Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

BAB 12: GELIGA SAKTI

HUTAN

Geram Marwan melihat Wadi asyik senyum seorang diri sambil bermain telefon bimbit. Siapalah yang membuat Wadi macam orang gila ni?

Akhirnya keinginan untuk mengetahui, tidak dapat ditahan lagi. "Eh, engkau layan apa asyik tersenyum dari tadi?"

Wadi abaikan soalan Marwan.

"Hoi! Aku tanya ni!"

Wadi angkat muka. Wajah Si Kepoh direnung tajam. Marwan jurutera dari syarikat Alternative Energy Resources (AER) di mana Wadi bertindak sebagai konsultan. Hanya Marwan itulah rakan sejawatannya di syarikat itu. Wadi tunjukkan gambar Wadya.

Marwan membelek imej dalam telefon bimbit Wadi sambil melebarkan senyuman. "Oh! Girlfriend engkau? Cepatnya kau dapat girlfriend, Wadi. Baru kerja berapa minggu je. Aku dah enam tahun kerja di syarikat ni, seorang pun tak ada perempuan yang nakkan aku."

"Aku kenal dia lama. Sejak dia masih bayi lagi," jawab Wadi. Mata masih terarah ke telefon bimbitnya.

"Macam mana kau boleh kenal budak Melayu sejak dia bayi lagi? Dia duduk di Norway ke?" Memang kepoh sungguh Marwan ini.

Dalam rekod syarikat, Wadi dari Norway. Wadi mahu ia kekal begitu.

"Dia lahir sama kampung dengan aku. Tapi ibunya bawa dia balik masa umur tiga tahun."

"Oohh! . . . Maksud kau, di Malaysia kau jumpa dia balik?"

Wadi mengangguk.

"Cantik girlfriend kau. Patutlah kau asyik senyum saja."

Wadi senyum lagi. Kalau dia harap Marwan selesai bertanya, tentu dia kecewa.

"Aku nak tanya. Macam mana kau boleh cakap Melayu langsung tak pelat Mat Salleh?"

Mujur soalan mudah. 

"Itu bahasa yang mula-mula aku sebut, bila aku tahu bercakap, selain Assalamualaikum."

"Siapa ajar?"

"Keluarga angkat aku."

"Keluarga engkau?"

"Meninggal dalam perang."

"Sorry . . . Sorry."

"It's okay. Aku tak ingat pun."

Kedua mereka diam seketika. Wadi mula memadam unggun api dekat khemahnya. Kini wajahnya hanya kelihatan berbalam-balam disimbah cahaya bulan yang separuh terlindung di sebalik awan. 

Marwan tidak dapat menangkap wajah Wadi yang tersembunyi itu. Tetapi dia masih mahu terus berbicara. "Kau beruntung sebab ada orang jaga kau dengan elok. Tak macam mangsa perang yang lain. Terpaksa jadi pelarian." 

"Haah . . . Atok angkat aku Melayu," balas Wadi.

"Jadi dia ajar kau bahasa Melayu?"

"Tak. Yang ajar aku nenek angkat aku yang Norwegian tu."

"Makin serabut jawapan kau."

"Engkau nak tahu sangat ke?"

"Yelah . . . Kalau tak, aku tak tanya. Mana boleh cerita sekerat-sekerat." 

"Sebenarnya nenek angkat aku tu dulu profesor universiti. Bidang dia Pengajian Asia Tenggara. Dia pernah datang ke sini buat kajian. Di sini dia berkenalan dengan datuk dan nenek girlfriend aku. Atas cadangan nenek angkat aku tu, mummy girlfriend aku dihantar belajar di Rusia dan kemudian berkahwin dengan anaknya . . ."

"Jadi, kalau kau kahwin dengan girlfriend kau ni, maknanya macam merapatkan semula dua keluarga yang terpisah. Kira macam jejak kasih le ni." Marwan memotong cerita Wadi.

"Sudahlah. Banyak sangat kau tanya. Macam KGB pula. Aku nak tidur. Esok kita jalan jauh." 

Wadi bangun meninggalkan Marwan yang masih tak puas hati. Bagiya cerita Wadi ada banyak lompong yang dipenuhi rahsia. Biasanya Marwan tidak kepoh. Tetapi, Wadi dilihatnya punya aura yang sangat unik, walaupun penampilannya santai sahaja. Bila berhujah, cepat sangat bos besar setuju. Dia pula, kekadang sampai berbuih mulutnya, bosnya buat-buat tak dengar. Itu yang mendorongnya ingin mencungkil rahsia hidup Wadi.

Dia seronok bekerja dengan Wadi. Sekarang peralatan jabatannya lengkap kerana Wadi yang memohon. Dia senyum senget.

Wadi pula terasa dia bercakap terlalu banyak pada malam itu. Sampai mengaku Wadya sebagai girlfriendnya. 

Tapi betulkah? Atau hanya harapan aku?

Alangkah mudahnya jika negaraku aman damai, fikir Wadi.

*****

BATU MERAH

Keesokan harinya.

Semakin lama semakin jauh Wadi dan Marwan berjalan menelusuri tebing sungai yang semakin mengecil. Hutan pula semakin menebal. Pada setiap kawasan yang dilihatnya ada perubahan arus, Wadi ambil sampel airnya. Gambar-gambar di kawasan berkenaan juga di ambil. Tak kira sama-ada batu batan atau tumbuh-tumbuhan. Semuanya mempengaruhi kualiti air.

"Dah jauh kita tinggalkan base," kata Marwan, sambil menyemak alat GPS Tracker yang dibawanya.

"Kejap lagi kita sampai ke mata air," jawab Wadi, sambil kakinya terus melangkah merentasi batu-batu di atas tompokan air.

"Dah banyak anak-anak sungai kecil yang kita lalu." Marwan membantah.

Dia sebenarnya sudah letih, dan sedikit cuak. Dia hairan entah dari mana datangnya kekuatan tenaga Wadi. Tahulah tubuh Wadi lebih tinggi dan besar berbanding dengan dia. Tetapi keletihan itu bukankah sama sahaja?

Akhirnya mereka tiba di tepian sebuah takungan air. Ia terlalu lebar untuk dipanggil kolam. Tetapi terlalu kecil untuk dikata tasik. Airnya yang jernih dan tidak dalam itu menyebabkan dasarnya kelihatan dengan jelas. Terdapat ikan-ikan kecil sedang berenang-renang secara berkumpulan. Dan buat kali ketiga, Wadi nampak benda kecil memancar-mancar cahayanya di dalam air.

Kali ini Wadi mengambilnya dari dalam air, kerana benda itu terletak di tepian sahaja. Ia sebutir batu kecil berwarna merah menyala, sebesar duit syiling 50 sen.

Baru saja Wadi mahu membelek batu itu, tiba-tiba lengannya dihentak sesuatu. Terkejut dan terasa sakit, batu itu terlepas dari tangannya. Ia terpelanting entah ke mana. Kedengaran suara garau tawa seorang lelaki.

Wadi mendongak ke arah suara itu. Seorang lelaki berpakaian pelik seperti pahlawan Melayu zaman silam yang pernah dilihat Wadi dalam gambar, sedang berdiri di atas batu yang agak tinggi. Batu merah itu di tangannya. Dilambungnya sambil bertukar-tukar tangan.

"Hei orang muda! Berani kau mengambil barang aku tanpa izin?"

Wadi terfikir cerita Tok Andika. Dalam hutan ada pelbagai makhluk. Mungkin ini salah satu daripadanya. Tetapi dia seperti manusia? Bunian? Otak Wadi bersoal jawab.

"Batu itu dalam air. Tak ada siapa yang punya. Ia harta alam," balas Wadi.

Lelaki itu ketawa. "Bijak kau berhujah!"

Wadi baca beberapa ayat yang Tok Andika ajar jika bertembung dengan makhluk asing di dalam hutan. Seperti tiada kesan kesakita kepada lelaki pelik itu.

"Jadi tuan hamba mahu memiliki geliga ini? Ambillah dari tanganku." Lelaki itu mencabar Wadi sambil melompat turun dari atas batu itu.

Serta merta Wadi melompat sambil menghayun kaki kirinya ke arah lelaki itu. Dia mengelak dan cuba menendang Wadi pula. Kali ini Wadi mengelak.

Lelaki itu ketawa. "Di mana kau belajar jurus silat ini?"

Wadi tidak menjawab. Ajaran Tok Andika, jangan terlalai dengan ajakan lawan untuk berbicara semasa bertarung. Itu cuma helah dia untuk mengalih tumpuan. Terus Wadi gunakan kaki kanannya pula untuk menendang tangan lelaki itu.

Kali ini lelaki itu tidak sempat mengelak. Batu di tangan terpelanting tinggi. Kedua mereka melompat untuk menangkapnya. Tetapi Wadi terlebih dahulu mencapai batu itu. Lelaki itu tidak cuba merampasnya. Sebaliknya dia melompat naik ke atas batu tinggi yang terletak di seberang 'tasik' kecil itu. Pada pandangan Wadi, lelaki itu sungguh hebat. Dia seolah-olah terbang di udara, bukan melompat.

"Nampaknya orang muda begitu bersungguh-sungguh mahu memiliki geliga itu. Baiklah, hamba izinkan." Suara antagonis lelaki itu sudah berubah menjadi lebih mesra. "Tetapi siapa tuan hamba? Adakah tuan hamba orang Feringghi?"

"Terima kasih," jawab Wadi sambil tunduk hormat. "Saya bukan orang Feringghi. Saya Bangsa Dağdaki Göl."

"Hamba tidak pernah dengar bangsa apa itu?"

"Satu bangsa dari negara atas angin."

Lelaki itu mengangguk-angguk.

"Tuan hamba boleh simpan geliga itu. Tapi untuk mengeluarkan kuasa saktinya, ia perlu pasangannya," jelas lelaki pelik itu. "Jika tidak ia hanya batu biasa."

Wadi hairan dengan penjelasan lelaki itu. Sakti? Mana ada sakti lagi di zaman milenium ini?

"Nama saya Wadi. Boleh tuan ceritakan apa maksud pasangan itu?"

Lelaki itu tiba-tiba senyum. 

"Ah! Wadi! Damai betul nama itu."

Wadi abaikan 'pujian' lelaki pelik itu. Dia menunggu penjelasan.

"Hamba tidak dapat memberitahu tuan hamba. Tetapi pada firasat hamba pasangan itu  dekat dengan tuan hamba."

Selepas berkata-kata demikian, lelaki itu ghaib. Suasana yang tadi kedengaran bunyi kicauan burung kini menjadi sunyi sepi. Seketika kemudian, kedengaran suara Marwan memanggilnya.

"Aku di sini," kata Wadi, keluar dari celah-celah batu.

"Isy! Kau ke mana tadi?" soal Marwan.

"Aku cari sampel air yang paling jernih," jawab Wadi. Dia fikir lebih baik dia diamkan sahaja pertemuannya dengan lelaki zaman kuno itu.

"Kau ni kena hati-hati. Dalam hutan ini ada macam-macam. Silap-silap kau tak balik." Marwan mengingatkan.

Wadi melompat dari celah batu-batu itu ke tebing tasik. Dia sendiri hairan bagaimana dia boleh berada di celah-celah batu yang licin itu.

"Mana sampel air tu?" Marwan bertanya setelah melihat botol yang dibawa Wadi masih kosong.

"Oh! .Aku tak sempat ambil, kau dah panggil," jawab Wadi. Itu sahaja yang sempat difikirnya sebagai alasan.

"Hei! Seram aku," balas Marwan. "Jom balik."

Ketika Marwan menoleh untuk meninggalkan kawasan itu, Wadi keluarkan batu yang disebut geliga oleh lelaki berpakaian pahlawan zaman dahulu itu. Ia hanya seketul batu berwarna merah. Tidaklah berkilau seperti tadi. Batu itu dikembalikan ke dalam koceknya.

Maknanya aku tak berhalusinasi, fikirnya. 

Sekembalinya di khemah, dia dan Marwan menyemak semula perjalanan mereka menelusuri anak sungai tadi. Tetapi mereka dapati tiada catatan mengenai tasik kecil itu di dalam peta. 

"Tasik kecil yang kita lihat tadi tak wujud," kata Marwan.

"Mungkin sebab ia kecil. Macam kolam sahaja sebab itu tidak tercatat dalam peta dari satelit," balas Wadi. 

Dia yakin tasik di hujung sungai itu wujud kerana batu yang diperolehi masih ada padanya.

"Kalau ikutkan peta ini sungai tadi berakhir di sini," tegas Marwan, sambil jarinya menunjuk kepada satu imej dalam peta itu. "Sedangkan kita berada di sini, mengikut GPS Tracker kita."

Wadi segera menyemak kameranya. Semua imej yang diambil dalam perjalanan ke tasik kecil yang disangka Wadi punca mata air sungai itu ada. Tetapi gambar di sekitar tasik kecil itu yang kelihatan hanya seperti awan putih sahaja.

*****

*Tasik misteri*




Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro