Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

PROLOG

Aku terpisat-pisat di kerusi. Aku cuba bangun tetapi tubuhku tersangkut. Tanganku meraba pinggang. Rupanya aku terikat dengan tali pinggang keselamatan di kerusi itu. Aku besarkan mata untuk melihat keliling. Menerusi cahaya suram itu aku sedar bahawa aku sedang berada di dalam sebuah pesawat.

Tapi kenapa aku berada di atas pesawat ini? Aku toleh ke kiri dan membuka penutup tingkap. Di luar gelap gelita. Aku menoleh ke kanan. Seorang wanita sedang tidur memeluk anak kecilnya yang tidur di sebelahnya. Wajah perempuan itu tidak jelas. Malah hampir semua di atas pesawat itu sedang tidur.

Aku hendak ke mana? Bila pula aku menempah tiket untuk ke mana-mana?

Tiba-tiba kedengaran suara-suara, seolah-olah mereka sedang berbicara menerusi alat komunikasi. Tetapi aku boleh pula dengar butiran kata-kata orang di sebelah sana. Cuma aku tidak faham bahasanya. Ia bahasa asing. Aku tahu ia bahasa dari negara Eropah Timur. Tetapi aku tidak tahu buah butir kata-kata mereka.

Zap! Kelihatan cahaya melintas menerobos ke dalam pesawat.

Cahaya itu diikuti dengan letupan yang kuat. Pesawat turut bergegar. Semua benda, termasuk tubuhku serta-merta melayang.

Aku mendapati diriku tertarap di atas tanah yang gebu selembut tilam. Segera aku bangun, walaupun agak sukar. Aku raba tubuhku. Semua masih ada. Kaki, tangan dan jari-jariku masih cukup. Kedengaran letupan di beberapa tempat, diikuti dengan api yang menyala. Aku terus berlari mengheret kakiku yang berat tanpa aku tahu ke mana harus aku tuju.

Aku nampak butiran peluru yang laju dihalakan ke arahku seperti hujan yang turun dari langit. Aku mendongak. Jet-jet bertaburan di udara, seolah-olah sedang mencari aku.

Mengapa mereka memburu aku?

Kakiku terus melangkah laju. Aku terus berlari simpang siur untuk mengelakkan dari terkena tembakan. Semakin jauh aku meninggalkan kawasan itu. Akhirnya aku sampai ke kawasan hutan.

Aku terus berlari.

Sedikitpun aku tidak rasa takut.

Semakin jauh aku masuk ke dalam hutan.

Bunyi tembakan sudah sayup-sayup kedengaran.

Tiba-tiba aku ternampak sebuah khemah besar. Terus aku berlari ke khemah itu. Mana tahu, mereka boleh membantu aku. Seorang lelaki memakai baju celorong celoreng seperti tentera, memegang mesingan menyelak kanvas penutup pintu dan mempersilakan aku masuk.

Semua di dalam khemah itu lelaki. Mereka juga memakai baju tentera celorong-celoreng. Mata mereka dihalakan kearah satu skrin besar yang tergantung di bahagian hadapan khemah itu. Seolah-olah mereka sedang menunggu satu siaran. Mungkin satu pengumuman.

Nampaknya semua kerusi di dalam khemah itu penuh. Aku yang tadi didorong masuk terpinga-pinga. Dia yang duduk paling tepi bangun lalu memberi kerusinya kepadaku.

"Spasiba." (Terima kasih). 

Entah kenapa aku berbahasa Rusia. 

Suasana sunyi sepi. 

Hanya kedengaran suara perlahan sekumpulan lelaki, juga berpakaian yang serupa, sedang menggodek-godek alat elektronik.

Skrin yang gelap menjadi cerah. Seorang lelaki juga memakai baju celorong-celoreng muncul lalu memberi tazkirah dalam bahasa asing. Bukan Rusia. Aku tidak faham.

Dia terjemahkan tazkirah itu kepada aku.

"Kami amat berdukacita."

"Tapi . . . Bersabarlah wahai komrad semua."

"Pesawat kita yang membawa penumpang orang awam, baru sahaja diserang kerana kami enggan menyerahkan Wadya Zaxa."

Tiada suara membantah.

"Kalau kita serahkan dia, Dağdaki Göl akan jatuh kepada mereka. Kita semua akan jadi bangsa yang pupus!"

Semua akur.

Aku tercengang. Kenapa nama aku pula disebut?

Kedengaran beberapa bunyi letupan yang sangat hampir. Tanah di sekitar khemah turut bergegar. Mereka yang duduk terus bangun dan menterbalikkan senjata yang tadi tersangkut di bahu masing-masing. 

Sepasang tangan kekar memelukku. Aku sembunyikan mukaku di dada bidangnya.

"Abang akan lindungi Zaxa, walau dengan nyawa abang."

Aku angkat muka. Mata birunya, sebiru air Dağdaki Göl yang menjadi rebutan itu merenung aku, penuh kasih.

Dia! Ketua briged pemberontak. Dia ada tanggungjawab membebaskan negaranya daripada cengkaman diktator.

"Kalau abang mati, siapa yang akan melindungi Zaxa nanti?"

Justeru aku menangis tersedu-sedu.

Jangan sejarah berulang.

Jangan apa yang berlaku kepada Mummy terjadi kepada aku.

Dia berpaling lalu memekik dalam bahasanya seperti memberi arahan. Pelukanku dileraikan. Pantas dia berlari diikuti pemberontak yang lain keluar dari khemah itu.

Wadi Alexei Harris!

Hanya doa yang mampu kutitipkan buatmu!

*****

*Dağdaki Göl *

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro