Bab 5
Tengah hari tu, aku memandu keluar bersendirian untuk mengambil Qaseh balik dari tadika. Mulai sekarang, inilah rutin yang aku perlu biasakan selepas aku mengambil alih untuk menjaga anak perempuan aku tu.
Serius aku cakap, aku mengaku yang aku tak berani nak jaga Qaseh. Sebab bagi aku, wanita lebih baik dalam mengendali hal anak-anak ni. Sifat keibuan yang takkan sesekali ada dalam diri aku. Aku sendiri belum tentu mampu nak uruskan hal hidup sendiri. Inikan nak jaga anak perempuan. Memang masak!
Memang mulanya itu yang aku risaukan. Walaupun masa aku berhadapan dengan Suraya tadi aku nampak macam tak ada masalah langsung. Biasalah nak tunjuk cool. Padahal jauh dalam hati aku... Aku takut atas kemampuan diri aku sendiri.
Nasib baik umi ada untuk hilangkan rasa bimbang aku. Lepas aku bincang dengan umi masa sarapan tadi, tersenyum lebar dia bersetuju nak bantu aku untuk jaga Qaseh. Umi pula yang beria-ia sampai nak kemas bilik dan simpan semua baju arwah abah. Katanya nak tidur sebilik dengan satu-satunya cucu dia tu.
Masa aku keluar rumah tadi pun, umi dah minta aku letakkan semua beg pakaian Qaseh ke dalam bilik dia. Aku ikutkan saja apa yang umi nak. Asalkan dia gembira. Aku tahu dia sunyi. Jadi, sekurang-kurangnya Qaseh boleh jadi peneman umi dan hilangkan rasa sedih dia.
Tiba di pekarangan luar tadika Al-Muslim, aku memarkir kereta aku di tepi jalan. Lepas matikan enjin, aku keluar dari kereta. Tak ada mood nak tunggu dalam kereta memandangkan aku ada lima minit lagi sebelum waktu pembelajaran Qaseh tamat. Kalau aku terus duduk dalam kereta karang, takut Qaseh tak nampak aku pula.
Aku mula bersandar di kereta sambil memeluk tubuh. Tangan aku dah menyeluk poket seluar. Nak ambil telefon untuk bazirkan masa sementara menunggu Qaseh. Boleh juga aku layan game atau check Instagram mahupun Facebook. Nak kata aku ni kaki media sosial, memang taklah. Aku cuma wujudkan akaun atas nama aku sebagai penulis novel. Tak lebih daripada tu.
"Tunggu siapa tu?"
Belum sempat aku nyalakan skrin telefon, aku terdengar suara perempuan berdekatan aku. Laju aje aku menoleh ke arah kanan, ada seorang lelaki bertubuh agak berisi, berdiri tegak di tepi keretanya yang diparkir di belakang kereta aku.
Kening aku dah mula berkerut. Rasanya macam suara perempuan tadi. Dan suara itu datang dari arah kanan aku. Ni cuma ada lelaki berisi tu yang dari tadi tidak bersuara langsung. Khusyuk mengamati telefon di tangannya. Takkan aku salah dengar?
"Aku bukan kat situ la... Mana kau pandang tu?"
Sepantas kilat aku menoleh ke sebelah kiri pula. Okey. Aku pasti suara tu bukan datang daripada manusia. Sebab aku tak nampak ada sesiapa berdiri di sebelah kiri aku. Atau lebih tepat lagi, aku tak nampak sebarang manusia tengah tengok atau bercakap dengan aku.
"Sini!"
Aku memandang lurus ke hadapan dan mata aku terus dijamu dengan kehadiran seorang perempuan berambut panjang, berdiri terapung di depan aku sambil mengendong batu nisan.
"Astaghfirullahalazim..." Aku hanya mampu mengucap dan menutup mata beberapa saat. Kadang-kadang aku bersyukur juga aku tak ada penyakit jantung. Kalau tak, memang keras aku terbaring dekat lantai setiap kali mata aku nampak benda-benda halus begini.
"Heee... Kau nampak akuuu..."
Aku cuba kuatkan semangat mendengar ilaian perempuan yang masih menghalang pandangan aku. Sengaja terapung di hadapan aku seolah-olah nak kacau aku. Perkara biasa setiap kali aku berdepan dengan benda halus begini. Selalu nak menggugat iman setiap manusia. Apatah lagi, makhluk sebegini tahu yang mata aku boleh melihat lebih dari mata kasar manusia lain.
Ayat Kursi mula meniti di bibir aku. Belum sampai separuh ayat yang aku baca, makhluk itu menjerit dan hilang daripada pandangan mata aku.
"Subhanallah..." Perlahan aku mengurut dada. Mengejar nafas yang tercungap-cungap. Rasa berderau lagi jantung aku ni. Kalau diikutkan pengalaman, memang aku patutnya dah biasa dengan benda-benda halus. Tapi kalau kena sergah begini, kadangkala menggeletar juga lutut aku. Yalah, aku pun manusia biasa. Iman aku ni bukannya penuh di dada macam ustaz-ustaz kat luar sana. Ada masanya aku takut juga.
"Apa hal, bro? Okey ke?"
Perlahan aku menoleh ke arah kanan. Melihat lelaki yang bertubuh agak berisi itu menyapa aku. Mungkin dia perasan keadaan aku yang seakan-akan baru saja melihat hantu. Walaupun itulah kenyataan yang sebenar.
"Okey. Rasa macam tak cukup nafas pula tadi," jawabku.
"Ada sakit apa-apa ke, bro?" Laju lelaki itu menyoal lagi. Risau betul dia dengan keadaan aku. Kenal ke?
"Eh, tak adalah. Alhamdulillah. Cuma tadi penat sikit." Aku hanya boleh menipu. Entah berapa kali malaikat kat bahu kiri aku ni mencatat dosa. Mana taknya, kebolehan aku ni susah nak diterima oleh orang lain. Lagi-lagi dalam dunia serba moden ni. Zaman di mana manusia hanya pandai menilai manusia lain semata-mata.
"Oh... Ingat apalah tadi, bro," sengih lelaki itu.
Tak sampai dua saat lelaki itu tersengih, keningnya berkerut pula melihat aku. Apa hal pula ni? Aku ada salah cakap ke? Rasanya aku tak cakap benda yang salah atau menyakitkan hati dia.
"Bukan kau anak arwah Haji Saad ke? Qarin?" Lelaki itu bersuara sambil menuding jari ke arah aku.
"Haah. Kenal ke?" Aku pula berkerut. Dari segi rupa paras, aku memang tak kenal dengan lelaki tu. Lagipun, aku bukannya ada banyak kawan. Kawan kolej aku dulu pun, tak ramai yang masih contact dengan aku. Boleh kira dengan jari berapa ramai yang tinggal.
"Kenal la. Dah aku ikut sekali pergi tanah perkuburan masa arwah abah dengan abang kau meninggal."
Aku menggaru belakang kepala yang tak berapa gatal. Manalah aku perasan siapa yang datang atau tak masa abah dan Qayyum dikebumikan. Masa tu aku sibuk nak tahan air mata aje. Kalau lelaki tu kata dia ada sekali kat tanah perkuburan, maknanya lelaki itu orang kampung aku jugalah. Setakat ni, itu saja info yang aku tahu pasal dia.
"Laaa, kau tak kenal aku ke?"
Laju aku menggelengkan kepala sambil tersengih-sengih.
"Sorrylah, bro. Aku tak kenal la. Ingatan aku ni tak berapa kuat sangat," sengih aku lagi.
"Aku Halim la. Anak tunggal Pak Cik Zubir. Jiran sendiri pun tak kenal."
Mulut aku melopong kecil. Anak tunggal Pak Cik Zubir? Jiran sebelah rumah umi? Halim. Nanti dulu, aku ingat. Aku tahu memang Pak Cik Zubir ada anak lelaki. Anak dia selalu ejek aku masa aku kecil dulu. Tiap kali aku balik sekolah, dia selalu kacau aku masa aku tidur dalam bas. Aku dengan Qayyum pula naik bas sekolah yang sama dengan Halim. Kalau tak silap, umur dia sebaya dengan Qayyum. Kalau Qayyum masih hidup, tentu dia lebih kenal Halim daripada aku sebab Qayyum lebih rapat dengan anak tunggal Pak Cik Zubir tu.
"Okey, aku dah ingat dah. Maklumlah... Kau dah besar panjang, aku tak cam kau langsung." Aku menghulurkan tangan dan berjabat salam dengan Halim. Dulu pun badan dia lebih besar daripada aku. Cuma sekarang macam dah lain. Lebih berisi dan tegap.
"Yalah, aku pun jarang balik kampung. Kalau aku balik pun, tak pernah terserempak dengan kau. Kalau dengan arwah Qayyum tu, ada juga aku jumpa dia." Halim menepuk bahu kiri aku lepas kami bersalaman. Memang Halim jarang ada dekat kampung. Setahu aku, dia tak tinggal dengan Pak Cik Zubir lepas habis sekolah. Halim ikut mak dia dan pindah ke tempat lain. Itu ajelah yang aku tahu. Kisah hidup dia tu, aku tak berapa tahu sangat.
"By the way, takziah atas kehilangan abah dengan abang kau. Aku macam tak percaya Qayyum dah meninggal."
Aku tersenyum pilu.
"Allah dah tentukan ajal setiap hamba-Nya..."
Halim mengangguk aje dengan kenyataan aku. Lepas tu, aku dengan dia terdiam seketika. Macam ada cengkerik turut serta dalam perbualan kami. Mungkin sebab topik sekarang macam tak sesuai untuk aku terus berborak ataupun waktu pembelajaran tadika Al-Muslim dah tamat. Boleh lihat beberapa anak kecil memakai kasut di luar pintu sekolah. Mata aku pun dah mula menjengah bagi mencari Qaseh.
"Ni... Kau ambil anak kau ke, Qarin? Tadi aku perasan juga ada perempuan datang rumah umi kau. Berborak dengan kau dekat depan rumah. Isteri kau ke tu?" Halim bersuara lagi.
Aku tersenyum dan mengangguk ajelah. Berat mulut aku nak cakap apa-apa. Tak sangka pula perbualan aku tadi diperhatikan. Bahaya betul. Ada aje mata yang memerhati. Ambil part time kerja jadi spy ke?
"Yalah, aku tak berapa kenal dengan bini kau. Aku dapat tahu kau kahwin daripada abah aku. Nak tunggu kau jemput sendiri, memang mimpilah. Kau kahwin pun aku tak tahu-menahu, bro."
"Aku bukannya kahwin besar-besaran. Nikah aje. Aku jemput abah kau tu, kira okeylah..."
"Yalah, aku faham. Masa aku kahwin dulu pun, aku tak dapat jemput kau. Kira fair la ni," sengih Halim.
Aku tersenyum aje. Kalau ikutkan hati aku, memang aku dah bagi ceramah panjang. Dia sendiri kahwin tak jemput aku. Ada hati nak sound aku pula.
"Tapi sekarang ni aku dengar kau dah bercerai. Betul ke?" soal Halim.
"Haah. Tak ada jodoh."
"Okeylah tu. Arwah abang kau tu lagilah... Tak sempat merasa nak kahwin."
Terkedu mulut aku untuk memberikan respons. Mata aku pula dah beralih melihat roh Qayyum yang tiba-tiba muncul dan berdiri di sisi Halim. Melihat Halim dan menundukkan kepalanya sebelum hilang dari pandangan aku. Susah untuk aku teka kenapa Qayyum muncul sekadar untuk beberapa saat. Tapi aku tahu dia sayu dengan kenyataan Halim.
"Ayah!"
Sepantas kilat aku menoleh ke hadapan. Melihat Qaseh sudah berlari-lari anak ke arah aku. Terus saja pinggang aku disambar dan dipeluk kemas saat dia menghampiri aku. Tak lama Qaseh dapat memeluk pinggang aku sebelum aku mengangkat tubuhnya.
"Semangat betul anak ayah ni. Makan apa ni? Berat semacam." Aku sengaja mengusik Qaseh. Anak perempuan aku tu, hati batu macam aku juga. Setakat gurau-gurau manja macam ni, memang tak ada masalah langsung.
"Qaseh makan nasi la. Makan mi, makan macam-macam."
"Patutlah. Ini kalau ayah dukung Qaseh hari-hari... Boleh sakit tulang belakang." Aku cuit hujung hidung Qaseh. Memang tak lama pun aku dukung dia. Lepas aku cium pipi dia, aku letakkan dia ke bawah. Bukan sebab aku tak larat, tapi memang aku nak dia berjalan sendiri.
"Ini anak kau, Qarin?" Halim menegur.
"Haah. Anak aku." Aku menolak perlahan tubuh Qaseh ke arah Halim. "Qaseh, salam dengan uncle."
Lepas Qaseh bersalaman dengan Halim, dia kembali berdiri di sisi aku. Mata aku ada juga mencari mana-mana budak kecil yang berjalan ke arah Halim. Ada lagi budak-budak kecil yang baru saja berjalan melepasi pagar sekolah. Yalah, aku nak tengok juga anak dia. Aku pun tak tahu anak dia lelaki atau perempuan.
"Kau tunggu anak kau ke, Halim? Aku tak tahu pula anak kau sekolah tadika sama dengan anak aku?" Aku menyoal kehairanan.
Kalau dah Halim menunggu anak dia dekat tadika ni, kemungkinan besar yang Halim dah pindah dan duduk di kampung. Walaupun tadika ni tak adalah dekat sangat dengan kampung, tapi tadika ni selalunya orang kampung aku atau kampung sebelah pilih untuk menghantar anak kecil mereka. Jadi, bila masa pula dia pindah? Aku tak perasan langsung.
"Tunggu anak aku la ni. Anak kedua. Yang pertama aku nak ambil kejap lagi. Dia darjah tiga. Aku baru daftar anak-anak aku sekolah dekat area sini. Aku dengan isteri aku kan dah dua minggu pindah duduk rumah abah aku tu. Itu yang aku bawa anak-anak aku sekali."
"Oh..." Aku melopong panjang. Memang sah aku ni kera sumbang. Tak campur masyarakat. Aku tak tahu pun Halim sekeluarga dah pindah ke rumah Pak Cik Zubir. Dah dua minggu pun. Umi sendiri tak ada cerita apa-apa. Faham benar perangai aku yang tak suka masuk campur hal orang.
Tatkala aku masih lagi berdiri dan berfikir tentang kehadiran Halim sekeluarga, aku melihat seorang budak lelaki berjalan ke arah Halim. Kepalanya tertunduk melihat jalan. Apa yang menarik sangat dengan jalan tar di hadapan tadika ni? Sampai budak lelaki tu tak mengangkat kepala untuk tengok Halim? Ada karang budak tu jatuh tersungkur mencium jalan tar. Jalan tak tengok depan.
"Haaa... Yang ni anak aku. Adik, pergi salam uncle tu," arah Halim. Anak lelaki dia masih lagi menundukkan kepala dan berdiri di belakang Halim. Tak bergerak langsung. Tengok aku pun tidak. Muka aku ni garang sangat ke? Sampai anak Halim tak berani nak angkat muka?
Belum lama aku mengamati anak lelaki Halim, ada sesuatu yang muncul dan berdamping di sisi budak kecil itu. Terapung di udara dengan mata merahnya menyala bak biji saga. Makhluk serba hitam yang membuatkan aku cepat-cepat memegang rapat tangan Qaseh. Aku pasti lembaga hitam itu milik Pak Cik Zubir. Dan saka belaannya itu mula menyeringai ke arah aku. Terbaik...
Lepas makan tengah hari, setengah jam aku habiskan dengan mencari clue pasal perempuan bernama Sakinah di dalam bilik Qayyum. Lebih tepat lagi, dah setengah jam aku berada dalam bilik Qayyum semata-mata untuk kemas bilik dia aje. Cadang aku memang nak cari alamat Sakinah dan terus keluar dari bilik arwah abang aku tu.
Tapi kalau dah bilik dia bersepah macam dibadai tsunami, sakit juga mata aku nak cari clue. Sekurang-kurangnya sambil aku mengemas, aku boleh mencari sekali. Bak kata pepatah Melayu, sambil menyelam minum air...
Aku ketepikan selimut kotor ke tepi pintu. Kalau sekali lagi selimut tu lalu ruang pernafasan aku, mungkin aku koma dalam bilik Qayyum ni. Entah macam mana Qayyum boleh tidur lena dalam bilik dia? Patutnya arwah biarkan aje setiap kali umi nak kemaskan bilik. Ini tak. Beria-ia halang umi daripada masuk bilik. Tak bagi umi kemas. Apa agaknya yang susah sangat nak biarkan umi kemas bilik dia, aku pun tak tahu.
Sempat aku melabuhkan punggung sekejap di atas katil. Nak tarik nafas sebelum aku sambung usaha mencari clue yang dikatakan oleh Qayyum. Waktu-waktu macam ni la, tak ada pula roh Qayyum muncul dan mengatakan dekat mana dia meletakkan semua info pasal Sakinah. Kalau tak, senang sikit kerja aku.
Aku mengamati ruang bilik Qayyum yang lebih kemas daripada mula-mula aku melangkah masuk tadi. Bolehlah dikatakan dalam lapan puluh peratus siap. Ada juga umi nak hulurkan bantuan memandangkan dia tahu aku nak kemas bilik Qayyum. Qaseh pun nak turut sama. Tapi aku cakap aku boleh kemas sendiri. Sebab tujuan aku nak cari maklumat pasal Sakinah. Jadi lebih baik aku buat seorang diri.
Baru saja aku nak bangun semula, telefon bimbit aku berbunyi dan bergetar di dalam poket seluar.
"Siapa pula yang call aku ni?" Aku keluarkan telefon dari poket seluar dan memerhatikan nombor yang tertera di skrin.
"Helo, ni... Muhamad Qarin bin Saad ke?"
Aku mengerut dahi. Siap sebut nama penuh aku. Siapa pula ni?
"Ya, saya. Siapa ni?" Aku terus soal. Aku dengarkan saja lelaki di hujung talian mengenalkan diri. Rupa-rupanya pegawai polis yang mengendalikan kes kemalangan Qayyum dan abah. Aku ingatkan siapalah tadi.
"Saya nak maklumkan mangsa yang memandu Toyota Hilux tu dah sedarkan diri. Kalau Encik Qarin nak jumpa dia, boleh lawat dia di hospital."
"Insya-Allah," jawabku. Sebagai ahli keluarga terdekat, aku perlu jenguk juga keadaan mangsa yang terlibat dalam kemalangan. Bahkan ada juga pegawai polis itu mengatakan dia perlu mengambil keterangan mangsa bagi menutup kes. Aku dengarkan ajelah prosedur dia.
Sebelum aku tutup panggilan, ada juga beberapa perkara yang diterangkan oleh pegawai polis tadi. Salah satunya, dia minta aku uruskan kereta Qayyum yang berada di Puspakom. Aku yakin kereta tu sudah diisytiharkan total loss. Nasib baik kereta tu dah lama habis bayar.
Aku masukkan telefon aku ke dalam poket semula. Mungkin esok baru aku ada masa untuk jenguk mangsa dan uruskan beberapa perkara yang perlu. Sekarang ni, motif aku cuma nak cari alamat atau gambar Sakinah. Kalau tak, sia-sia aje aku kemas bilik Qayyum ni.
Aku bangun semula dan menghampiri almari baju Qayyum. Nak mulakan proses pencarian semula dari situ. Setakat ni, aku tak jumpa clue pasal Sakinah di katil mahupun tempat lain. Cuma almari tu saja yang masih belum berusik. Kalau aku tak jumpa juga, memang aku stres gila. Tak pasal-pasal aku terbalikkan semua barang semata-mata nak cari clue nanti.
"Peliknya, kenapa dia tak muncul dan beritahu aku yang mana satu Kinah? Tunjukkan aje kat mana dia tinggal ke... Tak adalah susah-susah aku nak cari alamat la... Gambar la." Aku membuka almari baju dan benda pertama yang menangkap perhatian aku dah tentulah susunan baju Qayyum yang tunggu masa untuk jatuh.
"Tak pun, ni semua perangkap supaya aku kemas bilik dia? Takkanlah..." Aku mengomel sendiri. Memikirkan kenapa Qayyum tak pilih jalan yang lebih senang untuk aku mencari Sakinah. Kenapa dia minta aku cari dalam bilik dia juga?
Sambil berfikir, tangan aku sibuk menyusun lipatan baju Qayyum. Tak adalah kemas mana disebabkan aku pun dah hilang mood nak mengemas. Ala kadar saja asalkan susunan baju Qayyum tak menghempap sesiapa yang membuka almari baju dia nanti. Walaupun aku sangsi ada orang yang akan buka almari baju tu. Tapi, manalah tahu...
Ketika mata aku menangkap ada sampul surat yang tersorok di belakang susunan baju, sepantas kilat aku melepaskan baju yang ada di tangan dan cuba mengambil sampul surat yang ada.
"Ini dia... Dapat!"
Hampir menitik air mata gembira bila sampul surat tidak bernama itu berada di tangan aku. Dah cukup terseksa aku kena kemas bilik Qayyum semata-mata nak dapatkan sampul surat ni. Selepas mengharungi pengudaraan yang tercemar dan timbunan barang-barang yang bersepah, akhirnya aku dapat juga.
Aku keluarkan semua kertas yang berada di dalam sampul surat tu. Bab surat cinta memang aku tak bacalah. Tak amanah pula kalau aku baca. Lagipun buat naik bulu roma aje. Cukup sekadar aku tahu alamat dan gambar dia.
Ada beberapa keping gambar Sakinah yang berada di dalam sampul surat. Aku perhatikan rupa yang dikatakan bakal kakak ipar aku tu. Boleh tahan. Cuma tak kesampaian saja.
Lepas belek surat yang ada, aku dapat alamat rumah Sakinah berserta nombor telefon dia sekali yang ditulis di atas kertas kecil. Cantik. Telefon Qayyum pun dah tak boleh dihidupkan lagi lepas accident. Jadi bila ada nombor telefon Sakinah ni, aku boleh call aje dan ajak dia berjumpa. Bagus juga pemikiran abang aku nak simpan maklumat macam ni dalam satu tempat. Kalau aku, mungkin aku sendiri tak terfikir.
"Ini..."
Tangan aku mengangkat gambar terakhir yang berada bersama gambar Sakinah. Berpinar sekejap mata aku untuk terus tengok gambar yang berada di tangan. Fikiran aku macam menolak kenyataan yang gambar ni ada kena-mengena dengan Qayyum. Mungkin gambar ini dimasukkan secara tak sengaja. Mungkin!
"Kau dah jumpa..."
Aku mengangkat kepala dan melihat roh Qayyum yang terapung berdiri di hadapan aku. Apa maksud dia yang aku dah jumpa? Dia memang nak aku tahu sendiri? Sebab tu Qayyum suruh aku cari maklumat pasal Sakinah ni kat dalam bilik dia?
"Apa ni, Qayyum? Anak siapa ni?" Aku tunjukkan gambar ultrasound bayi yang tertulis lima belas minggu. Gambar yang susah nak diterima logik akal aku.
"Anak Kinah... Dengan aku."
Mulut aku ternganga serta-merta. Kalau lalat terbang masuk mulut aku pun, aku mungkin biarkan saja. Lantaklah binatang tu nak buat apa kat dalam mulut aku. Aku tak boleh nak tutup mulut. Lebih kepada aku tak tahu nak buat apa sekarang ni... Aku buntu!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro