Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Prolog

Tiada sesiapa yang menyedari kewujudan Kurnia. Hanya seorang budak biasa yang berwajah pucat, kurus, dengan baju lusuh yang dijumpai di dalam tong sampah. Tiada sesiapa yang berminat untuk mengingati manusia asing yang hanya tahu mengutip kotak dan tin demi mencari wang, ataupun seorang pemenung di pinggir jalan apabila malam menjelma.

Tetapi, masih seseorang yang gemar datang, lalu bertanya, "Kenapa kau suka dengan wau?"

Wajah budak perempuan itu sudah kabur dalam ingatan. Tetapi, Kurnia sentiasa mengingati suara keanak-anakannya yang teruja.

"Setiap kali aku datang sini, mesti ada wau baru!" Budak perempuan itu berkata kagum. "Aku pun tidak serajin kau."

Di hadapan Kurnia, barisan wau penuh berwarna digantung pada pagar sebuah kedai usang – berterima kasihlah terhadap tuan kedai yang ramah terhadapnya. Walaupun bahan-bahannya diperbuat daripada bahan terpakai, tetapi sentuhan seni Kurnia berjaya menutup pandangan manusia biasa.

Kurnia tiba-tiba bertanya, "Kau pernah dengar bunyi wau?"

Kanak-kanak itu memandang sebuah wau paling besar yang pernah dihasilkan. Wau bulan, bersama motif corak tumbuhan yang berlingkar laksana peta sebuah jajahan luas di bumi. Matanya yang kosong mula bersinar-sinar apabila melihat karya kebanggaannya.

"Setiap kali aku terbangkan wau, ada bunyi misteri yang keluar," ujar Kurnia perlahan. "Seperti... seruan langit. Angin seperti mahu beritahu bahawa aku dan langit sentiasa bersatu."

Kanak-kanak perempuan itu tersenyum lebar. Semakin teruja apabila mengingati sesuatu.

"Ada seorang pemain Laga Wau yang terkenal di pekan sana," ujar kanak-kanak itu. "Kalau kau suka bunyi angin, pasti kau handal mengawal wau, bukan?" 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro