01 | Tiga Tahun Berlalu
Sekumpulan lelaki bersenjata, tiba di hadapan Rumah Perlindungan Hedrids. Sempat mereka perhati sekeliling... untuk pastikan tiada musuh berdekatan.
Yang kelihatan cuma pokok-pokok besar dan tinggi. Ada sebuah kolam besar yang terbina di situ. Kunci pintu dibuka. Yakin tiada musuh... mereka kemudian masuk ke dalam rumah tersebut.
Lantas, Permaisuri Zafira dan anak-anak gadisnya yang berempat kelihatan di dalam. Resah Permaisuri Zafira menanti kumpulan Eastrian yang sudahpun lambat itu.
"Tuanku... maaf. Tadi dalam perjalanan, kami diserang," terang Miroll. Benar, dalam perjalanan, mereka diserang oleh tentera rahsia Kerajaan Air.
"Kami sudah bersedia. Marilah. Penduduk Ixary juga sudah dimaklumkan mengenai kedatangan dan keberangkatan Tuanku," ajak Miroll lagi. Kumpulan lelaki bersepuluh orang itu, diketuai oleh Miroll.
Permaisuri Zafira dan empat anak gadisnya dilindungi masing-masing oleh dua penjaga.
Keluar saja dari rumah itu, tanpa berlengah, cepat mereka tinggalkan Rumah Perlindungan Hedrids. Destinasi sekarang, ke Rumah Perlindungan Ixary.
Hilang mereka dari situ, tanpa mereka ketahui, satu susuk besar, halimunan, keluar dari kolam air. Penyiasat dari Kerajaan Angin! Segera hal pemindahan kerabat diraja dari Perlindungan Hedrids ke Rumah Perlindungan Ixary dilaporkan pada General Khaled.
"Dash... kami dapat berita terbaru." General Khaled berbicara, sedikit resah.
Raja Dash sedang persiapkan dirinya. Misi mereka kali ini, dapatkan para lelaki yang masih ada di Kerajaan Tanah untuk dijadikan tentera. Jadi, mereka akan 'menceroboh' Rumah Perlindungan Ixary malam ini.
"Dash... Zafira dan anak-anak kamu sedang dipindahkan ke Rumah Perlindungan Ixary."
Terjatuh sarung peluru (handgun's magazine) yang baru dicapai Dash dari rak peluru dan pistol.
"Macam mana? Kita masih nak ke sana?" soal General Khaled.
Dash telan liur berpasir. "Semua tentera kita sudah bersedia. Mari bergerak sekarang." Peluru bersarung dimasukkan dalam pistol, lalu Dash mula melangkah ke kapal terbang mereka.
Sudah tiga tahun berlalu. Masih marahkah Zafira padaku? Masih sayangkah dia, padaku?
Mereka ber-15 akhirnya tiba di depan Rumah Perlindungan Ixary tanpa diserang, mahupun diikuti sesiapa. Kecil sahaja terlihat rumah itu.
Miroll membuka kunci, "Dipersilakan, Tuanku."
Permaisuri Zafira dan anak-anaknya melangkah masuk ke dalam. Tak diduga, Rumah Perlindungan Ixary tersangat luas di dalamnya! Dari luar, terlihat bagai sebuah rumah kecil, tapi tidak dari dalam. Di dalamnya, persis sebuah kota layaknya. Sungguh besar dan luas.
Ixary terletak di paling Timur Kerajaan Tanah. Zafira sendiri tak pernah sampai ke sini. Zafira dan anak-anaknya tersenyum melihat 'kota' di dalam rumah itu. Dah lama rasanya mereka tak melihat suasana cantik dan aman sebegitu.
Para pengiring yang lainnya mula meminta diri, melakukan urusan masing-masing. Ada juga yang menghampiri ahli keluarga mereka.
Dengan hanya diiringi Miroll, Permaisuri Zafira dan anak-anaknya berjalan lurus ke dalam kota. Mereka mula dikerumuni oleh rakyat jelata, tua dan muda.
Yang tua, mereka memberi tunduk hormat pada Permaisuri Zafira. Yang muda pula, mereka melompat kegembiraan, kerana ada 4 orang 'kawan baru', yang baru tiba.
Setelah mereka bersapa dan berbual pendek, secara tiba-tiba, pintu Rumah Perlindungan Ixary mula keluarkan bunyi yang kuat. Bunyi hentakan di pintu makin gamat!
Ketakutan, rakyat jelata bertempiaran lari masuk ke rumah masing-masing.
Para Eastrian, kumpulan pelindung yang membawa Zafira dan anak-anaknya ke sini berkumpul semula berdekatan Zafira.
Anak Zafira yang berempat berkumpul di belakang Zafira, juga ketakutan.
"Arman. Bawa Permaisuri dan para puteri ke..."
Belum sempat Miroll selesaikan arahannya, pintu Rumah Perlindungan Ixary akhirnya dihancurkan.
Terlihat para tentera Kerajaan Angin mula masuk bersama senjata mereka. Para Eastrian pula bergegas menyerang balas. Berlakunya adegan serangan dan pertahankan diri oleh kedua-dua pihak.
Zafira tidak berganjak dari tempatnya. Terkejut melihat apa yang sedang terjadi. Kami baru sampai ke sini beberapa minit! Tempat yang aman ni pun, dah jadi kalut?
Mata Zafira menangkap sesusuk tubuh yang pernah dirangkul dalam dakapannya. "Raff..." Terkedu Zafira. Masa seakan terhenti. Ini betul, ke? Atau, sekadar mimpi?
...
(bersambung)
🌟🤗
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro