Menara Hitam
Adam melangkah ke dalam lorong sempit yang terbentang di hadapannya. Lantera kecil yang berada di tangannya memancarkan cahaya biru yang kesamar- samaran. Cahayanya tidaklah terlalu terang untuk menerangi keseluruhan ruangan lorong sempit itu, tetapi cahaya biru itu sekadar cukup sahaja untuk menerangi laluan di lorong sempit itu.
Lantera itu juga berguna dalam memberikan panduan arah serta memperlihatkan sekiranya ada halangan pada dinding batu-bata yang lembap dan di penuhi lumut. Kelihatan, simbol-simbol aneh dan tidak difahami kelihatan terukir di sepanjang laluan lorong sempit ini. Setiap hentakan lembut yang dipijak oleh Adam telah menghasilkan sedikit-sebanyak bunyi yang bergema-gema di sepanjang lorong sempit itu. Perkara ini membuatkannya lebih berhati-hati, takut-takut pergerakannya itu di sedari oleh makhluk Araknodroid.
Bunyi gema derapan langkah 'besi berlaga besi' yang dihasilkan oleh makhluk mekanikal 'Aranodroid' itu kedengaran semakin mendekat daripada belakang. Adam sedar dia perlu mempercepatkan pergerakannya.
"Lorong ini pasti menuju ke suatu tempat," fikirnya sambil memaksa kakinya untuk terus gagah melangkah walaupun kepenatan mulai menguasai dirinya.
Lorong itu tiba-tiba bercabang kepada dua arah, yang mana satu arah menuju ke kiri, manakala satu arah lagi menuju ke kanan. Adam kelihatan teragak-agak untuk membuat keputusan. Dia cuba mendengarkan kedua-dua sisi dengan teliti, tetapi langsung tidak menemui petunjuk yang jelas. Akhirnya, berbekalkan gerak hati yang disusuli ritma degupan jantung yang kencang, dia memilih untuk menuju ke arah kanan. Adam berharap agar gerak hatinya tidak membawa kepada sesuatu yang positif.
Semakin lama Adam memasuki kawasan lorong sempit itu, suasana sekeliling sedikit demi sedikit semakin berubah. Dinding-dinding batu yang basah dan berlumut tadi kelihatan berubah kepada panel-panel logam yang berkilat dan menghasilkan cahaya-cahaya samar. Dihadapan Adam, terpampang sebuah lif lama yang masih beroperasi. Pintu lif itu dalam keadaan terbuka. Lif yang sudah uzur itu kelihatan seperti lif yang kebiasaannya digunakan oleh pekerja lombong bawah tanah. Derapan bunyi makhluk 'Araknodroid' kedengaran semakin hampir. Adam tidak mahu membuang masa berfikir-fikir lagi kemanakah arahnya lif misteri ini akan membawanya.
Demi menyelamatkan diri daripada makhluk mekanikal 'Araknodroid' itu, Adam terus masuk ke dalam lif dan terus menekan punat menuju ke atas. Pada masa yang sama, susuk tubuh makhluk Araknodroid yang berjumlah tiga ekor tiba-tiba muncul dan mahu menyerang Adam yang ketika itu sudah berada dalam lif. Adam bernasib baik apabila pada ketika itu, pintu lif sudah tertutup rapat dan lif perlahan-lahan bergerak ke atas. Seekor makhluk Aranodroid yang mahu menerjah Adam dengan sesungut besi berkilatnya tidak sempat untuk berpaut pada lif yang sedang bergerak keatas. Makhluk Araknodroid itu yang terlajak itu akhirnya terjatuh ke ruangan kegelapan dibawah laluan lif itu tadi disusuli bunyi percikan air yag dipercayai 'still water' pada ruangan dasar ruangan lif.
"Nasib baik dapat lepas. Kalau tidak, tak tahulah nasib badan!" Adam mengurut dadanya sambil menarik nafas lega.
Beberapa saat kemudian, pergerakan lif terhenti dan pintu lif terkuak luas. Adam melangkah keluar dan pandangannya dihidangkan dengan sebuah ruangan yang besar, seakan-akan reka bentuk lobi hotel lima bintang tetapi suasananya yang gelap dan menyeramkan. Dindingnya diperbuat daripada logam gelap manakala disekeliling dindingnya dipenuhi simbol aneh, sama seperti yang simbol yang ditemui pada dinding pada lorong sempit tadi. Begitu juga dengan lantainya yang diperbuat daripada marmar kelabu serta menampilkan simbol-simbol pelik.
"Simbol yang sama macam dekat lorong sempit!" ujar adam berseloroh dengan nada yang teruja.
"Inilah Menara Hitam." getus Adam dalam hati apabila terlihat panel hitam pada rekabentuk bangunan itu, yang sama seperti apa yang dilihatnya di pinggir jalan tadi.
Daripada luar, pintu masuk ke dalam Menara Hitam ini adalah sebuah gerbang besar dengan ukiran yang berputar secara perlahan-lahan. Ukiran yang berputar itu seakan-akan sebuah mekanisma pengoperasian sebuah jam gergasi yang menunjukkan sedang waktu pada waktu berkenaan di dunia tanpa matahari ini. Adam menghampiri kawasan ukiran yang berputar-putar itu dengan penuh berhati-hati. Ketika dia berada cukup dekat dengan bahagian ukiran itu, tiba-tiba ukiran pada pintu gerbang itu mengeluarkan cahaya serta satu bunyi dengungan yang bernada rendah tetapi tetap membingitkan.
Tanpa Adam menyentuh apa-apa bahagian pada bangunan itu, pintu masuk 'Menara Hitam' itu terbuka dengan sendirinya. Seusai itu, pandangannya memperlihatkan sebuah ruang gelap yang dipenuhi asap kabut yang nipis serta layangan debu-debu yang menyesakkan hidung. Adam melangkah masuk ke dalam bangunan Menara Hitam. Lantera biru berkilau yang sedang dipegangnya itu telah memberikan sedikit sumber pencahayaan meskipun keadaan ruangan teramat gelap. Suasana di dalam ruangan Menara Hitam itu terasa aneh dengan gabungan beberapa rasa. Ada kedinginan yang berhembus pada tubuh badan Adam, ada perasaan sunyi yang cukup mendamaikan jiwa tetapi penuh dengan sebuah aura kuasa yang sukar dijelaskan dengan kata-kata.
Bergerak ke ruangan utama, Adam akhirnya dapat melihat sesuatu yang bersinar-sinar bergemerlapan daripada jauh. Apabila mendekati cahaya bergemerlapan itu, dia yang lantas terkejut serta pemandangannya telah membuatkan darahnya berderau, degup jantungnya menjadi tidak tentu hala. Sebuah teras tenaga yang cukup besar tergantung di bahagian tengah kawasan menara itu. Teras tenaga berbentuk bulat dan berputar secara perlahan. Ajaibnya, teras tenaga itu memancarkan cahaya biru yang serupa dengan warna lantera yang ada di tangannya serta di seluruh kota. Namun, cahaya kebiruan yang ada pada teras tenaga di Menara Hitam jauh lebih terang dan cahayanya berketumpatan tinggi sehingga Adam tidak dapat melihat secara terus pada teras tenaga itu.
Simbol-simbol aneh yang dapat dilihat pada laluan lorong sempit dan juga pada bahagian luar menara juga turut dapat dilihat. Tetapi, kali ini simbol-simbol aneh dan misteri itu kelihatan bergerak-gerak seakan-akan mereka sedang hidup pada teras tenaga. Simbol-simbol misteri itu juga seakan-akan mengawal teras tenaga itu disetiap waktu.
Adam mendekati teras tenaga itu secara perlahan-lahan. Dia seakan-akan cuba untuk memahami bagaimana teras tenaga itu berfungsi dan apakah perkaitannya dengan simbol-simbol aneh dan misteri yang berada di sekelilingnya. Pada bahagian bawah teras tenaga itu, kelihatan sebuah konsol besar berupa sebuah papan pemuka yang mengandungi pelbagai butang, punat beserta skrin kaca.
Simbol-simbol aneh yang terpampang pada skrin itu kelihatannya seperti gabungan beberapa tulisan bahasa asing yang langsung tidak difahami. Tetapi, Adam dapat merasakan simbol-simbol ini mempunyai kepentingan sebagai bahasa komunikasi 'Dunia Tanpa Matahari' serta berfungsi sebagai pusat kawalan menara ini.
"Menarik betul konsol ni." ujar Adam sambil berbisik.
Ketika Adam sedang memeriksa bahagian konsol pada teras tenaga itu, sebuah suara robotik kedengaran bergema di segenap ruangan itu. Bunyi suara itu cukup mengejutkan Adam yang ketika itu sedang sibuk meninjau-ninjau keadaan konsol pada teras tenaga berkenaan.
"Penceroboh dikesan. Identiti: Tidak dikenali. Status: Tidak diizinkan."
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro