Bab 8
"Umi tak jadi nak teman Qarin jumpa Kinah, ya. Pak Cik Zubir meninggal pagi tadi. Jadi umi nak pergi ziarah dia."
Terngiang-ngiang suara umi di telinga aku. Teringat apa yang umi cakap sebelum aku bergerak keluar untuk menghantar Qaseh ke tadika. Disebabkan aku memang nak jumpa Sakinah lepas hantar Qaseh, itu yang umi dah beritahu aku awal-awal yang dia tak dapat ikut.
Ada juga aku beritahu umi pasal apa yang berlaku awal pagi tadi. Cukup aku ceritakan serba ringkas memandangkan umi tahu yang arwah Pak Cik Zubir ada membela saka.
Lepas aku panggil Ustaz Malik, ada juga aku hulurkan bantuan setakat mana yang aku mampu. Mulanya aku nak juga tolong sama panjat atap rumah Pak Cik Zubir sebab salah satu cara untuk saka keluar daripada jasad, atap rumah perlu dibuka. Disebabkan aku tak cukup tidur dan Ustaz Malik macam perasan aku tak dapat rehat, dia tak bagi aku naik atap rumah. Sempat lagi dia perli aku dan cakap yang dia takut aku yang tergolek jatuh dan buat lubang pada atap.
Alhamdulillah lepas hampir dua jam bertarung, dapat juga Ustaz Malik keluarkan saka daripada jasad Pak Cik Zubir. Bahkan aku minta ustaz jauhkan saka tu daripada ganggu orang lain. Terutama keluarga Halim. Kesian pula aku tengok anak lelaki dia yang belum tentu dapat jaga saka belaan tu dengan baik. Apatah lagi, bela makhluk begitu mendatangkan dosa besar dan kemungkaran Allah.
"Ayah... Betul ke umi cakap yang atuk sebelah rumah tu dah meninggal?"
Aku mengilas ke arah Qaseh yang duduk di seat sebelah. Comel tubuhnya aku lilitkan dengan tali pinggang keledar.
"Ya, betullah tu. Kenapa?" Aku pandang semula ke arah cermin hadapan kereta. Tak jauh lagi sebelum tiba di tadika Al-Muslim. Lepas tu aku nak gerak untuk jumpa Sakinah pula. Harap-harap mata aku ni masih lagi segar bertahan. Setakat ni tak ada masalah lagi kalau aku tak tidur semalaman.
"Tak ada apa. Dia meninggal tu sebab apa, ayah?"
Aku menggeleng perlahan. Membawang juga anak perempuan aku ni. Kecil-kecil lagi dah sibuk bertanya info yang tak penting. Dahlah celoteh dia tak nampak langsung macam budak tadika. Agaknya bekas isteri aku bagi lebih vitamin pada Qaseh masa dia membesar dulu.
"Sebab dah sampai masanya dia meninggallah. Sama macam tok dengan Pak Cik Qayyum. Allah dah tulis ajal mereka sampai situ."
"Oh... Habis, Allah tulis ajal ayah dengan umi sampai mana?"
Terdiam aku mendengar soalan Qaseh. Kalaulah manusia boleh tahu bila ajal mereka tiba, nescaya manusia takut nak buat dosa. Nescaya neraka tu tak ada penghuninya sebab semua manusia sibuk membuat amal sebelum ditarik nyawa.
"Kenapa Qaseh cakap macam tu?" Gusar aku menyoal. Pelik juga macam mana anak perempuan aku boleh terfikir untuk tanya soalan macam tu.
"Tak ada apa-apa. Qaseh tak nak ayah dengan umi pergilah."
"Insya-Allah. Nanti setiap kali solat, Qaseh doa banyak-banyak dengan Allah. Allah dengar apa yang Qaseh minta." Senyumku. Walaupun Qaseh masih belum pandai mengerjakan solat, dia ikut juga aku dengan umi sembahyang. Sekadar mengikut segala posisi dalam solat tanpa membaca apa-apa memandangkan Qaseh masih belum mampu menghafal dengan baik.
"Qaseh boleh minta apa-apa dengan Allah ke, ayah?" tanya Qaseh dengan nada terujanya.
"Insya-Allah, mintalah. Yang penting Qaseh berdoa dengan Allah."
"Kalau minta Playhouse?"
Aku tersenyum nipis.
"Kalau itu, Qaseh doalah dengan Allah... Minta Allah murahkan rezeki ayah nak belikan untuk Qaseh."
"Oh... Kalau minta ayah dengan ibu tinggal sama-sama?"
Terus senyap mulut aku nak bersuara. Tak tahu macam mana nak terangkan pada Qaseh tentang jodoh yang tak boleh nak dipaksa. Aku tahu Qaseh nak aku dengan Suraya bersama semula dan menjaga dia seperti keluarga lain.
Tapi perkara ni melibatkan perasaan antara dua manusia. Hubungan aku dengan Suraya memang hanya sampai di situ saja. Aku tak ada niat langsung untuk bersama dengan dia lagi. Buat masa sekarang, cukuplah umi dan Qaseh yang menemani.
Andai kata Allah bukakan pintu hati aku untuk bercinta, aku cuma berharap wanita tu bukan seperti Suraya. Sebab aku tak nak pisang berbuah dua kali. Bukan kata pisang... Epal, kiwi, mangga sekalipun, aku tak nak rasa benda yang sama terjadi pada aku lagi. Jauhkanlah, Ya Allah...
Dua tiga kali aku menjengah dari dalam kereta. Kemudian aku baca mesej yang terpampang di skrin telefon aku. Nak pastikan rumah yang berada di hadapan mata aku ni, rumah yang sama dengan alamat yang diberikan.
Kalau ikutkan mesej yang Sakinah bagi lepas aku call dia semalam, memang inilah rumah perempuan tu. Siap dia beritahu yang rumah dia warna hijau emerald. Entah binatang apa warna emerald tu, aku pun tak tahu. Tapi rumah depan mata aku ni memang dah warna hijau pun. Kalau ikut fakta aku mengenai warna, aku panggil hijau macam tu jenis hijau pekat aje.
"Entah ya ke tak rumah perempuan ni..." Mula berputik rasa waswas dalam hati aku. Yalah, aku risau juga kalau aku salah rumah. Mana tahu perempuan tu bagi aku alamat rumah orang lain.
Saat aku lihat roh Qayyum muncul berdiri di hadapan kereta, aku tahulah yang aku tak salah rumah. Aku terus matikan enjin kereta dan melangkah keluar. Masa aku mula mengambil langkah, jantung aku dah mula berdegup pantas. Macam aku baru lepas berlari sedangkan aku baru saja keluar dari kereta. Apa yang aku risaukan sangat ni?
"Assalamualaikum." Dengan penuh adab aku memberi salam. Bak kata orang, biar muka macam pecah rumah, asalkan ada adab. Itu yang aku cuba buat ni...
"Assalamualaikum..."
Tak ada respons. Bukan kata ada orang sahut dari dalam, pintu hadapan rumah pun masih berkunci.
"Assalamualaikum, ada orang tak?" Aku memanggil lagi. Dah berapa minit aku berdiri tercegat depan pintu pagar kecil rumah dia ni. Dah tiga kali aku bagi salam. Kalau dah kena tunggu lama macam ni, aku takut adab aku bertukar jadi biadap.
"Ada orang, Qarin. Kejap lagi dia bukalah pintu," kata Qayyum. Mungkin nak tenangkan aku yang tak berapa suka menunggu orang. Apatah lagi menunggu orang yang aku tak kenal.
"Waalaikumussalam."
Seorang wanita lingkungan umur umi menyahut salam aku. Mungkin ibu kepada Sakinah atau ada bau-bau bacang dengan perempuan tu. Tak kiralah. Aku pun tak ambil peduli sangat. Aku cuma nak jumpa Sakinah.
"Maaf mak cik, tumpang tanya. Sakinah ada?"
"Ada dekat dalam. Kamu siapa?"
Aku dah mula garu hujung kepala.
"Ummm... Saya Qarin. Ada hal sikit nak jumpa dengan Sakinah."
Mak cik tu masuk ke dalam rumah semula. Tinggalkan aku yang tercengang-cengang. Kenapa muka mak cik tu garang sangat? Senyum tidak, sengih pun tidak. Macam aku datang rumah dia nak cari gaduh pula.
"Ya?"
Tak sampai seminit aku menunggu lagi, Sakinah keluar menyapa aku. Muka dia pula seakan-akan tertanya-tanya siapa aku. Rasanya aku dah beritahu nama aku semalam. Dia tak ingat ke? Tak pun, mak cik tadi tak beritahu nama aku?
"Saya Qarin. Malam tadi saya ada call awak," jelasku. Barulah reaksi muka dia berubah.
"Oh, adik Qayyum. Dia mana? Berapa kali saya call dia tapi tak dapat?"
Soalan Sakinah dibiarkan tidak berjawab buat masa ni. Memang Sakinah tak tahu apa-apa pasal Qayyum. Aku pun tak ceritakan apa-apa masa aku call dia malam tadi. Aku cuma cakap yang aku adik kepada Qayyum dan ada perkara yang aku nak bincangkan. Itu aje...
"Boleh tak kita cari port untuk kita cakap berdua? Lebih elok rasanya," ajakku.
Bukan aku ada niat nak buat yang bukan-bukan pada Sakinah. Jauh panggang dari api. Aku tak suka bila aku berbual perkara penting begini, ada pula mata yang memerhati. Sejak Sakinah keluar lagi aku boleh nampak mak cik garang tadi terjengah-jengah dari tingkap hadapan rumah. Apa kes? Paparazi kampung juga ke?
Sakinah mengangguk perlahan dan mengajak aku berbual di hujung laman rumahnya. Memang ada kerusi batu yang ditempatkan di situ. Sesuailah untuk orang duduk bersembang sambil minum kopi. Tapi aku yang datang sebagai tetamu, tak ada pula dihidangkan apa-apa. Aku tak kompelin. Cuma tekak aku ada juga nak pekena air yang sejuk sikit.
"Kenapa Qayyum tak datang sekali? Kenapa awak pula nak jumpa saya?" Sakinah mula membuka mulut. Hujahkan semula soalan yang masih belum diberikan jawapan.
"Qayyum dah meninggal." Pendek saja jawapan aku. Saja aku nak amati reaksi muka dia lepas aku cakap macam tu. Dari riak wajah dia, aku tak rasa dia boleh terima jawapan aku dengan mudah. Silap-silap dia tarik rambut aku dan cakap aku ni dah gila.
"Apa benda kau cakap ni? Kau jangan nak merepek!"
Seperti yang aku sangkakan. Cuma aku tak expect gaya bahasa dia juga boleh berubah. Elok tadi bersaya dan berawak dengan aku. Kali ni tiba-tiba bertukar kau pula. Siap nak naik suara lagi...
Aku keluarkan surat pengakuan pegawai perubatan yang aku bawa sekali dari rumah. Memang aku dah siap-siap masukkan dalam poket seluar sebelum aku keluar lagi. Mungkin sebab aku dah boleh agak yang Sakinah tak percaya pasal kematian Qayyum. Jadi, terpaksalah aku bawa bukti. Lagipun, lepas ni aku nak biarkan saja surat pengakuan tu dalam dompet aku. Senang untuk aku dapatkan sijil kematian ayah dan Qayyum nanti.
"Ni..." Aku serahkan pada Sakinah. Terkebil-kebil mata dia membaca surat yang aku bagi. Tahu pun dia. Ingat kerja aku nak menipu aje ke?
Aku terima semula surat dari tangan Sakinah lepas dia selesai menelaah. Aneh juga bila perempuan tu tidak mengalirkan air mata. Memang emosi dia kental betul.
"Jadi kau datang sini semata-mata nak beritahu aku yang dia dah meninggal?" tanya Sakinah dengan muka seriusnya. Susah aku nak tahu yang dia tengah marah, sedih atau sebaliknya.
"Dia nampak macam tak kesah yang aku dah tak ada..."
Aku terdengar suara Qayyum dari hujung bahu. Masa aku bercakap dengan mak cik garang tadi, Qayyum dah hilang dari pandangan aku. Ni tiba-tiba aku dengar suara dia pula. Nasiblah aku ni bukan kaki melatah ataupun senang terkejut.
"Aku tahu yang kau mengandung sekarang. Aku tahu yang arwah ada janji nak kahwin dengan kau. So, sebagai ahli keluarga dia... Aku nak tolonglah apa yang aku mampu," jawabku. Hilang sudah sopan bahasa aku. Alang-alang Sakinah dah mulakan dulu.
"Apa yang kau mampu tolong? Boleh kau jaga makan minum aku dengan anak dalam perut aku ni? Makan pakai aku dengan dia?"
"Insya-Allah. Aku tolong setakat mana yang aku mampu."
"Macam mana pula dengan mak aku?"
Kepala aku terus terbayang muka mak cik garang tadi. Itu ke mak Sakinah? Apa kena-mengena dia dalam cerita ni? Mengandung juga ke? Takkan aku kena tanggung dengan mak dia sekali?
"Kenapa dengan mak kau?" Aku mula berkerut.
"Mak aku tak tahu pasal anak dalam perut aku ni. Aku sorokkan dari dia. Pakai baju besar-besar. Yang tahu cuma Qayyum seorang. Dia janji nak kahwin dengan aku. Tapi sekarang dia dah meninggal. Kalau mak aku tahu pasal ni..."
Aku meneguk air liur. Jangan mak dia salahkan aku, sudahlah. Aku sendiri dapat tahu pasal hal ni last minute. Bahkan aku tak ada kena-mengena dalam hubungan sulit dia orang. Kalau aku tahu awal-awal perkara nak jadi macam ni, aku orang pertama yang halang Qayyum. Memang aku azankan telinga dia sekali lagi.
"Dah tu, apa plan kau? Aku pun tak tahu apa-apa. Kalau setakat kau nak aku support bil hospital untuk anak kau, makan minum sepanjang kau pregnant ni... Aku boleh bagi," ulasku.
Kalau diikutkan, aku ni tak adalah berduit sangat sampai suka-suka nak tanggung perbelanjaan perempuan mengandung. Cuma aku ada juga duit simpanan aku sendiri. Memang aku rajin menyimpan sejak aku hidup single lagi. Lagipun, aku ada juga terfikir nak cari kerja part time. Tambahkan income sejak aku dah ambil alih jaga Qaseh.
"Kalau kau support aku pun, kau fikir macam mana aku nak sorokkan kandungan ni? Apa aku nak jawab dengan mak aku?"
"Habis tu kau nak aku buat apa? Terangkan pada mak kau?"
"Terpaksalah. Nak buat macam mana lagi? Kenalah beritahu mak aku." Sakinah berpeluk tubuh. Sedap mulut saja dia bercakap. Siapa sebenarnya yang patut bertanggungjawab dengan kandungan dia? Apa pasal cara dia bercakap macam aku yang bersalah? Macam aku pula yang kena bertanggungjawab?
"Qarin..."
Telinga aku menangkap suara Qayyum. Belum sempat aku menoleh ke arah Qayyum, aku perasan wanita bengis yang sambut kedatangan aku tadi sudah berdiri di belakang Sakinah. Wanita yang berkemungkinan besar merupakan emak kepada Sakinah. Sejak bila pula dia berdiri kat situ?
"Apa yang kau nak beritahu aku?!"
Pergh... Kecut perut aku dengar suara garang mak Sakinah. Dah serupa macam bunyi ngauman singa. Macam mana la Qayyum boleh terfikir nak kahwin dengan Sakinah yang tentunya pakej sekali dengan wanita garang ni sebagai mak mentua. Kalau aku jadi Qayyum, aku fikir dua tiga kali juga nak kahwin. Mungkin aku sanggup membujang sampai ke tua.
"Janganlah tanya Kinah. Mak tanyalah dia." Sakinah menuding jari ke arah aku.
Cantik! Kenapa aku pula yang kena jawab? Aku patutnya tak ada kaitan langsung dalam cerita ni.
"Ada hal apa kau datang cari anak aku? Apa benda yang kau orang berdua sorokkan?" Mak Sakinah menyoal garang kepada aku. Terpaksa aku bersuara juga. Terangkan saja cerita sebenar sebelum keadaan bertambah rumit. Apa yang penting, aku cakap baik-baik supaya mak Sakinah boleh terima.
"Macam ni, mak cik... Saya Qarin. Sakinah ada hubungan dengan..."
"Kinah mengandung anak dia!" Sakinah terus mencantas kata-kata aku sambil berdiri tegak. Aku yang dengar mula termangu-mangu. Terbeliak aku dengar kenyataan bohong lagikan palsu dari mulut Sakinah. Kenapa pula dia nak tuduh aku?!
"Kau cakap apa?!"
"Kinah mengandung... Mengandung anak dia."
"Mak cik, nanti dulu..."
Aku baru nak halang, mak Sakinah dah hadiahkan tamparan demi tamparan di kepala dan badan Sakinah. Aku kaku. Keadaan tu berlaku dalam sekelip mata.
"Kau kena halang dia, Qarin. Beritahu mak dia hal sebenar," arah Qayyum. Aku anggukkan sajalah.
Terpaksalah aku gerakkan kaki aku dan mendekati mak Sakinah. Aku terus pegang tangan dia daripada menampar badan Sakinah. Bukanlah niat aku nak muncul bagai hero dan pertahankan Sakinah daripada kena belasah. Cuma keadaan dia yang tengah mengandung tak patut diperlakukan begitu. Kalau apa-apa jadi, aku juga yang kena hantar dia ke hospital nanti...
"Dahlah, mak cik. Dengar dulu apa yang saya nak jelaskan," ucapku sambil memegang pergelangan tangan mak Sakinah. Tanpa aku sedar, satu tamparan menyinggah pipi yang datang daripada tangan kiri wanita itu. Berpinar sekejap kewarasan aku. Mungkin sebab tamparan itu datang secara tiba-tiba tanpa amaran.
"Kau nak jelaskan apa?! Kau dah buntingkan anak aku, kau nak cakap banyak?!" jerkah mak Sakinah. Sekali lagi dia nak hadiahkan tamparan guna tangan kiri dia, tapi aku sempat elak. Fuh, nasib baik. Kalau tak, sekali lagi berdesing pendengaran aku.
Aku pegang kedua-dua tangan wanita itu.
"Saya tak buntingkan anak mak cik! Demi Allah!"
Barulah tenang sikit amarah mak Sakinah. Mungkin sebab aku berani nak semburkan kebenaran ke arah muka dia. Berani nak naikkan suara.
"Bukan saya yang mengandungkan anak mak cik. Sakinah ada hubungan dengan abang saya. Saya datang sini nak beritahu yang abang saya dah meninggal." Aku jelaskan lagi. Nampak macam mak Sakinah dah boleh terima meskipun muka garangnya masih belum berubah.
"Betul apa yang kau cakap ni?" Mak Sakinah mahukan kepastian aku. Apa lagi? Selaju mungkin aku mengangguk.
"Sumpah. Saya tak ada kena-mengena dengan anak mak cik. Saya cuma sampaikan berita."
"Dia tipu, mak. Kinah ada hubungan dengan dia sebenarnya. Dia tak nak mengaku," celah Sakinah. Aku terus lepaskan tangan mak Sakinah dan berdiri menghadap perempuan tu.
"Apa masalah kau nak tuduh aku? Kau tahu anak siapa yang kau kandungkan! Aku sendiri baru jumpa kau hari ni. Inikan pula aku nak sentuh kau. Itupun kau berani nak cakap aku menipu?"
Terdiam Sakinah dengar aku berbahas penuh emosi. Kalau aku tahu dia nak terus tuduh aku, aku biarkan saja dia kena belasah dengan mak dia tadi. Mungkin puas hati aku.
"Aku tak masuk campur lagi hal kau, Kinah. Apa yang kau dah buat, aku tak mahu tahu." Pasrah mak Sakinah bersuara dan berjalan meninggalkan halaman rumah dia. Aku tahu dia dah tak mampu nak dengar. Kecewa dengan perbuatan Sakinah. Daripada nada suara dia pun aku dah boleh agak.
"Ni semua salah kau!" Sakinah menolak tubuh aku.
"Apa pasal salah aku? Kau tipu mak kau sendiri!" Aku naikkan suara. Kalau boleh aku nak pekik kuat dekat telinga dia. Marah betul bila aku pula yang kena tuduh.
"Kau cakap kau nak tolong aku!"
"Ya, aku cakap nak tolong jaga kau dari segi kewangan. Bukannya bertanggungjawab seolah-olah aku yang buat kau mengandung. Kau ingat aku datang sini sebab nak jadi pak sanggup kau? Pergi mimpilah!" balasku. Dah mula berasap kepala aku berdepan dengan perempuan yang suka-suka nak ambil kesempatan ni. Dia ingat aku ni bodoh sangat ke?
"Kau tahu kenapa aku datang cari kau? Sebab arwah abang aku nak jumpa kau. Arwah abang aku yang suruh aku cari kau. Kalau tak, aku tak hairan langsung nak jejakkan kaki dekat sini. Buang masa aku aje." Aku berpeluk tubuh. Cuba sabarkan diri. Menyirap pula darah aku bila dia naikkan suara sebab aku tak tolong dia.
"Arwah abang kau nak jumpa aku? Apa benda yang kau merepek ni, gila?"
Mula-mula baran juga aku dengar Sakinah cakap macam tu. Tapi aku memilih untuk bersabar sajalah. Tak guna aku nak bergaduh dengan dia. Mungkin dia emosi sebab dia tengah mengandung sekarang. Itu aje yang aku fikir.
Aku menarik nafas panjang. Astaghfirullahalazim. Cekalkan hati hamba-Mu untuk berdepan dengan manusia kekurangan adab seperti dia, Ya Allah...
"Hijab aku terbuka. Aku boleh nampak sesuatu yang manusia lain tak nampak. Aku tahu pasal kau sebab arwah abang aku yang minta aku cari kau."
Aku perhatikan saja Sakinah yang sudah menggeleng-gelengkan kepala. Aku yakin yang dia tak boleh terima apa yang aku jelaskan. Baru sekejap tadi dia panggil aku gila, dah tentulah tak mudah untuk dia percayakan aku.
"Menyesal pula aku cakap dengan mak aku yang aku mengandungkan anak kau. Tak tahu pula yang kau ni tak berapa waras," sengih Sakinah. Sengaja memerli aku. Aku boleh sabar lagi. Pernah juga aku jumpa manusia macam dia. Tak percayakan kebolehan aku ni.
"Qarin..."
Aku berdehem saja dengan panggilan roh Qayyum. Aku tahu dia masih setia berada di sebelah aku. Jadi setiap kali dia panggil, aku pasang telinga sajalah. Takut kalau aku jawab panggilan dia, perempuan kurang adab ni panggil aku gila sekali lagi.
"Cakap dengan dia yang anak dalam perut dia tu bukan anak aku. Dia kena rogol dengan bekas teman lelaki dia. Dia akan percayakan kau."
"Hah?!" Aku terus menoleh ke arah roh Qayyum. Biar betul apa yang aku dengar ni?
"Cakap dulu dengan dia."
Aku berkelip-kelip memandang Sakinah. Berat mulut aku nak bersuara menyampaikan fakta yang aku sendiri tak pasti kesahihannya.
"Kau ni dah ken..."
"Anak dalam perut kau tu bukan anak Qayyum. Kau kena rogol dengan ex boyfriend kau, kan?"
Sakinah terus terdiam. Mulutnya ternganga sedikit dan matanya masih memandang aku.
"Kenapa kau diam? Sebab apa yang aku cakap ni betul?" Aku mengangkat kening. Kemungkinan besar fakta Qayyum adalah kenyataan sebenar. Tak pernah lagi roh cuba berbohong dengan aku. Selalunya yang suka bohong aku ni, manusia.
Perlahan Sakinah menggelengkan kepala.
"Macam mana kau tahu pula? Ada seorang aje yang tahu pasal hal ni..."
"Aku dah cakap, aku boleh nampak roh Qayyum," tekanku. Aku perasan Sakinah cuba menyembunyikan air mata dia yang sudah bergenang. Tahu pula sedih minah ni...
"Sampaikan kat dia yang aku minta maaf sebab tak boleh teruskan janji. Aku harap dia jaga diri baik-baik. Termasuk anak dalam perut tu."
Aku sampaikan sama seperti apa yang keluar dari mulut Qayyum kepada Sakinah. Apa lagi, makin mengalir air mata perempuan tu. Aku pun tak pasti apa yang dia sedihkan. Nak kata sebab Qayyum, elok saja perempuan tu terima berita kematian Qayyum tadi. Pelik betul...
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro