Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

BAB 10: BIG BROTHER

 KASUT

"Cantik kasut. Mana pergi sneaker kau?" Misya kalau tak komen, memang tidak sah.

"Cantik ke?" soal Wadya sambil berjalan gaya model di runway dalam bilik khas untuk pelajar PhD di fakulti itu. Hanya mereka berdua di situ. Sambil berjalan dia berswafoto.

"Engkau memang dah boleh jadi model," puji Misya. "Kalau kau jadi model, tentu dapat banyak duit."

Wadya senyum. Dia tidaklah tinggi seperti model Minah Salleh di luar negara. Tetapi dia pernah mendapat tawaran untuk jadi model tudung. Tawaran itu ditolaknya, walaupun bayarannya agak lumayan. Semasa sekolah rendah, ketinggiannya itu menjadi masalah. Ketika tahun satu dia sudah mencapai ketinggian seperti budak tahun empat. Lalu dia ditempatkan di belakang. Akhirnya dia mengamuk mencampakkan semua buku-buku latihannya. Peristiwa itu berlaku beberapa kali. Akibatnya dia didiagnosis sebagai pesakit ASD. Punca sebenarnya dia marah kerana ditempatkan di belakang oleh gurunya, dan dia tidak dapat mendengar dengan baik.

Mujur ketinggiannya berhenti pada 169 sm sahaja. Kata ibunya Daddy Burhan tingginya 183 sm. Daddy Burhan kacukan Melayu-Norwegian. Dia seorang ahli sukan silat yang sangat berpotensi.

Kulit Wadya cerah dan anak matanya sangat hitam seperti batu kristal obsidian, yang penuh misteri. Dibingkai oleh bulu mata yang panjang hitam melengkung, matanya berlawanan dengan warna kulitnya. Itu pun menjadi ejekan kanak-kanak yang memberi pelbagai gelaran kepadanya.

"Sebab itu Wadya tinggi," kata ibunya semasa dia kecil, menjelaskan kenapa dia tinggi dan diejek oleh kawan-kawannya yang pendek sebagai hantu galah.

Sekarang siapa pun tiada yang berani mengejeknya. Mahu kena terajang?

"Tapi apa pasal pakai kasut tumit tinggi ke kampus?" soalan Misya menerobos ke dalam otaknya.

"Eh, ada larangan ke?"

"Tak ada lah."

"Habis tu? Apa masalah?"

"Aku terpaksa melangut bila nak bercakap dengan kau. Dah le aku pendek. Semakin pendek aku bila kau pakai kasut tumit tinggi."

"Hahaha . . . Dah aku keturunan Viking, jadi aku tinggilah sikit . . . Ini pun aku syukur tak sampai 180 sm. Kalau jadi macam itu, mana aku nak cari boyfriend di Malaysia ni?"

"Aku tahu, kau pakai kasut tumit tinggi ini sebab Abang Wadi, kan?"

Wadya mengelak daripada menjawab soalan Misya. "Dahlah. Pergi ke cubicle kau. Aku nak semak buku texts online."

Misya yang membebel diabaikan. Wadya duduk di kerusinya. Komputer desktop dipasang. Pantas dia buka aplikasi email. Lebih 10 buah email terbaharu di dalam in-box.

Ada email Profesor Subhan dan sebuah email memakai nama 'Sonja'.

Wadya tahu email itu datang daripada neneknya yang Wadi perkenalkan sebagai Mormor Sonja. Inilah pertama kali neneknya menghantar email.

Assalamualaikum sayang.

Dah jumpa Abang Wadi? Tentu sudah kan?

Macam mana? Handsome tak Abang Wadi?

Mormor dan Tok Andika sangat rindu pada Wadya. Mormor harap Wadya boleh datang melawat kami di Norway.

Wadya masih ada saudara mara sebelah mormor di sini.

Email disertakan dengan pandangan tasik-tasik di kawasan Scandinavia. Sungguh indah.

Wadi pernah memberitahunya Tok Andika dan Mormor Sonja tidak dapat datang ke Malaysia. Jika mereka keluar dari kawasan selamat di Scandinavia itu, mereka tidak akan dapat kembali ke sana. Orang-orang Dimitri II akan menunggu mereka di lapangan terbang. Wadi pula bebas keluar masuk kerana Diktator Dimitri II tidak mengenalinya. Penyamarannya sebagai Viktor yang dilihat ganas, berbeza dengan watak Wadi yang menampilkan diri sebagai seorang profesional.

Terus Wadya jawab email Mormor Sonja, dan mengajaknya bersembang. Daripada sembang hal keluarga, sehingga pergi kepada cita-cita. Mormor Sonja bangga kerana cucunya mahu menjadi profesor sepertinya.

Gambar-gambar swafoto yang baru diambilnya tadi dimuat naik dan dihantar kepada neneknya.

*****

IKUT ABANG WADI

Beberapa hari berlalu.

"Tak boleh. Dya tak boleh ikut Wadi ke Norway." Tegas suara Puteri Asmara.

Wadya tahu ibunya akan menentang. Seperti nasihat Wadi, Wadya kena berhujah dengan mantap untuk meyakinkan ibunya. Tetapi itulah kelemahan Wadya. Kerana dia anak tunggal dan manja, selalunya dia tidak perlu berhujah. Segala kehendaknya akan dituruti oleh ibunya. Jika ibunya menghalang kehendaknya, Wadya akan mencari Daddy Sergey. Lalu berbalah mereka berdua. Jika isunya Wadya, pasti Daddy Sergey menang.

"Mormor dah usahakan Dya untuk buat penyelidikan di universiti tempat dia kerja dulu." Wadya berhujah.

"Bukan Dya dah siap literature review ke? Kenapa nak pergi ke sana?" Puteri Asmara masih berkeras.

Dia hairan kenapa anaknya mahu mengikut Wadi yang baru sahaja dikenali. Betullah, Wadi anak angkatnya. Tetapi sudah lebih 20 tahun dia tidak bertemu Wadi. Langsung dia tidak tahu bagaimana keperibadian Wadi, walaupun nampaknya solat seperti seorang Muslim. Wadi juga bertutur, duduk dan makan seperti orang Melayu. Mungkin itu ajaran bapa mentuanya Tok Andika. Ibu mertuanya Sonja, bidangnya 'Sosio-Budaya Asia Tenggara'. Dia lebih mahir mengenai hal ehwal negara di Asia Tenggara berbanding dengan pengetahuan penduduknya sendiri. Tetapi itu semua tidak boleh dijadikan kayu ukur bahawa Wadya akan selamat di Norway.

"Kaedah kajian Dya kualitatif, mummy." Kedengaran suara anaknya seperti sayup-sayup sahaja.

Anak abang dah besar dan berani melawan Mara, kata Puteri Asmara, seolah-olah Burhan berdiri di hadapannya.

Hakikatnya dia hanya bermonolog di dalam hatinya.

"Mummy!"

Puteri Asmara tersentak. Wajah anak yang polos ditatap.

"Mummy dah tolong Dya untuk buat KM study di hospital tempat mummy kerja. Tak cukup lagi ke?"

Wadya julingkan mata ke atas. "Betul, tapi kalau Dya dapat buat perbandingan dengan Norway, kan lebih baik untuk rumusan? Di sana KM diorang lebih advance berbanding Malaysia."

"Dya dah jatuh cinta pada Abang Wadi? Cakap terus terang." 

Puteri Asmara tiba-tiba terfikir. Ia tidak mustahil. Sejak Wadi datang nampak sangat, pada mata matangnya, lelaki itu sedang memburu Wadya. Mungkin Wadya tidak sedar. Walaupun sudah berusia 25 tahun, Wadya yang tidak gemar berkawan itu amat naif tentang hubungan perasaan lelaki dan perempuan.

"Mummy . . . Dya anggap dia macam big brother saja."

"Dia pula?"

"Mummy kena tanya dia. Mana Dya tahu perasaan dia."

"Ini semua angkara Tok Andika," kata Puteri Asmara. "Apa lagi dalam percaturannya?"

"Mummy. Sampai hati Mummy tuduh tok. Mummy tahu umur tok dah dekat 80 tahun. Mormor dah lebih 70 tahun. Diorang mesti rindu nak jumpa Dya."

"Diorang boleh balik ke sini." Puteri Asmara berkeras.

"Mummy! Kalau diorang balik ke sini, diorang tak boleh lagi balik ke sana. Diorang akan kena tangkap."

"Pandai saja kau beralasan." Puteri Asmara tahu apa yang disebut Wadya itu benar. Kerana itu juga dia takut untuk membenarkan Wadya pergi.

"Mummy! Boleh ya mummy?" Wadya terus mendesak.

Puteri Asmara mengeluh. "Nanti mummy bincang dengan Daddy Sergey."

"Mengapa perlu bincang dengan dia? Bukan dia ada hak!"

Terkejut Puteri Asmara. Tidak pernah selama suku abad ini, Wadya mempertikai kedudukan Sergey. "Wadya! Jangan biadab dengan Daddy Sergey."

"Dia bukan daddy Wadya. Daddy angkat pun bukan. Mummy pun tak ambil dia jadi daddy tiri!"

"Wadya!"

"Mummy memang sengaja nak kawal Dya. Mummy tak fikir ke? Satu masa Dya akan kahwin dan tinggalkan mummy?"

"Sampai hati Dya cakap macam tu dengan mummy."

"Dya kena ikut suami. Macam mummy dulu. Kan mummy ikut suami?"

Terkedu Puteri Asmara.  

"Daddy Sergey akan kahwin dengan P.A.nya, Marion yang miang tu."

Kali ini Puteri Asmara tersentap. Sergey ada hubungan sulit dengan perempuan lain? "Apa Dya kata? Marion?"

"Ala . . . Mummy tak tahu ke? Kenapa kekadang Daddy Sergey menolak ajakan kita untuk dinner?"

"Kenapa?"

"Mummy tanya le Daddy Sergey."

Wadya keluar dengan senyuman. Dia tinggalkan ibunya yang tercengang, tidak berkata apa-apa. Dia pasti ibunya akan berfikir setelah diprovokasi. Dia percaya Daddy Sergey akan dapat berita baik. Daddy Sergey pasti memihak kepadanya.

Meluat dia melihat gelagat P.A. baharu Sergey. Umur sebaya dia. Tetapi gatal nak mengorat bos yang boleh dipanggil daddy.

Strategi yang dicadangkan Misya sudah dilaksanakan. Sekarang dia harus melakukan bahagian kedua strategi itu.

Tetapi, bolehkah dia memanipulasi Wadi yang jauh lebih panjang akalnya? 

*****

NOTA:

KM = Knowledge Management

*****

*KRISTAL OBSIDIAN, salah satu daripada healing crystal*

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro