Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Araknodroid

Adam menghela nafas panjang. Dia mengumpulkan segala kekuatan yang masih berbaki dalam dirinya. Suasana dalam bilik terasa begitu asing, namun ada sesuatu tentang kehangatan cahaya obor yang seakan-akan berupaya menghelakan nafas kelegaan. Seolah-olah cahaya obor itu menjadi analogi kepada satu-satunya elemen berbaki yang hidup di tengah dunia yang kelihatan hampir 'mati' ini. Dia berdiri perlahan-lahan, lalu menghampiri tingkap kecil yang terletak pada dinding batu.

Di luar bilik kecil itu, pemandangan Kota Tanpa Matahari kelihatan terbentang luas yang diselang-selikan pemandangan antara sisa runtuhan bangunan, pencakar langit termasuklah menara hitam serta lantera kristal biru yang bersinar. Lantera kristal biru yang tergantung di sepanjang jalan memberikan cahaya samar yang nyaris tidak mencukupi untuk menerangi bangunan-bangunan lusuh di sekitarnya.

Jalan-jalan di sekitar kota kelihatan kosong, tetapi Adam tahu bahawa kota ini bukanlah kota yang sunyi. Dia dapat merasakan kehadiran sesuatu yang mengintai, menunggu di celahan bayang-bayang. Fikirannya melayang kepada apa yang baru berlaku sebentar tadi. Makhluk mekanikal berbentuk labah-labah yang mengejarnya sebelum ini masih bermain-main dalam kotak fikirannya.

Mata merah seumpama laser yang menyala daripada bahagian kepalanya, kaki logam yang tajam, dan gerakan anti-bunyi. Seolah-olah, makhluk ini tidak terikat oleh hukum fizik yang kebiasaanya terpakai oleh setiap makhluk. Bagaimakah makhluk ini tahu dia berada di sana? Adakah mereka yang menjadi penjaga kepada kota ini?

Adam kembali memandang kearah obor yang menyala. Cahaya keoren-orenan yang meliuk-liuk seakan-akan memberikannya satu pengharapan. Dia menemui satu objek serpihan logam yang bersaiz kecil dan licin di suatu sudut lalu memasukkannya ke dalam kocek, sekiranya memerlukannya pada saat-saat genting.

"Aku tidak boleh terus bersembunyi di sini," bisiknya kepada diri sendiri.

Dengan berhati-hati, Adam membuka pintu bilik kecil itu. Engsel pintu berdecit, lalu memecahkan keheningan malam. Dia mengintai ke bahagian luar bagi memastikan tiada makhluk mekanikal yang berada di sekitarnya sebelum melangkah keluar. Jalan berpasir itu serasa telah memberikan kedinginan dibawah tapak kakinya. Apabila menuju ke luar, bau asap diesel yang pekat, bau-bauan logam yang kuat serta berlatarbelakangkan aroma tanah basah yang dapat di hidu.

Adam menelusuri jalan kecil, lalu mengikuti arah kedudukan cahaya lantera kristal biru. Langkahannya perlahan, tetapi penuh dengan kewaspadaan. Sesekali, dia menoleh ke kiri dan kanan. Daripada kejauhan, dia dapat melihat sebuah menara hitam yang menjulang tinggi, bayangannya seperti pisau tajam yang membelah langit gelap. Kelihatan juga, kilat memancar-mancar ke arah menara terbabit. Naluri Adam kuat menyatakan bahawa, menara hitam itu mungkin menyimpan segala jawapan kepada segala persoalan yang sedang bermain-main dikotak fikirannya.

Namun, setiap langkah menuju ke arah menara itu telah membuatkan dadanya semakin berdebar. Bunyi halus berupa gemersik dan berdeting di belakangnya telah memaksa Adam berpaling ke belakang beberapa kali. Namun, tiada apa-apa yang kelihatan, melainkan rasa gementar yang semakin menebal.

Ketika dia melangkah ke sebuah persimpangan jalan yang sempit, suara bernada rendah dan berdegung mulai kedengaran. Suara itu, seperti bunyi alat mekanikal yang bergerak, semakin hampir. Adam segera bersembunyi di belakang tong logam berkarat, matanya liar mencari sumber bunyi itu.

Daripada pantulan bayang-bayang cahaya kristal lantera biru, kelihatan sekumpulan Araknodroid. Mata mereka merah bersinar dalam kegelapan, seakan-akan sedang memerhati dikawasan sekitarnya. Mereka bergerak dengan pantas, manakala bahagian kaki logam mereka hampir tidak mengeluarkan sebarang bunyi ketika menyentuh pasir-pasir pada jalan. Adam menahan nafas. Dia berharap sekumpulan Araknodroid itu tidak menyedari kehadirannya di situ.

Namun, sesuatu yang tidak terjangka berlaku. Salah satu Araknodroid itu berhenti, dan mata merahnya memfokus ke arah kawasan tong logam berkarat tempat Adam bersembunyi. Cahaya merah itu seakan-akan menembusi tubuhnya, lalu telah membuatkan bulu romanya meremang.

"Jangan panik," bisiknya kepada dirinya sendiri, tetapi jantungnya berdegup kencang.

Araknodroid itu bergerak perlahan ke arah tong logam berkarat itu, dan Adam tahu dia sudah tidak memiliki banyak masa. Dia meraba-raba poketnya, mencari sesuatu yang boleh digunakan sebagai senjata ataupun mengalih perhatian makhluk itu. Tiba-tiba, tangannya menyentuh sesuatu dengan permukaan licin- ia adalah serpihan logam kecil yang ditemui dalam bilik tadi.

Tanpa berfikir panjang, Adam melemparkan serpihan logam itu ke arah kawasan bertentangan, iaitu ke arah lorong gelap yang berada di sebelahnya. Bunyi serpihan itu menghentak dinding batu lalu menarik perhatian Araknodroid yang berada berdekatan Adam tadi serta rakan-rakan makhluk mekanikal itu.

Menggunakan kesempatan itu, Adam terus keluar daripada tempat persembunyian dan berlari ke arah bertentangan. Langkahnya pantas tetapi langsung tidak mengeluarkan sebarang gema ataupun bunyi. Dia sudah tidak tahu ke arah manakah yang harus ditujuinya, namun nalurinya kuat mengatakan yang dia perlu terus bergerak untuk kekal selamat.

Jalan-jalan di kota itu kelihatan semakin sempit dan dinding-dinding bangunan menjadi semakin bentuk tidak sekata. Namun, Adam tidak boleh berhenti disitu. Jasad badannya harus terus bergerak mencari tempat yang selamat.

Setelah beberapa minit berlari, Adam menemui sebuah pintu kecil yang berada di sisi sebuah bangunan usang. Pintu itu kelihatan seperti laluan akses menuju ke ruangan bawah tanah. Tanpa berfikir panjang, dia menarik tombol pintu itu dan terus masuk ke dalam ruangan bahagian dalam.

Pada bahagian dalam, suasana tiba-tiba berubah. Tangga batu yang menuruni ke bawah telah membawa Adam ke sebuah bilik bawah tanah yang dipenuhi deretan mesin-mesin lama dan usang. Mesin-mesin ini kelihatan seperti sebuah teknologi purba, tetapi bahagian papan induknya masih menyala. Nyalaan cahaya pada papan induk yang bersambung dengan bahagian papan kekunci mempunyai persamaan dengan cahaya biru kristal pada lantera di luar.

Adam mendekati salah satu mesin itu. Skrin kaca kecil yang berada dihadapannya menunjukkan imej menara hitam dan... vorteks yang berputar di bahagian atasnya.

Sekali lagi, jantung Adam berdegup kencang.

"Ini... ini mungkin portal untuk keluar daripada sini," katanya perlahan.

Namun, sebelum dia sempat memahami dengan lebih lanjut mengenai cara pengoperasian mesin-mesin purba ini, bunyi pintu yang berada diatas tangga kedengaran terkuak dengan kasar. Suara kaki logam yang semakin mendekat telah memecahkan keheningan kawasan bilik bawah tanah itu. Araknodroid kemungkinan telah menemui lokasi Adam.

Adam tahu, dia hanya mempunyai satu pilihan yang menentukan antara takdir hidup dan mati, yakni bergerak lebih dalam ke ruangan bawah tanah ini, atau meletakkan hakikat takdir bahawa dia boleh menghadapi makhluk-makhluk ini tanpa berbekalkan senjata yang ampuh. Seperti nyawa di hujung tanduk. Dia menarik nafas dalam-dalam, lalu menyalakan lantera kristal yang ditemuinya di sudut bilik.

Adam bersedia untuk melangkah ke arah sudut laluan bawah tanah yang lebih dalam-kegelapan yang tidak diketahui penghujungnya. Nasibnya juga tidak pasti apabila melalui laluan bawah tanah yang penuh kegelapan serta misteri itu. Adakah dia akan bertemu dengan makhluk yang lain pula?

Pengembaraannya baru sahaja bermula, namun ada satu pengajaran yang dapat Adam simpulkan sepanjang perjalanan ini.

Yang pasti, kota ini tidak akan membiarkannya pergi dengan begitu mudah.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro