8 | Kantoi
Aisyah tersenyum gembira apabila pencariannya berakhir. Dia segera melangkah ke arah longgokkan buah mempelam.
Pada hujung bulan begini, Salman dan Aisyah akan ke pasaraya bagi membeli barangan dapur dan keperluan yang lain secara borong. Gaji yang baru masuk akan digunakan untuk belanjawan bulan yang mendatang. Sekali mereka ke pasaraya, beratus ringgit akan habis. Ahmad pula sudah menjadi tugasnya untuk menambahkan lagi barang yang tiada dalam senarai ke troli secara senyap. Tahu-tahu ada saja barang yang tak dikenal pasti.
Aisyah mengambil sebiji mempelam lalu dibawa dekat ke hidungnya. Dia mencapai plastik di penjuru meja lalu kembali ke mempelam yang telah disentuh tadi.
Dia perlu menghilangkan rasa mual dengan apa-apa yang masam. Mempelam pun sedap juga jika ambil yang rapuh.
"Mengandung ke doktor?" sapa satu suara.
Aisyah berpaling wajah. Dia mahu menjawab namun didiamkan sahaja. Buah mempelam itu diletakkan kembali ke rak.
"Wah, dapat baby lagi la. Melimpah ruah rezeki you dengan Salman." Fadzli bersandar pada meja itu. Dia turut mengambil sebiji mempelam hijau. Pasti rasa buah itu masam dan cukup untuk mengubati loya seorang ibu hamil.
"Tak tahu pula orang yang makan buah pelam boleh kena cop mengandung. Kalau Salman makan, dia pun mengandung la?" Aisyah tersenyum sungging sekadar mahu berdalih.
"Salman sihat?"
"Fadzli, dia ada dekat sini. Awak tak patut kacau isteri orang dekat tengah-tengah pasar raya macam ni," balas Aisyah.
"Mana ada kacau. I tegur je alang-alang dah nampak. Salah?" Wajah Fadzli memang sentiasa menjengkelkan di mata Aisyah. Lelaki itu boleh dikategorikan sebagai seorang doktor yang kacak, tetapi tidak pada Aisyah.
"I pun bukan seorang je datang sini. I datang berdua. Alang-alang ternampak you, saja nak tegur. Kalau datang klinik kena halau pula. Dekat pasar raya pun you nak halau I?" Fadzli menyilang tangan ke dada.
"Berdua?" Aisyah melihat di belakang Fadzli. Tiada sesiapa pun. Yang ada hanyalah troli yang dipenuhi beberapa barangan.
"Yes. Salman dah beritahu dekat you siapa I? Mestilah dia beritahu kan?"
"Salman tak cakap apa-apa pun pasal awak dan dia sendiri tak nak ungkit aib orang lain untuk puaskan hati sendiri."
Fadzli tertawa halus. Dia mengesat tubir mata yang berair dek lawak Aisyah dan Salman. "Macam tu? Okay, it's up to him nak beritahu atau tak. Nampak macam you terima je jantan tu. Tak rasa takut ke? Mana ada orang baik ada tatu dekat badan."
"Ada. Orang yang bertaubat."
"Yakin sangat ke taubat dia diterima?"
"Itu urusan dia dengan Allah. Awak takde kaitan langsung dengan suami saya. Jadi, berhenti nak memperlekehkan dia." Aisyah mengetap bibirnya kegeraman.
Lelaki itu agak kagum kerana Aisyah tidak lagi risaukan perihal latar belakang suami. "Macam mana kalau Mikhail tahu pasal Salman? Atau... Doktor-doktor dekat klinik tu tahu pasal suami you? Banyak benda boleh diceritakan ni. Seorang doktor kahwin dengan kaki dadah. Hairan mereka hidup bahagia dan dikurniakan tiga orang anak."
Fadzli melangkah merapati Aisyah."Mungkin ada bayi lain dalam kandungan doktor tu. Tak menyabar betul padahal anak kecil pun tak besar lagi. You ni doktor kan? Tak silap I doktorlah yang selalu menasihati pasangan suami isteri supaya menjarakkan kelahiran anak seeloknya dua tahun. Itu pun kalau nak kurangkan risiko autisme and else. "
***
Harga pada almari itu ditenungnya. Kedua-dua tin susu itu berperisa madu tetapi kenapa harganya berbeza?
Kandungan nutrisi pula dibandingkan Salman. Padanlah, yang mahal ini mempunyai kalsium, zat besi dan vitamin B12 yang lebih tinggi. Patutkah dia tukar jenis susu yang sedang diminum Ahmad?
Salman masih berfikir. Pendapat Ahmad pun diperlukan juga. Buatnya dia tak nak minum susu lain, susah pula.
Lelaki itu menoleh ke kirinya. Dia bercekak pinggang lalu meliarkan mata ke sekeliling. Pantang tinggal sekejap, mulalah nak merayap. Jannah dan Firdaus dipandang Salman.
"Mana abang Ahmad?" soalnya pada bayi itu.
Terkelip-kelip anak berkenaan memandang Salman. Mereka diam di dalam stroller kembar yang menghadap ayahnya.
Larian kecil Ahmad berakhir apabila dia mendakap kaki Salman secara tiba-tiba. Di tangannya terdapat sejenis gula-gula tiub yang dikepilkan bersama permainan.
Salman menarik nafas lega. Dia menundukkan badan lalu mengusap kepala Ahmad. "Adik pergi mana? Kan ayah dah cakap, jalan dengan ayah. Bahaya nanti orang jahat culik adik."
"Adik ambil ni," ujarnya sambil menghulurkan sesuatu.
Gula-gula itu dipegang Salman. Dia membelek pula kandungan nutrisi makanan ringan termasuklah tanda halal JAKIM.
Ahmad menarik senyuman hingga ke telinga. Dia merapatkan kedua-dua belah tangannya kerana teruja. Dipandang Salman dengan kerlipan manja.
"Tak boleh."
"Ayah..." Hati Ahmad teremuk.
"Adik nak gula-gula atau mainan sebenarnya?"
"Nak dua-dua." Tersebek-sebek dia memandang Salman.
"Dalam ni ada gula... Tak elok untuk adik. Gigi adik baru je patah semalam. Kalau makan gula-gula macam ni lagilah tak elok," pesan Salman lembut.
"Tapi..." Matanya sudah berkaca. "Tapi kawan adik dekat sekolah makan okay je..."
"Adik dengar cakap ayah, ya? Jangan ikut orang. Sekarang ni ayah nak beli susu untuk adik. Adik nak yang mana?" Tubuh Ahmad didukungnya lalu dia berdiri tegak berhadapan rak susu formula.
"Ayah selalu tak bagi adik macam-macam..." Ahmad menyedut hingusnya yang tersisa.
"Adik sayang ayah?"
"Sayang," jawab Ahmad.
" Ayah tak suka adik makan benda bukan-bukan sebab ayah sayang adik." Juihan bibir Ahmad disentuhnya. Dia tersenyum kecil.
Kucupan pada pipinya memujuk hati. Ahmad terpaksa akur akan arahan Salman. Dia tahu lelaki itu amat menyanyanginya. Tiba-tiba sahaja dia mendakap tubuh Salman dan merehatkan wajah pada bahu lelaki itu.
"Ayah ambil je lah yang ni. Yang ni macam okay sikit sebab adik tak suka makan sayur," omel Salman. Sebelah tangannya mengambil satu tin susu berperisa madu kegemaran Ahmad. Perisa coklat dan strawberi pula langsung tidak disukai Ahmad.
Salman menurunkan badan anaknya ke bawah." Adik pegang ya susu ni? Ayah nak kena tolak stroller baby. "
Wajah sedih Ahmad masih tersisa. Tin susu itu dibawa Ahmad ke dalam dakapan kecilnya.
"Nanti kita singgah kedai basikal, nak?" tawar Salman. Dia jadi serba salah pula apabila Ahmad sedih begini.
"Basikal?" Ahmad mengangkat wajah.
"Ya. Hari jadi Naufal dah nak dekat. Kita belikan untuk dia sekali. Nanti adik boleh main dengan dia." Salman tersenyum melihat wajah gembira Ahmad.
Usai mengambil susu formula, keluarga kecil itu ingin mendapatkan Aisyah. Troli barang-barang ditolak Aisyah manakala Salman ditugaskan untuk menjaga anak-anak. Dia perlu membiasakan diri sebelum menerima kelahiran bakal cahaya mata. Kelahiran yang tak dirancang. Salman baru berniat untuk menjarakkan kelahiran hingga Jannah dan Firdaus bercerai susu, tahu-tahu rezekinya tiba.
Ahmad berjalan mengikuti langkah ayahnya. Dia memalingkan wajah ke arah rak gula-gula yang disinggahnya tadi. Nafas halus dilepaskan kanak-kanak itu.
"Bye-bye gula-gula," gumam Ahmad. Jodohnya dengan makanan manis tidak dapat diteruskan kerana ayahnya tak merestui. Jannah dan Firdaus nampak seronok berbaring di dalam stroller. Ahmad memandang ayahnya. "Ayah, nanti baby boleh naik basikal dengan adik?"
"Hm... Tunggu baby pandai berjalan dulu."
"Bila tu?"
"Lama juga. Apa kata adik main dengan Naufal dulu," cadang Salman.
Ahmad kembali memandang hadapan. Dia memang teringin untuk memiliki basikal sendiri. Rasanya pasti Naufal gembira jika turut menerima basikal baharu. Ahmad tersenyum sepanjang mengikuti langkah Salman.
" Suka sangat dia," tegur Salman. Mujur duit gajinya masih cukup untuk membeli dua biji basikal kanak-kanak.
Senyuman Salman memudar tatkala melihat isterinya sedang dirapati seorang lelaki. Dia segera menolak stroller itu ke arah Aisyah. Tangan Aisyah ditariknya sementara dia berhadapan dengan lelaki berkenaan.
Aisyah menapak ke belakang Salman. Gadis itu menghalang Ahmad dari terus melangkah. Ahmad mendiamkan diri kerana takut melihat wajah Fadzli. Dia segera menyorok di belakang Aisyah. Jantung kecil itu berdetak laju apabila dijeling Fadzli.
"Wah, Salman. Sihat ya budak yang kau pernah nak jual tu?" ujar Fadzli.
"Aku rasa keluarga aku takde urusan dengan kau. Minta diri dulu," balas Salman. Dia sudah berura-ura hendak pergi.
"Papa," panggil seorang kanak-kanak perempuan bertocang. Kanak-kanak itu datang ke arah Fadzli dengan sebuah senyuman. Di tangannya ada anak patung beruang yang comel.
Fadzli mendukung tubuh kanak-kanak itu. "Anak aku pun dah ajak balik ni. Gerak dulu." Bahu Salman ditepuknya lalu doktor itu beredar bersama-sama trolinya.
Salman memandang Aisyah di belakang. Dia mengusap tangan gadis itu. "Dia buat apa dekat awak?"
Aisyah hanya menggeleng. "Dia cuma cakap bukan-bukan je."
"Hm, takpelah. Lupakan, ya? Jangan layan orang macam tu," Salman menyimpulkan senyuman nipis. Dia turut risaukan keadaan Ahmad yang menyorok di belakang Aisyah sejak tadi.
Tubuh kanak-kanak itu dipeluk Salman.
***
Haikal Razip bersiul tika masuk ke dalam restoran tempat kerjanya. Dia yang baru habis kuliyah merajinkan diri untuk bekerja shift zohor hingga isyak.
Remaja itu melangkah ke bilik air terlebih dahulu bagi menukar pakaian. Sehelai baju merah pekerja disarung pada badan. Cermin matanya dipakai lalu dia meninggalkan beg di dalam loker.
"Kau takde kelas hari ni?" seorang tukang masak di dapur menyapanya.
"Dah habis dah. Abang Zack mana? Kosong je bilik dia." Haikal menarik satu kerusi dan berlabuh di situ. Dia menongkat dagunya sambil memerhatikan Ikhwan menyiapkan pes masakan di dapur.
"Ingatkan semua orang dah ke surau, rupanya si gemuk ni ada lagi," geram hati Haikal.
Lelaki berbadan gempal itu fokus pada kerjanya. Sesekali dia memerhatikan Haikal, pekerja baharu yang diminta Zack bagi diawasi. "Zack sibuk ke hospital uruskan isteri dia."
"Kak Najla, kan?"
"Ya."
"Kak Najla sakit apa?"
"Zack tak beritahu pula. Cuma dia minta kita doakan yang baik-baik."
"Harapnya semuanya berjalan lancar. Kesian abang Zack."
"Itulah, tiba-tiba duit hilang. Lagi serabut dia. Entah siapa yang ambil duit tu sampai tak fikir fikir soal orang lain. Gaji abang pun kena potong padahal abang tak buat apa-apa."
Haikal menjatuhkan kepala beberapa kali tanda setuju. Dia hanya mampu tersenyum sungging.
" Abang, Zohor dah ni. Jomlah solat," Haikal turun dari kerusi dan menapak ke sebelah Ikhwan.
" Okay, sekejap." Tukang masak itu membasuh tangan dan menyimpan segala pes yang baru disediakan. Dia menutup makanan yang terdedah dengan pembalut plastik lalu menanggalkan apron.
Haikal dan Ikhwan menapak ke pintu belakang. Di hujung simpang terdapat sebuah surau.
Baru hendak berjalan ke seberang, Haikal mematikan langkah. Dia memeriksa poket seluar di sisi dan belakang.
"Kenapa?" Ikhwan turut berhenti.
"Phone saya tertinggal atas meja rasanya," cemas Haikal.
"Takpelah, kita solat dulu. Takde siapa pun nak ambil telefon kau."
Haikal menggeleng tidak setuju . "Mana boleh. Saya baru beli phone tu. Abang pergilah surau dulu. Nanti saya datang, okay?" Dia membuka langkah ingin berpatah balik.
Senyuman jahatnya terpahat. Pintu belakang dimasukinya. Bilik Zack ada di situ. Berkunci? Tak kisah sebab Haikal memang sudah mempunyai kunci pendua bilik itu.
Remaja mentah itu menolak daun pintu bilik pengurusnya. Dia tertunduk ke bawah meja. Laci tengah ditarik segera.
Sebuah kotak hitam diletakkan di atas riba. Dia terduduk di lantai. Kunci pendua dimasukkan ke dalam lubang kunci.
"Kenapalah aku ada pengurus bodoh macam ni. Dah tahu duit kena curi, simpan lagi kotak dekat tempat sama,"omel Haikal. Dia berdecit mengenangkan amaran Zack tempoh hari.
Bodoh. Itu perkataan yang selayaknya buat Zack.
Penutup kotak diangkat. Gatal pula tangan ingin memegang duit hingga ratusan ringgit.
Usai mengambil kesemua not kertas, Haikal meletakkan kotak itu kembali ke tempat asal. Dia bingkas berdiri. Duit itu tergenggam erat. Izinkan diri itu untuk merasai nikmat bahagia dengan kemewahan. Telefon pintar baharu itu tidak cukup, dia mahukan lebih lagi.
Mata Haikal membulat apabila Ikhwan berdiri di hadapan pintu pengurus. Lelaki gempal itu mencerlung ke arahnya. Senyuman Haikal kian pudar. Dia terkebil-kebil berlagak tenang.
"Sampai ke sini ya phone kau tertinggal?" Ikhwan melangkah ke arah Haikal. Keadaan bilik itu diperhatikan Ikhwan lalu pandangannya jatuh pada Haikal Razip.
"Bukan, abang Zack minta saya ambilkan barang dia," dalih Haikal.
"Dah lah, budak. Aku pun ada masalah duit juga tapi takde sampai makan duit haram. Kau patut bersyukur Zack terima kau kerja padahal ramai lagi yang mohon. Dia kata dekat aku yang dia kesian dekat kau hari tu," ujar Ikhwan sedikit kecewa.
"Kesian? Kenapa pula?"
"Sebab kau budak kolej. Dia tahu nak hidup dekat kolej swasta kena keluarkan banyak duit. Nak bayar sewa rumah lagi... Kau nak pinjam duit pun dia bagi dengan syarat kau kerja elok-elok dengan dia. Tapi kau bagi sampah dekat dia. Dia dah lah tengah serabut, kau menambah lagi. "
Haikal menekur lantai. Dia tak bermaksud untuk buat begitu pada Zack.
" Beri balik duit yang kau ambil." Ikhwan menghulurkan tangan.
" Tapi saya perlukan duit ni," Haikal berkeras tak mahu.
" Duit haram tak bawa kau ke mana. Cuba belajar dari Zack, mungkin kau akan faham."
Sejumlah duit dirampas Ikhwan. Dia masih kecewa dengan sikap pekerja baharu itu. Lihat saja apa jadi kalau berita ini sampai ke telinga Zack.
***
vote x komen
***
Padan muka Haikal!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro