2 | Mengandung
Enjin kereta dimatikan lelaki itu setelah tiba ke destinasi. Matanya meliar ke sekitar restoran masakan Thailand yang baru dimasukinya. Memang kebiasaan malam, pelangan berduyun datang sampaikan dia perlu mengambil nombor giliran untuk mendapatkan sebuah meja. Satu-satu wajah pekerja dikerling Salman.
"Abang Firash nak makan ke?" Sapa seorang pelayan. Dia tersedar kawan kepada Zack sedang berada di situ.
"Eh, takpe. Nak jumpa Zack je. Dia ada dekat dalam?" balas Salman.
"Ada," jawab pelayan itu sambil membaiki kaca matanya.
Salman memasukkan tangannya ke dalam poket lalu meneruskan langkah hingga ke bahagian dapur. Aroma tom yam menusuk ke dalam rongga hidung, mujur dia sudah makan malam bersama Aisyah di rumah tadi. Daging salai Aisyah untuk makan malam pun tak kurang hebatnya hingga dia menambah nasi.
Semua pekerja di situ menyimpulkan senyuman menyambut kehadiran Salman meskipun sedang sibuk bekerja. Jam dinding dilihat Salman sebelum menjatuhkan pandangan pada wajah seseorang. Lelaki itu hampir tidak sedar akan kehadirannya.
"Sibuk ke, bang?" tegur Salman.
Zack yang sedang melihat pergerakan kerja di dalam dapur sedikit terkejut. Dia berkerut kening sambil mengintai ke arah luar. Nampaknya Salman berseorangan hari ini. "Bila kau datang? Tiba-tiba je ada ni?"
"Baru je tadi. Nanti lepas tutup kedai jomlah lepak dulu." Salman tersenyum nipis melihat wajah kusut Zack.
Zack sekadar mengangguk lalu bersalaman dengan Salman. Dua tiga hari juga dia tidak menampak raut wajah lelaki itu. "Kau minumlah dulu dekat luar. Nanti siap kerja, aku datang." Bahu Salman ditepuknya.
Kesibukan di dapur itu tidak mengizinkan Salman untuk berdiri lama-lama di tengah-tengah laluan. Dia mengangkat kaki ke luar untuk mendapatkan sebuah meja kosong. Mujur masih ada setelah dicari dengan bantuan pelayan di situ.
Lelaki berkulit sawo matang itu menongkat dagunya. Pelik pula bila tiada Najla yang bertugas di kaunter bayaran. Mana gadis Siam itu agaknya. Mungkin Zack telah menyuruh gadis itu berhenti bekerja selepas mengetahui yang isterinya sedang hamil anak kedua.
Salman tersandar pada kerusi plastik itu. Segaris senyuman diberikan pada pelayan yang menghidangkan minumannya. Tak silap, ini remaja berkaca mata yang menyapa di pintu masuk tadi.
"Abang Firash sorang je ke? Tak datang dengan kak Aisyah?" Ramah pula pelayan lelaki itu. Salman memandangnya atas dan bawah. Raut wajah melayu asli itu diamati seketika.
"Kita kenal ke?" Gelas air kelapa muda itu diambil Salman selamba.
"Abang tak kenal saya kot. Saya selalu nampak abang lepak dengan abang Zack bila habis kerja. Jadi saya tanya la abang Zack pasal abang," sengihnya dengan kaca mata berbingkai hitam. Pipinya turut naik sekali apabila tersenyum meskipun tubuh pelayan itu tidak gempal.
Salman menebak usia remaja itu. Dari gaya penampilan seakan pelajar universiti. Pasti usianya dalam awal 20-an. "Nama kau apa?"
"Haikal."
"Pekerja baru ke? Aku tak pernah nampak pun muka kau ni." Salman mengerutkan kening sekadar ingin berbasa basi.
"Ya, baru lagi dalam awal bulan."
Panggilan dari dapur menyentakkan Haikal. Dia sedar banyak lagi kerja di dapur, boleh pula bersembang kosong dengan pelanggan.
Haikal mengusap belakang lehernya sambil tersengih. "Saya minta diri dulu."
"Sekejap-" Tahan Salman. Lelaki itu mengeluarkan dompet lalu satu not berwarna hijau dihulur kepada pelayan baharu itu.
"Apa ni?" Haikal terpinga-pinga apabila Salman menghulurkan wang. Dia memeriksa poket seluar bagi mengeluarkan duit pecah. Harga secawan air kelapa muda hanyalah RM3. 50. "Kalau nak bayar, kena habis minum dulu. Tapi boleh je nak bayar sekarang."
"Ni bukan duit air aku. Ni duit tips untuk kau. Ambil lah, pergi sambung kerja. Terima kasih." Salman tersenyum kecil melihat wajah gembira Haikal. Semoga rezekinya dimurahkan sekali.
Air kelapa itu disedut perlahan-lahan. Malam masih muda buat seorang lelaki bernama Salman. Dia terhibur melihat reaksi anak-anak di meja makan restoran itu. Baru satu jam berpisah dengan Aisyah dan anak-anak, sudah terdetik rasa rindu. Rindu nak gomol pipi Firdaus dan Jannah, rindu nak jawab pertanyaan kemahiran berfikir aras tinggi dari Ahmad dan rindu nak bermanja dengan isteri tanpa gangguan.
Gelas panjang itu menampakkan dasar yang dipenuhi dengan isi kelapa muda setelah hampir satu jam berlalu. Salman mula menikmati isi kelapa. Pelanggan restoran beransur pergi apabila jam hampir melewati angka 11 malam.
Memang Atiqah Najla tidak muncul langsung buat hari ini. Salman menghelakan nafas halus. Senyumannya terukir saat Zack melangkah ke arah mejanya.
Dia segera mempersilakan lelaki itu.
"Banyak kerja kau?"
Soalan Salman berlalu dibawa bayu malam. Wajah kusut Zack masih tak berubah seinchi pun. Lelaki itu menarik kerusi dan melabuhkan punggung di hadapan Salman Firash dalam keadaan galau.
"Kenapa ni, bro? Cerita dekat aku kalau ada masalah," tegur Salman.
"Najla." Zack hanya memerhatikan pekerja yang lalu lalang di restoran itu. Bibirnya terketap seolah ada sesuatu yang berlaku. Sepatah nama itulah yang membuatlan dia jadi begini.
"Kenapa dengan isteri kau?"
"Aku bawa dia pergi hospital siang tadi. Kau tahu kan... Pregnancy test dia positif. Siang tadi dia demam, muntah-muntah. Aku risaukan dia, Man. Doktor buat ultrasound."
"Dan?" Salman agak hairan. Dapat khabar gembira pun muka boleh kusut macam ni ke?
Lama Zack mendiam sebelum membuka mulut. Mata hitamnya dibawa memandang raut Salman. "Dia tak mengandung," ujar Zack seraya menggeleng.
"Zack, jangan sedih," pujuk Salman.
"Ada cyst dalam ovari dia," suara Zack kian perlahan. Dia sudah berkaca mata memandang Salman. Air mata lelaki itu mengalir setitis lalu pantas dia menyeka.
"Zack, semua ni datang dari Allah. Doalah Najla akan baik-baik je."
"Nanti esok lusa aku kena bawa dia jumpa doktor lagi untuk check serius ke tak cyst dia tu. Aku takut, Man. Macam mana kalau dia tak boleh mengandung dah?" Zack menekur meja makan. Fikirannya bercelaru sejak pulang dari hospital petang tadi. Selera makan turut menghilang kerana memikirkan perihal Najla di rumah.
"Janganlah fikir bukan-bukan. Kau lelaki, kau suami dia. Kalau kau dah fikir macam ni bayangkan macam mana Najla fikir. Perempuan ni kaya dengan perasaan. Kau jangan tunjuk sedih depan dia, nanti dia lagi sedih."
"Sebab tu lah aku menangis depan kau...," lirih Zack. Dia tak mahu Najla melihat sisinya yang lemah. Tangisan Zack semakin lebat di meja yang agak terpinggir dari pekerja lain. Ada juga sepasang dua mata yang memandang tetapi mereka cepat-cepat menyambung kerja kerana dijeling Salman. Inilah jelingan yang ditakuti Ahmad hingga tersebek-sebek anak itu dibuatnya.
"Aku sayang Najla. Aku rasa aku gagal jadi suami dia..." ujar Zack.
"Apa pula kaitan? Kau dah jaga dia elok-elok selama ni. Naufal pun membesar dengan baik. Mana istilah gagal yang kau dapat ni?" keluh Salman.
"Entah." Dia tak mahu bertikam lidah saat sedih membaluti hati.
Salman tersenyum nipis melihat Zack. "Sekarang ni kau fokuskan kesihatan Najla je. Jangan ungkit-ungkit soal tak boleh mengandung depan dia sebab kita tak tahu lagi keputusan doktor. Boleh jadi cyst dia tak serius macam yang kau sangka. Aku dan Aisyah akan doakan kau. Kalau perlukan apa-apa, beritahu je aku. Pukul satu pagi pun aku sanggup tolong kau. "
Ayat-ayat Salman memujuk hati seorang suami itu. Air matanya dikesat dengan telapak tangan. Dia terlalu sayangkan Najla dan Naufal. Dua nama itu telah terpahat dalam hatinya hingga untuk melihat dua insan itu tergores sedikit pun Zack tidak sanggup.
" Kau dah takde apa-apa kerja, kan? Baliklah jaga Najla. Dia tengah demam lagi? "
" Hm... Maghrib tadi dah kebah." Wajah Zack masih suram. "Mata aku merah tak?"
"Tak sangat. Najla tak perasan pun la kau menangis." Terus Salman tertawa halus. Risau sangat maruahnya tercalar hanya kerana Najla melihat tangisannya.
"Kau tahu kan aku sayang dia," gumam Zack. Dia segan diketawakan Salman.
"Aku pun sayang Aisyah," laju Salman membalas. "Kalau kau dah okay, aku nak balik juga ni. Esok aku ajak Aisyah datang melawat Najla. Jangan nangis-nangis."
Zack memaksa bibir untuk menyimpulkan senyuman. Sarat di hatinya terasa lengang sedikit berbanding tadi. Dia tak punya mana-mana kawan baik melainkan Salman.
Tubuh Salman dipeluk Zack tika lelaki itu berdiri. Salman masih tertawa. Zack ini memang cengeng meski sudah bergelar suami. Tapi bukan salah Zack juga, dia berhak untuk menangis kerana insan yang disayangi. Zack mana ada keluarga di sini. Lelaki itu hanya ada Najla dan keluarga mertuanya.
***
Kedengaran tawaan halus dari mulut kecil itu. Setiap kali Salman mengucup ceruk lehernya, pasti Firdaus akan terkekek kerana geli. Kaki dan tangannya terkapai-kapai di udara ingin bermain padahal malam sudah lewat.
"Ni kenapa tak nak tidur lagi ni..." Pucuk hidung Firdaus dicuit Salman. Firdaus masih terkekek ketawa tanpa menunjukkan tanda-tanda mengantuk. Perut bayi lelaki itu disapu minyak oleh Salman sebelum membiarkan Ahmad bermain dengan adiknya.
Punya bersengkang mata, Ahmad masih meniarap di sebelah Firdaus dengan beberapa mainan di atas katil. Dia suka bayi itu tertawa kerana usikannya. Satu anak patung ikan dibawa menutup wajah, kemudian Ahmad akan mengalihkannya bagi mengejutkan Firdaus. Mulut Firdaus tersenyum lebar lalu dia cuba untuk menyentuh wajah Ahmad kerana teruja.
Perubahan perangai Ahmad diperhatikan Salman dan Aisyah sejak bayi kembar itu dilahirkan lapan bulan yang lalu. Aisyah memandang Salman dengan senyuman manis. Wajah Ahmad diperhatikan mereka buat seketika. Sifat abang dalam diri Ahmad mula menampakkan diri meskipun sifat manjanya masih tidak berubah. Siapa anak manja dalam rumah itu jika bukan Ahmad Yusuf?
Riba Aisyah yang kosong tanpa Jannah diambil Salman. Jannah telah terlelap awal lagi dan sedang enak berbaring di katil bayi. Dia merehatkan kepalanya di situ sambil menatap wajah Aisyah. Seraut wajah yang putih bersih dan menenangkan hati apabila dipandang. Lensa matanya selesa untuk disajikan wajah cinta hati tanpa jemu. Rahang Salman dielus gadis kesayangannya dengan lembut. Bau losyen dari tapak tangan Aisyah turut membelai dia.
"Abang, adik tu tak tidur lagi. Dah lewat dah ni. Esok kan sekolah," ujar Aisyah.
12 malam.
"Hm?" Salman terkelip-kelip memandang Aisyah. Keningnya terjongket sebelah.
"Adik tu kena tidur. Firdaus pun. Awak pun sekali. Nanti awak nak kerja," ulang Aisyah. Dia berhenti mengusap wajah Salman.
Getaran notifikasi mengganggu Salman daripada terus bermanja.
Tangannya dipanjangkan ke bantal sebelah sana lalu dia menghidupkan telefon. Dikerling mesej dari satu nombor misteri.
"Siapa tu?" tegur Aisyah. Dia cuba mengintai paparan telefon pintar Salman.
"Entah. Salah nombor kot." Tanpa menghiraukan mesej itu Salman bermalasan bangkit dari riba isterinya. Dia merapatkan diri ke arah Ahmad dan Firdaus. Tubuh kanak-kanak lima tahun itu ditariknya tak semena-mena lalu bersandar pada kepala katil.
"Ayah... Adik nak main dengan baby," rengek Ahmad. Firdaus pula tersebek-sebek apabila abangnya hilang. Dia hampir menangis di situ namun cepat didodoikan Aisyah.
"Tidur." Salman menutup pandangan Ahmad dengan telapak tangannya. Satu telapak tangan sudah cukup untuk menutup keseluruhan wajah Ahmad.
"Ayah..."
"Tak dengar, tak dengar. Tidur," Salman memotong. Dia memeluk tubuh Ahmad tak mahu dilepaskan.
"Ayah ni..." cebik Ahmad.
Salman tertawa halus melihat juihan bibir merah Ahmad. Tangannya dialihkan dari menekup mata anaknya. "Tidur ya sayang. Ayah penat ni." Ubun-ubun Ahmad dikucup sekilas.
"Nak tidur dengan ayah," pinta Ahmad. Matanya bersinar-sinar memandang Salman.
Bayi Firdaus sudah diam di dalam dakapan Aisyah.
"Tanya ibu dulu," putus Salman.
Aisyah tersenyum kecil apabila Ahmad memandangnya dengan muka seposen. "Tidur je la, sayang."
Hujung bibir Ahmad ternaik kedua-duanya. Dia mendepakan tangan lalu mendakap tubuh Salman serta merta. Mulalah tu nak manja dengan ayah dia.
Bayi-bayi itu diletakkan ke atas katil kecil di sisi katil utama. Mereka sedang tidur sambil dikepung beberapa bantal di kiri dan kanan. Selimut berkait nama Jannah dan Firdaus membaluti tubuh kesayangan Aisyah itu. Kelopak mata cahaya matanya telah terkatup rapat. Sayang sekali lensa Jannah dan Firdaus tidak berpigmen hazel seperti Aisyah. Bayi itu mempunyai sepasang mata hitam yang luas bak Salman Firash.
Aisyah terpaku di sebelah katil anaknya. Dia mengusap pipi berisi milik Jannah dan Firdaus. Kedua-dua bayi itu kuat meminum susu, itu yang badan mereka gebu sebegini. Kening Firdaus dielus Aisyah pula. Kening yang terukir elok seperti Salman juga. Kadang-kadang dia mengungkit, kenapa yang penat melahirkan itu dia tetapi kedua-dua anaknya lebih memiliki raut wajah Salman.
"Sayang, sinilah tidur," panggil Salman.
Aisyah mengangguk kecil. Dia naik ke atas katil lalu menyelesakan diri di bantal berdekatan Salman. Ahmad tersenyum-senyum memandang Salman dan Aisyah di kiri dan kanannya.
"Adik dah ucap dua kalimah syahadah?" soal Aisyah.
"Dah," jawab Ahmad.
"Dah doa tidur?" Aisyah menarik comforter menutupi tubuhnya dan Ahmad.
"Belum," jujur Ahmad. Ahmad menadah tangannya dan membaca doa tidur hasil hafalan sendiri. Kalimah yang tertinggal diingatkan Aisyah lalu sempurnalah doa itu. Cepat-cepat Ahmad mengaminkan doa.
Dengan satu petikan, bilik itu gelap serta merta. Ahmad mendakap tubuh Aisyah erat kononnya ketakutan. Ada sahaja akalnya.
Salman terduduk di birai katil. Lampu tidur pula dibuka lalu dia menyusupkan diri di bawah selimut.
"Esok tak boleh tidur dalam bilik ni tau. Adik tidur dalam bilik adik," pesan Salman.
"Tapi... Adik sayang ibu dan ayah." Wajah Ahmad merundum sedih serta merta. Dia lebih suka tidur dalam keadaan begini. Ada Salman dan Aisyah yang menemaninya.
"Ayah pun sayang adik. Tapi ini kan bilik ibu dan ayah. Nanti kalau baby dah besar pun kena tidur bilik sendiri juga," balas Salman.
"Hm. Kalau macam tu adik nak jadi baby. Boleh tidur dalam bilik ni hari-hari," gumam Ahmad. Dia sangkakan Salman dan Aisyah tidak mendengar namun dengan keadaan serapat ini bisikan sekali pun boleh ditangkap.
Salman dan Aisyah masing-masing menahan ketawa.
"Yela, sayang. Tidur ya, dah lewat ni." Aisyah mengucup dahi Ahmad sekilas. "Niat tidur Lillahi Taala." Tak jemu Aisyah mengingatkan Ahmad. Biar nanti tidurnya akan menjadi satu ibadah.
Sekali lagi getaran SMS diterima Salman.
Salman mencapai telefon pintarnya dengan kerutan. Aneh orang zaman sekarang masih menggunakan SMS sedangkan boleh saja berhubung melalui whats app. Kotak masuk mesej dibuka Salman untuk melihat dua mesej dari nombor yang sama.
"Siapa ni?" bisik hati Salman. Ini bukan SMS daripada telkom.
from: unknown number
Dua tiga kucing berlari,
Mana nak sama si kucing belang,
Dua tiga boleh ku cari,
Mana nak sama anak seorang.
Mula-mula Salman hanya mahu abaikan mesej itu. Namun, mesej kedua membuatkan dia jauh berfikir. Nombor itu dilihat Salman.
from: unknown number
Hari ini pergi jumpa Zack.
Esok lusa, siapa tahu?
"Abang?"
Panggilan Aisyah menyedarkan Salman. Dia segera mematikan telefon itu.
"Kenapa ni?" Aisyah memandang suaminya.
Pertanyaan itu dibalas dengan gelengan. Salman kembali berbaring mengiring menghadap Aisyah dan Ahmad. Dia memyimpulkan senyuman tak mahu fikir yang bukan-bukan.
"Selamat malam, Aisyah," lafaz Salman.
Ahmad telah terlelap di tengah-tengah pelukan. Manja sangat anak ayah yang seorang ni.
"Selamat malam juga. Maafkan salah silap Aisyah. Assalamualaikum," ujar Aisyah separuh berbisik.
***
vote x comment
***
komen la sikit 🐈🌻 boost this story yg baru nak up ni
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro