Bab 4
Celik aje mata, tangan aku dah mencapai telefon yang aku hempapkan di bawah bantal. Selalunya kalau telefon aku tak ada di kawasan sekitar badan aku, memang tak ada tempat lain yang aku letak. Sebab aku jenis lelaki yang liat nak bangun pagi kalau aku dah tertidur semula lepas solat subuh.
Disebabkan aku tak nak ada gangguan pagi-pagi buta, aku sorokkan telefon aku kat bawah bantal. Tak adalah telefon aku memekik kuat setiap kali ada panggilan dan akhirnya mengacau tidur aku yang tak pernah cukup ni...
One new message. Ten missed call.
Tertera notification yang ada di skrin. Tak cukup dengan tu, WhatsApp notification pun ada juga. Apa pasal hari ni aku ekstra popular? Siapa pula yang telefon aku sampai sepuluh kali? Memanglah kadang-kadang ada orang telefon aku setiap kali aku bangun tidur tapi tak adalah sampai sepuluh panggilan macam hari ni.
Aku sentuh skrin telefon aku yang masih bernyala. Sepuluh panggilan tidak dijawab tadi datang daripada Suraya. Walaupun aku tak simpan nombor dia lagi, aku hafal benar nombor ex-wife aku tu. Terus hilang mood pagi aku bila nampak nama dia. Apa yang mustahak sangat sampai dia nak telefon aku banyak kali? Pasal anak aku ke?
Aku buka mesej yang tentunya datang daripada Suraya.
Kenapa susah sangat nak angkat phone? Kalau rasa susah sangat nak angkat call, baik buang aje phone tu ke sungai!
Menyirap darah aku bila baca mesej Suraya. Menyesal pun ada juga. Suka-suka hati dia nak suruh aku buang telefon aku ke sungai. Aku tak pakai satu sen duit dia pun masa aku beli telefon ni. Selamba nak suruh aku buang harta benda aku. Cuba kalau aku suruh dia buang telefon dia sendiri. Naik bernanah telinga aku yang kena bebel nanti.
Daripada berbaring, aku duduk bersandar di sofa. Tangan aku mengusap muka selepas aku letakkan telefon di atas bantal. Mulut aku pula dah mengeluh berkali-kali.
Memanglah dalam Islam mengatakan mengeluh tu tak baik. Tapi manalah aku mampu tahan. Lagi-lagi bab Suraya ni. Boleh naik angin setiap kali dengar atau nampak nama dia. Dahlah aku ni baru bangun tidur. Bab aku tak angkat call pun nak membebel. Padahal dia bukan tak tahu aku selalu dapat tidur lewat.
Lagipun apa yang mustahak sangat? Daripada dia bebelkan pasal aku tak angkat telefon, lebih baik dia terus sampaikan apa yang dia nak dalam mesej.
"Qarin, dah bangun?"
Kepala aku menoleh ke arah suara umi. Melihat umi berdiri dengan bakul baju yang sudah kosong. Mesti umi baru saja menjemur pakaian di luar. Dah mulakan rutin harian walaupun umi tampak sugul pada mata aku.
"Dah, umi. Umi dah breakfast?" tanyaku.
Umi menggeleng perlahan sambil mulutnya tersenyum kecil.
"Eh, umi tunggu Qarin la. Kita sarapan sama-sama."
Tersentuh hati aku dengar kata-kata umi. Aku tahu umi dah biasa sarapan sekali dengan abah dan Qayyum sebelum mereka pergi kerja. Sejak tiga bulan aku bercerai dengan Suraya, memang aku duduk di rumah umi dengan abah. Kalau aku bangun awal, dapat juga aku sarapan sekali dengan mereka. Jadi umi memang dah biasa makan bersama. Sebab itulah dia sanggup tunggu aku bangun tidur.
"Patutnya umi kejutlah Qarin. Umi bukan tak tahu Qarin ni susah nak bangun pagi." Aku tersengih dan mula berdiri tegak. Nak basuh muka dan gosok gigi dulu sebelum aku mengambil sarapan. Kalau aku nak mandi, lama pula umi kena tunggu aku. Cukuplah aku bersihkan diri ala kadar.
"Qarin pun tidur lambat. Tak sampai hati umi nak kejut."
Aku senyum aje sebelum mengangkat kaki meninggalkan sofa. Aku tahu sangat sifat umi. Dia jarang kejut aku bangun tidur sebab dia tahu aku susah dapat tidur dari kecil lagi. Tak sampai hati katanya. Melainkan masa aku sekolah dulu, memang dia terpaksa kejut. Sekarang ni, kalau ada hal penting aje dia akan kejut aku.
"Kejap, umi. Qarin nak basuh muka," ucapku sambil melangkah.
Belum jauh kaki aku menapak, telinga aku menangkap bunyi kereta yang baru sampai di halaman rumah. Aku berhenti berjalan dan mengilas jam di dinding. Tepat pukul sepuluh setengah pagi. Siapa pula yang datang rumah umi pagi-pagi begini? Jarang orang kampung datang gunakan kereta. Selalunya dia orang gunakan motor atau jalan kaki aje. Jadi bila ada bunyi kereta, serta-merta bunyi tu tangkap perhatian aku.
"Assalamualaikum."
Sempat mulut aku menjawab salam sebelum berkerut menjengah gerangan orang yang datang. Padahal aku ni bukanlah jenis busybody. Aku pun tak selalu sambut tetamu yang datang rumah umi. Tapi suara tu buatkan aku rasa macam... Curious. Aku rasa macam aku kenal sangat pun ada juga.
"Waalaikumussalam, Su. Seorang aje?"
Aku menepuk dahi. Su? Dah sah-sah Suraya yang berdiri di depan pintu rumah umi aku tu. Kenapalah aku beria-ia sangat nak tahu siapa yang datang tadi? Padahal bukan sesiapa pun. Cuma sekadar seorang perempuan yang suka menyakitkan hati aku. Apa pula yang dia nak agaknya? Beria-ia cari aku sampai ke rumah?
"Su nak jumpa Qarin, umi. Dia ada?"
Umi menoleh ke arah aku. Bagi isyarat melalui mata aje.
"Ada. Qarin ada, Su. Jemputlah masuk dulu. Kita boleh sarapan sama," pelawa umi.
Lepas dengar umi cakap macam tu, aku terus berjalan ke arah pintu hadapan rumah. Sebelum aku biarkan Suraya terima pelawaan umi nak makan sama, baik aku halang dia daripada masuk. Tak ada selera aku nak makan semeja dengan dia. Lagi cepat aku jumpa Suraya dan dengar apa yang dia nak cakap, lagi cepat dia pergi. Itu aje yang aku fikir sekarang ni.
"Tak apa, umi. Qarin cakap dengan dia kat luar aje. Umi tunggu kejap, ya."
Aku tepuk perlahan bahu umi dan berjalan keluar rumah. Sempat kaki aku menyarung selipar sebelum melangkah ke arah kereta. Sengaja aku cari port yang jauh sikit dari umi sebab aku tak nak umi dengar perbualan aku dengan Suraya. Apa yang aku bakal bualkan dengan perempuan ni, aku boleh handle sendiri.
"Ada apa kau datang jumpa aku ni?" Aku terus soal Suraya sebaik dia berdiri di hadapan mata aku. Lima minit juga aku bersandar di kereta menunggu dia datang lepas berborak dengan umi. Entah apalah yang diborakkan tu.
Mungkin bertanya khabar sebab umi tak jumpa Suraya sejak dia bercerai dengan aku, tiga bulan lepas. Walhal sekampung saja. Tapi mungkin disebabkan Suraya sibuk dengan kerja bahkan lokasi rumah umi dengan rumah mak Suraya tidaklah begitu dekat. Itu yang buatkan umi jarang nampak muka pecah rumahnya itu di kampung.
"Tentulah ada sebab Su nak jumpa abang. Ingat Su nak jumpa abang sebab suka-suka aje ke?"
"Habis kau fikir aku nak ke berdiri depan kau ni? Jumpa kau tanpa sebab?" balasku. Ikut sedap mulut dia aje nak cakap macam tu. Macamlah aku terhegeh-hegeh sangat nak jumpa dia.
Suraya berdehem saja dengan kata-kata aku. Terasa agaknya. Biar kena dengan batang hidung dia sendiri. Masa aku jadi suami dia dulu, bolehlah aku nak bertolak ansur setiap kali mulut dia cakap sesuatu yang menyakitkan hati. Sekarang aku dah tak ada ikatan dengan Suraya. Jadi aku tak perlu nak jaga hati dia. Padahal dia sendiri tak pernah jaga hati aku.
"Cepatlah cakap. Ada apa kau datang sini?" Aku dah berpeluk tubuh. Malas nak menunggu atau berbual panjang semata-mata nak dengar motif Suraya datang ke sini. Kesian pula umi kena tunggu aku kalau aku berbual lama. Perut umi tak berisi lagi tu.
"Kenapa susah sangat abang nak angkat phone? Tahu tak berapa kali Su telefon abang tadi?" ulas Suraya.
Kenyataan dia jauh menyimpang daripada soalan aku. Mungkin tak lengkap perbualan dia kalau tak membebel sebab aku tak angkat panggilan telefon dia tadi.
Dan seperti biasa, telinga aku dah lali setiap kali Suraya buka mulut.
"Aku bukan buta. Aku tahulah kau ada telefon." Aku mengusap belakang tengkuk.
"Dah tu, kenapa abang susah nak angkat call?"
"Aku tidur."
"Itu ajelah alasan abang."
Aku mula berkerut. "Habis kau nak aku cakap apa? Aku memang tengah tidur."
"Itulah abang. Susah sangat nak bangun tidur. Kalau ada benda penting kan susah? Tak pernah fikirkan pasal orang lain dari dulu lagi. Pentingkan diri sendiri aje!" jerkah Suraya. Bingit pula telinga aku nak dengar.
Sejak aku kahwin dengan dia, tuduhan aku asyik pentingkan diri sendiri ni tak pernah habis. Bahkan dia salahkan aku atas perkahwinan kami yang tak mampu bertahan lebih lama. Katanya sebab kebolehan aku, aku tak fokus tentang hal lain. Lebih tepat lagi, hal rumah tangga. Padahal aku rasa aku tak pernah abaikan tanggungjawab aku sebagai seorang suami.
Ya. Memanglah ada sekali dua aku tak balik rumah atas sebab yang aku sendiri tak dapat elak. Kadang-kadang aku tak tahu pertolongan yang aku cuba hulurkan pada roh menghala kepada kes yang lebih besar. Buatkan aku tak cukup tidur, buatkan aku terpaksa bermalam kat luar.
Bahkan pernah terjadi roh jahat mengganggu anak aku dan buatkan Suraya tak berhenti salahkan aku atas kebolehan aku. Padahal dia dah tahu pasal kebolehan aku sebelum aku berkahwin dengan dia lagi. Aku yang minta umi maklumkan pada mana-mana calon yang nak dijadikan isteri. Dan Suraya boleh terima masa tu. So, kenapa tak habis-habis salahkan aku?
"Abang!"
Aku tersentak. Jauh betul fikiran aku lari dari dunia realiti. Fikirkan macam mana aku pernah menjadi suami kepada Suraya. Ya, semuanya sebab takdir. Ketentuan Allah. Tapi kalau aku tak minta umi carikan aku jodoh dulu, mungkin aku tak berdiri di sini dan menerima bebelan daripada perempuan ni.
Dan kemungkinan besar, aku tak akan kenal dengan Suraya.
Nanti dulu... Kalau aku tak kenal dengan Suraya, anak aku mungkin tak akan muncul di dunia ni. Tak. Aku tarik balik apa yang aku cakap. Aku tak patut kesalkan apa-apa.
"Abang! Abang dengar tak Su cakap apa?"
"Dengarlah. Telinga aku boleh dengar dengan baik lagi." Aku bohongkan saja soalan Suraya. Sepatah haram aku tak dengar apa yang keluar dari mulut dia melainkan dia panggil aku sebentar tadi. Sibuk fikirkan yang bukan-bukan.
"Kalau abang dengar, apa yang Su cakap tadi? Cakap balik." Suraya bercekak pinggang. Menunggu aku mengulang semula kenyataan dia. Itulah padah untuk aku yang berbohong. Ternganga juga aku dibuatnya.
"Entah. Telinga aku sensitif dengan orang membebel ni. Bila dengar aje orang membebel, telinga aku switch off sendiri. So, tadi aku tak berapa dengar sangat," ucapku, tak mahu kalah. Ego lelaki aku merayu untuk menang walaupun aku tahu aku yang salah sebab berkhayal bila Suraya sibuk bercakap.
"Abang ni memang tak boleh berubah, kan?"
"Dahlah... Kalau kau datang sini sebab nak memekak, baik kau balik. Aku dah cukup stres sekarang ni. Abah dengan Qayyum baru lepas meninggal. Jadi kau tak payah tambahkan stres aku," ujarku. Serius aku tak tahan nak dengar bebelan Suraya dengan fikiran aku yang masih lagi serabut.
"Abah dengan Abang Qayyum meninggal?!" Bulat mata Suraya memandang aku.
"Semalam. Jenazah dia orang dah selamat dikebumikan pun."
"Macam mana... Apa yang jadi? Su tak tahu apa-apa pun? Kenapa abang tak beritahu Su? Patutlah umi nampak pucat tadi..."
"Kalau aku beritahu kau sekalipun, tak ada apa yang berubah. Lagipun aku tak nak Qaseh tahu buat masa ni. Dia rapat dengan arwah abah." Aku tertunduk. Macam terbayang saat anak perempuan aku tu bergurau senda dengan abah setiap kali aku bawa dia datang ke sini.
"Su... Tak boleh buat macam tu. Su tak boleh nak halang Qaseh daripada tahu pasal arwah abah dan Abang Qayyum."
Aku mengangkat kepala melihat Suraya semula.
"Maksud kau?"
"Su datang sini sebab Su nak suruh abang jaga Qaseh. Su dapat tawaran kerja dekat..."
"Kau tak payah nak tipu aku. Apa sebab sebenar kau nak aku jaga Qaseh?" Laju aku memintas keterangan Suraya. Bukan sebab aku tak nak jaga Qaseh. Tak ada masalah pun untuk aku jaga dia. Tapi aku bukan baru kenal Suraya untuk sehari dua. Aku boleh rasa ada agenda lain yang dia cuba sorokkan.
"Lepas habis idah ni, Su ada hasrat nak kahwin dengan Ejam. Bekas boyfriend Su dulu."
Aku tersenyum sinis. Itulah agenda sebenar Suraya. Sekarang baru jelas pada fikiran aku. Pernah juga aku ternampak nama Ejam di skrin telefon Suraya untuk beberapa kali ketika aku masih lagi bergelar suami dia. Masa tu aku tak syak apa-apa. Jadi bila sekarang Suraya katakan Ejam adalah bekas teman lelaki dia, aku tak rasa aku satu-satunya sebab hubungan perkahwinan ni tak berjaya.
"Sebelum Su terima lamaran umi, Su sebenarnya baru putus dengan Ejam. Su memang fikir nak kahwin dengan dia masa..."
"Aku tak nak dengar kisah cinta kau. Apa pun yang berlaku pada kau, aku tak perlu nak tahu. Pasal Qaseh, jangan risau. Aku boleh jaga dia. Umi aku pun ada sekali untuk tengokkan dia, insya-Allah." Sekali lagi aku pintas kata-kata Suraya.
Dia tak perlu nak ceritakan kisah cinta dia yang terhenti separuh jalan. Aku tak berminat nak dengar. Dia tak ceritakan pun, aku dah boleh agak yang Suraya berkahwin dengan aku atas sebab cuba lupakan bekas teman lelaki dia. Jodoh tu milik Allah. Sekurang-kurangnya aku bersyukur yang aku dapat Qaseh dari perkahwinan ni.
"Dengarlah dulu apa yang Su nak cakap."
"Aku tak nak. Tak ada kena-mengena dengan aku. Mulai sekarang, biar aku jaga Qaseh. Kau nak kahwin, itu hal kau. Yang penting, datang sekali sekala jumpa Qaseh. Apa pun, dia tetap anak kau."
"Abang..."
"Qaseh mana? Kau tak bawa dia?" Aku tak endahkan saja suara Suraya. Lantaklah dia nak panggil aku sebab nak jelaskan pasal apa pun. Kisah dia tamat sampai situ aje. Aku cuma pentingkan anak perempuan aku.
Aku tertunduk sedikit melihat ruang kereta Proton Saga FLX milik Suraya. Kosong. Memang dari tadi aku perasan tak ada orang dalam kereta tu. Cuma kali ini aku pastikan pula.
"Qaseh belum balik dari tadika." Suraya merapati keretanya dan mengeluarkan beberapa beg dari bonet kereta.
"Su dah kemaskan baju-baju dia. Nanti abang ambil dia balik dari tadika. Dia tahu abang nak ambil dia hari ni."
Aku berpeluk tubuh.
"Dia tahu yang kau nak tinggalkan dia?"
"Su dah beritahu Qaseh. Su bukan tinggalkan dia, abang. Dia anak Su juga. Cuma Su tak nak merantau ke negeri orang dengan dia. Takut dia tak biasa. Takut dia tak selesa." Suraya hulurkan beg milik Qaseh kepada aku.
"Takut dia tak selesa ke... Atau kau tak nak Qaseh ada bila kau mulakan perkahwinan kau dengan Ejam nanti?" perliku. Belum sempat aku sambut beg yang dihulurkan, Suraya sengaja jatuhkan beg yang dipegangnya ke tanah.
"Marah?" Aku tersengih. Boleh nampak merah muka Suraya menahan marah.
"Abang ingat Su ni ibu yang tak bertanggungjawab ke? Jenis orang yang tak bertanggungjawab macam abang?"
"Aku tak bertanggungjawab atau kau cakap pasal diri kau sendiri?"
"Tak guna cakap dengan abang. Dah cukup terseksa Su ni kahwin dengan abang dulu." Sempat lagi Suraya menjeling mata ke arah aku sebelum mendekati keretanya semula. Dia ingat aku tergugat dengan jelingan mata dia ke? Ingat aku nak minta maaf sebab buat dia terasa? Jangan harap. Biarlah dia nak terasa sekalipun. Aku peduli apa.
Tak sampai seminit, laju saja Suraya memacu keretanya keluar meninggalkan halaman rumah umi.
Aku pula masih berdiri dan bersandar di kereta. Terngiang-ngiang semula apa yang Suraya katakan tadi. Seperti jammed sekejap otak aku ni. Apa yang dia cakap tadi? Dia terseksa berkahwin dengan aku? Kalau boleh aku nak cakap perkara yang sama pada Suraya. Mungkin lebih teruk lagi. Mungkin kalau perempuan tu berada di tempat aku, dia boleh tahu siapa yang lebih terseksa. Atau mungkin Suraya patut fikir untuk beberapa saat yang sekurang-kurangnya dia tak diuji hebat seperti aku.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro