Bab 9
"Apa benda yang jadi ni, Qayyum?" Aku mula bersuara lepas memilih untuk berhenti di taman permainan yang berdekatan dengan area rumah Sakinah juga. Sempat aku singgah di warung dan membeli teh ais untuk hilangkan dahaga. Nak harapkan minum di rumah Sakinah, sampai haus tekak aku ni tak dijamu apa-apa. Kena penampar lagi adalah...
"Ya, aku pernah terlanjur dengan Kinah. Aku akui itu salah aku..."
"Jadi? Kenapa tiba-tiba kau cakap yang itu bukan anak kau? Mula-mula kau cakap lain. Bila jumpa dia, cerita lain pula yang keluar." Aku mendengus. Bukan marah. Rasa macam dipergunakan pula. Kalau aku tahu hal sebenar kan lebih baik. Senang aku nak berkomunikasi dengan perempuan tu. Ini tak.
"Bekas teman lelaki Kinah ada minta untuk bersama semula. Kinah tolak. Jadi, dia rogol Kinah. Aku tak tahu-menahu apa yang terjadi dalam tempoh masa tu. Sebab aku pun jarang jumpa dia. Aku sibuk dengan kerja. Aku cuma tahu yang Kinah mengandung beberapa minggu lepas dia dirogol. Dia nangis datang jumpa aku dan beritahu hal sebenar."
Aku memandang lurus ke hadapan. Melihat buaian yang bergerak perlahan tatkala ditiup angin. Telinga aku dengarkan saja cerita roh Qayyum.
"Tapi aku tetap nak bernikah dengan dia. Dan aku janji dengan dia yang aku nak bertanggungjawab dengan keadaan dia. Aku rahsiakan hal ni sebab Kinah minta aku rahsiakan juga."
Berdenyut pula kepala aku. Pening dengan konflik drama antara Qayyum dengan perempuan kurang adab tu. Masa aku nak balik tadi pun, Sakinah tak cakap banyak. Dia cuma tanya sama ada Qayyum ada apa-apa pesanan lagi atau tak. Lepas aku cakap tak ada, terus dia masuk ke dalam rumah. Tinggalkan aku macam tu aje.
Aku menoleh ke arah roh Qayyum yang sudah menundukkan kepalanya melihat rumput.
"Sebab tu kau mengaku tu anak kau? Sebab kau kena rahsiakan dan kau pilih untuk bertanggungjawab dengan keadaan Kinah?" soalku.
Roh Qayyum mengangguk sekali.
"Patutnya kau beritahu hal sebenar aje daripada kau nak mengaku yang anak dalam perut Kinah tu anak kau. Tak pasal-pasal umi fikir yang kau dah mengandungkan anak perempuan orang." Sempat lagi aku membebel sebelum kembalikan pandangan ke arah buaian yang tidak lagi bergerak.
"Aku tak nak buka aib Kinah kat belakang dia. Sebab tu aku minta kau jumpa Kinah dulu. Beritahu depan dia. Ini rahsia dia. Lagipun, aku memang terlanjur. Aku buat dosa tanpa pengetahuan umi."
Aku terdiam. Mengangguk sajalah yang aku mampu. Faham dengan alasan Qayyum. Aku pula sibuk membebel pasal Qayyum tak jelaskan hal sebenar. Rupa-rupanya abang aku tu ada alasan yang tersendiri.
"Nanti... Kau sampaikanlah perkara sebenar pada umi. Umi pun berhak tahu apa yang kau tahu."
"Ya. Aku sampaikan nanti. Kau jangan risau." Aku bersuara lembut.
"Terima kasih, Qarin. Kau tahu..."
Aku menoleh ke arah Qayyum semula.
"Tahu apa?"
"Masa aku keluar dengan abah... Aku ada beritahu abah yang aku nak kahwin. Abah setuju. Rancak kita orang berbual dalam kereta. Abah cakap nak buat kenduri doa selamat sekali. Itu yang aku beria-ia nak balik rumah. Tak tahu pula aku tak sempat nak balik."
Aku senyap lagi. Sedih pula aku dengar cerita Qayyum yang tak berkesempatan untuk diijabkabulkan dengan Sakinah. Aku tahu dia bersungguh nak tamatkan masa bujang dia. Masa Qayyum hidup lagi pun dia dah beria-ia cari calon isteri. Tapi jodoh aku yang sampai dulu. Aku yang tak beria-ia nak kahwin pula diberikan kesempatan untuk mendirikan rumah tangga meskipun perkahwinan aku tak kekal lama. Memang jodoh itu rahsia Allah.
"Minta maaf sebab aku dah susahkan kau, Qarin." Suara Qayyum membuatkan aku menoleh ke arah dia.
"Kau tak susahkan aku pun. Biasalah, kita adik-beradik."
"Pasal aku suruh kau jaga anak Kinah tu... Kalau boleh, kau tolonglah dia juga setakat mana yang kau mampu walaupun kau tahu dia bukan anak aku." Nada suara Qayyum menutur lembut.
"Insya-Allah, kalau dia perlukan pertolongan aku... Aku tolonglah," jawabku.
Aku pun tak tahu apa keputusan akhir daripada Sakinah. Sama ada dia nak aku tampung perbelanjaan dia atau tidak, aku sendiri tak pasti. Tapi kalau dia perlukan duit daripada aku, pandailah dia telefon atau mesej aku nanti. Itupun kalau dia tak tahu malu lepas aku tahu hal sebenar yang anak dalam perut dia tu bukan anak Qayyum.
Roh Qayyum mula bangun dari kerusi batu yang menempatkan kami berdua. Rohnya berdiri membelakangkan aku.
"Beritahu umi yang aku betul-betul minta maaf."
Aku segera berdiri. Mengangguk berkali-kali.
"Nanti aku beritahu dia," ucapku. Mata aku tak lari daripada melihat tubuh Qayyum. Saat dia berpusing untuk berdiri menghadap aku, aku boleh rasa yang dia akan pergi. Aku boleh rasa ini kali terakhir rohnya akan muncul di depan mata aku.
"Jaga diri kau baik-baik. Kau perlu kuat untuk umi. Kau tahu umi kan... Selalu tunjuk kuat padahal dia lemah."
Kepalaku mengangguk. Mata aku dah cuba menahan air mata yang terasa seperti mahu mengalir.
"Kau kena selalu bangun awal untuk sarapan. Umi dah biasa makan sarapan dengan aku... Dengan abah."
Berderai akhirnya air mata aku.
"Aku cuba."
"Aku tahu kau boleh buat. Kau kan ada semangat yang kuat..."
Tawar saja senyuman yang aku mampu berikan kepada Qayyum. Dalam keadaan sedih macam ni, pujian mengatakan aku handsome macam Johnny Depp pun tak mampu hilangkan rasa sedih aku.
"Kau kuat. Lagipun kau adik aku..." Roh Qayyum cuba tersenyum dengan bibir yang serot berot dengan luka. Tak sampai beberapa saat kemudian, roh satu-satunya abang aku tu hilang bagaikan angin. Buatkan pekarangan mata aku berkaca semula.
"Neslo ais satu." Aku perhatikan saja mamak yang berdiri mengambil pesanan aku. Bukanlah perhatikan dia dengan pandangan penuh romantis ke apa. Tak ada maknanya macam tu. Memang nabi tak mengaku umat.
Cuma aku pandang dia dengan fikiran yang kosong. Pandangan mata aku saja melihat dia, fikiran aku pula hilang entah ke mana. Tapi aku masih fokus lagi mendengar suara dia meminta oder aku.
"Makan?"
Aku menggeleng-geleng. Tak berselera nak makan apa-apa. Lagipun lepas aku ambil Qaseh balik dari tadika, aku dah makan tengah hari kat rumah. Jadi aku tak rasa lapar walaupun dah beberapa jam lepas waktu tengah hari. Sekarang pun dah pukul lima setengah petang. Kalau aku rasa nak makan sesuatu pun, aku tak nak ambil makanan yang terlalu berat. Nanti malam kena makan lagi.
Tak sampai lima minit menunggu, mamak tadi letakkan secawan Neslo ais di hadapanku. Tip top juga servis restoran mamak ni. Mungkin sebab tak ramai orang. Belum tiba lagi waktu sibuk untuk kebanyakan orang melepak.
Jujurnya, aku dah jarang melepak lepas aku duduk rumah umi. Senang cerita, lepas aku pegang status duda ni. Kalau aku nak minum luar, aku round area kampung aje. Ada juga warung yang buka sampai tengah malam. Cuma aku bukan jenis lelaki yang melepak sampai tak ingat rumah ni. Inikan pula nak melepak kat luar sampai pukul sepuluh atau sebelas malam. Memang bukan style aku.
Ini pun kebetulan aku melepak kat restoran mamak area bandar KL. Jauh juga dari rumah aku sebab tadi aku singgah hospital untuk lawat pesakit yang terlibat sama dalam kemalangan abang dan abah aku. Alhamdulillah keadaan dia dah beransur pulih. Cuma kaki dia patah dan perlukan masa untuk berjalan semula.
Masa aku lawat dia pun, aku tak berbual sangat. Tak reti aku nak cakap apa-apa. Cukuplah dia tahu yang aku rasa bersalah bagi pihak keluarga aku dan aku dah sampaikan kata maaf. Dia pun boleh terima dengan baik. Tak adalah meraung berguling-guling dan salahkan Qayyum. Faham semua yang terjadi adalah qadak dan qadar Allah.
Lagipun bukan atas alasan aku ni tak pandai berbual aje tapi aku memang tak boleh nak stay lama-lama dalam hospital. Itu yang aku tergesa-gesa keluar hospital, terus hidupkan enjin kereta dan drive sampai ke restoran mamak ni. Badan aku perlukan gula. Nak hilangkan imej makhluk-makhluk halus yang berlegar dalam kepala aku.
"Kau ni sempat lagi nak singgah makanlah, apalah... Pukul berapa kita nak gerak balik ni?"
Aku dengarkan saja suara pelanggan yang baru berjalan masuk melepasi meja aku. Nada suara dia yang kuat buatkan aku terpinga-pinga berpijak semula ke dunia realiti. Tertelan mikrofon ke? Cakap macam nak bagi semua orang dalam restoran ni dengar. Padahal datang cuma berdua aje.
Mata aku ekori saja pergerakan mereka sehingga mereka mengambil tempat di meja bersebelahan. Ada juga aku mengerling melihatkan tuan empunya suara. Tapi bila aku perasan salah seorang daripada mereka berambut keriting, aku dah mula berkerut. Macam aku kenal dengan imej rambut sarang tebuan tu.
"Lepas makan nanti kita terus gerak baliklah. Kau tak payahlah serabut macam rambut kau tu..."
"Rambut aku tak ada kena-mengena. Masalahnya kalau lambat, pukul berapa kita nak sampai Johor? Kau dahlah bawa kereta macam kura-kura."
"Kira mutu pemanduan aku ni kau sifatkan macam kura-kura? Kau pernah dengar cerita kura-kura dengan arnab? Cuba kau cerita kat aku, siapa menang dalam cerita tu?"
"Kau ingat aku tak sekolah ke? Kura-kuralah."
"Haaa... Tau pun. Kau jenis tebuan, duduk tepi. Tak payah banyak cerita."
Aku yang duduk di meja sebelah hanya boleh menahan ketawa. Dengarkan saja pertelingkahan manja daripada dua orang manusia yang aku kenal. Sengaja aku tak nak tegur awal-awal. Nak biarkan mereka berbual dan mengalas perut dulu. Atau mungkin aku tak tegur langsung. Dalam keadaan fikiran dan perasaan aku yang masih belum stabil, aku lebih gemar bersendirian.
Aku hirup air Neslo sambil memandang lurus ke hadapan. Aku abaikan saja mereka berdua seolah-olah aku tak perasan mereka duduk di meja bersebelahan. Bukan aku nak jadi sombong, cuma aku malas nak berbual dan terangkan keadaan aku.
"Eh, Omar... Orang sebelah ni macam member kau tu la. Siapa nama dia... Harin? Harun?"
Dengar aje manusia berdekatan seakan sebut pasal aku, aku terus tundukkan kepala sambil turunkan lagi topi yang aku pakai. Cuba lindung muka. Entah kenapa aku nak sembunyikan diri. Sebab aku dah lama tak jumpa Omar agaknya. Banyak cerita yang tentunya terpaksa diceritakan semula kepada Omar. Dan aku tak ada mood untuk semua tu.
"Bila masa aku ada kawan nama Harin, tak pun Harun? Kau ni... Tapi tu macam..."
Aku dah tutup mata. Kepala aku cuba fikirkan respons andai kata Omar memang cam aku. Fikirkan tentang alasan apa yang aku nak beritahu dia. Nak cerita pasal semua sekali, memang sampai restoran mamak ni tutup pun tak habis cerita.
"Hoi, Qarin!"
Aku mengeluh kecil. Terpaksa jugalah aku hadap pertemuan yang tidak dijangkakan ni. Mood nak bersendirian tadi, aku ketepikan sajalah.
"Omar..." panggilku selepas menoleh ke arah mereka. Lepas dah bertentang enam mata begini, baru aku perasan tak ada apa yang berubah dengan Omar dan kawannya, Apek. Sama macam kali terakhir imej mereka dalam kepala aku.
"Serius aku boleh jumpa kau dekat sini? Berapa lama dah aku tak jumpa kau, Qarin. Dah bertahun lama dah. Ya, Allah... Apa cerita kau sekarang? Apa khabar?"
Aku sambut salam Omar. Macam biasalah, dah lama tak jumpa, tentulah soalan Omar pun datang berdas-das.
"Alhamdulillah, sihat. Kebetulan aku lepak sini. Kau macam mana? Sihat?" soalku pula. Tak perlu aku pelawa, Omar dan Apek dah mula bangun. Nak pindah ke meja aku.
"Aku sihat, alhamdulillah. Macam ni ajelah," jawab Omar yang dah mula tukar tempat duduk dan melabuhkan punggungnya di atas kerusi hadapan aku. Sebelah dia, dah tentulah Apek.
"Kau pun dah nampak kita orang tadi, apa pasal senyap aje? Tak tegur pun?" sampuk Apek. Mungkin dia perasan aku tengok dia orang tadi. Terasa malu pula bila aku yang sombong untuk menegur mereka dulu. Sekarang, alasan apa aku nak jelaskan pada dia orang ni?
Tangan aku dah mula mengusap tengkuk sendiri.
"Aku pun tak pasti nak tegur. Tengok kau orang rancak aje berborak. Ni kau orang buat apa dekat sini?"
"Dah tiga hari kita orang dekat KL. Ada kerja."
Aku mengangguk-angguk lepas dengar Omar kata begitu. Nak teruskan soalan, ada mamak datang menanyakan oder mereka. Jadi, aku diamkan diri sajalah. Tunggu sampai mamak tu selesai ambil pesanan Omar dan Apek.
"Kerja apa dekat KL? Kau orang still kerja dekat syarikat paper tu ke?"
"Kat tempat lamalah. Mana lagi... Kalau tempat baru, aku dah tak tengok rambut sarang tebuan ni lagi," seloroh Apek. Aku gelakkan saja.
"Eh, rambut sarang tebuan inilah yang kau rindu kalau tak ada tau."
"Selisih..." Apek menjuihkan lidahnya.
Aku terus tergelak kecil dengan gelagat mereka berdua. Walaupun nampak macam mereka selalu bertengkar, tak pernah lagi aku tengok Omar dan Apek bermasam muka. Mungkin sebab mereka bekerja di bawah satu bumbung, bergaduh macam mana pun mereka terpaksa bekerjasama juga.
"Aku ingatkan syarikat paper tu dah tutup. Yalah... Macam hidup segan, mati tak mahu aje," ujarku. Memanglah masa aku tinggalkan Johor dengan bekas isteri aku dulu, syarikat tu masih lagi beroperasi. Tapi aku tak sangka pula syarikat kecil macam tu boleh bertahan lama.
"Mulut kau pun. Memanglah syarikat kita orang tu kecil... Itupun dah tukar bos baru. Tapi mampu bertahan lagi."
"Bagus juga kau orang ni. Dah tukar bos pun kau orang still kerja lagi kat situ." Aku memuji. Tak tahulah apa yang aku cuba katakan tu dikira sebagai pujian atau bukan. Bergantung pada pemahaman dia orang sendiri.
"Kalau ikutkan kepayahan yang ada ni... Memang nak berhenti. Tak sanggup lagi menahan derita. Sengsaranya mencari sesuap nasi..."
"Drama kau pun." Aku menggeleng sambil tersenyum lebar.
"Kau tak payah dengar mamat ni berlakon. Buat semak mata aje. Dia sendiri cakap asalkan bos bayar gaji, dia malas nak cari kerja kat tempat lain." Omar jelaskan kepada aku.
Aku anggukkan saja. Tahu yang Apek memang kuat berlawak. Walaupun aku tak berapa rapat dengan dia, aku tak kesah pun dengan personaliti dia.
"Tapi aku dah lama betul tak dengar khabar kau, Qarin. Call kau pun tak dapat. Lepas kau pindah tu, sepatah haram aku tak dengar apa-apa pasal kau. Mula-mula tu ada juga kau jawab call aku. Lepas tu, aku try call lagi... Senyap menyepi," luah Omar.
Memang aku dah agak soalan ini akan diujarkan juga. Lagi-lagi aku yang memilih untuk mengasingkan diri daripada kawan dan orang lain. Kononnya nak bina hidup baru dengan isteri. Akhirnya, perkahwinan aku musnah entah ke mana.
"Sorry... Aku memang dah tukar nombor baru. Aku tak beritahu kau. Ramai juga orang yang tak tahu pasal nombor aku ni. Sorry, Omar."
Aku boleh dengar Omar menghembus nafas berat. Macam tak boleh terima kenyataan aku tanpa alasan yang kukuh ini. Setakat perkataan maaf aje, semua orang pun boleh cakap.
Memang masa aku nak tukar nombor telefon dulu pun, aku tak terfikir pasal Omar. Entah kenapa. Mungkin sebab aku fikir aku dah duduk jauh. Aku mungkin tak ada peluang nak jumpa Omar lagi. Atau mungkin sebab kali terakhir aku berborak dalam telefon dengan Omar, dia ada sebut nama orang yang tak sepatutnya aku dengar atau ambil tahu.
"Kau pun dah kahwin, terus tak ingat member sendiri. Aku tahulah kau dah bahagia dengan isteri, takkanlah tukar nombor pun tak nak beritahu aku?" ujar Omar seakan terasa benar dengan tindakan aku menghilangkan diri tanpa khabar berita ni. Yang aku pula, dah membebel dalam hati. Bahagialah sangat sampai bercerai-berai begini.
Tertunduk kepala aku mencari alasan. Yalah, bukan setahun dua aku kenal dengan Omar. Bahkan kami pernah tinggal sebumbung. Makan sama, tidur tak sekatil. Tentulah dia terasa bila aku buang dia daripada contact list aku macam tu aje.
"Aku tak tahu kenapa aku nak hilang macam tu aje. Aku fikir perkahwinan tu untuk aku settle down, lari daripada semua... Mana aku tahu jadi macam ni. Sorry la, Omar. Kau janganlah terasa."
"Jadi macam ni? Jadi macam mana, Qarin? Kau okey ke? Kalau ada apa hal, ceritalah dengan aku. Aku pun dah lama tak dengar khabar kau."
Aku mengangkat kepala melihat Omar semula.
"Kalau aku cerita, empat hari empat malam pun tak habis."
"Cantiklah tu. Cukupkan lima hari terus."
"Banyaklah kau." Omar memberikan pandangan sinis pada Apek sebelum kembali memandang aku.
"Lagipun, takkan aku nak berborak kosong dengan kau orang berdua lama-lama. Tadi kau cakap ada kerja dekat sini. Nanti aku kacau kerja kau orang pula." Aku bagi alasan yang munasabah. Terdiam jugalah mulut Omar selepas mendengar hujahan aku.
"Kerja kita orang dah settle dekat sini. Tu yang nak balik Johor dah. Singgah kejap kedai mamak, isi perut. Kereta dah isi minyak, pemandu kenalah isi perut juga. Baru bertenaga. Kejap lagi pekena kopi O, teranglah mata aku ni nak drive balik," ulas Apek.
"Itulah, kita orang dah nak balik baru jumpa kau. Kalau aku ada nombor telefon kau, sebelum sampai sini lagi aku dah call. Boleh jumpa, lepak sama." Omar pula menambah.
Aku tersenyum simpul. Terus keluarkan telefon dan serahkan pada Omar.
"Kau masukkanlah nombor telefon kau. Senang aku contact. Sebab nombor kau memang aku tak simpan dalam telefon aku tu."
"Yalah, orang dah buang member... Macam itulah," keluh Omar. Tangan dia menyambut juga telefon aku. Walaupun apa yang dia cakapkan tadi seakan terasa saja, aku pasti Omar tak marahkan aku pun.
"Mana ada. Kau orang cakap ada kerja dekat sini, kerja apa?" Sengaja aku mengutarakan topik lain. Takut aku tak berhenti rasa bersalah.
"Ketua polis negara buat sidang media khas pasal sindiket dadah yang tumpas. Kau tak tengok berita ke?" tanya Apek.
Laju aku menggelengkan kepala. Aku bukannya rajin sangat tengok berita. Apatah lagi ambil tahu hal semasa. Tapi tak adalah sampai tak ambil tahu langsung.
"Nah, aku dah masukkan nombor phone Apek sekali. Apa-apa hal, bolehlah roger kita orang." Omar menghulurkan telefon aku semula. Ada juga aku belek nombor baru yang berada dalam contact list aku. Saja nak tengok contact number Omar dan Apek.
"Omar Handsome?" Aku terus bersuara bila melihat nama yang disimpan di dalam contact list. Bila aku angkat kepala dan melihat Omar, aku perhatikan Omar dah tersenyum bangga untuk tatapan mata aku. Patutlah aku rasa fishy aje tadi. Terus nak tengok nombor yang disimpan dalam telefon.
"Part mana yang kau handsome tu? Sebab aku tak nampak langsung ni..." Apek mengusap dagu sambil memerhatikan Omar. Aku pula, sekadar memasang telinga mendengar reaksi mereka yang tentunya boleh buatkan aku tergelak sama.
"Memanglah kau tak nampak, sebab kehandsomeman aku hanya boleh dilihat oleh orang-orang tertentu saja."
"Oh... Tak apalah, aku lagi rela tak nampak. Takut kalau aku tergolong dalam orang-orang tertentu, aku seorang aje yang muntah-muntah bila tengok kehandsomeman kau. Muka macam kurang vitamin, handsome konon. Rambut kau pun dah macam hutan belantara, aku cucuh sekali dengan rokok... Terbakar semua rambut kau karang."
"Jealous." Panjang muncung Omar.
Naik berair mata aku gelakkan pertengkaran manja mereka berdua. Hilang juga stres aku bila dapat gelak macam ni. Lepas aku tarik nafas dalam, sempat lagi aku mencelah untuk bersuara.
"Nama kau, dia letak Apek Tua," usikku. Seperti sengaja jadi batu api pula. Tapi memang betul pun Omar letakkan nama Apek sebagai Apek Tua dalam telefon aku. Aku cuma sampaikan fakta untuk aku gelakkan bersama.
"Biasalah, bila kau dah handsome... Popular macam aku ni, memang dapat banyak haters. Yang rambut keriting, yang rambut tak keriting... Semua ada. Macam-macam jenis."
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro