BAB 5: GARIS MASA
*Ketahuilah setiap kamu ialah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya mengenai kepemimpinannya. (Hadis Riwayat Muslim)*
ABANG WADI
Hujung minggu, jam 7:30 pagi. Sarapan sudah terhidang. Puteri Asmara dan Sergey sudah duduk di kerusi. Seperti biasa, Wadya yang menyediakan sarapan itu dan Elis, pembantu rumah melayan mereka. Tapi Wadi masih belum keluar dari bilik lagi.
"Apa dibuat anak teruna tu?" Puteri Asmara mengomel.
"Biar Dya panggil dia mummy."
Baru Wadya mengangkat tangan mahu mengetuk, pintu sudah terbuka. Mujur tak terketuk muka Wadi.
"Abang Wadi. Breakfast is ready."
Wadi masih tercegat di pintu.
"Okey ke baju ni?" soalnya.
Wadi menggayakan baju-T yang dipakaiya macam model di hadapan Wadya. "Ketat sikit."
"Ya. Macam abang pakai baju Adik," jawab Wadya sambil tersenyum.
'Adik' itu Wadya. Dia senyum sebab suka melihat badan Wadi yang berbonjol-bonjol di sana sini.
"Hahaha . . . Ini baju Uncle Sergey. Kalau baju Adik Dya, nak masuk kepala pun tak muat kot?"
"Hmm . . . You'll break many girls' hearts." Puteri Asmara mengusik ketika Wadi duduk di meja makan.
"If you break my girl's heart, I'll break your neck." Sergey memberi amaran.
"Maybe she's the one who'll break my heart," balas Wadi. Matanya mengerling Wadya yang sibuk menuang air jus.
"Apa ni, depan rezeki cakap patah hati." Wadya mencelah. Nasi dikaut dan diletak atas piring Wadi.
"Sambal tu tak berapa pedas," kata Puteri Asmara.
Wadi merasa nasi dan sambalnya. "Sedap."
"Semua Wadya yang masak," jelas Puteri Asmara dengan bangga.
Wadi lihat muka Wadya merah merona. Blushing . . . Nice, fikir Wadi.
Sergey tiba selepas solat subuh di Masjid berdekatan. Sengaja Puteri Asmara panggil untuk melengkapkan mereka seperti satu keluarga bahagia. Walaupun keluarga palsu.
Nasi lemak dengan pilihan sambal kerang dan ayam masak sari. Masakan kegemaran Wadya dan Surgey. Sambil makan, dia tak putus-putus memuji kelebihan Wadya. Dari pencapaian akademik sehinggalah kepada perkara kecil seperti sambutan hari lahir. Wadya seorang yang teliti dan sangat fokus. Sebab itu selalu menang dalam pertandingan memanah.
"My girl is the best!" puji Sergey, buat anak angkat kesayangannya. Pujian yang mengandung maksud tersirat untuk Wadi.
Laju Wadi mengambil kesempatan meminta izin mereka untuk membawa Wadya keluar.
Kening Puteri Asmara terangkat. "Dating?"
"Boleh juga guna istilah itu," kata Wadi berterus terang. "Ada perkara yang Wadi perlu cakap dengan Wadya, in private."
Puteri Asmara pandang Sergey.
"Biarlah diorang nak berkenalan dengan lebih lanjut."
"Okey, mummy benarkan. Tapi jaga kelakuan."
Wadi pandang Wadya, "Itu pun kalau Dya setuju."
Sekali lagi Wadya rasa pipinya membahang panas. Bodohlah aku kalau tak setuju.
Wadya sarung seluar jeans dan baju labuh seperti kelazimannya. Seperti biasa, juga backpack disandang. Santai.
LADA meloncor laju di lebuhraya menuju ke selatan.
"Nak kemana Abang Wadi?"
"Melaka."
"Kenapa Abang Wadi nak ke Melaka."
"Abang nak menyerap semangat Hang Tuah dan Hang Jebat."
"Abang, diorang dah lama mati. Mana ada semangat lagi."
"Itulah masalah kebanyakan manusia. Bila tokoh mati, semangatnya turut mati."
Wadya mengherot-herotkan mulutnya. Kata-kata Wadi yang sinis itu amat terasa.
"Tapi kami di Dağdaki Göl tak begitu. Burhan meninggal dunia. Tapi semangatnya kami genggam. Burhan bangsa kacukan Melayu-Norwegian. Pun begitu, kami terima dia, tanpa diskriminasi. Semangat juangnya, kata-katanya, kami guna untuk membina semangat anak muda."
Allahu . . .! Hampir gugur air mata Wadya. Kuatnya semangat Wadi. Sedangkan dirinya sendiri seperti tidak menghargai pengorbanan bapa kandungnya. Malah amat jauh. Yang dibanggakannya hanya Daddy Sergey.
Bukan dia nak salahkan Daddy Sergey yang kini merebut kasih daripada bapanya. Kerana hakikatnya Daddy Sergey yang wujud di hadapan mata.
Melihat Wadya mendiamkan diri Wadi tepuk lengannya.
"Dah . . . Jangan sedih . . . Semangat Daddy Burhan itu hidup dalam diri Uncle Sergey. Jadi tak salah kalau Dya sayang Uncle Sergey."
*****
BUKIT MELAKA
Tuah: Nampaknya sungguh seronok mereka menonton permainan kita.
Jebat: Benar Abang Tuah. Begitulah apabila manusia hanya mampu menjadi pentaksub yang jahil.
Tuah: Aku kecewa dengan bangsaku. Tak sudah-sudah bertelagah berebut kuasa. Ada yang perasan dia seorang sahaja yang terbaik. Ada yang menunggang agama, kerana hendak menghalalkan perbuatan yang sesat. Ada yang sanggup berbuat apa sahaja demi mendapat ghanimah dunia. Ada yang suka makan rasuah berulamkan fitnah.
Jebat: Inilah penghujung dunia. Fitnah dikata benar. Benar didakwa fitnah. Antara dua darjat berlaku tanpa rasa malu.
Tuah: Pesanan aku 'Takkan Melayu Hilang Di Dunia' di salah erti.
Jebat: Itulah yang hamba cuba perbetulkan Abang Tuah. 'Takkan Melayu Hilang Di Dunia' hanya berlaku jika keadilan menjadi pegangan hidup kita.
Tuah: Jika Melayu yang arif dikesampingkan, yang miskin diperbodohkan, maka di situlah bermulanya kehancuran bangsa.
Jebat: Melayu takkan hilang di dunia, walaupun berapa ramai orang bukan Melayu yang menjadi sahabatnya.
Tuah: Melayu yang tamak dan mementingkan darjat serta diri sendiri itulah yang akan menjadikan Melayu hilang hati budinya. Hilang negaranya.
Jebat: Maknanya, mana-mana negara di dunia yang mampu membuang perbezaan darjat dan kaum serta sifat khianat, negara itu akan menjadi pemimpin dunia.
Tuah berdiri. Sekali lagi dia membuka gelanggang silat . . .
*****
"Abang!"
Wadi tersentak. Dia melihat tangan Wadya melambai-lambai di hadapan mukanya.
"Melaka jatuh kerana orang Melayu khianat," kata Wadi.
"Abang! Abang Wadi kat mana tadi? Jauhnya abang melamun, Dya panggil pun tak dengar."
"Negara kami dahulu seperti syurga dunia. Kami ada tasik yang luas, tanah yang subur. Pelbagai bangsa berkunjung. Ada yang terus bermastautin. Tapi raja kami menjadi jahat kerana terlalu ramai pengampu. Dia gagal mengenali siapa musuh siapa kawan. Akhirnya dia mati dibunuh. Dan yang membunuh itu pun sama seperti dia. Sekarang negara kami sudah jadi neraka di dunia."
"Abang Wadi! Abang belum jawab soalan Dya . . .Abang kat mana tadi?"
Wadi masih seperti orang mamai.
"Kata Hang Jebat, 'Mana-mana negara di dunia yang mampu membuang perbezaan darjat dan kaum, serta sifat khianat, negara itu akan menjadi pemimpin dunia'."
"Mana ada Jebat cakap macam tu. Jebat kata, 'Raja adil raja disembah. Raja zalim raja disanggah'."
"Raja itu maksudnya pemerintah."
"Abang ni . . . Bila abang jumpa Hang Jebat? Abang masuk time-tunnel ke?"
"Sekejap tadi. Abang nampak pertarungan Hang Tuah dengan Hang Jebat. Macam real. Mereka kata pertarungan itu lakonan saja."
"Eeee! Seram . . . Jom turun." Lalu tangan Wadi ditariknya.
Terpaksalah Wadi ikut menuruni bukit itu. Jika tidak bertarik-tarik pula mereka di situ.
Sebenarnya Wadya teringat mimpinya. Dan kini dia percaya lelaki dalam mimpi itu Wadi. Dan perempuan dalam mimpinya, yang namanya Wadya Zaxa itu sememangnya dia. Seolah-olah sebahagian daripada mimpinya kini sedang dibina.
Apa yang disebut oleh Wadi selepas mereka menyusur Sungai Melaka, meyakinkannya.
"Tok Andika sebenarnya amat rindu pada Dya."
Pantas Wadya menjawab. "Dya pun rindu . . ."
"Sebab itu Tok minta Dya ikut abang balik ke Norway."
"Tok ada di Norway ke?'
"Tak ada. Tapi dia boleh pergi Norway, kampung Mormor Sonja, untuk jumpa Dya."
"Nanti Dya tanya mummy."
"Jangan tanya dulu."
"Hah? Abang nak Dya pergi macam tu saja? Mana boleh!"
"Bukan begitu. Dya fikir dan buat keputusan dahulu. Jangan dipengaruhi oleh sesiapa. Lepas confirm, baru Dya tanya mummy."
"Eh? Bukan kita kena minta izin dulu ke?'
"Jika Dya terus tanya dan mummy tak izinkan, Dya ada hujah untuk membantah?"
Pemikiran Abang Wadi macam seorang general tentera gerila yang totaliter. Tak padan dengan mukanya yang manis macam sago gula Melaka, fikir Wadya.
"Seorang pemimpin kena jelas apabila mengambil sebarang keputusan kerana dia bertanggungjawab atas semua yang dipimpinnya. Jadi dia kena buat keputusan dahulu, yang kemudiannya dimantapkan apabila keputusan itu dibawa berbincang dengan anggota pasukannya," jelas Wadi seolah-olah membaca apa dalam pemikiran Wadya.
"Wah! Hebat abang."
"Abang cuma tafsirkan maksud hadis sahaja," katanya, merendah diri. "Pemimpin apa kalau hujah pun orang lain boleh sanggah dengan mudah?"
"Bagi Dya fikir dulu ya . . ."
"Fikirlah . . . Kontrak abang di sini enam bulan sahaja."
*****
NOTA:
Sebutan Dağdaki Göl (Tasik Di Gunung) = Daazaki Ger
*****
*Pahlawan Melayu - Gambar dari Internet*
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro