashikin merapati anaknya. Mujur kain pembalut kepala sudah ditanggal sebelum anaknya sedar. Gadis itu mengelak dari disentuh. Siapa mereka semua? Macam mana dia boleh berada di atas katil hospital?

"Awak semua ni siapa, ya?" Berkerut kening meneliti satu per satu wajah yang berdiri di tepi katilnya. Tangannya menyentuh dahi. Ada calar-calar luka yang tergores di kepala. Jantungnya berdegup kencang.

"Kau orang semua siapa?" Seram sejuk dia tiba-tiba.

Puan Ashikin mencapai tangan anaknya. Kepala Hana yang dibaluti tudung diusap lembut. Menahan air mata daripada luruh ke pipi. Yusnita turut menahan sebak. Tak sampai hati melihat Hana sakit begitu. Ya Allah!

"Okey, awak bawa bersabar dulu." Harraz tampil dengan santun kata yang begitu lembut dan sopan. Lelaki itu tersenyum panjang melihat raut Hana yang berkerut-kerut.

"Doktor, siapa dia orang?"

Harraz ketawa kecil. Menyorokkan perasaan gelisah. Ikhlaskah dia? Terpaksa! Dia sendiri tersepit. Tak tahu apa lagi cara yang terbaik. Adakah mungkin ini takdirnya sebagai insan biasa yang sering melakukan kesalahan? Kesalahan yang berbingkai. Celaru fikirannya!

"Eh, Hana! Awak dah lupakan saya ke?"

Gadis itu jongket kening. Sungguh! Dia kurang faham dengan apa yang sedang doktor itu katakan. Harraz duduk di birai katil.

"Kita pernah jumpa? Saya tak ingat."

"Sampainya hati awak cakap kat saya macam tu. Awak pengsan tadi. Tak keruan jantung ni ha..." Harraz menekan dadanya. Manalah tak gelabah.

Dia buat satu perkara yang dia sendiri tak suka. Nafasnya ditarik dalam-dalam

"Nasib baik keadaan awak tak apa-apa. Lama umi, ayah dan Kak Ita tunggu awak sedar. Alhamdulillah akhirnya awak selamat."

Hana memandang dua orang perempuan yang lebih tua daripadanya dan seorang lelaki separuh usia. Mengapa dua wanita bertudung itu sedang menahan tangisan? Apa yang sedih sangat?

"Umi dan ayah rindukan Hana. Kakak pun rindukan Hana juga." Mereka bertiga memeluk tubuh Hana dengan ucapan syukur yang tak putus-putus.

"Umi? Ayah?" soal Hana bingung.

"Kita orang semua rindukan Hana," tambah Harraz sekadar menambah perisa agar Puan Ashikin lebih gembira. Terbukti benar. Wanita itu mengerling ke arahnya. Perlahan dia angguk. Harraz sekadar tersenyum nipis. Hana tak beranjak merenung raut tenang Harraz. Sukanya dia melihat penampilan lelaki itu. Segak berjubah putih. Harraz menyembunyikan sepasang tangannya di dalam kocek jubah. Menggigil!

"Harraz," sebut Hana perlahan. Cukup jelas di telinga Yusnita.

"Hana... Harraz kan kawan Hana sendiri. Kenapa pandang dia macam tu?"

Puan Ashikin menjegilkan sedikit matanya memberi isyarat pada Harraz supaya jejaka itu melakukan sesuatu untuk anaknya.

"Hana?"

Adiknya menggeleng. Entahlah! Terpukau sekejap melihat tingkah laku Harraz yang lembut begitu. Pelikkah lelaki bersopan santun? Taklah!

"Oh! Hana suka tengok dia. Sopan aje lelaki ni. Doktor..."

"Janganlah panggil saya doktor. Terasa kelakar pula. Selalunya awak panggil nama saya aje. Haih! Macam tak biasa pula, eh?" Harraz muncung sedepa. Pandai dia berlakon. Terpaksa dan dipaksa! Tak buat kena ugut. Nak tak nak, terpaksa juga pakai 'topeng palsu' di muka. Harap-harap Hana akan faham apa yang sedang dia sandiwarakan ini. Maaf, Hana.

Hana ketawa. Walaupun mindanya kosong. Tak tahu-menahu, dia sedikit terhibur dengan keletah lelaki itu.

"Eee... Comellah! Hehe..."

"Erk!" Merona merah muka Harraz menerima pujian spontan begitu.

BAGASI pakaian dia letakkan di tepi dinding. Matanya melilau ke segenap ruang bilik yang nampak baru itu. Cadar katil tegang, lantai pun berkilat. Kipas siling juga bersih. Dia tersenyum sendiri. Dia dekati bingkai-bingkai gambar yang tersusun kemas di atas meja dan rak. Tangannya menyentuh kepala. Foto pertama, dia dan keluarga. Kedua, dia bersama kakaknya. Ketiga? Dia dengan Harraz. Hana tersenyum. Jiwanya tenang sahaja. Kata Puan Ashikin, mereka memang dah setahun menetap di rumah itu.

"Hana..." panggil Puan Ashikin. Hana memandang wajah wanita itu..

"U... Umi." Matanya kembali meneliti raut-raut dalam setiap bingkai gambar itu. Puan Ashikin mengusap kepala anak perempuannya. Sebulan Hana berada di hospital, Puan Ashikin berpindah rumah supaya dapat sembunyikan Hana daripada Rizal. Dia akan takluk fikiran anaknya hingga gadis itu hanya mengingati apa yang dia lalui sekarang bukan sebelumnya.

Puan Ashikin mahu berikan 'hadiah' terbaru untuk anaknya. Nama, tempat tinggal, juga teman. Namun, di sebalik 'kisah baru', segala itu dia mengandaikan seperti telah lama berlaku. Puan Ashikin tahan air mata dari terus mengalir. Wajah anak perempuannya ditenung dalam-dalam. Dia lebih rela anaknya hidup sebagai Hana selama-lamanya.

Dia mahu Harraz membawa anaknya pergi jauh daripada hidup yang pernah dialami oleh Hana sebelum ini.

"Umi, kenapa umi suka sangat dengan Harraz tu?" soal Hana sambil tuding jari pada foto jejaka berpakaian seperti seorang doktor. Serba putih, ceria sahaja wajahnya.

"Sebab dia layak disukai oleh sesiapa pun. Harraz seorang lelaki yang baik."

Biar anak aku kenangkan Harraz sentiasa daripada mengingati lelaki pengkhianat tu! bicara hati kecil Puan Ashikin.

"Oh!" Hana angguk.

"Tapi kenapa kadang-kadang Hana rasa kekok dengan dia? Hana tahu dia baik, cuma ada sikit rasa janggal dengan dia. Dia pun macam tu. Adakala terpinga-pinga dengan tindakan dia. Kelakar."

"Lama-lama nanti Hana biasalah. Hana kan masih sakit. Mungkin dia pun terkejut dengan semua kejadian ni," ujar Puan Ashikin ringkas.

"Oh! Mungkinlah kut. Harap-harap Hana dan Harraz akan jadi kawan karib selama-lamanya. Hana akan cuba layan dia baik-baik macam mana dia layan Hana."

Puan Ashikin tersenyum nipis. Ya Allah! Sedihnya akan takdir yang menimpa anaknya. Tak mengapalah jika itu yang terbaik. Rizal... Huh! Dia memang punca! Puan Ashikin menggenggam tangannya.

"Hana kena selalu ada dengan Harraz sampai bila-bila, tahu?"

Anak perempuannya tak mengangguk, tak juga menggeleng. Hana menuju ke bagasi pakaian. Tiba-tiba ada satu tangan yang menghulurkan sesuatu. Kotak kasut Bata.Hana mendongak memandang kakaknya, Yusnita.

"Nah, ambillah."

"Apa ni?"

Puan Ashikin menghenyak punggung di birai katil.

"Tu hadiah daripada Harraz."

Perlahan-lahan Hana buka penutup kotak itu.Betapa tertegun dia melihat kepingan kad ucapan yang unik terkumpul di dalamnya. Kreatif! Setiap coretan yang tertulis menggambarkan sebaris madah semangat buatnya.

"Umi, Kak Ita, biar betul ni semua Harraz yang bagi?"

"Ya, Hana." Yusnita memeluk bahu adiknya itu.

"Tiap-tiap malam dia tulis kad tu untuk Hana. Sebelum dia balik dia akan selitkan kat bunga di atas meja wad. Hana tak perasan ke?"

Hana menggeleng. Satu jawapan mudah. Kalau dia sedar hal itu, mana mungkin dia nafikan. Dan tak perlu juga kakaknya bersusah payah mengutip satu per satu kad ucapan itu. Apapun dia hargai apa yang telah diberikan oleh Harraz.

"Hana hargai semua ni. Terima kasih ya, kak, umi sebab simpankan kad-kad ni. Esok, Hana akan pergi jumpa dia nak ucapkan terima kasih juga. Tadi tak sempat jumpa." Hana terus buka kepingan kad yang tak beralamat itu.

Yusnita dan Puan Ashikin saling bertaut pandangan. Ada makna tersirat di sebalik renungan antara mereka. Hana menghayati bibit-bibit ayat yang tercoret. Segala yang tertulis terlalu istimewa. Tak akan pernah dia sesali persahabatannya bersama Harraz.

Hanya Tuhan aje yang dapat gantikan ganjarannya buat awak, Harraz.

"Baiknya Harraz. Rajin pula dia tuliskan kad ni setiap hari untuk Hana."

Puan Ashikin belai rambut hitam anaknya.

"Hana mesti jaga hati Harraz baik-baik. Jangan hampakan perasaan dia."

"Umi, Hana kan kawan aje dengan dia. Raz yang penat lelah, siang-malam jaga Hana kat hospital tu."

Yusnita mencelah. Dia sokong hasrat Puan Ashikin yang mahu Harraz menjadi teman setia Hana. Dia tak akan izinkan sama sekali Rizal dekati adiknya lagi. Dah lima bulan. Eloklah! Tak lama kemudian, adiknya ditimpa kecelakaan hingga melenyapkan ingatannya.

"Memanglah dia kawan Hana. Tapi tak semestinya kita kena sakitkan hati dia, kan? Harraz tu bukan macam..."

Puan Ashikin cubit lengan Yusnita yang hampir terlanjur kata. Anak sulungnya terus berdalih.

"Bukan macam lelaki lain. Lelaki sekarang ramai yang tak boleh dipercaya."

Hana senyum nipis. Rasa terharunya belum habis.

Yusnita berdehem. Suara hatinya menyoal. Kalaulah Hana tahu itu semua pelan yang dirangka mereka semua demi membuka kehidupan yang baru untuk Hana, apakah reaksi adiknya kelak? Marah? Sedih? Ah! Moga-moga Hana tak akan cuba merisik apa-apa daripada mereka.

"Isy, Kak Ita! Tak mungkin Hana akan sakitkan hati dia. Umi jangan risau. Harraz selamanya kawan Hana."

Puan Ashikin hanya diam. Maafkan umi, Hana. Maaf sebab umi yang minta bantuan Harraz untuk mengaku bahawa dia kawan Hana. Umi turut mohon kepada Harraz supaya jangan tinggalkan Hana. Umi risau kalau suatu hari, anak umi jumpa Rizal lagi. Tak! Janganlah pisang berbuah dua kali. Lebih baik matikan saja nama Rizal itu selamanya. Biar nama Harraz Nazran saja yang duduk di dalam memori anaknya, sementara ruang ingatan Hana masih kosong.

"Ha... Nanti umi telefon Harraz, ya? Umi beritahu dia yang umi akan hantar Hana ke tempat yang kau orang nak jumpa."

"Hana boleh pergi sendiri."

Lekas Yusnita menghalang. Mesti adiknya tak tahu selok-belok bandar Kuala Lumpur. Kalau adiknya sesat, satu masalah nak mencari

"Eh Hana, janganlah. Kat sini bahaya, Hana kan masih sakit."

Adiknya berkerut.

"Alah, jumpa Harraz aje. Bukan ke mana-mana."

"Tak apalah, umi hantarkan."

Tanpa membantah Hana bersetuju.

"Terima kasih, umi."

Hana pegang tangan ibunya.

"Umi, boleh tak Hana cari kerja?"

Cari kerja? Cepatnya! Puan Ashikin geleng. Tak benarkan.

"Tak payahlah kerja. Hana duduk ajelah rumah dengan umi. Biar Kak Nita yang kerja."

Hairan. Kakaknya boleh pula bekerja. Hana sedikit kecewa. Kenapa dia tidak dibenarkan untuk bekerja?

SEHELAI salinan surat beranak Puan Ashikin tenung dengan rembesan air mata. Nama anaknya diteliti Nur Hana Binti Mohd Rashidi. Beratnya untuk dia lalui semua ini. Dia perlu menyemaikan memori pada ingatan anaknya semula.

"Umi..." Hana masuk ke bilik solat.

"Hana." Puan Ashikin dongak pandang anaknya.

Anaknya merenung wajah ibunya yang basah.

"Kenapa umi menangis?" Matanya tumpah kepada helaian di tangan Puan Ashikin.

"Umi buat apa dengan surat beranak Hana tu?"

Puan Ashikin lekas menyeka air matanya.

"Sebab umi rindukan Hana." Pendek jawapannya.

"La, Hana kan dah balik. Umi janganlah sedih-sedih."

Puan Ashikin amat senang dengan kepulangan Hana ke rumah. Setiap kali dia bersama anaknya, dia rindukan dua nama yang berbeza daripada anak gadisnya itu. Dia rindukan diri Hana, dalam masa yang sama dia kasihankan nasib Hana yang dahulu. Ya, tekadnya ingin mengubah sejarah anaknya!

"Umi, esok Hana keluar pagi. Kak Ita dah telefon Harraz tadi. Harraz kirim salam kat umi."

"Waalaikumussalam."

"Ha, umi. Ni telefon siapa?" Hana hulurkan sebiji telefon bimbit yang dia terjumpa di dalam laci meja di bilik tidurnya.

"Tu telefon Hana la. Ayah yang belikan sebab telefon lama Hana rosak."

Oh! Jadi betullah kata Yusnita. Telefonnya jatuh terhempas semasa dia berada di hospital.

Puan Ashikin lemparkan anak matanya kepada rak buku di sebelah kanan ruangan itu. Telefon lama Hana dah dibuang ke sungai. Gambar-gambar gadis itu bersama kekasih gelap tak layak ditenung semula oleh Hana. Peti-peti mesej yang terkandung dalam alat itu, segalanya memedihkan hati seorang ibu.

"Oh! Tapi kenapa nombor-nombor dalam telefon ni, ada nama orang yang Hana tak tahu? Mak Su Timah, Wan Amira. Siapa dia orang, umi?"

"Tu saudara-mara kita."

"Hah? Ada ke?"

Puan Ashikin terus tarik tubuh Hana rapat ke dalam dakapannya. Tak larat lagi mahu melayan pertanyaan Hana yang seakan anak kecil. Suka menyoal itu dan ini. Hana balas pelukan ibunya.

"Hana janji dengan umi, untuk selalu ada bersama Harraz. Dengar cakap umi, ayah, Kak Nita dan Harraz. Faham?"

"Umi, Hana dan Harraz takkan lebih dari tu. Takkan lebih, umi."

"Harraz satu-satunya lelaki yang umi percaya. Umi kenal dia sangat. Kau orang kawan dari dulu lagi, Hana. Dia memang baik orangnya."

Hana terbisu mendengar bicara yang dirasakan tulus dari jiwa uminya sendiri. Patutlah begitu sayang Puan Ashikin terhadap Harraz.

"Dia kawan Hana yang dah menjadi seorang doktor. Dia yang jaga Hana, dia juga kawan yang takkan pernah tinggalkan Hana. Percaya cakap umi. Sebab tu umi tak teragak-agak suruh dia rawat Hana."

Kali ini Hana tewas. Lidahnya kelu. Akhirnya dia angguk walau satu per tiga jiwanya tetap merasakan Harraz merupakan seorang doktor yang dah banyak menolong. Huh! Seharian, nama lelaki itu sahaja yang meniti di bibir orang tua dan kakaknya.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro