Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

BAB 9: BUKAN KEBETULAN

RINDU

Dua minggu kemudian.

Misya yang kepoh itu nampak Wadya turun dari trak pickup Sergey. "Eh, kenapa hari ini Daddy Sergey yang hantar? Mana abang baharu kau?"

"Kenapa? Kau rindu dia ke?" balas Wadya. Dalam hati berkata, Siap kau kalau merindu abang aku!

Misya tepuk bahu Wadya. "Apa kau merepek ni? Aku suka yang hitam manis."

"Macam Liban Abdi?"

Misya ketawa mengilai. "Kau pulak yang merepek. Cakap! Mana abang baharu kau?"

Wadya malas melayan soalan Misya. Dia terus berjalan menuju ke 'cubicle' tempat dia bekerja. Setiap pelajar PhD diberi satu 'cubicle' yang dilengkapkan dengan kerusi, meja, kabinet kecil dan komputer meja. Wadya letak bekal makanannya di dalam kabinet. Wadya memerlukan diet khas yang bebas gluten dan bebas kasein (GFCF), iaitu protein daripada susu. Dia hanya akan melanggar diet itu jika makan di luar.

Misya memerhati gelagat rakan karibnya. Dia amat memahami Wadya. Dia tahu kerana ASD, Wadya dinasihati oleh doktor tidak memandu kereta sendiri. Walaupun ibunya dan Daddy Sergey tidak percaya Wadya anak istimewa menanggung masalah ASD, mereka akur nasihat doktor. Lalu Wadya dihalang daripada memandu sendiri. Walaupun memiliki lesen memandu, dia hanya beraksi jika ada orang lain bersamanya.

Bagi Puteri Asmara dan Sergey, Wadya memiliki bakat yang luar biasa. Dia amat peka kepada perincian. Kerana itu dia seolah-olah seperti seorang 'perfectionist'. Wadya memiliki hipersensitiviti deria dan boleh mendengar bunyi yang orang biasa tidak berupaya mendengarnya.

Jangan cuba berbisik. Wadya dapat mendengarnya.

"Kau belum jawab soalan aku." Misya terus mendesak.

Wadya menoleh. "Abang Wadi out-station. Dia masuk hutan mana entah, katanya ada pencemaran air."

"Mesti kau rindu dia, kan?"

Wadya julingkan mata. "Kau ni tak sudah-sudah membawang. Dah jumpa penyelia?"

Misya muncungkan bibirnya. "Dah."

"Habis? Kenapa muka macam empat belas saja?"

"Ada saja yang dia tak puas hati. Beza sungguh dengan penyelia kau."

"Jangan nak salahkan penyelia. Aku dah kata yang kau tulis tu tak relevan. Tapi kau degil."

"Yelah . . . Yelah! Lain kali aku dengar cakap kau."

Misya melangkah untuk pergi ke 'cubicle'nya. Langkahnya terhenti apabila terdengar Wadya mengomel:

"Nanti, kalau aku tak ada, kau macam mana?"

Sungguh Misya terkejut. Terus dia menarik kerusinya dan duduk di tepi meja Wadya. "Kau nak ke mana?"

"Tak ke mana."

"Aku tahu, kau nak pergi jauh. Kau nak ikut Abang Wadi balik ke negara dia kan?"

Wadya menarik nafas panjang. Wadi minta dia buat keputusan. Dia sudah membuat keputusan itu. Cuma dia tidak tahu bagaimana hendak menyampaikan keputusan itu kepada mummynya dan Daddy Sergey. Wadi pun belum diberitahu keputusannya. Mujur Wadi langsung tidak mendesak. Itu membuat Wadya sedikit lega.

Wadya tidak boleh didesak kerana dia mahu menghasilkan karya yang sempurna. Sebuah keputusan, baginya adalah satu karya.

"Kau diam, maknanya betul, kan?"

Wadya mengangguk.

"Tapi kau tak boleh ikut dia, kan?"

Mengangguk lagi.

"Mummy dengan Daddy Sergey pasti akan menentang."

"Kalau kau kahwin dengan Abang Wadi, mereka tak dapat menentang lagi," kata Misya dengan nada selamba.

"You're joking, right?"

Misya geleng kepala. "Perasaan kau macam mana?"

"Entah. Aku anggap dia macam abang aku. Walaupun aku tak ingat apa-apa, sebab masih kecil ketika dibawa keluar dari Ville de Paix ke Nubhan City dan balik ke Malaysia."

"Tempat-tempat itu ada lagi ke?"

"Ada. Ville de Paix sekarang tinggal nama sahaja. Kata Abang Wadi, bandar itu dikuasai seorang general pemimpin diktator. Rakyat hidup susah dan tidak tenteram. Askar Kerajaan berada di mana-mana, sedia menyeret sesiapa yang mereka syak ke dalam penjara tanpa bicara, Nubhan City pula dikuasai pemberontak. Penduduknya tidaklah kaya raya, tetapi aman."

Misya mendengar penjelasan Wadya dengan teliti. Kening berkerut. Otak sedang merencana.

*****

PROFESOR SUBHAN

Profesor Subhan berusia dalam lengkongan 50an. Tetapi disebabkan janggutnya sudah berwarna putih, dia kelihatan lebih tua daripada usia biologinya. Bidangnya arkeologi. Dia baru satu penggal bertugas di universiti itu. Seluruh hidupnya sebelum ini di luar negara. Khabarnya di Amerika Syarikat. Tetapi kehidupan sebenarnya di mana-mana terdapat tinggalan unik yang memerlukan kepakarannya. Kerana itu Profesor Subhan menjadi bujang terlajak.

Dalam biliknya terdapat artifak yang rupanya ada yang menyeramkan.

"Bila saya dapat tahu kamu dilahirkan di Ville de Paix, negara Dağdaki Göl, saya tak dapat bayangkan betapa bertuahnya saya," kata Profesor Subhan sambil tersenyum lebar dan menarik kerusi, menyuruh Wadya duduk.

Ini pertemuan kedua mereka. Pertemuan pertama, dua minggu lalu di perpustakaan. Tak sempat cerita panjang kerana ada beberapa orang pelajar lain.

"Artifak itu semua replika. Sengaja saya buat setiap kali saya pergi ekskavasi," katanya setelah melihat ke mana arah mata Wadya.

Dia mengambil satu patung kecil berwarna putih gading. Seperti patung seorang perempuan. Dia serahkan patung itu kepada Wadya.

Patung itu dibeleknya. Kenapa macam rupa aku? "Siapa ni Prof?"

"Inilah, mengikut lagendanya perempuan yang menguasai negara Dağdaki Göl, Tasik Di Gunung."

Patung itu diukir memakai jubah. Rambut panjang sampai ke punggung.

"Nama awak Nur Wadya Zaxa," kata Profesor Subhan. "Pandai orang tua awak pilih nama. Mungkin mengambil sempena penguasa tasik itu. Namanya Empress Zaxana."

Wadya fikir, dia tak perlu bercerita apa-apa tentang Tok Andika. "Kebetulan, agaknya."

Profesor Subhan geleng kepala. "Semua yang terjadi dalam dunia ini bersebab."

Dia keluarkan sebuah buku saiz A4. "Ini salinan manuskrip lama yang menceritakan apa ada di sebalik Tasik Di Gunung itu. Ia ditulis dalam abjad Turki. Dipercayai orang Turki yang mula-mula sampai di situ. Sebab itu namanya dalam bahasa Turki. Hubungan pendatang Turki dan Empress Zaxana tidak diketahui. Mungkin berniaga."

"Prof dah baca manuskrip tu?"

"Sudah. Tapi manuskrip ini tidak lengkap," jawabnya dengan nada sedih.

"Kenapa tak lengkap?"

"Bilik kebal tempat kami simpan manuskrip asal telah dipecah masuk pencuri. Kebetulan masa itu kami sedang meneliti bahagian pertama manuskrip itu. Jadi mereka mereka hanya dapat curi bahagian kedua."

"Maknanya Prof pernah pergi ke sana?"

"Ya. Saya pergi ke Nubhan City, atas jemputan Datuk Bandar Andria. Dia minta saya membuat ekskavasi dekat dengan tasik itu sebab ada orang jumpa wang siling lama di situ. Patung ini dijual oleh orang di situ kepada pelancong."

Dia hulurkan sekeping logam.

"Itu pun replika," ujarnya sambil tersenyum.

"Maknanya negara itu sudah ada sistem kewanganmya pada zaman itu?" soal Wadya.

"Ya. Malah dalam buku ini disebut mereka sudah ada sistem perbankan," katanya. "Cuma ilmu perbankan mereka mati begitu saja, kerana tiada sistem pengurusan ilmu."

Wadya termenung. Dia sendiri, dalam thesisnya hanya menumpukan kepada pengurusan ilmu kontemporari, bukan tradisional. Justeru bagaimana orang dahulu kala memindahkan ilmu pengetahuan tidak masuk ke dalam literature review yang disiapkannya.

Profesor Subhan senyum. "Tentu awak fikir saya ini seorang profesor peminat siri Indiana Jones."

"Tapi ini benar-benar sebuah negara Prof."

"Awak pun tahu ya . . ."

"Sikit-sikit dari Mummy dan Daddy Sergey."

"Boleh awak kongsi sikit tentang mummy awak? Macam mana dia boleh berada di negara yang bergolak tu."

"Kata mummy dia mengambil jurusan perubatan di Rusia. Dia berkenalan dengan Daddy Burhan yang melawat Rusia masa itu. They fell in love and got married."

"Daddy kamu belajar di Rusia juga?"

"Tidak. Daddy pemimpin pelajar di university di Ville de Paix. Dia pergi ke persidangan antarabangsa di Rusia. Bila Mummy berkahwin dan mengandung, dia mengambil cuti dan tinggal di Ville de Paix. Daddy masa itu masih belajar." 

Wadya rasa dadanya sebak. Suaranya sudah mula serak. Seolah-olah terbayang di matanya peristiwa demonstrasi pelajar di kampus, dan kemudian tubuh kaku bapanya dibawa pulang.

Profesor Subhan segera dapat melihat perubahan di wajah Wadya."Tak mengapa. Kalau tak boleh cerita. Saya amat faham dan amat simpati."

Tiba-tiba Wadya faham kenapa ibunya masih berkabung sehingga kini.

Perempuan berwajah sugul yang membawa anak kecil di dalam pesawat dalam mimpi aku itu mummy. Anak kecil itu aku, fikir Wadya.

Sebenarnya Profesor Subhan sudah tahu kisah sedih Puteri Asmara dan anaknya. Semua itu diceritakan oleh Nubhan JR. Dia hanya membuat ujian kecil untuk memastikan yang berada di hadapannya benar-benar anak Burhan Zikri Andika.

Pembunuhan Burhan menjadikan negara itu semakin bergolak. Tentera berpecah. Ada yang menyokong Diktator Dimitri. Ada yang menyokong pelajar. Akhirnya Ville de Paix dikepung tentera diktator. Komander Nubhan yang menguasai tentera udara, belot kepada pemberontak berundur ke Nubhan City, yang merupakan pangkalan tentera udara negara itu. Dia berbuat demikian kerana tidak mahu menyusahkan penduduk tempatan di Ville de Paix.

Kini tugas Komander Nubhan diambilalih oleh anaknya Komander Nubhan JR, yang juga rakan sekelas Sergey dan Burhan ketika di universiti.

"Semuanya kena dilakukan seperti ia satu kebetulan," kata Nubhan JR kepada Profesor Subhan. "Itu pesanan Tok Andika."

Tujuannya untuk mengelakkan orang-orang Diktator Dimitri II daripada turut mencari batu kristal itu di Malaysia.

Profesor Subhan nampak batu kristal Zaxa kini ada pada Wadya. Dalam buku itu disebut ada dua. Kini hanya pasangannya yang harus dicari di Malaysia. 

*****

NOTA: 

Liban Abdi = Pemain bolasepak profesional dari Somalia.

*****

*Jenis kereta Sergey*


Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro