Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

BAB 16: GEMPAR

Dia lah yang mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata; Dia lah jua Yang Maha Besar, lagi maha Tinggi (Yang mengatasi segala-galanya). (Ar-Ra'd 13:9).

MASALAH

"Masalah besar! Masalah besar!"

Suara Koldun yang separuh menjerit itu kedengaran dengan jelas walaupun dia masih berada di lobi pejabat Dimitri II yang terletak di Rumah Presiden (ala-ala Rumah Putih di Washington D.C.).

Dimitri II yang sibuk meneliti draf belanjawan negara bersama Nikolai dan Erika di bilik khas Pejabat Presiden itu, mengangkat muka. Masing-masing berpandangan. Pengawal bergegas membuka pintu. Koldun terhuyung-hayang masuk ke dalam bilik itu. Muka Koldun merah. Matanya kelihatan liar. Hidung berair. Amat ketara Koldun baru minum air setan warna ungu di bilik dia meletakkan mezbah pujaannya.

Dimitri II merenung tajam wajah Koldun dengan perasaan tidak senang. Pantang dia diganggu apabila sedang bergelut dengan data pendapatan negara. "Apa lagi masalah besar jika dibandingkan dengan pendapatan negara yang semakin merosot ni?"

"Kau mabuk, Koldun," tingkah Nikolai pula.

Koldun cuba berdiri tegak, sambil menjawab separuh mengejek. "Hah-hah-hah! Kau tak tahu apa yang aku tahu."

Nikolai mencemik. "Aku sebenarnya dah bosan mendengar cerita voodoo kau tu. Satu pun tak ada hasil."

Koldun menjerit seperti tercekik, walau pun tiada siapa menyentuhnya. Kemudian dia berdehem beberapa kali. "Ini bukan sebarang voodoo. Ini magik. Kau tahu apa selain mencari bontot pondan!"

Nikolai bangun dari dari kerusinya. Terus pengawal tampil di antara keduanya, untuk menghalang pergaduhan yang mungkin tercetus. Erika yang melihat senario itu cuba menyembunyikan senyuman.

Nikolai masih berdiri. "Sekali lagi kau sebut pondan, aku bunuh kau!"

"Sudah! Berhenti bergaduh!" Dimitri II pula bersuara kuat. "Fokus kepada isu ini. Aku tak suka misteri!"

"Bagaimana saya nak selesaikan misteri ini, jika baru mula bercakap mengenainya, anak Tuan Yang Mulia sudah menyampuk dan mengejek?"

Dimitri II melambai tangan sebagai isyarat supaya Nikolai duduk di kerusi. Dengan wajah masam mencuka, Nikolai kembali duduk. 

Melihat Nikolai akur kepada arahannya, Dimitri II berpaling ke arah Koldun. "Baik. Kau cerita apa yang kau tahu."

"Batu kristal itu sudah ditemui!" ujar Koldun separuh menjerit.

Terus Dimitri II menegakkan tubuh tuanya. Dicelah-celah kedutan wajahnya jelas terpamer kehairanan. "Eh, itu kan khabar baik. Kenapa kau kalut pula?"

Koldun berjalan ke hulu ke hilir. Mulutnya mengeluarkan kata-kata yang seorang pun tidak faham. Semua mata terarah kepadanya. Beberapa minit berlalu, baru dia bersuara kuat. "Saya tak tahu macam mana nak beritahu Tuan-Tuan semua perkara ini."

"Sebab itu aku tak percaya voodoo kau!" Nikolai menyindir.

Langkah Koldun yang berjalan seperti mengukur lantai itu terhenti. Matanya mencerlung ke Nikolai yang masih mencemik.

"Jangan mula lagi!" Dimitri II membentak. Kepalanya ditoleh ke kiri dan ke kanan silih berganti, ke arah dua lelaki yang asyik berbalah itu.

"Bukan kita yang dapat. Tapi orang lain," jelas Koldun. Suaranya masih kuat.

Dimitri menghentak tapak tangannya ke meja. Nikolai kembali berdiri.

"Maksud kau? Batu itu dah terlepas ke tangan orang lain? Siapa mereka?" Nada suara Dimitri II seiring dengan tindakannya memukul meja yang tidak bersalah itu sebentar tadi.

"Tak tahu. Kristal itu ditemui di sebuah negara Timur Jauh."

"Negara Timur Jauh? Jepun?" soal Nikolai.

"Bukan . . . Kristal itu ditemui di negara yang disebut Golden Khersonese oleh manuskrip bahagian kedua yang kita curi itu."

Dimitri II dan Nikolai berpandangan. Mereka tahu di mana letaknya Golden Khersonese yang dimaksudkan itu. Mereka tahu siapa yang dicatatkan telah pergi ke sana dan tidak kembali sehingga hari ini.

"Betul! Ini masalah. Kita tiada hubungan diplomatik dengan negara itu," kata Dimitri.

Erika yang hanya menjadi tukang catat, mengangkat muka dan bersuara dengan nada yang tenang. "Eloklah mereka dah dapat kristal tu. Tentu mereka terpaksa datang ke sini untuk activate benda itu."

Enam pasang mata merenung Erika, yang tadi seorang pun tidak peduli tentang kehadiran perempuan itu. Senyuman terukir di wajah Dimitri II.

"Betul cakap kamu Erika. Kamu memang perempuan yang bijak. Tak rugi aku ambil kamu jadi setiausaha peribadi Nikolai."

*****

NAMPAK HANTU?

Belum sempat mereka menghadam maklumat tentang penemuan kristal itu, sekali lagi kedengaran bunyi kelam-kabut di lobi. Semua mata beralih ke arah pintu menuju ke lobi yang diketuk kuat dari luar. Dimitri memberi isyarat supaya pengawal membuka pintu.

"Perisik yang kami upah dari negara rakan kita, dapat tahu Andika Mursyid kini di Norway," ujar General Amikanov sebaik sahaja melangkah memasuki pintu. Terlupa dia untuk mengucapkan penghormatan kepada Dimitri II.

"Kita tengah kalut pasal kristal, dia sibuk dengan Andika Mursyid." Koldun bersungut.

Geram betul dia dengan sikap General Amikanov yang sering 'masuk ke dalam bingkai' yang cuba dikuasainya. Namun, setiap kali nama Andika Mursyid disebut, bulu roma di belakang tengkuknya meremang dan nadi-nadinya seperti dicubit-cubit oleh kuku-kuku halus.

Nikolai mencebik bibirnya tatkala melihat wajah Koldun yang pucat dengan tiba-tiba. "Kau kenapa? Nampak hantu?"

Koldun abaikan sindiran Nikolai. Kalau menjawab, sekali lagi mereka berdua akan bertelagah. Nikolai dan General Amikanov sama sahaja. Gemar memperlekeh ilmu sihirnya.

Bagaimanapun, dapatan perisik yang sampai kepada General Amikanov itu menarik perhatian Dimitri II. "Mana kau tahu dia di Norway?"

"Kami memang sentiasa memantau talian keluar dari negara-negara Kesatuan Eropah. Dan pada 28 Ogos lalu, ada perhubungan persidangan video dari situ ke sebuah negara di Timur Jauh," jelas General Amikanov dengan bangga, seolah-olah sudah mencapai kejayaan besar.

"Itu tak bermakna Andika yang bercakap." Nikolai membantah. Dia sebenarnya sakit hati kerana talian itu milik jabatannya. Hanya dia dan kakitangan dalaman yang memiliki akses untuk 'mendengar'. Tetapi General Amikanov telah mengintai dan mencuri dengar di sana.

General Amikanov mempertahankan dapatannya. "Dia bertutur dalam bahasa negara Timur Jauh itu. Kalau bukan dia siapa lagi?"

Nikolai julingkan mata ke atas. Pipi ditongkat dengan kedua tapak tangannya untuk menunjukkan gaya bosan. "Ramai saja rakyat dari negara Timur Jauh yang bekerja di Norway. Tak menghairankan langsung. Cukuplah dengan Koldun. Kau pun jangan buat cerita mengarut di sini."

"Apa yang kami dengar ini benar. Bila mereka bercakap dalam bahasa Indonesia, tentu Andika Mursyid." General Amikanov berhujah.

Nikolai membuka mulut untuk membantah. Tetapi Dimitri II mengangkat tangan, menahannya. "Apa butiran perbualan itu. Ada rakaman?"

General Amikanov geleng kepala. "Kami hanya sempat dengar sedikit sahaja, sebelum ia putus. Mereka ada hacker yang putuskan hubungan. Kami terpaksa memberhentikan operasi kerana bimbang sistem kita pula yang diceroboh mereka.

Nikolai mendengus. Otaknya bersungut. Inilah akibatnya apabila gerombolan kakistokrasi diberi kuasa. Semuanya bangang, tak tahu buat kerja.

Justeru Nikolai tidak melepaskan peluang untuk memperlekeh General Amikanov. "Andika Mursyid orang Malaysia. Bukan Indonesia. Bahasa Malaysia dengan Bahasa Indonesia pun kau tak tahu nak beza. Lain kali kalau nak buat kerja serius macam ini, tanya pakar. Jangan memandai-mandai."

General Amikanov terdiam. Dia hanya berpandukan kepada transkrip terjemahan yang disediakan oleh sistem yang tersedia di jabatannya. Malu mencengkam seluruh anggotanya. Malu kerana dimalukan Nikolai. Perasaan bencinya kepada Nikolai naik berlipat ganda.

"Ehem!"

Semua mata beralih kepada insan yang berdehem.

Mata Erika terkedip-kedip. Terasa sedikit cuak. "Maaf mencelah. Tapi, mungkinkah mereka sengaja bertutur dalam bahasa Indonesia untuk mengelirukan Tuan-Tuan semua? Lagipun bahasa Malaysia dan Indonesia tak jauh bezanya. Mereka saling memahami antara satu sama lain. Orang Malaysia bertutur dalam bahasa Malaysia. Orang Indonesia dalam bahasa Indonesia. Tetapi mereka saling boleh berkomunikasi dengan baik."

"Betul betul," kata General Amikanov sambil mengeluarkan sehelai saputangan, lalu mengelap peluhnya.

"Masuk akal juga pandangan kamu, Erika," ujar Dimitri II.

*****

PUTIK

Tiba-tiba pintu diserbu dari luar. Semua yang di dalam bilik itu terkejut. Siapa yang berani menyerbu bilik pejabat utama Dimitri II?

Hanya ada seorang yang boleh berbuat demikian.

Lucas Andersen.

Dia bukan pegawai tentera. Bukan polis. Bukan perisik.

Dia hanya seorang Ketua Tukang Kebun.

Dimitri II terus bangun mendapatkan Lucas yang sebaya usianya.

"Duduk Lucas," sapanya lembut.

Lucas sangat dihormati oleh Dimitri II kerana kebolehannya dalam bidang botani.

Dialah yang diamanahkan menjaga bunga Bakawali Pelangi seperti menjaga anaknya sendiri. Apapun, Lucas tidak punya keturunan kerana hidupnya didedikasi kepada bunga yang jarang-jarang ditemui sehingga dikatakan satu fantasi itu.

Bunga itu digelar Bakawali Pelangi kerana rupa daunnya yang berwarna-warni seperti pelangi.

Dimitri beri isyarat kepada pengawal supaya hidang minuman keras simpanannya yang terbaik untuk Lucas.

"Terima kasih Tuan Yang Mulia," ujar Lucas sambil menyambut gelas air setan itu. Dihirupnya perlahan-lahan. Bukan selalu dia dapat minum arak mahal.

Dimitri II membiarkan Lucas menikmati 'upah' awalannya sebelum bertanya, walaupun hatinya sangat teruja. "Apa hal kamu masuk ke sini secara kelam-kabut Lucas?"

"Pokok bunga Bakawali Pelangi Tuan Yang Mulia . . ."

Semakin hairan Dimitri II. "Kenapa dengan pokok itu?

"Dia sudah mengeluarkan putik bunga."

Hah? Semua yang hadir terkejut.

"Ya. Dia sudah ada putik. Dua minggu dari sekarang, dia akan berbunga," ujar Lucas.

"Tapi sekarang dah mula musim luruh? Bukankah pokok hanya berbunga pada musim bunga? soal Nikolai. Walaupun dia bukan pakar pokok bunga, dia tahu bila waktunya tumbuh-tumbuhan itu berbunga. Lebih-lebih lagi pokok itu sudah bertahun-tahun ditanam, tetapi tidak pernah berbunga.

"Itulah yang menghairankan saya Tuan Yang Mulia," tegas Lucas. "Mungkin sebab kita tanam dalam greenhouse. Pokok itu tak terkesan dengan cuaca di luar."

"Kalau begitu kau jangan usik suhu dalam greenhouse itu," kata Nikolai.

"Saya dah arah jurutera dan semua tukang kebun jangan usik, Tuan Nikolai."

"Kalau pokok Bakawali Pelangi itu berbunga, memang sudah sampai masanya." Koldun mencelah.

Sekali lagi Nikolai mencemik. "Kau tak sudah-sudah dengan kepercayaan karut kau."

"Saya rujuk pada manuskrip itu . . ." balas Koldun, "dan nampaknya ia benar."

"Sudah! Jangan mula lagi," bentak Dimitri II.

"Saya hanya akan percaya jika kristal itu benar-benar ada manfaat kepada kita," tegas Nikolai sambil mencebikkan bibirnya.

*****

*Bakawali Pelangi. Jangan cari. Sis pun belum jumpa.*

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro