Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 2

Kerajaan Dewangga basah dengan air mata. Kurang dari seminggu, hampir separuh penduduk sudah menghembuskan nafas terakhir. Mereka terpaksa mengebumikan mayat di sebuah tanah lapang. Beberapa pengawal yang berjaga tertunduk muram.

Arjuna turut datang melawat perkuburan, menahan air mata apabila rakan-rakannya dikambus tanah. Dadanya sesak membayangkan Ibu bapanya diusung ke dalam perkuburan itu. Mulutnya diketap kuat. Ibu bapanya masih bernafas, tetapi dia tahu hanya waktu yang akan menentukan segala-galanya.

Kupu-kupu itu terlalu ampuh. Walaupun mereka sudah berusaha menghalau dengan sakti angin, serangga itu akan kembali semula. Dibakar pun tidak mati. Kata orang, serangga itu akan pergi sendiri apabila musimnya sudah tiba.

Di antara kerumunan orang ramai, pandangan Arjuna tertancap ke arah seseorang.

Kurnia.

Kali ini, lelaki itu sedikit cengkung seperti terlupa untuk makan. Nafasnya berat. Tatapannya tidak lagi berisi amarah melainkan warna perang yang kelam.

Arjuna mengalihkan pandangan, tidak tertarik untuk bertanya khabar.

Mereka tidaklah serapat itu.

Kerongkong Arjuna pedih. Remaja itu terbatuk beberapa kali. Seksa tekak menahan pedih. Rasa sakit tiba-tiba menyengat bahagian tangan. Arjuna segera menyelak sedikit lengan baju.

"Apa...." suara Arjuna terluah.

Dunianya tiba-tiba berpusing sekejap, sebelum langkah Arjuna dibetulkan. Jantungnya berdegup kencang. Nafas semakin laju. Perasaan panik menghentam dada berkali-kali.

Tangannya bertompok dengan kudis kecil. Tetapi, sejak bila?

Arjuna perlahan-lahan mendongak, merenung kawasan kuburan yang luas. Kepalanya berpusing melihat ahli keluarga yang meratap sedih. Bunyi tanah yang dikambus. Bunyi kupu-kupu yang masih hinggap di beberapa tempat.

Telinga Arjuna berdesing. Dia memegang kepalanya yang diserang sakit. Tertekan.

Arjuna berbisik sendiri, "Aku... aku mesti pulang...."

Remaja itu berundur dari keramaian, lalu berlari meninggalkan tempat itu. Kepalanya terlalu berat untuk diangkat. Satu-persatu bayangan ngeri melintas di fikiran Arjuna. Semuanya berbentuk kematian.

Tanpa dijangka, suara seseorang kedengaran, "Aduh!"

Larian Arjuna terhenti. Di hadapannya sendiri, seorang kanak-kanak terlanggar seorang gadis. Kanak-kanak itu langsung tidak meminta maaf dan berjalan pergi. Santai. Arjuna berkerut, kurang senang dengan sikap budak itu yang biadab.

Gadis itu pula menghela nafas, melihat jurnal lama miliknya yang terjatuh. Habis isi muka surat yang tercabut berterabur. Lekas-lekas dia mengutip buku itu. Takut dipijak.

Tiba-tiba, muncul suara yang menegur, "Biar saya tolong."

Gadis itu mendongak, sedikit terperanjat apabila Arjuna datang. Perempuan itu mengangguk dan mengucapkan terima kasih.

Sewaktu mengutip kertas, pergerakan Arjuna terhenti. Remaja itu merenung lakaran dakwat hitam yang sudah pudar bersama huraian-huraian di beberapa tempat. Bunga merah berkelopak lima, dengan tulisan jawi yang tertulis di bucu kertas-"Bunga Dewangga".

Perempuan itu tidak menyarung kain songket panjang yang dililit sebagai kain sarung ataupun kain kelubung selendang gaya orang kota. Lilitan selendangnya lebih longgar dan berwarna terang. Arjuna tahu, itu gaya pakaian di jajahan lain.

"Cik. Bunga ini... betul-betul wujudkah?"

Gadis itu terkebil-kebil lalu menjawab, "Saya tidak tahu. Tetapi, moyang saya ada simpan daun bunga ini."

Arjuna sedikit bingung mendengar dialek si gadis yang laju. Perempuan itu segera menyelak jurnal, lalu menunjuk sehelai daun kering yang sudah ditampal pada kertas. Daun bunga dewangga.

"Maksudnya... bunga itu wujud? Bunga penyembuh segala penyakit?" Arjuna bertanya penuh berharap.

Gadis itu diam. Ragu-ragu.

Arjuna mendesak, "Aku... aku akan tolong kau! Beritahu semua yang kau tahu fasal bunga ini. Boleh? Kau mesti tahu di mana bunga itu?"

Gadis itu membulatkan mata. Terkejut.

Arjuna tersedar, segera berkata, "Maaf... maaf, cik. Saya cuma...."

"Boleh. Mestilah boleh." Gadis itu mengangguk sambil mengukir senyuman. "Panggil saya Intan. Tuan pula?"

. . .

Malam sudah menjelma. Hayati terlena di pinggir katil ibu dan ayah. Selimut nipis dihamparkan di atas bahu gadis itu. Sepucuk surat diletakkan di sisi kakandanya.

Arjuna merenung pula wajah ibu bapanya yang sudah cengkung. Balutan kain kasa pada tubuh sudah dicemari dengan warna merah. Mata Arjuna mula bergenang. Dadanya ketat. Entah berapa lama dia akan keluar, hanya Tuhan yang tahu.

"Arjuna akan pulang."

Itu janjinya.

Dengan helaan berat, Arjuna menapak keluar bersama sebuah beg kain berisi Wau Kertas - wau milik Hayati yang boleh dilipat - juga beberapa perlengkapan lain. Intan sudah menunggu di luar bersama beberapa barangan penting.

Mereka berdua tersusup-sasap berlari di dalam kegelapan. Jalan sudah lengang. Lampu jalan samar-samar menerangi mereka. Tiada lagi pengawal yang berjaga. Mereka bergerak ke arah Timur, satu-satunya benteng sempadan yang paling dekat dengan kota.

Daripada binaan pelbagai bentuk kota besar yang suram, digantikan dengan kawasan perumahan kecil-kecilan. Mereka meredah kawasan setinggan, melalui rumah-rumah terbiar, sehinggalah ke kawasan yang dipenuhi belukar berduri. Arjuna sedar dia tercungap-cungap, padahal jarang benar dia lelah apabila berlari. Lelaki itu mengetap gigi, terus menguatkan langkah.

"Di sinikah tempatnya?" soal Arjuna, sedikit lelah apabila Intan berhenti. Lelaki itu cuba menyembunyikan rasa penat.

Intan mengangguk.

Mereka sudah berdiri di hadapan sebuah benteng gergasi. Tingginya melangit sebesar tiga gerbang istana. Beberapa dahan sudah menjalar pada benteng. Dinding pemisah dunia luar itu masih kukuh. Tiada rekahan.

"Aku boleh kawal wau untuk bawa kita keluar." Arjuna menunjuk dirinya sendiri.

"Kau ada sakti angin?"

"Kau?"

"Kampung kami tidak ada pengguna sakti angin."

Arjuna mengeluarkan sehelai Wau Kertas sekecil tapak tangan. Ditiupnya wau itu, sebelum dia membuka langkah. Angin menolak wau kangkan itu menjadi lebih besar dan berpusing-pusing di sekitar mereka.

Arjuna berlari ke arah wau itu dan menjerit, "Lompat!"

Serentak, Intan turut melompat ke atas wau. Angin menderu menolak mereka berdua ke atas. Intan memegang selendangnya dengan mata bersinar-sinar. Kagum melihat dunia yang semakin mengecil.

Sinaran cahaya berguguran daripada wau, menarik perhatian pengawal yang berjaga. Pengawal itu pantas melempar wau kenderanya ke udara. Lekas-lekas angin menolak pengawal itu mengejar wau kangkan di hadapan.

"Hoi, kalian mahu ke mana?"

Jerkahan pengawal itu mengejutkan mereka berdua. Arjuna berpaling. Warna wajahnya luntur melihat pengawal sasa yang bengis.

"Dari mana dia datang? Bukankah tiada pengawal di sini?" soal Arjuna cemas.

"Aku tidak tahu! Aku pun tidak sangka masih ada yang berjaga!"

Das tembakan terakol milik pengawal mengejutkan mereka. Wau kangkan milik Arjuna terhuyung-hayang. Remaja itu terus berdiri mengawal aliran udara, tidak terjatuh walaupun wau sudah tegak terbang ke atas.

"Pergi!" Arjuna menembak peluru angin ke arah pengawal.

Pengawal itu cekap mengelak. Lelaki itu melepaskan dua das tembakan lagi. Intan terjerit. Beberapa tembakan berjaya melubangkan sayap dan ekor wau. Arjuna menendang angin.

Letupan udara terhasil di antara mereka berdua. Arjuna semakin tertolak ke atas, sementara pengawal itu nyaris terjatuh. Tetapi, kurang sesaat sahaja pengawal itu cekap mengelak pusaran angin dan menghadiahkan berpuluh-puluh bilah udara.

Arjuna menumbuk udara. Bilah-bilah itu berjaya dihancurkan. Pengawal itu tersentak, tidak menyangka lawannya handal mengawal sakti.

"Ampuh juga orang ini," keluh Arjuna sambil menghantar ribut kencang. Pengawal itu tidak terkesan, melajukan penerbangan.

"Lawan kita itu pengawal. Mestilah dia sudah terlatih!" balas Intan.

Sebaik sahaja Arjuna dan Intan berjaya tiba di puncak, pengawal itu menghantar deruan angin yang dahsyat. Kedua-dua sayap wau itu hancur sebelum berubah menjadi helaian kertas yang terkoyak. Arjuna tangkas mengawal udara agar mereka tidak terhempas di atas benteng.

Intan berjaya mendarat dengan baik. Dia terundur apabila sebilah angin nyaris menyerang kaki.

Arjuna tidak menghiraukan darah yang menitis dari hidung. Gerakan kawalan udaranya lebih pantas. Bertalu-talu letupan udara dihantar kepada lawan sebelum diakhiri dengan tolakan ribut. Pengawal itu cekap mengelak serangan, lalu melawan tolakan ribut Arjuna dengan udara. Wau pengawal itu tidak terkesan.

"Arjuna, ada sampan di luar benteng!" pekik Intan selepas menjenguk ke luar benteng.

Arjuna melirik Intan sekilas, sebelum dia mengelak apabila ditumbuk angin. Laju dia menepis dengan lengan. Bahagian lengan bajunya terkoyak sedikit. Dia berkerut sakit. Jika dia tidak menepis dengan angin, pasti tulangnya patah.

"Keluar dari kerajaan tanpa izin itu melanggar undang-undang!" pekik pengawal sambil mendarat di atas benteng. Waunya mengecil semula. "Sekarang kerajaan kita ditimpa darurat. Tiada sesiapa dibenarkan keluar!"

Arjuna terundur beberapa tapak, cuba mencari celah untuk membawa Intan turun ke bawah. Pengawal itu terlalu perkasa. Serangannya bertubi-tubi, tidak mahu memberi celah kepada Arjuna untuk lari.

"Jangan halang kami!" keras Arjuna membalas dengan tendangan udara. "Kami mesti cari sesuatu!"

"Kita boleh berbincang di balai nanti!" Pengawal mengacu terakol ke arah Arjuna.

Tanpa dijangka, sebuah wau asing muncul menyerang pengawal itu. Pemuda itu sedar, laju menahan serangan wau dengan angin. Namun, tekanan wau itu semakin kuat. Arjuna serentak menghantar bilah-bilah angin ke arah lawan.

Pengawal itu melompat berpusing mengelak serangan angin dan wau. Tersasar.

Sewaktu di udara, pengawal itu melepaskan ribut ke semua arah. Intan nyaris terjatuh, namun sempat bertahan. Arjuna laju menolak angin dengan saktinya.

Sebaik sahaja pengawal itu mendarat, dia menjerkah, "Siapa yang serang hendap tadi?"

Pengawal itu memandang Intan. Intan laju menggeleng. Arjuna menjongket bahu.

"Aku."

Mereka semua menoleh.

Jauh di belakang pengawal, seseorang memunculkan diri di sebalik tirai malam. Langkahnya tenang. Tatapan matanya yang kelam, merenung pengawal itu tanpa perasaan.

Arjuna membulatkan mata. "Kurnia? Apa kau buat di sini?"

Kurnia tidak membalas. Lelaki itu sudah bersedia dengan kekuda. Aura saktinya bergetar tenang.

Intan melirik Arjuna. "Dia kawan kau?"

"Mungkin sebaliknya."

Pengawal itu mendengus. "Kau semua tahu apa yang jadi kalau melawan pelindung kerajaan?"

Intan sedikit tergagap, "Maaf... tetapi kami...."

"Aku tidak mahu dengar apa-apa pun daripada kalian!" tegas pengawal itu sambil menekan aura saktinya.

Udara terasa memberat. Intan terbatuk-batuk sesak nafas. Arjuna nyaris terjatuh. Tubuhnya sudah lemah untuk menepis serangan kuat. Kurnia masih bertahan dengan melawan tekanan sakti.

Tanpa berlengah, Kurnia meluru ke arah pengawal. Langkahnya seringan angin. Pengawal itu mengacu senjata ke arah Kurnia, namun Arjuna datang menyerang tangan pemuda itu. Tendangan angin menjatuhkan terakol.

Arjuna melompat bersedia menjerut leher musuh. Tetapi, pengawal itu berpusing dan menumbuk rahang remaja itu.

Kurnia meluru dari belakang. Pengawal itu laju menepis sepak-terajang Kurnia. Tumbukan bertubi-tubi dihadiahkan ke wajah pengawal.

Arjuna mengesat darah dari mulut dengan kasar. Dikeluarkan Wau Kertas dari saku.

Deruan angin menolak wau itu ke udara. Wau kucing itu bercahaya terang dan membesar berkali-kali ganda.

"Kurnia!" Wau milik Arjuna menyerang pengawal.

Pengawal itu sempat mengelak. Kurnia menyambut wau itu lalu membalas serangan. Tetapi, pengawal itu sempat melompat tinggi dengan angin. Dilepaskannya serangan udara ke arah kedua-dua remaja itu. Arjuna dan Kurnia mengelak sebelum mereka menyerang dengan wau.

Intan mengetap mulut. Arjuna dan Kurnia sudah lelah. Gadis itu meliar ke sekitar, sebelum tersedar sesuatu.

"Berhenti!"

Teriakan Intan mengundang perhatian ketiga-tiga lelaki itu. Mata pengawal itu terbeliak.

Terakol sudah ada di tangan Intan. Gadis itu sedikit menggigil, gerun memegang senjata api hidup.

"Tinggalkan mereka berdua sekarang!" pekik Intan.

Pengawal itu diam, sebelum perlahan-lahan mengangkat tangan. Kurnia dan Arjuna bergegas ke belakang Intan.

"Jika kalian menyerah, aku akan pertimbangkan mengenai hukuman mengacukan senjata kepada pelindung kerajaan," balas pengawal itu sambil melangkah ke arah ketiga-tiga remaja itu. "Ini peluang terakhir."

"Jangan dekat!" Intan semakin cemas.

Arjuna sudah bersiaga dengan waunya. Kurnia memasang kekuda.

"Maaf," ujar Intan, tersedar suaranya menggigil. "Tetapi kami mesti selamatkan keluarga kami."

Intan segera berlari dan terjun dari benteng. Arjuna dan Kurnia turut melompat tinggi. Panggilan pelindung kerajaan itu tidak diendahkan.

Apabila tiba di sempadan pulau, Intan bergerak ke arah sampan.

Sampan itu ditolak turun dari tanah pulau terapung. Arjuna dan Kurnia kagum. Sampan itu teroleng-oleng di udara seperti berada di atas lautan. Lekas-lekas mereka masuk ke dalam sampan. Arjuna dan Kurnia mendayung jauh daripada benteng.

Terakol itu dibuang. Senjata itu jatuh ke bawah, lalu ditelan kegelapan.

Intan menarik nafas. Gerun. Jika dia tersilap menarik picu, entah kecelakaan apalah yang akan terjadi nanti.

"Terbaiklah Intan! Kau selamatkan kita semua!" Arjuna menunjuk ibu jari.

Intan tersenyum. "Kau berdua lebih banyak berjasa."

Arjuna menggeleng sewaktu berkata, "Kalau bukan sebab kau, sia-sialah tenaga kami tadi."

Kurnia menambah, "Lebih baik kita pergi cepat. Pasti pengawal lain akan datang mengejar kita."

Kali ini, Arjuna dan Intan memandang Kurnia tidak berkelip.

Ringkas Kurnia membalas, "Sama-sama."

Arjuna mendengus. "Kalau kau mahu pulang, masih sempat."

Kurnia berkata datar, "Aku pulang kalau kau berdua pulang sekali."

Arjuna menggaru kepala, hampir mengeluh. "Kami mahu cari...."

Kurnia mencelah, "Bunga dewangga?"

Semua terdiam, memandang Kurnia tidak percaya. Remaja itu mendayung sampan seperti tiada apa-apa, tetapi Arjuna sudah berhenti. Sampan mereka hanya berpusing setempat.

Arjuna menjerit, "Dari mana kau tahu?"

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro