Bab 12
Apa pun aku tak boleh buat setelah aku mendapat tahu Umair Wajdi kemalangan. Terus longgar lutut aku sampaikan Ummi terpaksa papah aku ke kereta. Tak boleh langsung nak berjalan. Dalam hati ni kan... Huh...
"Hang kena kuat, Safa. Kita tak tau dia lagu mana. Bawa bersabaq boleh tak? Badan kecik kenit... Tapi masya-Allah... Beratnya subhanallah. Berat tahi ke berat tulang hang ni?"
Berat mata memandang...
Berat lagi bahu yang memikul ni.
Dalam hati ni... Aku tak tahu nak berdoa macam mana. Serba salah aku dibuatnya. Rasa nak pitam. Rasa nak muntah. Rasa nak menangis pun ada. Selagi aku tak nampak keadaan Umair Wajdi depan aku, selagi itulah...
Aku tak senang hati!
Patutlah aku rasa tak sedap sangat hati ni... Rupa-rupanya, ini bakal terjadi.
"Bawa laaa laju sikit, Ummi."
"Sat lagi orang yang accident tu tak dak apa... Kita ni yang jadi apa-apa. Sabaq... Sabaq. Hang ingat senang nak bawa kereta dalam keadaan kaki tangan ketaq ni. Hang ingat, hang sorang saja kaaa ketaq? Cuba bawa-bawa berzikir... Berdoa agar Umair tu tak teruk."
Aku terdiam...
"Tak reti nak sebut apa... Sebut nama Allah."
Macam tahu-tahu saja, aku blur...
Terus aku pun...
Allahu... Allahu... Allahu... Allah.
Allahu... Allahu... Allahu... Allah...
Sampailah kereta berhenti depan hospital. Keadaan parkir yang sukar... Maklumlah hospital besar, Ummi cari parkir di luar. Aku terus celapak keluar. Kepala kusut, tak tahu ke mana aku nak tuju dulu. Dahlah jarang sekali aku datang ke hospital besar ni. Sekali... Ambulans berhenti depan aku dan... Menolak sekujur tubuh yang aku kenal.
"Umair... Umairrr!!!"
Basah darah di bajunya...
Buat aku seriau.
Tak nak fikir apa-apa... Aku terus mengikut mereka masuk ke dalam wad kecemasan.
"Pesakit kemalangan di antara empat buah kereta. Ada kecederaan di kepala. Mungkin dadanya terhentak pada stereng. Done CPR. Pesakit tak sedarkan diri."
"Red zone."
Tercengang-cengang aku apabila mereka terus membawa Umair Wajdi ke dalam bilik rawatan. Tak berapa faham sangat apa makna red zone... Tapi, aku rasa, itu warna zon yang paling teruk.
Allahu... Allahu... Allahu... Allah...
"Macam mana?"
Ummi muncul.
"Teruk. Dia nampak teruk. Habis semua bajunya merah, Ummi..."
Aku memeluk Ummi. Aku... Rasa sebak. Masih lagi belum menangis. Aku cuba untuk bertahan. Bertalu-talu pesakit dibawa masuk di hadapan aku. Ada green zone... Ada yellow zone... Ada juga lagi yang red zone. Empat kereta bertembung dan kereta Umair di tengah-tengah. Aduhhh... Sesak nafas aku!
"Waris Encik Umair Wajdi..."
Terus aku ke kaunter. "Saya bukan waris. Saya kawan baik dia."
"Cik terlibat sekali dalam kemalangan ke?"
"Tak... Tak. Saya diberitahu yang kawan baik saya tu kemalangan. Tu yang saya datang ni."
"Cik tahu nombor telefon waris?"
"Tahu... Tahu."
"Cik berikan nombor... Kami akan telefon."
Terketar-ketar jari aku menulis nombor Umairah Wahda... Dia saja nombor yang aku ada. Aku pun tak sempat nak telefon Umairah. Tatkala aku beritahu nombor Umairah, telefon aku berbunyi.
"Cik Safa... Encik Zahier telefon, Cik Safa tak ada kat restoran."
Aku menepuk dahi. Melihat jam di tangan, sudah pun pukul 1.00 petang.
"Cakap dengan Encik Zahier... Saya tak dapat nak pergi, saya ada kecemasan. Saya kat hospital sekarang. Kawan baik saya kemalangan."
"Okey... Baik, Cik Safa."
Lantaklah... Aku tak peduli dah. Dah memang dia tak nak terima pun tawaran tu, kalau aku pergi terhegeh-hegeh pun, dia tak nak juga. So be it! Umair Wajdi lebih penting sekarang. Pandai-pandailah aku cakap dengan Encik Rahmad nanti. Susah-susah... Cari saja kerja lain.
Ah...
Tak nak fikir dah!
Lama juga aku tunggu...
Sampailah Umairah muncul.
"Sorrylah. Kak Safa macam orang bodoh. Walhal kami dapat tahu sewaktu kat kedai Kak Ummi. Tu pun sebab Kak Safa rasa tak sedap hati, terus telefon Abang Umair... Orang lain yang angkat. Tu yang terus ke sini. Sepatutnya, beritahu aje Irah kat sebelah."
Aku...
Serba salah pula.
"Ehhh, tak apa Kak Safa. Kalau Irah ada kat tempat Kak Safa pun, Irah tak ingat sesiapa dah. Macam mana abang?"
"Tak tahu. Doktor pun tak keluar lagi."
"Dia kata dia nak balik awal. Dia tak nak tunggu petang."
"Dia call Irah ke?"
"Haah... Dia beritahu, dia nak balik awal, dia nak rehat. Memang rehat betul laaa... Sampai masuk hospital pula. Ini Irah tak nak beritahu mak. Takut mak pengsan pula. Mak tu dah seminggu rasa tak sedap hati. Nanti fikir yang bukan-bukan pula. Irah nak tengok keadaan abang macam mana dulu. Lepas tu baru Irah beritahu mak."
"Itu yang sebaiknya... Kak Ummi rasa, baik kita tunggu doktor habaq apa dulu. Sebab kalau mak-mak ni... Dia punya soalan, kalah wartawan. Baiklah kita tau hujung pangkai... Baru habaq."
Betul juga cakap Ummi. Baiklah tunggu apa yang doktor nak cakap... Sebab nanti akan ada banyak persoalan. Harapnya Umair Wajdi tak ada apa-apa. Tak teruk. Tak seperti yang aku nampak.
Memang darah banyak...
Yalah, darah kat kepala kan...
Huh...
Seriaunya aku!
Seorang doktor keluar dari bilik rawatan kecemasan, menuju ke arah sebuah keluarga yang menunggu. Doktor itu menggelengkan kepala dan keluarga itu terus menangis. Mungkin pesakit yang terkena zon merah tadi... Sudahpun meninggal dunia.
Huh...
Lagi cuak aku.
Berdebarnya...
Ya Allah... Panjangkanlah umur Umair Wajdi!
"Weh... Serabut perut. Nak makan apa-apa ke? Aku pi beli."
"Ummi... Aku ni nak makan pun tak lalu."
"Irah pun tak nak."
"Tak apa, aku pi beli ayaq."
Ummi tu nampak aje kental tapi dia pun mental juga. Sebaik saja Ummi pergi... Seorang doktor keluar dari bilik rawatan kecemasan itu menuju ke arah aku dan Umairah.
"Keluarga Encik Omar Salleh?"
"Bukan."
Cepat aku jawab bukan.
Huh...
Silap pula.
Sebuah keluarga lagi menangis teresak-esak. Ah, ini membuatkan dada aku semakin berombak. Janganlah... Janganlah Umair Wajdi pun mengalami nasib yang sama.
Umairah memegang tangan aku.
Sejuk.
"Teringat masa arwah ayah kemalangan dulu."
"Dia akan selamat macam arwah ayah. Arwah ayah pun sempat juga hidup dua tahun kan sebelum dia terkena serangan jantung."
"Haah... Harapnya begitulah, Kak Safa."
"Jangan risau."
Cakap orang aje jangan risau...
Lutut aku ni macam tak ada skru!
Seorang doktor akhirnya menghampiri aku dan Umairah. Terus aku dan Umairah bangun. Tangan Umairah menggenggam tangan aku... Kuat. Aku pun perlukan sokongan dia, seperti dia perlukan sokongan aku. Aku dan dia perlu kuat dalam menghadapi apa saja kata-kata doktor tu selepas ini.
"Keluarga Encik Umair Wajdi?"
"Ya, saya adik dia."
"Pesakit stabil. Ada darah beku di dalam kepalanya, telahpun dikeluarkan. Paru-parunya agak bengkak dan ada beberapa retakan di tulang rusuk. Ini berkemungkinan kesan daripada hentakan yang kuat di setereng... Jadi dia tak boleh banyak bergerak. Itu saja laporan setakat ni. Pesakit akan dipindahkan ke unit rawatan rapi untuk pemantauan doktor sehingga dia boleh bergerak sendiri."
Terus aku dan Umairah...
Menghela nafas.
Lega.
Alhamdulillah!
Umairah memeluk aku... Menangis. Gembira dan bersyukur.
"Ni awat ni? Umair okey kaaa? Tak dak dah kaaa? Innalillahiwainnailaihirojiun..."
Dia dengan air kopi ikat tepi dia tu...
"Oiii... Hang ni, Ummi. Bagilah salam dulu. Main sebut ajelah kau ni. Umair okeylah, dia selamat."
"Huhhh, lega dah aku. Baru rasa kopi ni pahit. Pi letak gula satlah."
Aku menggelengkan kepala.
Hantu betul Ummi ni!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro