Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 11

Dua hari aku memendam rindu.

Umair Wajdi memang jahat. Kira hebat jugalah aku boleh bertahan untuk tak telefon dia walaupun hal kelmarin menerpa sampai mimpi pun tak seronok. Gara-gara aku tak nak balik rumah mama, Umair Wajdi marah aku. Tak pernah dia marah aku dalam realiti... Dalam mimpi pula dia belasah aku.

"Tak sedap hati pula hari ni..."

"Kenapa?"

"Aku mimpi kena marah dengan Umair sebab aku tak balik rumah mama. Marah sungguh-sungguh. Tak pernah-pernah Umair marah aku."

"Haaa, aku setuju sangat dengan Umair hat dalam mimpi tu. Patut pun hang kena marah. Kalau harap Umair hat dalam realiti tu, serabut perut aku. Asyik setuju saja dengan apa yang hang nak buat. Patut hang naik lemak."

"Eh..."

Bukan salah Umair Wajdi pun. Dia selalu saja nasihat dengan cara yang baik. Salah aku juga yang tak nak ikut nasihat dia. Akhirnya, dia yang akan menurut aku. Penat saja dia bagi nasihat sebab aku tak akan ikut pun. Hmmm... Kalau papa pun berperangai macam tu... Apa lagi aku? Nampak sangatlah aku ni anak kandungnya.

"Awat tak pakai baju baru hang?"

"Belum tentu Umair nak melamar malam ni. Aku bawa spare saja. Lagipun, tengah hari ni aku ada lunch meeting dengan Dutch celup tu. Buatnya meeting tu tak berjalan dengan lancar... Aniaya aje lamaran hari ni."

"Hang ni, Saf... Macam-macam. Nasib baiklah Umair tu tahan dengan hang. Kalau dak, cabut dah kot."

"Bukan ke Allah S.W.T tu dah tetapkan... Pasangan kita tu saling melengkapi antara satu sama lain. Kalau aku ni terkurang, dia cukupkan. Kalau Umair terkurang, aku pula cukupkan."

"Untung laaa..."

Aku tergelak.

"Dah... Aku nak pi kedai. Hari ni ada client order kelopak bunga kat aku untuk taboq kat kuboq arwah isteri dia. Setiap kali dia nak melawat kuboq arwah isteri dia, selang sehari dia order kat aku. Setia betul. Bunga taboq sekarang ni pun ada permintaan."

Bunga tabur?

Teringat Umair Wajdi nak suruh aku pujuk dia pakai bunga tabur. Eloklah... Nanti balik, aku taburkan pada dia.

"Ohhh... Simpan kat aku sikit. Nanti aku ambil kat kedai habis kerja."

"Hang nak pi taboq kat kuboq siapa?"

Haih... Lupa ingatan pula Si Ummi ni.

"Kan aku beritahu kat kau semalam, Si Umair nak suruh aku pujuk dia guna bunga tabur tu."

"Ohhh... Okey... Okey. Nak berapa plastik?"

"Melampau kau ni..."

"Manalah tahu. Nak lepas rindu yang tak tertahan sangat dah tu."

Perli aku pula.

Walhal memang rindu pun.

Dalam duk tengah mesyuarat dengan Encik Rahmad pun, sempat aku kerling telefon aku. Pelik juga aku, takkan nak balik tak telefon aku? Jadi ke balik hari ni? Balik pukul berapa? Dah sampai kat mana? Takkan hari ni pun nak kira hari cabaran kot!

"Untuk pembelian RM50 ke atas, kita akan berikan baucar sebanyak RM5. Atas RM150, baru bagi beg perayaan. Saya cadangkan satu hari jualan untuk kad keahlian, diskaun sehingga 80%. Ini akan menggalakkan orang jadi ahli. Bagi pembelian luar dari stor kita, atas pembelian RM200 dengan jumlah dua resit, kita boleh hadiahkan cawan atau apa-apa cenderahati yang bersesuaian."

Aku pandang Encik Rahmad...

Biasalah dia...

Muka tak puas hati dia tu.

"Kita akan buat beberapa contest untuk kanak-kanak seperti peraduan melukis. Jangan risau soal hadiah, saya akan cuba minta sponsor daripada outlet yang lain sekali dengan penaja. Saya cadangkan juga kita bagi parking percuma sewaktu hari perayaan untuk menggalakkan orang datang ke mall. Kalau Encik Rahmad setuju... Saya akan siapkan proposal lengkap untuk Encik Rahmad bentangkan pada management."

"Ini semua idea yang biasa, Safa. Kalau ini syarikat ayah awak... Awak akan bagi idea yang macam ni ke? Semua pusat membeli-belah akan buat benda yang sama."

Lagi-lagi syarikat papa juga Encik Rahmad ni nak bandingkan. Suruh aku bagi idea... Bila aku dah bagi, banyak songeh pula. Nanti aku bagi yang pelik, kau cakap tak ada pusat membeli-belah yang buat. Bagi A salah, bagi B pun salah... Aku bagi surat berhenti karang, baru ada otak nak fikir kot!

"Kita kena fikir Encik Rahmad, sekarang ni ekonomi tak okey... Barang semua mahal. Orang datang ke mall hanya nak sejuk saja sebab cuaca kat luar sekarang sangat panas. Yang penting ialah cara untuk menarik orang datang ke mall... Kalau beli, itu bonus."

Aku datang kat sini sebab aku ni pekerja kat dalam pusat membeli-belah ni, kalau tak... Ada benda nak beli yang hanya ada kat dalam pusat membeli-belah ni, baru aku datang. Kalau setakat telur sedozen tu, kedai apek jual telur kat depan Mydin tu pun boleh saja.

"Macam mana dengan akaun De Kleding tu? Lunch ni awak ada meeting dengan Encik Zahier, kan?"

"Ya."

"Make sure awak dapat akaun ni, Safa. Kalau tak, awak sendiri jawab dengan management. Dah laaa bagi proposal entah apa-apa. Macam mana ni, Safa? Dah berapa tahun awak kerja ni... Bagi proposal macam budak baru kerja!"

Haih...

Sakitnya hati aku!

Terus aku keluar dari bilik Encik Rahmad... Masuk ke bilik aku, capai beg dan cari Fiona.

"Fiona, saya terus keluar lunch. Kalau sesiapa cari, cakap saya ada hal. Terus pergi meeting dengan Encik Zahier."

"Okey, Cik Safa."

Kalau duduk lama dalam pejabat, lagi serabut kepala aku. Silap hari bulan aku termaki pula Encik Rahmad. Sebab aku mampu bersabar laaa... Aku larikan diri.

Ahhh...

Umair Wajdi.

I really need you!

"Eh... Apa hang buat kat sini? Hang tak kerja ke?"

"Kerjalah. Tapi, aku tengah sakit hati dengan bos aku tu. Saja aje cari pasal dengan aku. Aku tak faham betul. Tan Sri Safirudin punya salah, apa hal Safa Auliya yang kena pula?"

"Satu keturunan."

"Masalahnya, papa aku tak mengaku pun aku ni keturunan dia."

"Sekarang ni, masalah dengan papa hang atau masalah dengan Encik Rahmad?"

Huh...

"Masalah dengan Umair Wajdi!"

"Pula!!!"

Tak pasal Umair Wajdi yang kena. Yalah, memang pasal dia pun. Aku tak fokus. Jadi balik ke, tak jadi balik? Tak telefon pun. Buat aku risau saja. Benda tak pernah buat selama aku berkawan dengan dia... Bila dia buat, keluar daripada kebiasaan... Mula nak gelisah tak tentu hala. Tapi masih salah Encik Rahmad jugalah. Proposal aku dah cukup baik dah tu. Kalau pusat membeli-belah lain... Atas RM150 baru bagi baucar tau.

"Jadi di kedai aku ni laaa tempat hang nak meluahkan rasa tak puaih hati hang tu ya?"

"Haaa la. Tempat hang ni buat aku rasa tenang. Satu aje masalah kat tempat hang ni..."

"Masalah apa?"

"Bunga kegemaran aku tak ada."

"Siapa nak buat jambak bunga padi... Hang biaq betui?!"

"Hesy, bukan bunga padi laaa... Bunga tulip."

"Ini Malaysia... Bukannya Belanda."

"Sebut pasal Belanda, ada satu bala pula aku nak tempuh tengah hari ni. Tu yang aku nak lepak kedai kau kejap... Cari ketenangan sebelum aku nak hadap Dutch celup tu kejap lagi."

"Ikut suka hanglah... Buat laaa apa yang patut. Aku nak siram bunga-bunga aku sat..."

Haruman bunga-bunga di dalam kedai Ummi memang buat aku tenang. Buat aku ingatkan Umair Wajdi. Ya, Umair Wajdi buat aku tenang macam haruman bunga. Terfikir bila dia tak ada dua hari ni dengan aku... Aku tak boleh nak hidup. Sebab dia dah biasa ada... Sepuluh tahun lamanya. Dua hari tak ada, rasa selamanya dia tak ada. Fikir soal Umair Wajdi, boleh lupakan semua masalah dunia.

Berulang kali...

Aku tutup dan buka telefon tu. Umair Wajdi last seen... Pagi ni. Kenapa dia tak telefon aku? Pelik. Ini bukan nak tenangkan fikiran. Tapi, buatkan aku terfikir lagi ada.

"Saf..."

"Hmmm..."

"Oiii... Luruskannn safff..."

"Hesy... Nak apaaa?"

"Bak mai pasu kat sebelah hang tu... Aku nak gubah."

"Eh, dia ni kan... Letak barang merata."

Baru aku nak serahkan pasu tu...

Telefon aku menyala.

Ingatkan Ummi dah pegang pasu tu, rupanya tak... Pasu tu terjatuh daripada tangan aku.

"Alamakkk..."

"Hesy, hang ni... Nasib baik plastik. Kata nak tenangkan fikiran. Macam tak tenang aje hang ni pun."

Aku mengeluh. Ingatkan telefon menyala, Umair Wajdi telefon aku. Rupanya mesej promosi.

"Sorry... Lain kali letak barang merata. Sini kan tempat lepak. Benda-benda nak buat kerja, letaklah setempat. Ini... Kat sana sikit. Kat situ sikit." Aku dah membebel.

"Eh, eh, ehhh... Kedai aku, suka hati akulah. Hang ni, ada masalah dengan orang lain, habih berabit semua orang. Tu laaa, orang bercinta, hang nak bercinta. Tapi, tak reti bercinta. Kalah orang bercinta lagi ada. Kata nak cari ketenangan... Tapi menggelisah ni pasai apa?"

"Entah... Aku rasa tak sedap hatilah weh..."

"Takkan pasai pasu jatuh pun rasa tak sedap hati?"

Tiba-tiba rasa tak sedap hati pula. Mungkin saja Umair Wajdi nak buat kejutan. Mungkin juga dia tak jadi balik. Atau... Sekarang dalam perjalanan nak balik? Takkan awal sangat nak balik. Bukan kata ada mesyuarat ke?

Haih...

Semakin rasa tak sedap hati pula.

"Bukan pasal pasu."

"Awat, weh?"

"Tak tahulah. Tiba-tiba aku duk teringat kat Umair."

"Hang kan memang lagu tu. Setiap saat kalau boleh nak pikiaq pasai Umair tu. Dia dah besaqlah. Dia tau laaa nak balik mai."

"Haih, tak boleh jadilah... Aku nak telefon dia."

Cepat saja aku dail nombor Umair. Selalu nombor dia ada di dalam recent call aku. Nama pun kawan baik. Kalau tak nombor Umair... Mesti nombor Ummi. Dua 'U' ni aje selalu aku telefon. Lantak laaa... Kalau Umair Wajdi nak cakap aku ni mengada-ada ke... Tak boleh sabar ke... Apa-apa sajalah... Asalkan aku nak dengar suara dia cakap okey... Tu aje.

"Ummi..."

"Haaa... Awat?"

"Dia tak angkat. Jaranglah Umair tak angkat panggilan aku."

"Call sekali lagi. Dia tak dengaq kot. Ke tengah drive kaaa..."

Hmmm...

Dan aku dail sekali lagi.

Akhirnya... Panggilan aku berangkat.

Tapi...

"Cik... Tuan punya telefon ni accident, cik. Kami on the way nak bawa dia ke Hospital Ipoh ni..."

"Hah?!!!"

Aku terduduk.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro