Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

23| Pulang

"Mana saya nak cari RM50 000?" Salman tersenyum hambar memandang wajah Aisyah di sebelahnya. Mereka melencong ke pusat membeli belah setelah pulang dari Institut Jantung Negara bagi pemeriksaan susulan Ahmad. Pasangan itu duduk di bangku sambil masing-masing di tangan mempunyai minuman yang telah dipesan tadi.

"Kita boleh buat fund raise. Insya Allah ada orang yang nak tolong," ujar Aisyah.

"Fund raise pun... Mustahil la nak cecah RM50 000. Paling maksimum pun mungkin RM10 000," balas Salman. Dia memegang air minuman itu sambil mendakap tubuh Ahmad dari belakang.

Fikirannya kusut memikirkan masalah kewangan sendiri. Dengan kerja perkhidmatan membaiki telefon yang sedang dikerjakan sekarang tak mampu untuk menampung kos sebanyak itu.

"Usaha. Nanti adalah jalannya," pujuk Aisyah lembut.

Salman menghela nafas berat. "Kalau saya jual buah pinggang okay tak?"

"Jangan nak merepek," geleng Aisyah.

Bulan lepas, ketika membuat pemeriksaan susulan, doktor mengesan bahawa satu lubang di jantung Ahmad hampir tertutup secara semula jadi. Namun, salah satu lubang semakin membesar dari satu sentimeter kepada tiga sentimeter. Pembedahan segera perlu dilakukan.

"Saya dah mati kutu nak fikir pasal duit ni." Salman melihat wajah Ahmad. Anak itu memang mendengar kata dan tidak buat perangai tika bersamanya. Namun, apa yang dirisaukan ialah keberadaan Ahmad di rumah kebajikan. Dia risau jika kanak-kanak normal di sana bermain dengan Ahmad sehingga lelah. Minggu lepas saja dia dikejutkan dengan khabar Ahmad sesak nafas.

Aisyah turut fikirkan sesuatu. Gajinya memang tidak cukup bagi mengeluarkan RM50 000 sekali gus. "Mungkin kita boleh jumpa abang saya dan Kak Diana. Dorang ramai kawan yang boleh sebarkan tentang siapa-siapa yang memerlukan bantuan. Awak jangan risau, kita usaha sama-sama."

"Hm." Rasa segan menyucuk diri Salman. Dia menjarakkan minumannya dari Ahmad apabila kanak-kanak itu ingin menyedutnya. "Adik tak boleh minum air batu. Nanti batuk," ujar Salman kepada Ahmad.

"Nanak..." Ahmad sedikit terliur melihat cawan kertas air itu yang berwarna hijau terang. Dia cuba mencapai cawan itu dengan hujung jemarinya.

"Mesti dia dah lama tak keluar jalan-jalan, kan?" Aisyah menyimpulkan senyuman.

"Itu yang mengada." Ceruk leher Ahmad dicuit Salman sehingga kanak-kanak itu terkekek ketawa. "Awak ni boleh minum susu je. Air merepek-repek macam ni tak boleh."

Salman mengeluarkan botol susu dari beg sandangnya. Isi botol itu masih ada separuh kerana tidak dihabiskan Ahmad pagi tadi. "Ni adik punya."

Botol susu bercorak kartun itu dipegang Ahmad dengan kedua-dua belah tangan. Dia ingin berbaring tetapi mereka sedang berada di luar. Maka, kanak-kanak itu hanya menempel pada lengan Salman untuk memudahkan dirinya menikmati susu sejuk itu.

Hubungan akrab Salman dan Ahmad berlalu hari demi hari tak ubah seperti anak dan ayah. Aisyah terhibur setiap kali lelaki itu terpaksa melayan kehendak Ahmad.

" Salman, awak tak pernah terfikir nak kahwin?" Soalan cepumas Aisyah membuatkan lelaki itu berkerut.

"Kenapa awak tanya?" soal Salman kembali.

"Sebab saya ada sesuatu nak beritahu awak." Sesuatu yang sudah lama terpendam di dalam hati.

"Apa?"

"Saya tak tahu bila masa yang sesuai." Dua bulan berlalu sejak Salman dikeluarkan dari hospital. Gadis berselendang itu melihat wajah Ahmad bagi menghilangkan rasa gugupnya.  "Sebenarnya saya nak melamar awak jadi suami saya."

"Awak jangan main-main, Aisyah. Mana ada perempuan melamar lelaki. " Salman tertawa halus. Dia masih berlagak biasa lalu menyedut minumannya.

"Saya serius dan saya nak tahu jawapan awak."

"Saya..." Salman mengetap bibir. Dia tak seberani Zack bagi meluahkan isi hati kerana sedar kedudukan diri. "Kenapa saya? Awak ada ramai lagi rakan sekerja doktor yang setaraf dengan awak."

Untuk menolak seorang wanita yang mempunyai agama adalah sesuatu yang sukar. Wanita itu dinikahi kerana empat perkara; agama, harta, kecantikan dan keturunan. Maka utamakanlah agama dalam memilih pasangan.

"Sebab saya dah kenal awak buat beberapa bulan ni. Saya dapat nilai mana yang baik dan buruk," balas Aisyah. Telah datang kepadanya seorang lelaki yang baik dari segi agama dan akhlak, dia yakin pilihannya ini tidak salah. Meskipun Salman masih baharu dengan majlis ilmu, keinginannya untuk menjadi seorang yang bertakwa makin menekadkan hasrat Aisyah. "Saya harap dapat kenal awak lebih lagi."

Salman tersenyum nipis. "Beri saya masa. Nanti saya berikan jawapan." Semakin dia belajar, semakin sedar diri itu bodoh dan banyak lagi yang perlu dipelajari. Itulah yang dirasakan Salman setiap kali dia hadiri kelas setiap hari. Masanya banyak dihabiskan ke situ kerana dia tidak bekerja seperti Zack.

" Boleh. Niat saya ikhlas untuk ada hubungan halal dengan awak." Yakin selepas melakukan solat istikarah buat beberapa hari.

"Terima kasih. Tapi sekarang ni biar saya selesaikan beberapa perkara dulu," balas Salman.

Lelaki itu mengeluarkan dompetnya lalu mengambil wang not RM100. Dia menghulurkan duit hasil bekerja minggu ini kepada Aisyah.  "Saya nak bayar hutang saya."

"Kalau awak lebih perlukan duit ni, bayar nanti pun boleh."

"Duit saya cukup buat masa ni. Mampu lagilah kalau nak beli susu Ahmad setiap minggu," Salman mengangguk kecil agar wangnya diterima Aisyah. Ustaz di kelas fardhu ainnya sudah menyiarkan iklan kepada ahli masjid yang ingin membaiki telefon atau laptop. Dengan itu, rezekinya mula masuk sedikit demi sedikit. Walaupun dia ambil harga murah, hampir setiap hari pasti ada orang yang mencarinya.

***

Rasa rindu itu hadir setelah sekian lama. Salman tak mampu melelapkan mata sesudah siap membaiki sebiji telefon pintar. Dia merehatkan lengan kanannya di atas dahi.

Memang ada satu perkara dalam hidupnya yang masih belum selesai.

Tanggungjawab sebagai anak lelaki kepada kedua orang tuanya. Lapan tahun berlalu sejak dia melarikan diri dari rumah  kerana dipukul abangnya, dimarahi si ayah hingga hati itu tak sanggup untuk menghadapi tekanan.

Mungkin kerana ketika itu jiwanya masih muda bergelora sampai sanggup membeli tiket bas paling jauh bagi membawa diri. Masihkah abangnya akan memarahi Salman atas kematian Raihan?

Itulah yang difikirkan sejak tadi.

"Tak tidur lagi?" Zack berbaring di sebelah lelaki itu.

"Zack, aku rasa nak balik rumah..."

"Hm?" Zack mengiring sambil menongkat kepalanya.

"Rumah mak ayah aku. Aku dah lama sangat tak balik. Aku rasa berdosa buat macam ni." Salman tersenyum nipis. Dia hadir menuntut ilmu setiap hari, belajar apa kewajipan sebagai seorang hamba, anak dan suami. Soal menjadi suami dia tak mahu sentuh selagi kewajipan seorang anak tidak tertunai.

" Kau nak pergi bila? Aku free kalau hujung minggu. Maklumlah boss aku tu kedekut cuti." Zack kembali berbaring elok di atas tilam itu. Bilik sempit ini menjadi sewaan mereka hingga dia dapat mengumpul duit bagi menyewa rumah lain. Asalkan tak sakit badan tidur malam-malam, cukuplah.

" Aku loss contact dengan keluarga aku. Tapi aku ingat lagi jalan nak balik rumah. Mungkin kita boleh pergi minggu ni?" ujar Salman.

"Boleh. Untunglah kau ada mak ayah lagi, aku dah takde. Aku hidup sebatang kara dari dulu lagi. "

"Takpe, kau kan nanti bakal dapat mak bapak mertua."

Terus Zack ketawa. "Ish, mana ada. Kau nak aku bagi dia makan apa? Pasir?"

"Hahaha. Mana tahu nanti kalau dah kahwin, ayah dia suruh kau handle kedai makan tu. Bagus juga," seloroh Salman.

"Doakan aku tau. Esok aku ada exam kelas fardhu ain. Aku dah lama tak  jawab exam bertulis. Tahu-tahu ustaz nak buat kuiz."

"Tahniah kau dah habis khatamkan kitab tu. Kau nampak lain bila dah belajar semua ilmu fardhu ain." Salman tersenyum bangga melihat Zack.

"Oh. Em, apa yang lain? Nampak baik sikit eh? "

"Bercakap dengan ilmu, beramal dengan ilmu... Akan mempengaruhi gaya hidup kau. Dan lagipun kita cari rezeki dari sumber yang halal, aku rasa keberkatan tu ada. Masa kita cukup walaupun sibuk. Aku bangga dengan kau, memang layak nak kahwin dah. "

"Hahaha. Jangan puji lebih-lebih, nanti jadi ujian untuk aku pula. Yang jadikan aku manusia macam ni ialah Allah. Aku faham kenapa Najla suruh aku belajar... Supaya aku tahu siapa diri aku. Supaya aku tak leka duduk atas dunia ni dan supaya memegang aqidah yang benar."

" Ya. Aku ada Ahmad sekarang ni. Aku akan ajar dia sendiri tentang fardhu ain. Sebab sebagai ibu bapa kitalah yang mencorakkan anak-anak. Kalau tak pandai corakkan, macam mana hasilnya nanti? Kalau beri kepada orang lain untuk corakkan pula, takut corak itu buruk tak seperti yang kita inginkan," balas Salman. Dia mahu membentuk kanak-kanak lelaki itu seeloknya agar nanti jadi muslim yang sebenar, bukan hanya pada kad pengenalan.

" Tapi kan... Kau memang nak kawan je ke dengan Aisyah? " Hairan Zack.

" Aku kena solat istikarah dulu untuk tahu pilihan mana yang terbaik. Nanti kalau permohonan aku untuk ambil Ahmad lulus, kena tengok juga sama ada keluarga dia boleh terima Ahmad atau tak kalau aku kahwin dengan Aisyah. Senang cerita, aku kena fikir masak-masak dan berserah pada Allah. "

" Ye la kan. Kahwin ni bukan antara dua orang je, seluruh keluarga dia akan jadi keluarga kita," angguk Zack.

" Exactly. Nanti esok kalau tak tahu jawapan exam , jangan jawab apa-apa. Jangan berfatwa tanpa ilmu. Cakap tak tahu akan melegakan hati kau daripada kau reka jawapan." Salman memencilkan mata pada rakannya.

" Hahaha. Takkanlah aku nak menggoreng bab agama. Buat dosa je nanti kalau salah cakap. Bahaya."

***

Laluan itu sama seperti dahulu. Cuma binaannya sahaja telah berubah sepanjang jalan. Kedai-kedai kecil dahulu telah menjadi bangunan batu yang kukuh. Jalan tar pula berturap hitam elok tidak seperti di zaman remajanya. Lama sungguh dia tidak menjejakkan diri ke kampung ini. Salman melilaukan mata sepanjang perjalanan. Jantungnya berdetak laju apabila dapat merasakan jarak semakin dekat. Andai mereka telah pindah, susahlah Salman untuk mencari.

" Man, rumah ni ke? " Zack memuncungkan bibirnya kepada sebuah rumah batu yang agak besar seperti kebanyakan rumah di kampung ini.

"Ya, berhentilah dekat bahu jalan. Biar aku yang masuk dulu. Nanti aku jemput kau." Tali pinggang keselamatan dilepaskannya lalu lelaki itu menarik nafas dalam.

Salman mengatur langkah satu per satu setelah menolak pagar rumah yang tidak berkunci. Langkahnya dikuatkan hingga ke hadapan pintu utama. Di situ, dia kaku. Darah panas mengalir ke seluruh badan apabila terdengar suara dari dalam.

Itu suara ibunya.

"Assalamualaikum."

"Assalamualaikum."

Suara Salman bergema di beranda rumah mula didengari oleh tuan rumah. "Waalaikumsalam."

Saat itu sepasang mata bertaut dengan Salman. Matanya terbeliak melihat pemuda yang sedang berdiri di hadapan pintu rumah itu.

"A-Adik?" Wajah tua itu memandangnya seolah melihat hantu. Dia perlahan-lahan melangkah mendekati Salman sambil tangan cuba menyentuh raut wajah itu.

"Ya, mak," jawab Salman. Dia tersenyum nipis dengan linangan air mata. Tubuh pemuda itu didakap erat oleh bondanya. Dahi Salman dikucup Puan Siti dengan penuh rindu. Lapan tahun menanti kepulangan anaknya, hari ini dia diberikan peluang untuk melihat Salman Firash sepuas-puasnya.

"Mak, adik minta maaf," ujar Salman. Kedua-dua belah tangan ibunya diraih lalu dibawa ke bibir. "Adik minta maaf..."

"Adik tak salah, sayang," geleng Puan Siti. "Hari-hari mak tunggu adik balik." Butir mutiara ikhlas mengalir di lekukan wajah tua. Sekali lagi dia mendakap tubuh anaknya bagi memastikan yang semua itu bukanlah mimpi.

"Mak janganlah menangis, kan adik dah balik? " Salman menahan tangisan sendiri dan memaksa bibir untuk tersimpul senyum. Dia mengesat air mata ibunya dengan telapak tangan.

"Adik sihat?" soal Puan Siti.

Salman mengangguk laju. "Sihat."

"Jomlah jumpa ayah. Ayah ada dekat dapur"

"Tapi... Ayah marah adik lagi?" Salman menekur. Dia takut untuk berhadapan lelaki itu. Pipinya pernah dilempang kerana pulang lewat malam.

"Sayang, hari-hari ayah tunggu adik balik. Kami ingat adik dah tak nak balik," ujar Puan Siti. Dia menarik lengan Salman agar lelaki itu menapak ke dalam rumah.

Salman tersenyum hambar. Lengannya melingkar di bahu bondanya ketika melangkah ke dalam rumah. Dia rindu akan wanita ini. Terlalu rindu.

" Adik duduklah dulu, nanti ibu panggil ayah." Tangan Salman dipegangnya.

"Biar adik yang datang jumpa ayah," geleng Salman.

Puan Siti membawa anaknya ke ruangan dapur yang luas itu. Sayang mereka hanya tinggal berdua sejak anak bongsunya hilang jejak.

Gugup yang terasa di hati berkurangan apabila bondanya bersulam tangan dengannya. Salman berpasir tekak tika di hadapan meja makan itu.

Seorang lelaki tua sedang memandang Salman saat itu. Makanan yang terhidang di atas meja tidak terusik lagi olehnya. Dia bingkas berdiri agar sama tinggi dengan Salman.

Nyata Salman telah meninggi melebihinya. "Adik?" Encik Jauhar berkerut melihat wajah pemuda itu.

"Ya, ayah," jawab Salman.

Panggilan 'ayah' itu telah lama dirindui lelaki tua itu. Dia kehilangan kata dengan keberadaan anak lelakinya ini.

"Adik minta maaf, ayah. Maafkan adik." Tangan Encik Jauhar diraih lalu disalam Salman.

Lelaki tua itu terus mendakap tubuh Salman. Dia tersenyum nipis hingga menampakkan kedutan di wajahnya. "Adik marah ayah?" Matanya sudah berkaca. Tangisan gembira itu pernah hadir ketika isterinya melahirkan Salman ke dunia ini dan tangisan yang sama menyambut kepulangan anak lelakinya.

"Tak. Adik sayang ayah dengan mak." Nafas dalam ditarik Salman. Bibirnya terketar-ketar ingin senyum.

"Adik duduklah. Makan sekali dengan ayah. Ayah rindu nak makan dengan adik," ujar Encik Jauhar. Wajahnya terlalu gembira. Dia memandang si isteri sambil tersenyum.

"Adik datang sini naik apa?" Puan Siti menghidangkan anaknya sepinggan nasi panas.

"Adik datang dengan kawan. Boleh ke adik jemput dia masuk sekali?" Salman mengesat sisa air matanya. Dia sendiri tidak pernah menjangka saat seperti ini setelah apa yang dilalui.

"Panggil lah dia masuk makan sekali," ujar Encik Jauhar yang masih tersenyum.

***
Upcoming chapter:
"Adik cakit ke?"

***

sorry upcoming chapter ni terforward untuk bab selepas ini :) 🌻🌻😔 Salman dah pulang jumpa mak ayah dia :') Boleh lah kan lepas ni nak kahwin?

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro