BAB 3: CINCIN KRISTAL
KRISTAL MERAH JAMBU
Misya senyum sambil menayangkan gelang kristal di lengannya. "Cantik tak?"
"Kau nak pakai berapa gelang?" soal Wadya.
Misya ketawa mengekeh.
"Belilah kak," kata Mak Nyah berambut panjang, yang menjaga gerai menjual kristal itu.
Mungkin sebab Wadya dari tadi diam tak mengusik apa-apa.
Mata Wadya terpaut kepada batu merah jambu yang terikat pada sebentuk cincin diperbuat daripada emas putih. Cincin itu bagai memanggil-manggilnya.
Jari Wadya nakal pula menuding cincin itu. "Nak tengok itu."
Dengan gembira Mak Nyah bernama Emmy itu terus membuka laci. Wadya keluarkan cincin itu daripada kotaknya. Dia usap batu itu. Terasa bergetar nadi-nadinya.
"Apa nama kristal ni?" soalnya, sambil memasukkan cincin itu ke jari manis tangan kanannya, tanpa berfikir panjang. Elok muat sahaja.
"Itu batu rare." jawab Emmy.
"Yelah . . . Akak nak tahu namanya."
"Kristal Zaxa."
Terus Misya ketawa terkekeh-kekeh. "Sesuai sangat dengan kau. Sama dengan nama kau."
"Berapa harganya?" soal Wadya, terasa teruja dengan nama kristal itu, walaupun dia tahu ada tag harga.
Emmy melihat tag itu yang ada nombor siri. Oleh kerana susah untuk melihatnya, Wadya pun menarik cincin itu keluar dari jarinya.
Walaupun Mak Nyah ini sudah menukar namanya kepada Emmy, dia tetap lelaki. Mana boleh bersentuhan.
Tetapi cincin itu tidak dapat Wadya keluarkan. Ia hanya berpusing-pusing di jarinya.
"Ha . . . Cincin tu tak mahu duduk dalam kotak tu," kata Misya. "Memang sah serasi dengan kau."
"Saya boleh bagi akak diskaun 40% untuk cincin itu," kata Emmy.
"Okey, lepas diskaun, jadi berapa?"
Dia mengira-ngira. "Err . . . RM800."
Terjerit Wadya. "Eii! . . . Mahalnya."
"RM600" kata Misya tiba-tiba. Terus Wadya tepuk lengan Misya. Dia yang dari tadi membelek kristal, Wadya pula yang terjerat.
Emmy sudah tersenyum lebar. "Nanti saya telefon bos ye akak."
Lalu dia terus menghubungi seseorang yang disebutnya Mr Chen. Lepas bercakap dia berpaling ke arah Wadya dengan senyuman lebar.
"Bos kata okey."
Alamak!
Wadya cuba lagi mengeluarkan cincin itu tetapi gagal.
"Beli le akak . . . Memang sesuai untuk akak," pujuk Emmy.
Ditambah dengan pujukan Misya, akhirnya terpaksa Wadya keluarkan kad ATM. Tetapi entah macam mana kena tolak pula kad itu.
Mana boleh? Baru tadi aku cucuk untuk keluarkan duit.
Kini yang ada hanya wang tunai. Kad kredit Supplementary yang diberi Mummy hanya digunakan jika ada kecemasan. Dan ini bukan kecemasan.
Wadya seluk poket, terus dikeluarkan duit itu. "Ada RM500 saja dik."
"Tunai? Okey. Tadi bos kata kalau tunai RM500. Kalau guna kad credit RM600."
Pandai le Mak Nyah ni auta.
Wang bertukar tangan.
Sah, Kristal Zaxa menjadi milik Wadya. Dia belek kristal itu dan nampak imbasan wajahnya sendiri.
Zaxa dan Misya memang memiliki koleksi gelang kristal. Tetapi tak pernah Zaxa nampak imbasan wajahnya di dalam kristal-kristal itu. Hatinya sedikit berdebar. Ada orang kata, dalam kristal mungkin ada penunggu. Zaxa tak pernah percaya. Baginya itu khurafat.
Zaxa diamkan apa yang dialaminya.
Mereka berjalan menelusuri kedai-kedai di situ. Mulut Wadya tak habis-habis bersungut memarahi Misya.
"Hari ini aku dah miskin RM500."
"Alah . . . Jangan risau. Kan Kristal tu ada power komunikasi?"
"Eh, nak komunikasi guna telefon bimbitlah," tingkah Wadya.
Misya ketawa.
Tiba-tiba mata Wadya terpaut pula pada tanda kedai 'Puff and Pastries'.
"Jom, kita makan karipap."
"Sejak bila kau suka makan karipap?" soal Misya.
"Entah, macam teringin pula."
Terus Wadya heret Misya memasuki kafe itu yang terkenal dengan pelbagai jenis karipap. Seorang gadis menunjukkan kerusi untuk dua orang. Menu dihulur.
Wadya pesan kopi latte. Misya pesan cappuccino.
Mereka pesan karipap daging dan sardin. Bagusnya kedai ini tiada karipap angin.
Makanan pun sampai. Mereka makan sambil bersembang.
Misya tarik tangan Wadya untuk membelek cincin di jari Wadya. "Cantik bersinar. Kalau kau tak beli, memang aku beli."
"Kau tahu tak. Duit itu aku nak beli buku."
"Sudahlah berapa banyak buku lagi yang kau nak beli? Kan kau dah siap tulis literature review. Lain le aku yang bengap ni."
Mereka berdua pelajar ijazah kedoktoran sebuah universiti tempatan, mengambil bidang Pengurusan Ilmu. Mereka berdua memang tak pernah bekerja. Lepas ijazah sarjana muda, terus buat Masters. Lepas itu universiti bagi biasiswa buat PhD dalam skim tenaga pensyarah muda.
Agak-agak umur Wadya berapa?
Betul! 25 tahun. Wadya dah berkira-kira. Dua tahun lagi dia akan dapat PhD. Lepas itu baru cari boyfriend.
"Aku boleh beli dua buku," rungut Wadya .
"Kau beli buku RM300. Akhirnya yang relevan cuma dua bab. Rugi saja." Misya mencemik.
"Itulah sikap yang tak boleh pakai." Wadya membidas. "Mungkin tak relevan sekarang. Tapi relevan masa lain."
Tiba-tiba Misya cubit lengan Wadya.
"Wadya . . . Mamat itu asyik perhatikan kau." Mata Misya melirik ke kiri.
Wadya terus menoleh ke arah jelingan mata Misya.
Lelaki itu senyum.
Rambut blonde. Mata biru.
Di mana aku pernah jumpa Mamat ini?
Pandangan Wadya kembali kepada karipap daging dan sardin di atas piring di hadapannya.
"Handsome, kan? Macam Brat Pitt masa muda."
"Jauh betul imaginasi kau," usik Wadya. "Langsung tak sama. Brat Pitt tu baby-face. Yang ini . . ."
"Yang ini macam mana? Macho?" Misya memangkah.
"Muka macam tertelan minyak angin," kata Wadya.
Misya mengilai mendengar anologi Wadya.
"Sudahlah. Makan doughnut tu. Kejap lagi kita kena balik kampus. Kau kan nak jumpa penyelia?" Wadya mengalih topik bicara.
Entah kenapa Wadya terasa Mamat mata biru masih memerhatikannya.
Wadya sudah mula cuak.
Mafia kot?
Kalau mafia pun, apa kau risau Dya? Bukan kau anak billionaire yang ada ratus juta untuk bayar tebusan.
Akhirnya sesi makan-makan pun selesai. Lelaki itu sudah pergi dahulu.
Mereka turun ke basement tempat parkir kenderaan. Sementara Misya mengambil keretanya, Wadya membayar tiket. Lelaki itu menghampiri Wadya .
Cepatlah Misya . . .
"Assalamualaikum." Dia menegur.
Wadya terkejut dengan salam yang diberi. Islam rupanya. Wadya hanya terkedip-kedip mata sahaja.
"Nur Wadya Zaxa, kan?" soalnya dalam bahasa Melayu yang amat sempurna. Kalau tak tengok mukanya mesti pendengar sangka dia Melayu 100%.
Eh . . . Dia nak ngorat aku ke?
Wadya mengangguk. "Kita pernah jumpa ke?"
"Pernah," kata lelaki itu.
Wadya garu kepala yang tidak gatal.
"Dalam kehidupan dulu kot?" Wadya berseloroh.
Dia ketawa.
Sudah tentu Wadya tak percaya kepada reincarnation. Wadya penganut Islam.
"Nama saya Wadi," kata lelaki itu. Kad dihulurkan.
"Wadi A. Harris." Wadya membaca nama yang tertulis pada kad itu. "A tu apa?"
Dia senyum. Wajahnya terus berubah daripada tertelan minyak angin kepada makan ais krim vanila dengan sirap karamel. "Alexei . . . Nama kita sama."
Wadya ketawa. "Mana ada nama kita sama?"
"Wadi dan Wadya maknanya sama, 'peace'. Alexei dan Zaxa, maknanya, defender of mankind - Pahlawan."
Sebenarnya Wadya tahu apa makna namanya. Sengaja dia menduga. "Awak dari Eastern Europe?"
Dia mengangguk.
Pon! Pon!
Kereta Misya pun tiba.
"Tok Andika kirim salam," ujar Wadi yang jelas masih mahu meneruskan perbualan.
Pon! Pon!
Nampaknya Misya tak sabar untuk pergi dari situ. Tak sempat Wadya hendak mencerakin kata-kata Wadi.
Tok Andika? Macam mana dia kenal Tok Andika?
Wadya berlari ke arah kereta. Wadi angkat ibu jari dan jari telunjuk ke telinga.
"Wah! . . . Dah berkenalan. Jealous aku," kata Misya sebaik sahaja Wadya duduk di sebelahnya.
Wadya renung kad yang dihulurkan tadi. Ia kad perniagaan sebuah syarikat konsultansi berkaitan pengurusan tenaga alternatif. Ada nombor telefonnya.
"Siapa dia?" soal Misya.
"Kalau ikut kad ini dia Operation Consultant."
"Macam-macam post sekarang."
"Degree in Aerospace Engineering, Masters in Water Management . Hmm . . . Macam tak kena saja. Dari galaksi pergi ke air pula?"
Kereta terus bergerak menuju ke kampus.
Sekarang ini ramai scammer. Si Mamat blonde ini pun mungkin juga scammer. Entah kenapa, Wadya terasa macam pernah jumpa dia.
Tapi di mana?
Daddy Sergey. Dia dari Eropah Timur. Dia pasti tahu.
*****
*Misya*
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro