BAB 14: BATU MISTERI
Bab ini sukar untuk Akak tulis. Ini kerana ia berdasarkan pengalaman sebenar seseorang ketika berada di Raudhah. Pengalamannya sangat aneh. Ia membuktikan bahawa yang mustahil bagi kita, tidak mustahil bagi Allah SWT.
*****
TANGGUH
"Lief kata bot yang nak bawa kita ke seberang tu rosak. Jadi kita kena tangguh balik ke Dağdaki Göl," ujar Tok Andika sambil menutup suis peralatan persidangan videonya.
Begitulah cara anak saudara Sonja, Lief, yang mengendali alat komunikasi nelayan menghubunginya.
Marius, anak teruna Lief yang mahu mengambil beg kedua warga tua itu berhenti di pintu. Baru saja dia tiba untuk membawa datuk dan nenek saudara kesayangannnya itu ke jeti. Dia keluarkan telefon bimbitnya untuk bercakap dengan bapanya.
Sonja mengangkat mukanya. "Malam ini tak jadi balik. Lalu, bila lagi saya nak tengok pokok tin saya?"
Selain delima, mereka juga menanam tin, untuk makanan sendiri.
Sonja suka mengumpul pelbagai varieti pokok tin, yang sesuai untuk negara yang memiliki empat perubahan cuaca.
"Entahlah. Kita tunggu saja berita dari Lief," jawab Tok Andika. Matanya melirik ke arah Marius yang sedang bercakap dengan bapanya.
"Maknanya saya boleh sembang lagi dengan cucu saya malam ini," kata Sonja. Wajahnya yang murung tadi kembali ceria.
"Awak selalu bercakap dengan Wadya, ke?"
Sonya mengangguk. Telefon bimbit dikeluarkan.
"Kelmarin dia hantar gambar dengan kawannya. Misya, namanya," kata Sonja sambil menayangkan gambar Wadya.
Tok Andika mengambil telefon bimbit Sonya untuk melihat wajah cucunya dengan lebih jelas. Terdapat beberapa keping gambar.
Sonja senyum sambil melirik wajah cucu yang dirindunya . "Syukurlah cucu kita itu dah pandai berkawan dengan orang. Sudah jadi normal."
"Alhamdulillah," ucap Tok Andika.
Dia tahu isterinya terkilan apabila mendengar khabar daripada Pak Umar, Wadya seorang OKU kerana masalah ASD. Sonja menyalahkan Puteri Asmara kerana tidak menjaga anaknya dengan baik selepas kematian Burhan, akibat kemurungan. Baginya itulah punca Wadya dikatakan mengalami kecacatan perkembangan psikologinya sehingga menjejaskan komunikasi sosialnya.
Walaupun Tok Andika pasrah dengan takdir yang menimpa keluarganya, dia tidak pernah percaya cucu tunggalnya seorang OKU yang menderita ASD.
"Sudah. Jangan awak nak terus marahkan Asmara," pujuk Tok Andika.
"Saya tak marah dia lagi. Malah saya menyesal kerana kemarahan saya itu dia merajuk dan pulang ke Malaysia." Air jernih yang berlenang ditubir mata dikesat.
"Dia pulang bukan merajuk dengan awak. Dia pulang kerana merasa keselamatan dirinya dan anak dia tidak terjamin di Dağdaki Göl."
"Sama saja abang. Puncanya saya. Kalau dia tak merajuk kenapa dia tak hubungi kita setelah balik ke Malaysia?"
Sudah lebih dua dekad Sonja menanggung sendiri kekesalan itu. Entah kenapa hari ini dia hamburkan apa di dalam hati tuanya. Dia hanya ada seorang anak, seorang menantu dan seorang cucu. Dia sendiri hampir mengalami kemurungan apabila Puteri Asmara membawa Wadya pulang ke Malaysia. Dia minta Sergey mengikut sama. Tetapi Sergey pun turut menghilangkan diri.
"Sonja. Jangan dikenang lagi hal lama. Pokoknya kita dah jumpa balik cucu kita. Nanti Wadi bawa dia balik ke sini."
Sonja pandang wajah Tok Andika yang kelihatan penuh yakin. "Awak percaya?"
"Dia warga Dağdaki Göl. Darahnya tumpah di situ," tegas Tok Andika.
Sonja merasa lega dengan jaminan suaminya. Matanya kembali ke arah gambar Wadya di telefon bimbitnya. "Cantik kan cucu kita? Matanya macam abang. Tetapi muka dia, hidung dia, mulut dia semua macam arwah Burhan."
"Maknanya dia macam awaklah." Tok Andika bersuara lembut. Lebih kepada mahu memujuk hati isteri yang rawan. Matanya terus memerhati gambar Wadya, yang tersenyum sambil menayangkan jarinya.
"Saya tak sabar nak jumpa dia balik," sambung Sonja.
Hairan dia apabila melihat kening Tok Andika tiba-tiba berkerut.
Tok Andika masih meneliti imej Wadya di dalam skrin. "Dia pakai cincin apa tu?"
"Katanya dia beli masa shopping dengan Misya. Itu yang dia tunjuk pada saya," jawab Sonja.
Tok Andika membesarkan imej cincin itu. Hatinya tiba-tiba berdebar-debar dengan kuat.
*****
PROFESOR ADAWIYAH
Tok Andika tidak sabar menunggu subuh tiba. Dia bangun sebelum subuh, solat tahajud dan terus menghubungi Wadi. Dia sanggup mengambil risiko menggunakan jalinan persidangan video untuk berhubung dengan Wadi. Dia panggil Marius untuk memantau jika ada percubaan orang untuk mengganggu atau mengintip taliannya. Marius yang memiliki ijazah sains komputer akur tanpa soal jawab. Hubungan dia dengan Wadi sangat baik kerana keduanya sebaya dan menjadi rakan sepermainan semasa kecil.
Rumah yang ibu bapa Marius tinggal itu sebenarnya milik Sonja. Tetapi ia diamanahkan kepada Lief dan keluarganya yang juga telah memeluk agama Islam bersama Sonja.
Lief seperti Sergey adalah pelajar silat Tok Andika. Malah, hampir semua yang belajar silat dengan Tok Andika memeluk agama Islam, kerana dalam silat itu diselit banyak doa-doa untuk kaum Muslim.
Wadi yang diberi cuti oleh firma konsultannya, setelah masuk hutan memang mahu menghubungi Tok Andika. Lalu dia pergi ke universiti tempat Wadya belajar. Di sana Wadi duduk di bawah pokok dan mula berhubung dengan Tok Andika. Wadi fikir, lokasi universiti itu lebih selamat bagi mereka berdua berkomunikasi.
"Wah! Semakin handsome cucu atok," kata Tok Andika sebaik sahaja selesai mereka berucap salam.
Wadi senyum sumbing mendengar pujian datuk angkatnya. Memang itulah kata-kata datuk angkatnya sepanjang ingatannya. Kalau datuk angkat ini kata dia huduh, tentu dia terkejut. Dia tahu Tok Andika dan Mormor Sonja memujinya kerana sayang dia macam cucu kandung.
"Wadi ada apa-apa nak cakap dengan tok?"
"Ada tok. Pasal batu ini." Wadi tunjukkan batu yang ditemuinya di dalam hutan.
Melihat batu itu seluruh tubuh tua Tok Andika terasa bergetar. Malam tadi dia melihat cincin di jari Wadya. Pagi ini Wadi tunjuk kristal yang ditemui di dalam hutan.
Adakah mimpi aku sedang menjadi kenyataan? Hatinya menyoal.
Tok Andika sedar, pembatalan perjalanannya untuk pulang ke Dağdaki Göl adalah perancangan Allah yang lebih tahu apa yang baik untuk makhlukNya.
"Cuba Wadi cerita macam mana boleh jumpa batu itu?"
Wadi bercerita tentang pertembungannya dengan seorang lelaki zaman dahulu di dalam hutan dan tasik kecil yang tiada di dalam peta.
"Logik ke Wadi dah masuk ke dalam time tunnel?" soal Wadi.
Tok Andika termenung sejenak. Sesuatu yang nampak tidak logik, tetapi dengan kuasa Allah semua boleh terjadi.
Tok Andika teringat cerita seorang perempuan ketika mahu melawat rumah Rasulullah (Raudhah) di Masjid Nabawi, Madinah.
Perempuan itu seorang Profesor dari Malaysia, Dr Adawiyah, kawan Sonja semasa di Malaysia. Takdir menemukan mereka semula ketika sama-sama menunaikan haji di Makkah.
Sonja ketika itu duduk menunggu waktu solat Asar di Masjidil Haram, berhadapan dengan Kaabah. Memang ia tempat yang diburu oleh jemaah haji. Sonja nampak seorang perempuan Turki bertelagah dengan tiga orang perempuan Melayu yang enggan berganjak untuk memberi ruang kepadanya bersolat. Sedangkan perempuan Melayu itu tubuh mereka kecil sahaja dan boleh menggunakan dua sejadah, tidak perlu tiga.
Ketika Bilal sudah melaungkan azan, ketiga perempuan tadi masih berdegil tidak mahu berganjak. Lalu mereka bertengkar di situ. Seperti ayam dengan itik.
Tiba-tiba bangun seorang perempuan Melayu yang duduk tiga baris di belakang perempuan yang bertelangah itu. Dia mengajak perempuan Turki yang bertubuh agak gempal itu solat di sebelahnya. Tempat dia solat agak sempit. Tetapi atas kehendak Allah ia menjadi lapang.
Setelah selesai solat, perempuan Turki itu memeluk perempuan Melayu yang memberi ruang kepadanya, dengan gembira sebelum berlalu. Ketika perempuan Melayu itu berpaling untuk mengambil Quran, serta-merta Sonja mengenalinya. Dia kawan baiknya sewaktu membuat kajian di Malaysia. Adawiyah, atau nama panggilannya Ada.
Mereka bertemu, berpelukan dan bertangis-tangisan.
"Apa kaitannya Profesor Adawiyah dengan penemuan batu ini tok?" soal Wadi yang tidak sabar mendengar cerita pelik orang tua yang sangat dihormatinya itu.
Wadi ketika itu turut sama menunaikan haji. Dia masih muda. Baru selesai mengambil G.C.E (O level), yang setaraf dengan Sijil Pelajaran Malaysia. Dia dibawa bersama demi menjaga kesihatan datuk dan nenek angkatnya ketika di tanah suci.
"Dengar dulu," ujar Tok Andika.
"Ingat tak dua tahun sudah Mormor Sonja pergi ke Denmark untuk turut serta dalam persidangan tentang kemanusiaan?"
Wadi ingat, kerana dia pun diseret sama untuk menjaga nenek angkatnya. Tok Andika tidak turut bersama kerana masalah keselamatan dirinya sebagai seorang yang di dalam senarai buruan Dimitri II.
"Dia bertemu lagi dengan Ada," sambung Tok Andika.
Wadi semakin bingung. Tok Andika ini apa sebenarnya yang dia nak cakap?
"Dia beritahu nenek kamu, dia sangat bahagia kerana berjaya solat di Mimbar Rasulullah." Tok Andika meneruskan ceritanya.
"Itu mustahil tok. Kawasan Mimbar dan Mihrab Rasulullah dihadang, tidak boleh dimasuki jemaah haji perempuan. Jemaah haji lelaki berada di situ sepenuh masa, 24 jam." Wadi menyanggah cerita Tok Andika.
"Katanya, dua kali dia cuba solat di Raudhah, tetapi tidak dapat lakukan dengan baik kerana ditolak orang. Akhirnya dia menangis dan solat hajat, mengadu kepada Allah."
"Maksud atok, ceritanya benar?"
"Atok tak ada sebab nak anggap dia berbohong," jawab Tok Andika. "Kata Mormor Sonja, Ada memang seorang yang istiqamah dalam perjuangannya."
Wadi tahu, Allah akan makbulkan doa seseorang yang ikhlas.
Tetapi bagaimana jika perkara itu mustahil?
"Maksud atok, jika Wadi tercampak masuk time tunnel ke satu zaman dahulu pun boleh terjadi, jika dengan izin Allah?"
"Kalau Profesor Adawiyah boleh tembus dinding ke kawasan solat lelaki, dan tiada kelibat seorang lelaki pun di situ, kenapa tidak? Kuasa Allah itu kita tidak dapat jangka dengan logik akal kita," jawab Tok Andika. "Kun fayakun (Jadilah, maka jadilah). Inilah kekuatan dan iradat Allah yang kaum Muslim wajib percaya."
Wadi terdiam. Dia cuba menghadam cerita pelik Tok Andika.
"Tapi Wadi tak minta batu, atok," ujarnya.
"Kamu minta Allah lepaskan negara kita daripada cengkaman penjahat, kan?"
Wadi mengangguk. Memang itulah doanya di hadapan Kaabah dan ketika berada di Raudhah. Dia tidak minta apa-apa untuk dirinya.
Tetapi keberadaan batu kristal di tangannya buat dia keliru.
"Batu itu mungkin hanya alat untuk mencapai hasrat kamu. Macam drone yang kamu cipta untuk menyerang tentera Dimitri II. "
Wadi mengangguk.
"Tentu kamu dah tengok cincin Wadya, kan?"
"Ya tok. Kata lelaki itu batu ini ada pasangannya. Dia dekat dengan Wadi."
"Apa yang terjadi kepada Wadya dan kamu adalah anugerah Allah," jawab Tok Andika. "Jadi, kamu kena usaha macam mana nak gunakan semua anugerah Allah ini untuk dapat balik negara kita."
"Bila nak balik ke sini dengan Wadya?" Tiba-tiba Mormor Sonja mencelah.
Sebenarnya dia masuk ke bilik itu kerana hendak mengajak Tok Andika solat subuh yang sudah masuk.
"Doakan Wadi, mormor," kata Wadi sebelum mereka mengakhiri perbualan.
*****
*Atas, imej Wadi. Sorry. Sangat sukar melukis wajah lelaki dari kawasan Eropah Timur. Bukan lelaki biasa, tetapi lelaki yang hidupnya keras. Macam mana? Ok tak. Penat Akak 'lukis' tau.*
*Bawah . . . Saja nak dengar lagu Maher Zain*
https://youtu.be/Vqfy4ScRXFQ
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro