Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 6

Dengan lampu suluh di tangan, aku berjalan dengan fikiran yang masih lagi kusut. Naik berdenyut kepala aku fikirkan masalah yang muncul. Lepas satu masalah, satu lagi timbul. Bukan aku nak mengeluh dengan dugaan yang Allah beri. Cuma kadang-kadang aku stres juga. Aku hanya fikir yang Allah takkan uji lebih daripada kemampuan hamba-Nya. Jadi tentu Allah tahu aku boleh hadap semua ni. Nak tak nak, aku usahakan ajelah selagi mampu dan selebihnya aku serahkan kepada Allah.

Perlahan aku mengayun langkah ke arah surau yang jaraknya mungkin memakan masa sepuluh minit dengan berjalan kaki. Malas aku nak drive bila kepala tengah serabut macam ni. Lebih baik aku jalan kaki dan menghirup udara malam.

Lagipun aku memang tak berapa gemar drive malam. Mata aku selalu tak fokus nak memandu. Jalan kaki pun lebih kurang sama juga. Tetap mata aku akan nampak yang bukan-bukan. Sebab tu aku lebih suka solat di rumah. Tak habiskan masa malam di luar sangat. Entah apa-apa yang aku nampak nanti...

Meskipun aku ni jenis manusia yang lebih suka duduk di rumah, ada juga aku pergi surau kalau arwah abah ajak aku solat kat sana. Yalah, sesekali perlu juga aku menjejakkan kaki ke rumah Allah. Dengan motor kapcai dia la, dia bonceng aku sampai ke surau.

Lepas ni aku dah tak boleh rasa naik motor dengan abah lagi. Dia dah meninggal pun, aku tak pernah terfikir nak guna motor kapcai dia untuk ke surau. Takut aku meraung sambil pulas throttle motor pula.

Piiinnn!!!

Kaki aku berhenti melangkah. Bunyi hon motor siapa pula tu? Rasanya aku belum gila lagi nak berjalan kat tengah-tengah jalan raya. Bukannya aku halang laluan kenderaan pun.

Aku memusingkan badan ke tepi dan melihat Ustaz Malik menghentikan motor Modenas Kriss di sebelah aku. Enjin motornya masih lagi hidup. Memang dia tak bercadang nak berhenti lama agaknya. Mungkin sekadar nak tegur aku. Apatah lagi dia tak pernah terserempak dengan aku tengah berjalan kaki ketika waktu malam macam ni.

"Qarin, kamu dari mana ni? Nak ke mana? Surau ke?" Ustaz Malik menyoal. Aku pun tak pakai songkok masa keluar rumah tadi. Mungkin Ustaz ingat aku ada tempat lain nak dituju. Sebab jalan utama ni bukan terarah ke surau semata-mata.

"Dari rumah, ustaz. Memang nak ke surau la ni." Aku menjawab.

"Baguslah. Ni umi kamu mana? Tak ikut?"

Aku menggeleng perlahan. Memang aku seorang saja ke surau memandangkan aku nak lari sekejap daripada umi dan Qaseh.

Bukan tak nak ajak mereka solat sama di surau atau mengimamkan solat di rumah, tapi aku takut aku tercakap tentang apa yang berlaku petang tadi pada umi. Memanglah mulut aku ni boleh simpan rahsia tapi ni soal Qayyum buntingkan anak perempuan orang. Dahlah perempuan tu duduk kampung sebelah. Kalau perkara ni tersebar dari mulut aku, memang naya!

"Kenapa tak bawa umi kamu sekali? Boleh solat berjemaah sama dekat surau."

Laju aku menggaru belakang kepala. Banyak juga soalan Ustaz Malik ni. Takkan aku nak cerita perkara sebenar? Nanti dia tanya kenapa aku nak lari dari umi pula. Ada karang aku terbuka cerita pasal Qayyum juga. Tak boleh jadi ni...

"Saya minta umi jaga Qaseh tadi, ustaz. Qaseh mungkin tak biasa lagi duduk rumah umi saya tu." Pandailah aku buat cerita. Padahal elok aje anak aku tu berlari dalam rumah. Tak ada maknanya dia tak biasa. Aku bukan tak pernah bawa Qaseh datang ke rumah umi.

Cuma ada juga anak perempuan aku tu tanya pasal arwah abah. Kat mana arwah abah aku tu. Speechless juga aku nak jawab. Nasib baik umi aku ada. Peliknya, senang betul aku tengok Qaseh terima penjelasan umi. Boleh terima yang arwah atuk dan pak cik dia dah pergi menghadap Allah tanpa menitiskan air mata.

"Qaseh dah duduk bersama dengan kamu ke?"

Soalan Ustaz Malik mengejutkan aku. Entah ke mana-mana saja fikiran aku terbang.

"Haah. Saya jaga dia sekarang."

"Kalau dah macam tu, alhamdulillah. Jagalah dia baik-baik. Ni kamu nak ke surau ke? Jomlah kita pergi sama. Naik motor ni haaa..." Ustaz Malik mengajak. Aku tak perlu nak fikir dua kali lepas aku perasan ada sesuatu yang menumpang motor Ustaz Malik sejak dia berhentikan motor dia lagi. Gangguan makhluk halus yang dah biasa menjamu mata aku.

Masa aku pandang makhluk halus tu, dia menyorokkan muka di balik rambutnya yang panjang. Tapi kepalanya memang terarah ke arah aku seolah-olah dia tengah melihat aku sekarang ni. Cuma aku tak nampak muka dia dan aku tak bercadang nak tengok lama. Karang dia selak rambut dan pamerkan muka dia, lutut aku juga yang bergetar nanti. Cukuplah aku tahu ada benda halus yang bertenggek di belakang motor Ustaz Malik.

"Tunggu apa ni, Qarin? Naiklah. Lambat pula kita nanti."

"Tak apalah, ustaz. Saya boleh jalan kaki aje. Lagipun kalau kita jalan kaki ke surau ni, banyak pahalanya."

"Memang sebab kamu nak jalan kaki atau kamu ada nampak sesuatu dekat belakang ustaz ni?"

Aku tersenyum kecil. Mungkin Ustaz Malik sendiri dah rasa seolah-olah ada sesuatu berada di belakang dia. Lagipun Ustaz Malik memang kenal aku dari kecil. Dia tahu pasal kebolehan aku sebab umi yang bawa aku jumpa dia masa kecil. Mungkin sebab tu juga dia perasan aku berat nak terima untuk tumpang motor dia.

"Kamu nak terus tumpang duduk belakang aku ke? Aku minta kamu pergi elok-elok ni." Ustaz Malik dah pulas throttle motor dia. Aku tengok makhluk halus tu masih tak berganjak. Tak pedulikan kata-kata Ustaz Malik.

"Tak apa, ustaz. Saya memang nak jalan kaki aje pun. Boleh berfikir sekejap sambil jalan kaki ni." Aku menepuk perlahan bahu Ustaz Malik dengan senyuman yang masih lagi terukir di bibir. Aku harap dia faham yang aku tak terima pelawaan dia. Bukan sebab makhluk halus tu tak nak berganjak tapi memang aku perlukan masa nak bersendirian juga.

"Betul ni?"

Aku mengangguk sekali.

"Kalau macam tu, tak apalah. Ustaz jumpa kamu dekat surau nanti." Ustaz Malik memulas throttle motornya lagi.

"Kau tak turun, kau ikutlah aku sampai ke surau," ujar Ustaz Malik pada makhluk halus yang masih lagi bertenggek di belakang motornya sebelum meninggalkan aku.

Tak jauh motor ustaz berlalu pergi, aku tengok makhluk halus tadi terbang naik dan menuju ke arah pokok. Bertenggek di dahan pokok pula. Mungkin dia tak jadi nak menumpang motor Ustaz Malik lepas dia dengar yang ustaz mahu ke surau. Atau kemungkinan besar sengaja nak kacau laluan aku ke surau la tu...

Lantaklah. Aku teruskan juga perjalanan aku. Harap-harap kaki aku tak berat nak melangkah masa melepasi pokok besar tu nanti. Ada karang aku tak jadi nak ke surau tapi melencong balik ke rumah.

"Qarin..."

Sepantas kilat kaki aku berhenti berjalan dan kepalaku menoleh ke sebelah. Aku dah boleh agak roh Qayyum yang muncul lepas mendengar suara dia. Suara yang aku memang dah cam sangat. Itu yang aku cepat-cepat toleh ke arah dia. Lagi-lagi aku ada banyak benda nak bincang dengan Qayyum.

Mana taknya, sakit hati aku ni sebab dia hilangkan diri lepas beritahu yang gambar ultrasound bayi tadi adalah anak dia. Ingat senang ke kepala aku nak terima maklumat macam tu? Lepas tu sekarang barulah Qayyum nak muncul semula. Dah sah-sah memang kena bahas dengan aku kejap lagi.

"Baru sekarang kau nak muncul? Aku ada hal nak bincang dengan kau," luahku. Dah macam orang nak cari gaduh pula. Aku bukannya nak bergaduh dengan Qayyum. Apatah lagi dia abang aku.

"Aku tahu..." Qayyum menundukkan kepalanya ke bawah.

"Tahu? Habis, kau tahu tak apa yang kau dah buat? Kau tak fikir apa yang kau dah buat tu dah malukan umi?" Memang tak ada mukadimah langsung untuk Qayyum. Aku tahu, dah tak guna nak marah dia. Tapi sekurang-kurangnya lega juga hati aku bila dah hambur rasa marah aku ni.

"Aku memang nak kahwin dengan dia."

"Kau fikir kau ada hasrat nak kahwin dengan dia, kau bolehlah tidur dengan dia sampai dia mengandung. Macam tu?"

Qayyum senyap. Tak tenang hati aku bila tak dapat sebarang respons daripada dia. Memang la aku tak perlu nak bebel sedangkan perkara yang berlaku tak boleh nak diundurkan semula. Tapi bila aku fikirkan kalau perkara ni sampai ke telinga umi, fikiran aku jadi bercelaru. Aku takut orang kampung bawa mulut dan cakap yang bukan-bukan pada umi.

"Sakit, Qarin. Aku tahu aku salah. Aku terpaksa tanggung sakit dosa aku."

Aku pula terdiam lepas Qayyum tiba-tiba buka mulut. Sakit katanya. Sesuatu yang aku tak dapat nak tolong melainkan tak putus-putus menghantarkan doa. Hukuman atas kesalahan yang dilakukan di atas dunia ini, itu kerja Allah semata-mata. Bukan kerja aku.

"Kau dah berdosa pada umi. Kau dah membelakangkan dia. Perkara ni umi kena tahu juga. Supaya dia boleh maafkan kau. Syurga kat bawah telapak kaki seorang ibu, Qayyum." Aku menggeleng perlahan. Aku ingatkan aku dapat elakkan perkara ini daripada pengetahuan umi. Aku ingat perkara ni tak ada kena-mengena dengan umi. Tapi lain pula jadinya...

"Kau kena jumpa Kinah, Qarin."

Aku menarik nafas panjang.

"Ya, aku tahu. Aku ada nombor phone dia. Lepas isyak baru aku ingat nak call. Tengoklah macam mana nanti."

Tak lama aku berbual dengan Sakinah, aku matikan panggilan telefon. Tak perlu rasanya aku nak berborak mesra sedangkan aku tak kenal dia. Takkan aku nak tanya dia dah makan malam ke belum? Cukup aku beritahu siapa aku dan cakap yang aku nak jumpa dia esok. Lagipun daripada bercakap dengan perempuan tu, lebih baik aku fikir macam mana nak terangkan pada umi tentang perkara ni. Macam mana aku nak jelaskan tanpa cederakan hati umi...

"Ayah, buat apa tu?"

Aku menoleh ke belakang, melihat Qaseh berlari-lari anak keluar dari rumah dan cuba memanjat tembok batu yang menjadi tempat aku melabuhkan punggung. Selalunya tembok batu inilah tempat aku melepak sambil melihat langit. Tak kiralah siang atau malam.

"Jatuh kang..."

Aku menghulurkan tangan. Biar anak dara aku tu panjat juga. Selagi tak membahayakan, aku tak perlu nak halang segala gerak-geri dia. Terlalu kawal pergerakan anak-anak pun tak bagus juga.

Sebab masa membesarlah mereka perlu belajar sesuatu perkara tu dengan berdepan perkara itu sendiri. Seperti mengajar mereka berbasikal, kita tak perlu mengayuh dari belakang. Sebaliknya memegang hendal dan berada di samping dia setiap kali dia jatuh. Itu pandangan aku tentang pembesaran kanak-kanak.

"Kenapa ayah duduk sini? Kenapa ayah tak duduk dalam rumah?"

Mulalah mulut anak aku tu berceloteh dan menyoal aku macam-macam. Padahal tak sampai seminit dia duduk atas tembok batu ni. Sifat mak dia yang aku terpaksa akurkan juga. Tapi kalau nak dibandingkan, sifat Qaseh lebih banyak sama dengan sifat aku. Mungkin bab rupa, dia dah ambil iras muka mak dia.

"Saja. Ayah nak ambil angin dekat luar." Aku jawab soalan Qaseh. Mata bulat anak aku tu berkelip-kelip melihat aku.

"Dalam rumah tak ada angin ke, ayah?"

Tersenyum aku dengar soalan Qaseh. Apalah jujur sangat soalan anak perempuan aku tu.

"Memanglah ada angin. Tapi kat luar ni lagi best. Tu... Boleh tengok langit. Boleh dengar bunyi angin."

Aku perhatikan kening Qaseh yang dah mula berkerut. Mungkin penjelasan aku tak boleh masuk logik akal dia.

"Qaseh tak dengar apa-apa pun?"

Aku hanya mampu ketawa kecil. Kalah dalam proses cuba terangkan kenapa aku nak melepak kat luar rumah kepada Qaseh. Atau mungkin aku malas nak terangkan panjang-panjang. Sebab aku melepak pun, untuk cari ketenangan. Nak kurangkan kusut dalam kepala aku ni. Kalau aku sibuk fikirkan cara nak fahamkan Qaseh, aku takut otak aku makin berserabut.

"Ni... Qaseh kenapa tak tidur lagi? Esok nak sekolah." Aku mencubit perlahan pipi montel Qaseh. Bukanlah aku nak menghalau dia daripada duduk melepak dengan aku. Cuma masa aku start melepak pun dah lewat. Hampir pukul sepuluh malam.

"Kejap lagilah, ayah."

"Jangan lama-lama, tahu? Esok susah nak bangun."

Qaseh mengangguk perlahan mendengar arahan aku. Kemudian aku tengok dia terjengah-jengah melihat kawasan rumah sebelah. Dengan aku sekali terbabit sama. Terjengah kawasan rumah Pak Cik Zubir sedangkan pandangan mata aku ni berbeza.

"Apa dia, Qaseh? Tengok apa?" Aku menyoal kehairanan. Nak tahu juga apa yang menangkap pandangan mata anak aku tu. Tiba-tiba aje dia menjengah melihat rumah sebelah. Saspens juga aku. Kalau ikut pandangan aku, dah sah-sah aku nampak saka belaan Pak Cik Zubir berlegar-legar mengelilingi rumah. Dari sudut pandangan mata kasar, tak ada apa-apa yang mencurigakan pun.

"Orang sebelah kan ayah... Anak dia sekolah sama dengan Qaseh. Tadi petang Qaseh nampak dia main dengan kakak dia."

Aku menarik nafas panjang. Itu aje ke yang Qaseh cuba nak beritahu? Aku ingatkan apalah tadi...

"Oh... Ayah tahu. Tadi kan ayah jumpa dengan ayah dia dekat depan tadika Qaseh. Qaseh kawan tak dengan dia?"

Qaseh menggeleng laju.

"Tak kawan. Dia tak nak kawan la, ayah. Dia diam aje."

"Kat tadika, dia ada kawan tak?"

"Tak tahu." Comel anak aku mengangkat bahu.

"Dia tak bercakap dengan sesiapa kat tadika ke?"

"Cakaplah, ayah. Tapi, sikit aje..."

Aku hentikan sampai situ saja soalan mengenai anak lelaki Halim. Mungkin anak dia belum biasa dengan suasana tadika baru. Sebab Halim pun baru pindah ke kampung ni. Jadi tak mustahillah kalau anak dia kurang bercakap dengan budak-budak lain. Walaupun dengan aku sekali dia tak nak angkat muka. Mungkin dia protes tak nak duduk kampung agaknya.

"Lepas tu kan ayah, Qaseh ada nampak dia cakap sorang-sorang. Apalah dia tu..."

Aku pula berkerut dahi. Cakap sorang-sorang? Bab tu ada sedikit kemusykilan sebab fikiran aku terus terfikir pasal saka belaan Pak Cik Zubir. Ada kemungkinan saka tu yang bercakap dengan anak Halim. Bisik dekat telinga budak lelaki itu atau sebaliknya. Aku pun tak pasti. Cuma aku takut kalau saka belaan Pak Cik Zubir ada kena-mengena. Kalau betul apa yang aku fikirkan, mungkin semua ni...

"Apa yang dibuatnya kat luar dua beranak ni? Tinggalkan umi seorang-seorang kat dalam."

Aku betulkan duduk dan menoleh ke arah umi yang dah bercekak pinggang. Tersenyum simpul melihat aku dengan Qaseh.

"Sorry, umi. Mana ada tinggalkan umi. Qarin ambil angin kat luar kejap." Aku mencubit pipi Qaseh.

"Qaseh la tinggalkan umi. Kesian umi." Sengaja aku menuduh anak perempuan aku tu pula. Aku suka tengok dia gembira, marah, merajuk semua tu. Suka perhatikan respons dan gelagat dia. Boleh terhibur hati aku.

"Eh... Mana ada, ayah."

"Apa pula tak ada? Tadi ayah keluar, Qaseh memang tengah teman umi. Ni Qaseh keluar, Qaseh la tinggalkan umi. Kejap lagi umi nangis. Aiyooo... Tak tahu."

Qaseh mula menumbuk perlahan paha aku.

"Mana ada... Ayah ni. Qaseh dah cakap dengan umi. Qaseh nak keluar tengok ayah."

Aku mengelus rambut panjang Qaseh. Aku mengaku kalah. Tak nak berdebat panjang. Aku tahu aku tak boleh menang. Takut aku terus mengusik nanti, aku pula yang kena bebel dengan umi. Qaseh dahlah cucu kesayangan umi aku tu.

"Ya, Qaseh tak tinggalkan umi pun. Ni bila cucu umi nak tidur? Esok kena bangun pergi sekolah," celah umi yang masih lagi berdiri. Memang umi dah biasa bahasakan diri dia sebagai umi kepada Qaseh walaupun dia dah berstatus nenek.

Masa Qaseh kecil dulu, ada juga Suraya ajar Qaseh untuk memanggil umi sebagai tok umi dan ayah aku sebagai tok ayah. Tapi tak lama pun Qaseh gunakan gelaran tu. Dia tetap panggil umi sebagai umi. Cuma ayah aku saja dia gelarkan tok.

"Haaa... Qaseh pergi masuk tidur. Dah lewat." Aku menghulurkan tangan ke arah Qaseh yang laju saja menurut arahan aku. Lepas dia turun dari tembok batu, aku cium dahi dia dan ucapkan selamat malam.

"Jom, umi." Qaseh sudah menarik tangan umi memandangkan dia tidur bersama dengan umi aku.

Serius hati aku berat nak biarkan umi masuk ke dalam rumah sekarang ni. Aku rasa macam aku perlu jelaskan segalanya tentang Qayyum sekarang juga. Ini aje waktu yang sesuai sebelum aku jumpa Sakinah esok. Mana tahu kalau umi nak teman aku untuk jumpa perempuan tu. Sekurang-kurangnya kalau aku terangkan sekarang, aku tak membelakangkan hal tentang Qayyum pada umi lagi.

Tapi aku tak nak umi sedih. Sebab tu aku nak sembunyikan perkara ni daripada pengetahuan dia. Ahhh... Stres! Aku nak beritahu umi ke tak ni?

"Qarin, jangan lupa tutup pintu."

"U... Umi... Kejap, umi."

Langkah umi betul-betul terhenti di hadapan pintu masuk rumah. Dia berdiri sambil berpegangan tangan dengan Qaseh. Masing-masing menunggu aku membuka mulut sedangkan bibir aku seakan-akan diletakkan gam UHU.

"Ada apa, Qarin?" soal umi.

Aku dah mula gabra. Proses nak terangkan pada umi tentang roh Qayyum betul-betul menguji keberanian aku. Rasa macam aku sanggup menghadap makhluk halus dalam perjalanan ke surau tadi untuk dua tiga kali daripada berdepan dengan umi bagi menceritakan semua ni.

"Qarin ada hal nak cakap dengan umi." Aku lafazkan juga. Dalam kepala ni, aku cuma fikir lagi cepat aku jelaskan pada umi, lagi cepat rasa beban dan bersalah aku ni habis.

"Pasal apa? Kalau penting sangat... Esok pagi, Qarin cakaplah dengan umi."

Aku menggeleng lembut.

"Qarin nak cakap sekarang, umi."

"Umi temankan Qaseh tidur dulu. Nanti kita cakap. Boleh?"

Aku tersenyum dan mengangguk sekali. Biarlah umi tidurkan anak perempuan aku dulu. Sementara tu, aku boleh buatkan Milo panas untuk umi. Boleh sediakan beberapa gambar yang ada sekali. Siap sedia dulu dengan suasana tenang untuk aku jelaskan semuanya. Harap umi pun boleh terima dengan tenang nanti.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro