Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

29| Dia

Kaki lelaki itu dibantu naik ke atas katil seperti kebiasaan malam selepas mandi. Fadzli tersenyum senang. Tubuhnya sudah segar. Mudahnya hendak mandi dengan bantuan gadis muda itu.

Malam menjelma, barulah Mia pulang dari tempat kerja dengan perut boyotnya.

Gadis yang bunting itu mengurut kaki suaminya di birai katil bagi menghilangkan rasa kebas dan agar darah dapat berjalan dengan lancar. Baju jururawat putih pun tidak bertukar lagi dia telah memandikan suami. Hanya tudung sahaja yang sempat ditanggalkan.

Fadzli masih memegang satu album. Di setiap helaian gambar dia menulis satu ayat deskripsi di bawahnya. Pen dakwat hitam utuh di tangan. Apa yang diingati, Fadzli akan turunkan pen.

Amirah & Fadzli, ulang tahun kelahiran Mira yang ke-25

Matanya tekun menilik raut wajah isteri pertama. Jarinya menyentuh gambar seorang gadis bermata hazel. Jiwanya kosong meskipun telah pulang ke rumah selama sebulan. Siang dan malam hanya diluangkan masa bersama-sama album gambar lama itu tika ketiadaan Mia di rumah.

Album ditundukkan sedikit, sesekali matanya mengintai perbuatan Mia. Mia sentiasa ada untuknya. Namun, hatinya berasa masih sayangkan arwah Amirah berbanding gadis muda itu. Cinta untuk Mia ada, tetapi dia sedang terbuai dengan memori lama.

"Abang, kita makan ubat ya?" sapa Mia.

Anggukan kecil diberi.

Fadzli tak banyak bercakap. Dia hanya cuba mengingati cebisan memori yang masih ada untuk mengenali diri lalunya.

"Mia, princess sakit buah pinggang ya?" soal itu terbit di bibirnya. Matanya mengamati satu wajah anak kecil.

"Abang ingat Puteri?" Mia mengambil air kosong dan ubat suaminya. Dia tidak pun menagih kasih Fadzli. Hidupnya masih sama seperti sebelum ini. Hanya menjadi orang gaji, hati Fadzli tiada buatnya.

"Ingat. Dia anak abang dengan Mira. Masa tu abang baru balik kerja, Mira beritahu abang yang dia mengandung. Abang gembira sangat," khabar Fadzli.

Senyuman nipis Mia yang terparmer. Bayi dalam kandungan itu tidak pun diendahkan si ayah. Diusap sahaja, kemudian Fadzli akan kembali pada album gambarnya dan menanyakan beberapa perkara yang tiada kaitan dengan Mia.

"Mira tu... Dia suka makan banyak masa mengandung sampai berisi." Fadzli tertawa halus. Matanya hanya tertancap pada wajah Amirah.

"Iya?" sambut Mia. Sekurang-kurangnya Fadzli sudah banyak bercakap.

"Kadang-kadang kan, abang marah dia sebab dia suka makan lewat malam. Patutlah pipi dia tembam." Album itu ditutup. Lelaki itu gembira ada orang yang mahu bersembang dengannya malam itu.

"Baju dia tak muat, dia pakai baju abang pula." Fadzli kelihatan gembira menceritakan kisah isterinya. Album itu dipeluk tak mahu lepas. Setiap senyuman untuk Amirah, hati Mia menahan perit.

"Abang tengoklah album kahwin kita pula," cadang Mia.

"Tak nak lah. Abang nak ingat balik benda lama. Pasal Mia abang tahu dah. Mia isteri kedua abang yang abang kahwini untuk jaga arwah anak abang," jawab lelaki itu selamba.

"Takpelah kalau macam tu." Mia tersenyum perit. Kehadirannya masih tak dialu-alukan di sini. Perut sudah memboyot pun suami gilakan isteri lama. Silap hari bulan, dia melahirkan anak di dalam bilik sorang-sorang tanpa Fadzli.

Dia perlahan-lahan berdiri. Dilihat kaki sendiri yang telah bengkak dengan kandungan bayi yang berat. Tujuh bulan. Tulang belakangnya pun sudah terasa sakit. Tak siapa mahu bertanya keadaannya.

Tudung putih dan beg sandang di tepi katil diambil.

"Mia, nak tidur dah ke?" Fadzli menjongketkan kening. Belum berasa puas untuk bersembang.

"Ya."

"Mia tidur dalam bilik lain?"

Gadis itu tersenyum. "Kalau abang asyik cerita pasal Amirah, biarlah Mia tidur bilik lain. Pasal dia, semua abang ambil kisah. Pasal Mia?" Mia menggeleng kecewa. Air matanya jatuh menuruni pipi. Dia penat berlagak cekal selama ini.

Damia berlalu pergi ke bilik lain. Sengaja dia tidur berasingan kerana tak mahu Fadzli melihat tangisan itu. Hati dan perasaan dikorbankan untuk Fadzli memiliki ingatan secara perlahan.

Fadzli terdiam.

Dia menekur kakinya yang sudah diurut sang isteri. Album di pegangan diletak ke sebelah bantal.

Mia asyik menangis. Sepanjang Fadzli mencelikkan mata, hanya air mata Mia yang menjadi pengingat utama bagi lelaki itu untuk mengecam Mia. Menangis kerana risaukan Fadzli, menangis kerana sakit kandungannya dan menangisi hati yang perit. Hati gadis itu sememangnya tisu.

Album gambar perkahwinan Mia terletak di rak meja bersebelahan katil. Diletak di situ dengan harapan Fadzli akan mengambil dan melihat wajahnya. Hampa, lelaki itu melekat dengan satu album gambar yang dipenuhi wajah Amirah dan Puteri.

Siang malam hanya menyebut Amirah.

Fadzli & Damia
27 October

Tulisan emas terpahat pada kulit album hitam itu. Jarinya dirajinkan bagi mencapai buku berkenaan. Rambut diraup ke belakang lalu dia menyelak halaman pertama.

"Mia," bisik Fadzli.

Figura seorang gadis dalam persalinan merah delima amat cocok dengan kulitnya. Deretan hantaran berbalut merah hati juga, terselindung hadiah di dalam itu. Fadzli bagai dapat teka apa di dalam bungkusan hantaran kerana dialah yang membeli semua itu buat Mia.

Kerana budi yang Fadzli berikan selama ini, itu yang mengikat Mia untuk terus setia walau tidak disuapkan cinta.

Selang beberapa halaman, terselit pula satu gambar. Ini gambar hari graduasi Mia. Di tangan gadis itu penuh dengan jambangan bunga dan belon helium pemberian Fadzli. Fadzli memang suka menghadiahkan jambangan bunga pada hari yang istimewa. Memori itu membantu Fadzli mengingati karakter sendiri.

Fadzli tersenyum kecil. Mia masih muda lagi nak dibandingkan dengan dirinya. Gambar itu pun baru-baru lagi.

Wajah Mia diamati lama.

Dari anak matanya bersinar keikhlasan. Masih sama dengan mata yang memandangnya setiap hari.

Sekeping gambar Mia berpakaian jururawat ditarik pula. Mia sedang berdiri bersebelahannya di hospital. Dia pula dengan kot putih doktor. Sudah lama Mia mencintai dia.

Hari-hari Mia menangis dalam diam. Fadzli tahu itu.

Kandungan Mia adalah anaknya juga. Namun tak pernah pun dia membelai kasih. Tidur pun berasingan tidak seperti suami isteri.

Kejadian malam dia bersama Mia terlayar di fikiran. Mia begitu mencintainya. Sanggup memakai solekan padahal sedang penat.

"Damia."

Dada sendiri dipegang.

Degupannya ada tika bersama Mia tadi. Rasa hangat kasih sayang juga bersulam sepanjang dia dilayan. Sekarang ini, bilik itu telah sepi.

Fadzli mencapai kerusi rodanya lalu dia menolak perlahan-lahan bagi melihat keberadaan isteri. Gambar perkahwinan mereka kekal di tangan. Apabila pintu dikuak, gelap gelita sudah bilik Mia itu. Cahaya lampu jalan dari luar mengizinkan Fadzli untuk melihat sekujur tubuh yang sedang nyenyak tidur.

"Abang minta maaf," bisik Fadzli lalu menutup pintu kembali.

***

Kerana yang ada depan mata harus dihargai sebelum semuanya menjadi satu memori. Selepas kehilangan, sia-sia saja untuk sesali.

Mia bangkit tidur dengan mata yang sembap. Nafas dihela sendiri. Hendak bangun namun tulang belakangnya sedang sakit. Dia melihat jam pada telefon pintarnya lalu melelapkan mata kembali. Masih ada masa lagi sebelum subuh.

Perutnya diusap lembut.

Sering dia mengingatkan diri agar kekal kuat buat bayi itu. Andai Fadzli sudah tidak mahu mengambil baktinya, dia rela pergi buat selamanya. Mampu untuk menjaga anak itu seorang diri dan menjadi ibu tunggal di usia muda.

Bunyi deringan telefon membuka mata itu kembali. Dia duduk perlahan-lahan di birai katil.

6.00 pagi

Satu hari lagi untuk mengorbankan hati dan jiwa.

Nafas dalam ditarik lalu dia bingkas berdiri menuju ke bilik suami. Gelap sahaja. Suis dipetik, bilik lelaki itu pun cerah sepenuhnya.

Dalam kesakitan pinggang, dia berjalan juga.

Basahan air tumpah di atas lantai menyebabkan telapak kakinya tergelincir dengan sendiri. Sekelip mata Mia jatuh terduduk di atas bumi.

Air matanya mengalir bercucuran. Cuba untuk bangun, namun badannya sakit.

"Abang..." Hanya Fadzli yang diingatinya. Esakan itu menjagakan Fadzli.

Jika dijentik pun Mia akan tetap menangis. Segala perit di hati terkumpul setiap hari. Ditambah pula dengan sakit pada fizikal tubuh.

Perut terus diusap khuatir. Suaminya menuruni katil dan datang kepadanya dalam keadaan mengesot. Dia mendakap tubuh Mia yang ketakutan. Bahu Mia diusap lembut bagi menenangkan gadis itu.

"Jangan menangis," pujuk Fadzli. Rambut Mia diperkemaskan untuk dia memandang.

"Mia takut.." lirih Mia. Dia terlalu sayangkan bayinya.

Fadzli memanjangkan tangan ke katil bagi mengambil dua biji bantal. Satu bantal bagi mengalas kepala isterinya, satu lagi diletakkan di bawah pinggang.

"Sakit dekat mana?" soal Fadzli.

Waktu itu barulah Mia dapat melihat riak risau suami yang sudah lama tidak dipamerkan. Hanya sekali, tika peranakannya jatuh. Fadzli kelihatan benar-benar risau. Dia takut andai tiada zuriat bersama Mia nanti, kerana itulah Mia dihantar ke hospital kemudian ke spa pula hingga tidak lagi sakit.

Cinta lelaki itu selama ini terselindung dengan kenangan lama.

Fadzli memeriksa keadaan tubuh Mia berdasarkan sakit yang diadukan dengan menyeluruh. Perutnya juga diperiksa lelaki itu bagi mengetahui keadaan bayi. Mia diam di sisi, merelakan diri disentuh Fadzli.

Bayi Mia masih selamat. Tiada pendarahan yang berlaku, mujurlah. Cuma rasa sakit pinggang Mia makin menyucuk.

Kepalanya diusap Fadzli. "Jangan menangis dah."

Makin dipujuk, air mata gadis itu terus mengalir.

Fadzli telah pun melupakan Amirahnya saat itu. Dia sedang risaukan Mia. Satu-satunya isteri yang masih ada. Kenangan memanglah bagus untuk kita ingati tetapi tak perlu sampai menyeksa diri.

Tangisan Mia dihamburkan pada dada Fadzli. Pipinya dikesat setiap kali basah dengan air mata.

"Abang ada."

"Mia takut kalau abang tak sayang Mia," bisik Mia. Dia mengecilkan diri dalam dakapan Fadzli.

"Tak, abang sayang Mia," nafi doktor itu. Dia amat bersyukur tiada pendarahan yang berlaku. Bayi pun masih bergerak sihat di dalam kantung.

"Abang silap selama ni sebab cuma ingat balik benda yang dah lepas. Sedangkan Mia lah masa depan abang," bisik lelaki itu.

Tiada apa yang boleh diubah pada masa lalu.

Wajah isterinya diusap cinta.

"Abang sayang Mia. Abang sayang isteri abang." Yang setia menunggu tika dia koma, yang menjaganya setiap siang dan malam tanpa mengeluh. Bodohnya Fadzli untuk mensia-siakan cinta seperti itu.

Mia terdongak apabila Fadzli memaut dagunya. Kerdipan mata membiarkan air mengalir.

" Abang minta maaf, " ujar Fadzli.

"Abang minta maaf sebab sakitkan hati Mia, susahkan Mia, dan macam - macam lagi. Abang nak Mia," tambah lelaki itu. Pinggang Mia dilingkar. Tubuh gadis kecil itu tersandar pada dadanya.

Biarlah cinta Amirah terkubur, asalkan memori kekal ada. Cinta yang kian subur ini adalah untuk Mia, atas kesetiaannya selama bergelar isteri.

" Abang cuma nak Mia," ulang Fadzli. Air matanya beguguran. Dada bergetar menahan sebak. Tubuh isterinya utuh dipeluk.

"Abang nak... Bina hidup dengan Mia. Abang dah tak nak ingat balik semua memori lama. Biarlah ingatan abang hilang. Tapi cinta Mia pada abang tetap ada."

Mia terpejam perit.

"Abang nak cintakan Mia sepenuh hati abang." Suasana subuh itu menjadi detik luahan hati dan saksi segalanya.

"Kenapa abang kahwin dengan Mia sebenarnya?" Gadis itu menyoal. Hatinya sedang menangis.

Khabarkan semuanya. Mia sudah penat hidup dalam teka teki. Kalau cinta, beritahu. Kalau hanya kasihankan dia, lepaskan.

Tubuh Mia ditarik berpaling menghadap Fadzli. Sepasang mata yang sudah penat menangis sedang memandangnya. Pipi Mia diusap lama.

Dahi mereka saling bertemu.

"Sebab Mia berjaya buat abang jatuh cinta sekali lagi walaupun masa tu abang terseksa dengan cinta Amirah," bisik Fadzli.

Mata Mia membulat. Hatinya berdebar kembali.

"Izinkan Abang untuk cintakan Mia dan bawa Mia ke syurga walaupun abang banyak dosa."

Tuhan kurniakanlah cinta
Dia yang mencintai-Mu
Kerana dia adalah
Pilihan-Mu untukku selamanya

***
votexkomen
***
Buku ni memang banyak romance nak compare kan dgn sekuel pertama. Berikan bahagia untuk semua.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro