Bab 1
"Siapakah Tuhan kamu?"
"Siapakah Nabi kamu?"
"Apakah agama kamu?"
"Di manakah kiblat kamu?"
"Siapakah saudara kamu?"
"Ketika itu jawablah soalan-soalan mereka dengan cermat dan sehabis-habis terang dan betul..."
Awan mendung menemani talkin ustaz yang kedengaran begitu halus sekali. Mengucapkan talkin yang masih lagi panjang dan berbaki. Menerangkan yang kematian itu pasti. Diiringi pula dengan suasana begitu sayu dan sepi...
Sengaja aku larikan pandanganku sebentar ke arah awan yang mula suram. Mendongak memerhatikan langit yang seakan-akan mampu membaca perasaanku ketika ini. Jujur aku cakap, aku takut air mata yang berkolam dalam pekarangan mata aku ni mengalir juga membasahi pipi. Nanti orang kata aku lemah pula. Terlalu emosional sedangkan aku perlu tabah menempuhi saat-saat begini.
Aku menggeleng perlahan.
Aku tak boleh nampak sedih macam ni. Impak pada umi lagi besar. Kalau dia tengok aku nangis, satu hal pula dia nak tenangkan aku.
Acap kali kenyataan itu yang aku ucapkan dalam hati. Biar terbenam dalam hati yang aku kena kuat untuk umi. Mana boleh aku terbawa-bawa dengan rasa sedih macam ni sedangkan umi nampak tenang saja. Biarpun aku tahu jauh dalam hati umi... Allah saja yang tahu betapa peritnya kehilangan suami dan anak lelaki.
Kepalaku mula tertunduk sebentar. Kemudian, aku menarik nafas panjang. Semangat yang ada, aku gagahkan juga bagi melihat tanah kubur yang masih merah di hadapan mata. Kubur Qayyum dan abah aku, Haji Saad yang pergi mengadap Ilahi pada masa yang sama.
Lewat petang semalam aku dikhabarkan dengan berita kehilangan mereka berdua yang terlibat dalam satu kemalangan meragut nyawa. Abang aku, Qayyum... Meninggal di tempat kejadian manakala abah pula menghembuskan nafas terakhirnya di hospital. Sempat lagi abah melihat umi sebelum pergi bertemu Allah S.W.T.
Aku menahan sedu tangisku selagi mampu. Tak boleh. Semangat yang ada ini tak cukup kuat untuk aku bertahan lama. Siapa-siapa yang berada di tempat aku tentu akan merasakan perkara yang sama. Laju saja butiran air mata ni nak turun ke pipi. Sampai dah tak boleh nak ditahan-tahankan lagi.
"Berhentilah menangislah." Aku bersuara sendiri. Geram. Mahu saja aku menampar muka aku beberapa kali. Biar rasa sakit kat pipi menampung rasa sedih aku ni.
Tapi kalau aku buat macam tu, orang kampung cakap aku gila pula. Tak pun, tentu dia orang sibuk nak tenangkan aku. Tak pasal-pasal aku jadi perhatian orang lain.
Sekali lagi aku menarik nafas panjang. Cepat saja hujung jariku mengelap butiran air mata yang tak sepatutnya mengalir. Aku tak nak biarkan air mata kering begitu saja. Kalau boleh, aku nak sorokkan daripada pengetahuan umi. Lagipun kalau umi nampak, gusar pula hati dia.
Aku toleh ke sebelah, melihat umi yang masih lagi tegak berdiri. Masih lagi merenung kedua-dua kubur. Tak ada reaksi yang terpapar di muka umi. Tampak kosong saja.
Perlahan aku mengusap belakang tubuh umiku, Hajah Ummu Kalsom.
"Umi..." Sedikit serak suara yang keluar dari mulut aku. Mungkin sebab aku cuba menahan sedu tangis sepanjang pengebumian tadi.
Saat umi menoleh melihat aku, pantas saja aku meleretkan senyuman kecil untuk dia. Menggigil juga senyuman kecil itu nak kekal lama untuk ditayangkan pada umi. Yalah, saja nak tunjukkan yang aku masih mampu tersenyum sedangkan rasa pilu hati aku ni macam dihiris-hiris.
"Qarin okey tak? Banyakkan beristighfar, Qarin." Umi mula bersuara. Dari tadi aku rasa dia membisu sejak berjalan masuk ke tanah perkuburan lagi.
Tak ada respons yang aku mampu ucapkan. Nak mengangguk pun, aku sendiri tak tahu sama ada aku okey atau tidak. Hati aku sajalah yang mula beristighfar. Kalau nak diikutkan perasaan sedih aku ni, mana mungkin aku okey dengan pemergian dua orang ahli keluarga dalam sekelip mata. Aku bukannya robot, tak ada perasaan sedih langsung.
"Suatu hari nanti dekat sini juga tempat umi," ucap umi dengan nada suara yang agak sayu.
Aku tersentak dengan kata-kata umi. Boleh pula kenyataan dia dipakejkan sekali dengan segaris senyuman kecil kat bibir dia. Pergh...
Dah sudah. Menitis balik air mata aku. Satu kenyataan dan fakta yang tak mampu aku nak sangkal lagi. Sampai satu masa nanti, memang semua orang akan dijemput juga. Termasuk umi.
Tapi bila umi cakap macam tu, aku rasa macam nak meraung sambil pegang kaki dia. Rasa sedih aku ni dah tak mampu nak digambarkan dengan kata-kata. Dah tak ada semangat aku nak mendengar umi cakap macam tu dalam keadaan hati aku yang masih lagi belum stabil.
"Subhanallah..."
Aku lapkan juga air mata yang mengalir. Tangan aku kembali mengusap belakang tubuh umi. Tak guna aku nak menangis bagai nak rak. Walau seteruk mana pun kesedihan ini, segalanya sudah berlaku mengikut ketentuan-Nya. Tak ada apa yang boleh aku ubah, tak ada apa yang boleh diputarkan semula walaupun aku mengalirkan air mata darah sekalipun.
Apa yang aku mampu buat sekadar terus reda dengan apa yang berlaku seperti umi. Tolonglah berikan aku kesabaran dan ketabahan untuk dugaan-Mu ini, Ya Allah...
Entah berapa lama aku berdiri dan termenung, aku sendiri tak perasan. Tahu-tahu saja, penduduk kampung yang datang menghadiri pengebumian abah dan Qayyum mula bersurai seorang demi seorang. Ada rutin duniawi dan akhirat yang mereka perlu selesaikan. Jadi, takkan aku nak halang pula?
Aku hulurkan ajelah tangan aku setiap kali ada penduduk kampung yang datang bersalaman. Entah bila talkin dan doa habis dibaca oleh ustaz, aku langsung tak sedar. Ada juga saudara-mara belah umi dan abah ziarah sehingga ke tanah perkuburan. Memberikan sepatah dua kata kepada aku dan umi, tapi aku langsung tak dengar apa-apa...
"Assalamualaikum, Qarin."
Berderau darah aku apabila merasakan bahu kiri aku ditepuk oleh seseorang. Serta-merta aku menoleh ke kiri. Ustaz Malik rupa-rupanya yang sapa aku. Ingatkan dia dah balik bersama yang lain. Aku pun tak perhatikan sangat siapa yang masih berada di tanah perkuburan ni. Fikiran aku terasa kosong betul.
"Eh, waalaikumussalam, ustaz." Aku menyambut salam Ustaz Malik sebelum tangan aku kembali memegang belakang badan umi.
"Maaflah. Saya tak perasan ustaz."
Aku tersenyum hambar. Tak sampai beberapa saat, ustaz tepuk bahu aku untuk beberapa kali.
"Tak apa. Sabarlah, Qarin. Setiap yang hidup pasti merasai mati. Setiap yang bernyawa pasti akan kembali. Janganlah sedih sangat. Semua yang terjadi pada abah dengan abang kamu, itu ketentuan Allah."
"Saya tahu, ustaz."
"Banyakkan berdoa. Minta Allah pulihkan semangat kamu ni. Som..."
Aku tengok Ustaz Malik dah menukar hala pandangannya ke arah umi. Aku pun turut serta menoleh ke arah umi yang berdiri rapat dengan aku. Mukanya kelihatan pucat lesu atau mungkin perasaan aku semata-mata.
"Bawa bersabar, Som. Istighfar. Aku pun rasa juga kehilangan Saad. Banyakkan berdoa."
Aku memerhatikan saja umi yang senyap tidak memberikan sebarang reaksi. Tak ada jawapan daripada umi bila Ustaz Malik memberikan nasihat. Bahkan dari tadi aku rasakan air muka umi kekal sama. Nak kata sedih, relaks aje umi bagi kenyataan menusuk kalbu pada aku tadi. Sampai aku pula rasa nak meraung-raung.
Tapi nak kata umi tak sedih pula, memang tak mungkin. Mustahil umi begitu tabah hingga tak rasa sedih langsung. Ini bukan sedih seperti kehilangan gula-gula atau barang lain. Ini kesedihan tentang kehilangan orang tersayang. Aku yang lelaki ni pun boleh tangkap emosional. Inikan pula umi.
"Kalau macam tu, ustaz balik dululah, Qarin. Jaga diri dengan umi kamu elok-elok. Nanti jangan lupa datang solat berjemaah kat surau. Assalamualaikum." Nasihat Ustaz Malik sebelum meninggalkan aku dengan umi.
Aku mengangguk sekali dua. Salam daripada ustaz meniti di bibir saja. Aku perhatikan dulu langkah ustaz sebelum kembali menoleh ke arah umi. Masih begitu posisi dan reaksi umi aku tu. Sugul saja.
Aku menyentuh lembut hujung bahu umi.
"Umi," panggilku.
"Aaa... Apa? Ada... Ada apa?" Terketar-ketar suara umi. Berkelip-kelip kedua-dua matanya memandang aku yang setia berdiri di sebelah.
"Umi okey?" Risau pula aku mendengar suara umi. Lagipun masa Ustaz Malik berada di sini tadi, umi tak bercakap apa pun. Memanglah dari luar umi nampak gagah saja. Tak menitiskan air mata bagai nak rak macam aku. Tapi apa yang umi rasa dalam hati, mungkin jauh lebih teruk.
"Umi tak ada apa. Insya-Allah. Mana semua orang, Qarin? Dah balik ke?" Termangu-mangu umi menyoal aku. Dia baru perasan aku dengan dia saja yang berada di tanah perkuburan itu ke?
"Dah balik, umi. Tadi, Ustaz Malik cakap dengan umi... Umi ada dengar?"
"Ustaz Malik cakap apa? Astaghfirullahalazim. Umi tak perasan langsung."
Aku cuba menarik senyuman kecil untuk umi. Betul sangkaan aku. Fikiran umi tak berada di dunia realiti. Dia mengelamun jauh. Barangkali kosong fikirannya sama seperti aku juga. Betapa sedihnya hati umi sehingga wanita itu tak mampu lagi mengeluarkan air mata.
"Dia orang dah baliklah, umi. Masing-masing sibuk duduk melepak minum kopi O panas."
"Pandailah Qarin ni," senyum umi.
Lega betul bila aku dapat melihat senyuman manis umi. Dalam peritnya umi menampung kesedihan, mahu juga dia tersenyum dengan lawak aku yang tak berapa nak kelakar. Tapi bolehlah daripada tak ada modal langsung nak hiburkan umi. Daripada aku bagi nasihat klise seperti orang lain dan minta umi aku bersabar, lebih baik aku cuba hiburkan hati dia. Mungkin cara itu lebih baik...
"Umi nak stay sini ke? Tak pun, umi nak balik?" Aku menyoal.
Perasaan sedih yang membelenggu aku sepanjang pengebumian tadi, aku nak buang jauh. Fokus aku hanya pada umi. Sebagai satu-satunya orang yang berada di sisi umi ketika ini, aku adalah semangat dan kekuatan untuk umi.
Walaupun aku sendiri tak yakin nak tunjuk kental dan gagah menempuhi saat sedih ni, aku tak ada pilihan lain. Biarlah aku jadi robot depan umi. Kalau itu saja pilihan yang ada untuk menghentikan kesedihan umi, aku sanggup.
"Boleh juga. Nanti pun kita datang ziarah lagi."
Aku mengangguk. Betul juga apa yang umi aku cakap. Bukan jauh pun jarak tanah perkuburan dengan rumah umi. Kalau jalan kaki, tak sampai sepuluh minit dah boleh sampai. Tak sempat nak berpeluh pun. Itupun kalau lalu jalan shortcut. Kalau tak lalu shortcut, basah juga ketiak nak sampai ke sini.
Jadi jarak perjalanan untuk ke sini bukan satu alasan untuk menziarahi kubur. Bila-bila saja aku dan umi boleh datang ziarah kubur abah dan Qayyum. Rajin atau tak saja nak datang ziarah.
"Kalau macam tu, jomlah kita balik, umi. Nanti Qarin buatkan umi kopi O panas," sengihku. Tak tahulah sama ada umi ada selera atau tidak. Yalah, apalah sangat kopi O panas untuk mengubat hati umi. Tapi bila aku melihat umi hanya mengangguk dengan senyuman yang masih lagi terukir, aku mula tersenyum lega.
Apa yang berlaku untuk hari-hari mendatang, aku berharap aku mampu terus melihat senyuman umi. Biarpun tak ada lagi abah untuk umi mengadu kasih, tak ada lagi Qayyum untuk umi bercerita, aku cuma harap umi boleh terus tersenyum. Meskipun aku berani jamin, senyuman umi takkan sama seperti dulu...
Tiba di halaman rumah, aku mematikan enjin kereta. Sebak pula bila benda pertama yang menangkap pandangan mata aku adalah motor lama abah. Elok terletak di tepi rumah bersama helmet yang masih tersangkut di cermin motor. Yang pastinya, motor kapcai itu takkan digunakan oleh orang yang sama. Abah saja yang selalu tunggang motor itu untuk ke surau ataupun ke kebun. Sekarang, tuan empunya motor dah pergi untuk selamanya...
Aku melemparkan pandangan seketika ke luar tingkap. Selalunya kereta Perodua Myvi milik aku ni diparkir bersebelahan dengan kereta kancil milik Qayyum. Sekarang tak lagi. Tak ada kereta bersebelahan kereta aku. Sebaliknya kereta Qayyum lunyai akibat kemalangan.
"Qarin..."
Laju aku menoleh ke sebelah. Terhenti lamunan aku sebaik mendengar nama aku dipanggil. Aku pandang ke arah umi yang sudah pun membuka pintu kereta. Bahkan sebelah kaki umi dah siap sedia untuk menapak keluar.
"Qarin termenungkan apa tu? Jomlah kita masuk," ajak umi.
Aku terus mengangguk. Tak mahu menjawab apa yang aku menungkan tadi. Nanti sedih pula umi aku tu. Dah elok-elok dia bercakap, aku nak buka cerita emosional pula. Nak bangkitkan cerita pasal kereta kancil Qayyum yang selalu diparkir bersebelahan kereta aku. Ada karang dia dengan aku, sama-sama berjujuran air mata dalam kereta.
"Dah balik, Kak Som?"
Kepalaku mendongak sedikit bagi melihat gerangan suara yang memanggil umi. Kelihatan seorang wanita berumur lewat 40-an sudah berdiri sambil memegang pintu kereta yang umi buka tadi. Mak Cik Nab rupa-rupanya. Jiran sebelah rumah aku yang rajin betul menegur umi. Lebih kepada orang yang suka mengambil tahu tentang setiap keadaan penduduk kampung. Umpama paparazi tak bergaji. Jenis spesies manusia yang aku kurang gemar nak dekati.
"Alhamdulillah, Nab. Dah balik," sahut umi dari dalam kereta. Sempat dia menoleh sebentar melihat aku sebelum keluar.
"Qarin tak nak turun ke?"
Aku mengangguk perlahan. Buat apa pula aku nak duduk dalam kereta lama-lama? Aku pun dah matikan enjin. Tunggu masa nak keluar aje. Jadi aku mula cabut seat belt daripada melilit badan.
Tapi tatkala ekor mata aku mengilas cermin pandang belakang, cepat-cepat aku bersuara memanggil umi.
"Umi, Qarin keluar pergi kedai sekejap... Boleh?" Aku menundukkan kepala bagi membolehkan aku melihat reaksi wajah umi yang sudah berdiri di luar kereta. Hujung jari-jemari aku ni pula dah mula memegang kemas stereng kereta.
"Pergi kedai?" Umi menyoal.
"Haah, umi. Kejap lagi Qarin balik."
Selepas melihat umi menganggukkan kepala dan menutup pintu kereta, aku terus membalut tubuh aku semula dengan tali pinggang keledar. Safety first. Laju aku memulas kunci kereta bagi menghidupkan enjin. Selepas menukar gear dan menurunkan brek tangan, aku mula memandu meninggalkan kawasan rumah dengan sepantas mungkin. Tak nak umi melihat reaksi muka aku atau meneka langsung kenapa aku tiba-tiba mahu ke kedai. Apa yang penting, aku perlukan masa bersendirian untuk seketika...
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro