
18| Bayar
Hidup itu seperti pasar besar, berjalanlah di sana dan ambil apa yang kamu sukai dari yang ditawarkan, tetapi ingat perhitungan ada di hadapanmu. Kamu akan membayar semua yang kamu telah ambil.
Dia cuba melawan arus tetapi tidak terdaya. Segalanya menjadi putih pada pandangan mata. Rasa sejuk menyucuk hingga ke liang roma.
Mungkin ini hanyalah satu usaha yang sia-sia. Terkapai kemudian tenggelam kembali. Hujung kakinya tak dapat menjejak ke lantai bumi. Tangan pula sudah penat mencari sesuatu untuk disambar.
Air memenuhi segala rongga.
Tekaknya mula berpasir. Tersekat-sekat cuba mencari pernafasan yang semakin menghilang.
Mungkin begini pengakhiran hidup yang selama ini tak pernah terfikir dek akal. Saat-saatnya indah apabila telah menunaikan janji kepada Zack. Farah Ain juga bebas dari penjahat-penjahat itu. Sungguh, Allah telah permudahkan urusannya buat hari ini.
Semoga mereka akan hidup bahagia tanpanya. Bayangan wajah Zack dan Farah Ain menemaninya tika itu.
"Ayah ti-tipu... Tsk.."
Senyuman nipis terukir di bibir Salman, hampir terlupa pula tentang si kecil ini.
"Jadi anak yang soleh, jangan kuat menangis. Dengar cakap doktor Aisyah, dia akan jaga adik sebab ayah tak mampu nak tunaikan janji ayah pada adik," bisik hatinya. Raut wajah kanak-kanak itu cuba disentuh.
Ayah minta maaf.
Matanya mula terpejam lemah. Darah yang mengalir dibawa air sungai jernih tanpa henti. Tiada satu bahagian tubuh pun yang terapung ke udara saat itu.
Perlahan-lahan tubuh pemuda itu ingin tenggelam ke dasar.
"Adik cimpan untuk ayah."
"Adik antuk."
"Ayah nangis te?"
Ayah tak menangis tapi ayah gembira dapat berpeluang untuk jaga adik walaupun seketika. Cukuplah tu.
Tekanan kuat yang diberikan ke dada bidangnya menyentakkan minda separuh sedar. Daya yang sama diberikan buat beberapa kali setelah gagal memberi bantuan pernafasan.
Rasa sakit itu semakin kuat sehingga dia terpaksa memuntahkan air yang menyeksa rongga pernafasan. Badannya dibantu bagi mengiring dan memuntahkan segala isi perut. Dia terbaring lemah kembali tanpa kudrat. Pandangannya yang kabur tak mampu mengesani bayangan yang sedang memeriksa segala sudut tubuhnya. Meskipun dia tak memeriksa nadi, tetapi degupan jantung sendiri dapat dirasai rentaknya. Perlahan sahaja ia berdegup.
Udara dihirup perlahan-lahan bagi bertahan. Seluruh tubuhnya terasa sakit dan lemah. Air matanya mengalir tanpa sedar.
Sedar dirinya telah berada di darat. Cahaya menerjah masuk ke retina mata tanpa penghadang. Salman menurunkan sedikit kelopak matanya. Awan senja diamati seketika. Segala bising suara di sisi langsung tidak kedengaran
Nafasnya terasa berat sekali saat itu.
Ketika tubuhnya ke udara, tak henti rasa sakit seakan-akan menyiat kulit sendiri. Mata lemah itu terkatup akhirnya setelah penat menguatkan diri.
***
DUSH
Satu tumbukan menyinggah pipi Naufal meskipun lelaki itu belum sempat menghabiskan ayat. Dada Zack berombak laju setelah melepaskan tumbukan itu. "Kau jangan nak tipu aku."
Naufal terduduk di atas katil sambil memegang pipinya yang kesakitan. "Aku tak tipu, Zack. Kau boleh tanya orang lain, memang Salman dah mati."
"Tak," Zack menggeleng.
"Kau ingat lawak ke aku nak main-main pasal hidup mati? Salman dah mati. Dia yang suruh aku bawa kau jauh-jauh," ujar Naufal.
Dibiarkan sahaja Zack mengamuk di dalam bilik hotel itu. Habis bantal, selimut dan barang perhiasan lain dibaling ke dinding.
"Kenapa kau biarkan Salman pergi hadap Mat Shah sorang-sorang? Kau sengaja nak biarkan dia mati ke?" Suara Zack naik seoktaf. Matanya terjegil keluar kerana terlalu bengang. Langit telah menggelap sejak dia bangkit daripada pengsan. Tak sempat untuk kerling jam, Naufal diterkam terlebih dahulu.
" Zack, duduk," balas Naufal tenang. Permintaan Salman telah diturutinya. Zack dibawa merentasi beberapa buah negeri dan kini mereka menginap di sebuah hotel buat satu malam untuk berehat.
" Kau nak suruh aku duduk?" Lelaki itu tertawa sinis. Matanya telah pun memerah dan berair. "Kau nak suruh aku duduk sedangkan kawan baik aku sendiri..." Ayatnya kedengaran serak di hujung ayat. Nyata dia sedang menahan tangisan.
Perlahan-lahan lutut lemahnya jatuh mencium lantai bilik. Tangisannya tak berbunyi kerana terlalu perit mendengar kebenaran. Terhinjut-hinjut bahu lelaki itu menahan getaran jiwa.
Dia mengangkat sedikit wajahnya yang lencun dengan air mata. "Semua salah kau, Naufal. Kalau aku ada, aku boleh tolong dia. Dia takkan mati kena tembak dengan Mat Shah," jerkah Zack. Betapa emosinya bergelora saat itu.
Tubuh Naufal diterkam sekali lagi. Dia menggenggam penumbuk ingin melunyaikan wajah lelaki itu. Namun, kali ini Naufal menahan tumbukannya dan memulas tangan Zack ke belakang tubuh. Badan Zack dihenyak ke katil dengan kasar.
"Kau nak patahkan tangan aku? Buatlah. Kau bunuh aku sekali. Biar aku mati juga macam mana yang kau buat dekat Salman... " Air mata berlinang menuruni pipi Zack.
"Kau boleh diam tak, Zack?" ujar Naufal. Dia menolah tubuh lelaki itu ke tepi dan bingkas berdiri.
"Salman mati sebab nak kau hidup. Cubalah sedar yang dia sayang kau. Boleh tak jangan nak meroyan macam orang gila?"
Zack menafikan dengan gelengan. "Dia sayang aku tapi dia tinggal aku. Dia dah janji dengan aku untuk takkan mati," adu Zack seperti anak kecil.
"Ajal maut bukan kita yang tentukan. Biarlah dia tabur janji banyak mana pun, kalau dah tiba masa takde siapa dapat halang." Khabar daripada ahli Black Jack yang lain menceritakan Salman telah ditembak tepat ke dada. Berita itu tersebar ke pengetahuan semua ahli. Mungkin polis bakal menemui mayat itu tak lama lagi dengan bantuan anjing unit K9.
Cadar katil dibasahi air mata lelaki itu. Zack memejamkan matanya yang telah pedih kerana menangis sejak tadi. Hatinya terasa amat sakit seperti ditikam berkali-kali.
" Aku keluar pergi kafe. Cari aku dekat sana kalau kau dah okay." Naufal mengambil dompet dan telefon pintar lalu berlalu keluar.
Zack ditinggalkan sendirian di dalam bilik hotel mewah itu. Badan lelaki itu meringkuk di atas katil. Wajahnya dibenamkan ke lutut sendiri perlahan-lahan. Nafas hangatnya menampar seluruh wajah.
" Kenapa kau buat aku macam ni, Man? Kau tipu aku..." rintih Zack. Belakang lehernya masih tersisa sakit. "Aku takkan maafkan kau. Takkan..."
Zack memejamkan mata rapat. Dia diam di dalam pelukan sendiri.
"Plan A... Kita berdua lari dari sini dan palsukan kematian kita dengan kemalangan kereta. Kau boleh suap mana-mana penulis akhbar."
Tiada jalan keluar melainkan kematian.
"Plan B, kalau dia libatkan tebusan pula kita akan curi delima yang baru masuk minggu lepas dan buat pertukaran. Dan kembali ke plan A. Faham?"
"Salman, aku tak nampak mana-mana perancangan untuk kau mati kena tembak dalam plan kita," bisik hati kecil Zack.
Segalanya berlaku sekelip mata tanpa dia sempat melakukan apa-apa. Hakikat kebenaran itu tak mahu diterima logik akal.
"Suka la dia beri peluang dekat kau?" Salman menyiku lengannya.
"Eh, of course la bro. Kau tengok aku ni, penat lelah hari-hari berbaloi. Bukan macam kau," jelir Zack bangga.
"Tapi Najla tu kan budak baik. Macam geng-geng masjid je. Macam mana dia boleh terima kau?" Salman berkerut.
"Ayat kau ni memang tak boleh sakitkan hati aku lagi ke?" Matanya mencerlung ke arah Salman.
"Soalan aku betul apa?"
"Dia takdelah terima aku pun. Cuma dia kata... Kalau betul suka dia, dapatkanlah cara baik. Maksudnya, kena jumpa ayah dia dulu." Zack mengeluh halus.
"Hahaha. So? Dia tak semestinya terima kau lagi. Kau tengok anak dia pakai tudung elok macam tu, ayah dia? Confirm berserban. Aku doakan yang terbaik untuk kau."
"Kau ni memang saja kan?" bengang Zack.
"Kebenaran ni memang sakit sikit."
"Kau pun apa kurangnya. Dengan doktor Aisyah? Macam langit dengan bumi. Dia tu doktor, kau ni penganggur. Taste kau memang tak boleh tinggi lagi eh?"
"Wow, main kasar ni. Kau nak gaduh dengan aku?" bahu Zack ditolaknya serta merta.
"Okay, jom. Aku dah lama ni tak gaduh. Kita tengok siapa kahwin dulu. Antara aku dan Najla atau kau dan Aisyah." Zack tersenyum sinis.
"Kalau kau kalah?"
"Kalau siapa kalah, kena basuh pinggan time kendurilah. Hahaha. Aku boleh nampak dah siapa ketua merewang majlis aku."
"Kau nampak? Padanlah tengah tengok cermin. Sebab yang akan menang tu aku." Salman tersenyum riak. Dia tak mahu mengalah dengan cabaran budak mentah.
Separuh hidupnya menjadi abu dan ditiup pergi. Zack menggenggam erat cadar katil di sisinya. Kakinya diluruskan lalu dia menyembam wajah pada bantal. Untuk detik yang berlalu, namanya sedang menjadi taruhan ahli Black Jack. Mat Shah akan memburu dia sebagaimana yang dilakukan kepada Salman.
"Kau takkan selamat selagi kau tak mati. Even kau dapat lari, Mat Shah akan cari kau. Jadi balik kepada plan A kita."
Telefon pintarnya hilang diambil Salman. Segala gambar dalam memori adalah kenangan mereka, turut lenyap begitu sahaja. Dia tak boleh berpatah balik ke rumah lama tetapi meneruskan langkah ini.
"Lepastu? Apa aku nak buat? Tukar nama IC dan hidup macam tak pernah kenal kau?" Senyuman pahit terukir di bibir Zack.
***
Aisyah melihat skrin telefon pintarnya sebelum menolak pintu klinik. Matanya ralik memeriksa notifikasi whats app dengan harapan ada sebahagiannya daripada Salman Firash.
Gadis itu cuba memaniskan muka tatkala berlalu di hadapan kaunter. Dia percepatkan langkah dan berlabuh di dalam ruang kerjanya.
Jarinya mengetuk meja sambil fikiran bercadang mahu telefon lelaki itu ataupun tidak. Jika dilihat jadual kerjanya, petang ini shiftnya akan tamat selepas waktu Zohor. Dapatlah waktu itu digunakan bagi melawat si kecil Ahmad. Lama sungguh dia tidak menjenguk kanak-kanak itu. Mungkin Salman telah melawat tanpa pengetahuannya.
"Dia sibuk kot," bisik hati Aisyah.
Hujung jemarinya mula menyejuk tanpa asbab. Rasa segan untuk menelefon lelaki itu bertapak di hati.
"Keadaan berbeza sekarang ni. Saya tengah lari dari seseorang dan dia mungkin akan cederakan orang yang pernah saya kenal. Saya takde sesiapa dekat sini melainkan Zack, Ahmad dan awak. Jadi, saya tak nak benda buruk berlaku masa saya terlepas pandang."
Bila difikirkan kembali, semalam seharian Salman tidak menunjukkan diri ke kliniknya. Gadis itu menongkatkan dagu dan mengerutkan kening. " Perkara tu dah settle ke?"
Dia sedikit pun tidak faham siapa yang Salman cuba larikan diri. Hatinya tak mahu berburuk sangka. Keluhan halus terbit di bibir munggil itu. Sejak pertemuannya dengan Salman, dia asyik memikirkan lelaki itu. Apa yang berlaku ketika mereka di kolej sehingga Salman berhenti belajar? Kini, apa yang mengejar Salman sehingga sanggup lelaki itu menghantar dia pulang ke rumah seperti bodyguard tak berbayar.
Nama Salman pada kenalan ditenungnya. Lelaki yang beku dan penuh misteri.
KRINGGG
Aisyah sedikit tersentak. Dia meleretkan jari ke atas lalu menekupkan skrin telefon pada telinganya tanpa berfikir panjang.
"Assalamualaikum, siapa ni?" ujar Aisyah seperti biasa. Jam baru ingin melintasi pukul 8 pagi.
"Waalaikumsalam. Ni cik Aisyah ke?"
"Ya, saya. Siapa ni?"
"Kami dari pihak hospital HKL nak maklumkan seorang kenalan cik sedang berada di wad ICU."
"Siapa nama pesakit tu?"
"Kami tak pasti sebab pesakit dijumpai dalam keadaan tiada identiti diri. Hanya nombor dan nama cik sahaja yang kami dapat kesan dari dompet dia. Jadi, macam tu lah."
Mungkin itu pesakit yang pernah datang ke kliniknya dan mengambil kad dari meja ini. "Pesakit tu lelaki ke perempuan? Boleh beri ciri-ciri? Mungkin saya kenal dia."
Pandangan Aisyah jatuh pada timbunan fail pesakit yang tersusun elok di rak. Dia bingkas berdiri dan berlalu ke situ. Satu fail dikeluarkan.
"Lelaki berusia lingkungan lewat 20-an. Pesakit berkulit sawo matang dan mempunyai parut jahitan di bibir. Itu je yang kami dapat beritahu. Selebihnya cik datanglah dan sahkan sendiri."
PAPP
Jarinya bagai terkena renjatan eletrik. Fail yang dipegang tadi telah jatuh mencium lantai. Detakan jantungnya kian laju.
" Kenapa dengan bibir awak tu?"
"Kelmarin saya terlanggar penghadang jalan."
"Ya Allah, teruk ke?"
Gadis itu terus membuat keputusan bagi mendail nombor Salman. Dia mengurut dadanya yang berdegup kencang saat itu. Istighfar di bibir menjadi penenang sambil dia menunggu sabar untuk panggilan itu diangkat. Tak cukup dengan whats app call, Aisyah cuba pula panggilan prabayar.
"Nombor yang anda dail tidak dapat dihubungi. Untuk meninggalkan pesanan suara, sila-"
Sebutir mutiara menuruni pipi kemerahan itu. Dia menyeka air mata sendiri dan cuba lagi mendail nombor yang sama.
"Jawab, Ash. Jawab. Jangan buat saya risau macam ni," rintih hatinya.
20 calls didn't connect
***
upcoming chapter:
"Mana ayah? "
***
almost 2k reads. Thank you reader! walaupun tak ramai tapi bermakna. thanks :)
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro