Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 1

Sorakan dan laungan penduduk Kerajaan Dewangga menggegarkan kota utama itu. Pedati dan gerabak memenuhi jalanan. Bangunan-bangunan kayu jati yang dibina kukuh saling bertindan, penuh berwarna bermotifkan bunga ketam guri.

Kerajaan Dewangga, sebuah kerajaan yang dibina di atas pulau terapung setelah dunia ditenggelami lautan dan awan hitam. Setiap pertengahan tahun, kerajaan itu meriah dengan acara Laga Wau - pertandingan rasmi yang sentiasa ditunggu-tunggu.

Peserta demi peserta sudah membuka langkah di atas gelanggang padang yang luas. Satu demi satu kecundang. Daripada 30 peserta daripada seluruh jajahan Dewangga, tinggal dua orang lagi peserta terakhir yang akan mempersembahkan kehandalan masing-masing.

Arjuna berdiri di sisi lapangan mengeratkan ikatan kain merah di kepala, kebiasaan biasa. Baju sikap merahnya dibetulkan. Ikatan samping dikemaskan. Dia melompat kecil. Gemuruh. Hayati, kakanda perempuannya memukul-mukul belakang adinda lelaki seorang itu.

"Kau mesti ingat, lawan habis-habisan. Jangan Wau kita yang koyak tahun ini!" Hayati menepuk belakang Arjuna dengan semangat.

"Tahun lepas tahun dia. Tahun ini aku punya." Arjuna menggenggam tangan, yakin.

Bunyi gendang dan gong dimainkan, menjadi petanda kepada peserta untuk berkumpul di tengah gelanggang. Para peminat sudah bernyanyi sambil bertepuk dengan irama tertentu buat peserta kegemaran mereka. Keluarga diraja menonton dari bahtera emas yang terawang-awangan di sisi gelanggang - Menjadi singgahsana baginda sekeluarga.

Arjuna dan peserta lawan menapak ke tengah lapangan. Serentak sembah pertama diberi kepada keluarga diraja. Sembah kedua diberi kepada para penonton yang bertepuk kagum.

Sewaktu Arjuna mengangkat sembah ketiga kepada si lawan, pandangan mereka bertembung. Senyuman kecil terukir di wajah Arjuna.

Kurnia. Remaja sebayanya.

Wajah lelaki itu tenang, tetapi ada ketegasan di dalam renungan. Tiada senyuman. Apabila mereka berjabat tangan, genggamannya kuat.

"Akhirnya, kedua-dua pemain kegemaran kita sudah bersedia! Siapakah yang berjaya mendapatkan tempat pertama kali ini? Adakah Arjuna Dharmabakti, ataupun Kurnia Wangsa?" Seorang pengacara bertubuh gempal bersemangat mendepa di tengah gelanggang.

Semua peminat saling melaung memanggil nama Arjuna dan Kurnia. Tidak mahu mengalah. Sempat Arjuna melambai kepada para penonton, membuatkan suasana menjadi lebih gamat. Gambarnya yang dilukis pada kain dijulang lebih tinggi.

Pengacara bersuara, "Kedua-dua peserta diminta untuk mengambil ruang!"

Hayati bersedia dengan wau gergasi yang dipegang. Pembantu Kurnia, Amin turut bersiap-siaga.

Arjuna dan Kurnia mula membuka jarak. Gerak pembuka tari dilakukan sebagai pemula. Jiwa langit bersatu di dalam diri manusia, menghantar hembusan angin kencang yang mengiringi gerakan mereka. Deruan udara menolak wau yang dipegang Hayati dan Amin ke langit.

"Hormat!"

Sebagai pembuka gelanggang, Arjuna dan Kurnia mengawal udara. Tali yang membawa wau terputus.

Wau puyuh milik Arjuna mula meletuskan aura merah dan jingga. Ia terbang lebih tinggi lalu membesar menaungi seluruh padang kota. Kepulan aura menyelimuti bentuk wau sebelum muncul separa tubuh burung puyuh gergasi di langit. Satwa itu mula mengembangkan pelepah dengan garang. Ia mengelilingi seluruh langit kota, membuatkan semua orang bertepuk teruja.

Kurnia turut memberi gerak hormat. Wau bulan miliknya melayah tinggi ke langit, menyebarkan aura biru kehitam-hitaman. Dunia berubah gelap, sebelum seekor burung gergasi sewarna biru tua memunculkan diri. Corak bulan sabit bercahaya terang di kepala satwa itu, bersinar terang. Semakin riuh para penonton sambil melaung memanggil peserta kegemaran mereka.

Dengan sekali hembusan angin daripada pengacara, bayangan tadi lenyap ditiup pergi.

Pengacara tersengih seraya melaung, "Mula!"

Arjuna dan Kurnia mengawal udara lebih laju, mula membuka serangan.

Serangan yang dibuka sejak mereka bertarung wau di jalanan 10 tahun lepas. Mana mungkin Arjuna lupa? Bayangan yang dicipta oleh dirinya yang belum mencapai tujuh tahun itu sentiasa mengundang tepukan gemuruh orang ramai.

Sehinggalah, Kurnia memunculkan diri.

Itulah perlawanan pertama Arjuna dikalahkan oleh seorang pengemis yang tiada apa-apa.

Daripada perlawanan biasa di kampung sewaktu kecil, mereka mula menginjak remaja, saling bertarung di mana-mana padang di jajahan Kerajaan Dewangga. Wau mereka berkali-kali terkoyak. Semangat mereka berkobar-kobar. Mereka mesti menjadi yang terbaik daripada yang terbaik.

Kini, mereka berdiri di gelanggang besar, ditonton oleh Sang Raja bersama sekalian keluarga baginda. Raksasa wau puyuh dan wau bulan tadi saling berpusing dan mencakar. Gerakan kedua-dua peserta juga lebih laju. Tiada lenggok di dalam tarian mereka. Padang dipenuhi debu yang berpusar dahsyat.

Burung puyuh itu hancur, sebelum berpecah mencari ruang untuk membina diri baharu. Asap-asap merah burung puyuh menyerang burung milik Kurnia. Tangkas Kurnia menepis asap merah milik Arjuna.

Tidak sempat. Asap-asap itu sempat menikam burung biru itu. Sewaktu burung biru itu terlerai, asap itu terus berpusar dan bercantum menzahirkan bentuk asal.

Kurnia mengetap gigi, mula merasakan nafasnya semakin berat. Tangannya menggigil mengawal asap-asap biru itu membentuk burung gergasi. Burung itu berciap nyaring lalu menyerang si puyuh. Bulu-bulu pelepah berguguran lalu lenyap menjadi debu.

Arjuna melawan pusaran ribut angin milik Kurnia. Tarian anginnya semakin tegas dan laju. Setiap gerakan diselangi tumbukan dan tendangan.

Apabila burung biru menikam si puyuh, tekanan angin terlepas dahsyat. Arjuna terhumban ke belakang, namun sempat mendarat kemas. Dia duduk melutut, dan nafasnya termengah-mengah. Darah menitis dari hidung.

Hayati memanggil, "Arjuna!"

Arjuna mengesat darah dengan kasar. Dia bangkit lalu menguatkan langkah. Diserangnya burung biru itu tanpa ampun. Bunyi pekikan dan teriakan wau-wau di langit menggegarkan kota. Leher burung biru itu digigit sehingga kepalanya terpisah.

Kurnia tidak sempat berbuat apa-apa apabila Arjuna menghantar serangan bertubi-tubi. Burung puyuh berubah menjadi asap lalu mengelilingi tubuh burung biru. Ditikamnya berkali-kali, tidak memberi peluang kepada jasad ilusi untuk terbentuk.

Ganas. Letupan angin dahsyat memecahkan kedua-dua burung itu.

Langkah Kurnia dan Arjuna tergeser ke belakang. Mereka membalas dengan gerakan laju, melawan dengan pusaran asap berwarna yang saling bertembung. Hayati dan pengacara berundur. Nafas mereka sesak ditimpa ribut pasir. Rumput-rumput tercabut.

Mereka tidak mengendahkan cecair panas yang menitis dari hidung. Baju sikap mereka berombak kuat. Sedikit demi sedikit, mereka semakin terundur ke belakang.

Tanpa dijangka, Arjuna menolak sebelah tangan ke hadapan. "Serang!"

Kurnia terbeliak.

Letupan ribut yang luas biasa menggoncang kota. Hayati dan para penonton segera melawan tekanan dengan sakti angin. Para pengawal diraja mencipta benteng udara. Beberapa pekerja yang berjaga menangkap barang-barang yang terjatuh dengan kawalan angin.

Selepas beberapa ketika, suasana mula reda. Semua orang terpegun.

Arjuna akhirnya menjatuhkan tangan, tercungap-cungap menarik nafas. Keringat mengalir di wajah. Matanya pula membulat, tidak percaya melihat Kurnia yang terseret jauh. Lelaki itu terbongkok, mengerang perlahan menahan sakit. Amin bergegas membantu remaja itu duduk.

Kedua-dua wau mereka sudah jatuh di atas tanah. Debu-debu tanah masih berterbangan kesan pertarungan dahsyat tadi. Wau puyuh milik Arjuna sedikit terkoyak. Namun, wau bulan milik Kurnia hancur tiada rupa. Hanya tebu-tebu yang berselerakan.

Pengacara melaung, "Pemenang kita tahun ini, Arjuna Dharmabakti!"

Sorakan bingit daripada penonton dan tepukan gemuruh menguasai kota dan tanah jajahannya. Hayati melompat-lompat gembira sambil mendakap Arjuna. Arjuna yang masih terkejut, akhirnya menarik senyuman lebar.

"Kita menang!" laung Arjuna sambil memeluk leher kakandanya erat.

Amin menyerahkan tisu kepada Kurnia. "Kau cedera, Kurnia."

Kurnia diam, tersedar cecair merah yang jatuh di atas kain samping. Mulutnya diketap kuat. Sakit hati dia melihat Arjuna melompat-lompat bersama pembantu pertandingannya.

Kurnia menolak perlahan tangan Amin dan memaksa diri untuk bangkit. Dia bergegas pergi tanpa berpaling lagi. Tangannya dikepal erat. Terkocoh-kocoh pembantunya mengejar bersama wau yang rosak.

"Tunggu, Kurnia! Kau tidak mahu saguhati?"

. . .

Rembulan bersinar begitu terang.

Arjuna mencangkung merenung pisau raut, buluh, kertas penuh berwarna, benang dan madu naga sebagai pengganti gam, yang berselerak di ruang tamu. Dengan angin, Hayati cekap mengawal bahan-bahan dengan mengukur dan memotong buluh, tetapi sisanya dibuang bersahaja. Kakandanya seorang ini, kalau sudah membuat wau, rumah pun boleh bersepah mengalahkan bahtera karam.

"Kanda sudah baiki wau kelmarin?" Arjuna tersengih-sengih.

Hayati menimbang sayap rangka dengan pembaris melayang, mahu memastikan wau itu seimbang. "Aku buat yang baru. Lagi kuat. Tidaklah wau hancur sebelum terbang."

Arjuna menumbuk dada penuh bangga. "Ah, kau! Tak kenal barang. Aku petik jari sahaja wau budak Kurnia itu yang hancur dulu!"

"Hmm, cakap besarlah kau. Nanti jangan kau yang menangis minta buat baru!"

Terlepas tawa Arjuna dibuatnya. Sempat dia menepuk-nepuk tangan gadis itu. Hayati jengkel apabila imbangan waunya terganggu. Dilemparnya sisa buluh ke arah Arjuna sebelum lelaki itu elak.

"Pergi main jauh-jauh! Kacaulah kau. Kalau rosak, kau cari buluh baru luar sana...."

Sewaktu Hayati membebel, Arjuna santai keluar ke beranda. Jarinya sekadar dikuis sedikit, menutup pintu dengan angin. Baru senyap ceramah si Hayati itu.

Malam ini, bulan bersinar terang. Rembulan bercahaya merah, sewarna nama Kerajaan Dewangga itu sendiri. Arjuna duduk di atas kerusi rotan, sekadar menikmati malam. Kesan lenguh pertarungan kelmarin masih terasa. Tersenyum-senyum dia apabila mengingati tatapan tidak puas Kurnia sewaktu Arjuna menjulang pingat emas. Bukan salahnya kalau Kurnia pulang dengan bungkusan makanan tahun ini.

Lamunan Arjuna terhenti. Matanya menangkap sesuatu.

Seekor kupu-kupu hitam hinggap di atas penghadang tangga rumah. Sayapnya yang bercorak dipenuhi tona hitam dan kelabu. Bentuk sayap kupu-kupu yang menghampiri mata itu membuatkan Arjuna sedikit merinding. Ditolaknya serangga itu dengan angin, tidak menyenangi rupa serangga.

Seekor lagi kupu-kupu hinggap di dinding, siling dan di tempat pemegang kerusinya. Arjuna mengipas-ngipas mahu menghalau serangga. Datang pula serangga lain, tidak serik-serik. Bunyi dengungannya mengganggu. Bingit.

"Banyaknya. Dari mana serangga ini datang?" Arjuna menjentik angin, menolak beberapa ekor serangga pergi.

"Ayah!"

Pekikan Hayati menyentakkan Arjuna.

Arjuna meluru masuk ke dalam rumah. Kakandanya tiada di ruang tamu. Hanya rangka wau yang belum siap, dibiarkan di tengah ruangan.

Pasti bunyi itu datang dari dapur.

Hayati sudah duduk melutut di sisi ayah. Lelaki itu terbaring, seperti baru rebah. Cemas gadis itu menggoncang bahu ayah beberapa kali.

Arjuna meluru ke arah mereka. "Kenapa dengan ayah?"

"Tak tahu. Ayah tiba-tiba pengsan!"

"Kanda jaga ayah. Aku beritahu ibu sekejap!"

Hayati mengangguk. Arjuna bergerak ke ruang tamu. Belum sempat dia memijak lantai ruangan, tubuhnya mengeras. Bunyi seseorang yang rebah dari kamar ibu bergema.

Tetapi, sesuatu yang lebih mengejutkannya hanya satu - seluruh ruangan dipenuhi kupu-kupu hitam. Di atas wau-wau rekaan Hayati yang tergantung di dinding, kipas, sofa, semuanya menjadi persinggahan serangga ganjil. Pintu kamar ibunya terbuka, memperlihatkan tangan si wanita tua yang terkulai lemah.

Hujung jemari ibunya sudah merah diselaputi kudis.

Jeritan Arjuna diselangi dengan panggilan panik di luar rumah. Para penduduk sudah bergegas keluar membawa ahli keluarga mereka untuk menunggang pedati.

Namun, pedati lain tiba-tiba datang melanggar mereka. Gerabak lain pula datang merempuh tiang lampu, rumah ataupun benteng jalan. Semuanya angkara pemandu yang diserang lumpuh.

Daripada kota Kerajaan Dewangga, kawasan jajahan lain sudah huru-hara diserang penyakit misteri. Seorang demi seorang rebah. Ramai yang memilih untuk mengunci diri di dalam rumah, namun ada sahaja serangga yang menyelit masuk melalui celahan kayu.

Nasib yang sama menyerang sebuah rumah kebajikan di pinggir kota.

"Kurnia! Tolong aku angkat Bonda cepat!"

Seorang kanak-kanak melaung dari tingkat bawah rumah mereka. Kurnia yang berada di atas, sibuk membaringkan beberapa remaja yang tiba-tiba rebah. Dia segera berlari menuruni tangga lalu membantu Bonda berehat di dalam kamar.

"Hei! Pegang perlahan-lahanlah!" Kurnia menaikkan suara apabila melihat remaja lain cuba memapah Bonda.

"Tengok!" Kurnia menunjuk kulit lengan Bonda yang tergores dengan kuku remaja tadi. "Kulit Bonda cepat luka. Jangan terlalu kasar!"

Remaja itu terkaku, sebelum mengangguk cemas.

Kawasan rumah kebajikan yang kecil itu mula haru-biru. Ramai anak yatim piatu yang tidak sedarkan diri, termasuklah Amin. Hanya Kurnia, beberapa penjaga dan dua lagi remaja yang masih belum terkesan.

Awalnya, beberapa orang mula pengsan. Sesetengah pula terbatuk-batuk, sebelum muntah darah. Budak-budak kecil pula menangis sakit. Kulit mereka yang gatal tiba-tiba terkoyak, seperti tisu basah yang ditikam pisau.

Nafas Kurnia tersekat.

Apa yang berlaku?

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro