19| Jaga II
"Ayah demam lagi?" soal Ahmad. Telapak tangannya dilekapkan pada pipi Salman. Dia didudukkan bersebelahan ayahnya di atas katil setelah dimandikan Zack. Wajah bimbangnya mencuit hati si ayah.
Salman hanya menggeleng sambil tersenyum. "Ayah tak demam la. Ayah cuma nak rehat je." Telapak tangan Ahmad dikucupnya.
Mungkin Ahmad sudah lupakan kejadian semalam. Dia kelihatan lebih risaukan Salman yang terlantar di katil hospital sepanjang hari. Tika dia mencelikkan mata pun Salman masih berdengkur halus di sebelah. Penat sangat agaknya. Zacklah yang memandikan Ahmad selepas subuh tadi.
"Adik ada lukis sesuatu dekat sekolah. Tapi...," Malang sekali beg sekolahnya entah ke mana, lukisan pun lagilah hilang jejak. Sia-sia sahaja dia merembeskan imaginasi untuk melukis.
"Adik lukis gambar ayah dengan ibu ya?"
Mata Ahmad membulat. "Mana ayah tahu?"
"Lukisan adik ada dalam kereta ayah. Ayah simpan."
Ahmad tersenyum gembira, terselit rasa bangganya. "Ibu dah tengok juga?"
"Belum, ibu sakit. Dia kena rehat. Ahmad jangan buat bising dekat ibu tau," pesan Salman lembut sambil mengusap rambut anaknya. Rambut Ahmad tidak sempat disikat Zack. Entah ke mana rakannya itu menghilang.
Kini, hanya Ahmad dan Salman sahaja berdua di katil.
"Baby?"
"Baby ada dekat rumah dengan pak long." Pipi Ahmad dielus kasih. Salman masih tak dapat berhenti mengucapkan kesyukuran kerana anaknya baik-baik sahaja selepas apa yang berlaku. "Adik jangan ikut orang sesuka hati dah lepas ni. Ayah tak suka."
Jari kecil Ahmad melakar kosong di atas cadar katil. Wajahnya menunduk ditegur begitu oleh Salman. Pasti dia akan dimarahi selepas ini.
"Ayah tak marah pun. Ayah cuma pesan. Jangan dah, ya? Ayah sayang sangat dekat anak ayah." Tubuh anak itu ditarik lebih dekat lagi dengan sebelah tangan, agar dapat dipeluk tanpa mahu lepas.
"Adik sayang ayah, kan?" soal Salman. Ahmad berbaring disebelahnya. Wajah suci itu terdongak memandang.
"Jadi... Jangan tinggalkan ayah, ya?" pinta Salman.
"Adik nak jaga ayah. Adik boleh dukung ayah kalau ayah tak larat nak bangun." Ahmad kasihan melihat tubuh ayahnya yang lebam sana sini.
Terus Salman tertawa halus. Tubir matanya berair. "Badan awak tu kecil mana nak angkat ayah?"
Ahmad memuncung apabila pucuk hidungnya ditarik Salman. Terasa dirinya sedang dipandang rendah begitu sahaja.
"Adik boleh suap ayah makan. Macam ayah selalu buat dekat adik... Adik boleh mandikan ayah. Banyak lagi adik boleh buat. Adik dah besar," gumam Ahmad tidak puas hati. Dia juga ada dua orang bayi nak dijaga, rasanya itu cukup untuk membuktikan kehebatan diri.
"Tak payah besarlah. Ayah nak adik kecil je macam ni." Salman tersenyum nipis.
"Ayah takut adik tinggal ayah?" Tepat sekali tebakan Ahmad.
Sekali lagi Salman tertawa. Dia sekadar menyimpulkan senyuman. Memang pun dia risaukan saat indah seperti ini berlalu pergi. Dari Ahmad kecil dia telah menjaganya bagai menatang minyak yang penuh. Bagi Salman, Ahmad lah hidayah yang diberikan Allah untuk menjentik egonya. Kerana kehadiran anak kecil ini, dia mula mengorak langkah untuk berhijrah.
"Man, Aisyah cari kau. Tadi aku pergi jenguk dia." Zack melangkah ke arah katil itu. Matanya ralik melihat makanan yang baru dibeli tadi. "Kau nak apa? Ada mee goreng dengan nasi goreng telur mata."
"Bagi nasi gorenglah. Ahmad tak makan pedas."
Zack terduduk bersebelahan kaki Salman. Dua bekas kotak makanan dikeluarkan daripada jinjingan plastik.
"Aisyah macam mana tadi?" soal Salman. Ahmad tidak mendengar apa-apa dah, fokusnya hanya pada mee goreng yang dibuka Zack. Bau mee goreng menusuk hidung kecil Ahmad lalu perut itu berkeroncong kelaparan. Terkelip-kelip dia memandang Salman.
"Kejap lagi kita makan, ya?" bisik Salman kepada Ahmad. Tubuh anak kecil itu ditepuknya perlahan.
"Dia nampak okay daripada semalam. Cuma dia tanya mana kau. Aku serba salah nak jawab kau dengan Ahmad. Takut dia terasa. Kau tahu perempuan ni macam mana kalau lepas bersalin... Sama la macam kalau tengah haid. Emosi dorang tak stabil lepas hilang darah."
Salman tahu itu. Tak apalah, lepas kenyangkan Ahmad dia perlu melawat Aisyah pula. Kasih sayangnya perlu dibahagikan sama rata. Tak mahu ada hati yang berkecil.
"Jomlah makan. Adik kata nak suap ayah, kan?"
Tersengih-sengih kanak-kanak itu. Dia tak pandai juga sebenarnya nak suap orang. Makan sendiri pun boleh tumpah satu meja, inikan pula nak beri orang makan. Bekas nasi goreng disambut baik Ahmad setelah bangkit duduk.
Salman tersenyum melihat wajah anaknya yang sedang terkial-kial menyudu nasi. Keningnya terjongket sebelah menanti makanan itu.
"Kau dah okay? Sakit lagi?" Zack menikmati mee goreng panasnya terlebih dahulu. Dia sempat membersihkan diri di tandas sebelum kembali ke sini.
"Dah rehat ni rasa okay sikit la. Aku rasa dah boleh jalan sendiri dah," balas Salman. Dia cuba untuk duduk bersila di situ. Rasa badannya sedang memulih. Bahagian kepalanya dipukul hingga berdarah namun tidaklah hingga menyebabkan gegaran kepada otak. Kedua-dua belah tangannya ditilik, lebam sahaja yang ada.
"Ayah." Peha Salman dicuit Ahmad. Satu sudu nasi goreng disuakan ke arah ayahnya.
***
"Sayang dah susukan Firdaus dan Jannah?" soal Salman. Kekura tangannya disambut si isteri dengan secebis senyuman. Aisyah mengangkat wajah kembali setelah bersalaman dengan suami.
"Aisyah dah pam susu lepas subuh tadi. Along ada datang, baru je dia pergi bawa baby kita. Abang sibuk ke? Pergi mana tadi? Aisyah ingat ke abang tak nak datang..." Aisyah memandang Salman.
"Zack ajak makan tadi. Maaflah," senyum Salman. Dia bermain jari dengan isterinya. Aisyah masih ditahan dan perlu masukkan air ke dalam tubuh selepas pembedahan D&C.
Jari yang sedang menyentuh tangannya dilihat. Naik ke pergelangan tangan, kesan pukulan terpampang di mata Aisyah. Aisyah sedikit terkejut. "Abang, kenapa tangan abang lebam? Muka pun macam baru lepas kena belasah..." soal Aisyah.
Salman mengerutkan keningnya. "Kan abang dah beritahu semalam?"
"Mana ada..."
"Awak tak ingat apa-apa?"
"Tak," geleng Aisyah. Penangan ubat bius dan ubat tidur memang telah membuatkan dia hilang dari dunia realiti. Lagi-lagi selepas makan antibiotik.
Kepolosan wajah Aisyah membuatkan Salman tersenyum nipis. "Awak sakit lagi dekat rahim?"
"Tak. Cuma rasa sakit mild je." Jarinya bersulam dengan lelaki itu. Hingga sekarang badannya masih sengal-sengal, jari kaki pun sering kejang. Termasuklah belakangnya yang sakit seperti baru lepas melahirkan anak.
"Baguslah."
Aisyah berat hati melihat Salman lebam sana sini. Namun, Salman pula ibarat tidak kisah dan masih membelainya dengan penuh kasih.
Gadis itu masih tidak tahu perihal cubaan penculikan Ahmad. Dia masih terpinga-pinga melihat keadaan suami sendiri. Lihatlah bibir Salman, hujungya merah kerana pecah. "Abang, siapa buat abang macam ni?"
Salman mengetap bibir. Kekura tangan Aisyah yang ditusuk branula dipandangnya lama. Hati itu berat untuk memberitahu kebenaran. Dia tak mahu Aisyah jadi susah hati sedangkan kesihatan gadis itu belum pulih lagi. "Ada orang pukul abang semalam. Dah, jangan risau. Abang okay je," yakin Salman.
"Dah buat laporan polis? " Tangan Aisyah naik mengusap rahang suaminya. Apabila hujung bibir itu disentuh, Salman menjarakkan wajah kerana sakit.
"Sakit ya?" soal Aisyah. "Sini Aisyah nak tengok."
Salman diam di situ. Membiarkan diri diperiksa doktor halalnya. Dahinya yang berjahit ditilik Aisyah pula. Tak cukup dengan itu, Aisyah memeriksa sejauh mana badan suaminya berlebam. Hinggalah jari runcing itu mendarat berdekatan belakang bahu Salman, Salman meringis kesakitan.
Satu keluhan terbit di bibir si isteri. "Abang, teruk ni. Saya nak balik rumahlah. Biar saya yang rawat abang sampai sembuh," omel Aisyah. Sampai teruk macam ni, ini bukan bergaduh biasa. Pasti ada objek keras yang digunakan untuk memukul Salman.
Aisyah makin tak senang duduk.
"Ya Allah..." Mata Aisyah terbuntang disajikan belakang lelakinya yang berjahit dan masih bengkak. "Abang, siapa buat ni?" Matanya mula berkaca.
Baju yang terselak itu diturunkan Salman kembali. Dia duduk elok di hadapan isterinya. Mata Aisyah telah bergenang.
" Semalam ada orang cuba nak culik Ahmad."
Tangan Aisyah perlahan-lahan dijatuhkan. Tekaknya berpasir. Dia memandang Salman tidak percaya. "Culik?"
"Ya. Ada orang nak culik Ahmad. Abang cuba selamatkan dia, inilah yang jadinya."
" Mana Ahmad?"
"Ada dengan Zack. Dah... Sayang jangan risau. Abang boleh jaga dia," pujuk Salman. "Abang boleh jaga keluarga abang. Selagi abang ada nyawa, selagi tulah abang akan jaga semuanya. Aisyah jaga diri, biar cepat sihat. Abang tak kuat kalau tengok isteri abang terlantar atas katil hospital."
Pujukan Salman membuatkan gadis itu mengangguk lemah. Matanya menekur. Terdiam saja tak mampu untuk mengatakan apa-apa. Dia berbaring dengan perasaan yang berbaur.
"Aisyah tak sedap hati," bisik Aisyah.
"Abang jaga Aisyah malam ni. Jangan takut, ya?"
Mujurlah semalam Aisyah tidak diapa-apakan. Dalam masa yang sama dia mahu juga menjaga Ahmad. Perasaan seorang ayah itu mula berbelah bahagi. Sama ada akan kekal tidur bersama Ahmad pada malam ini atau beralih kepada Aisyah yang telah tidur berseorangan semalaman.
***
Usai discharge dan membuat pembayaran, Salman dan Zack kembali menaiki lift untuk ke bilik Aisyah. Ahmad pula ada di dalam dukungan Zack.
Sesekali Salman mengerling wajah rakannya.
RM2000 sahaja untuk pembedahan D&C Aisyah. Tak termasuk lagi dengan sewa bilik yang menempatkan isterinya. Zack kata dia mahu bayar kos perubatan Aisyah.
Ahmad dan Salman telah dibenarkan untuk discharge kerana mereka berdua hanya perlu berehat dan tidak perlu bantuan perubatan yang lain. Katil di hospital pun ramai lagi nak guna. Jadi selepas Maghrib juga mereka mendaftar keluar.
"Zack, Najla tak kisah kau tak balik malam ni?"
"Dia faham," Zack tersenyum. Tidak mengapa, Najla itu isteri yang solehah. Dia tidak akan mempersoalkan tindakan Zack selagi tidak bertentangan dengan syariat Islam.
"Moga nanti Allah kurniakan kau rezeki yang melimpah ruah."
"Amiiin," laju sahaja Zack mengaminkan. "Takpe ke malam ni aku duduk sekali dalam bilik tu?"
"Kenapa?" Mereka berdua melangkah ke luar lift.
"Aku segan la," Zack mengusap belakang leher.
"Aku dengan Aisyah je pun. Tambah dengan Ahmad sekali."
"Yelah, tapi aku ni macam mengacau daun je tak tahu nak buat apa. Kau dengan Aisyah tengah berdating, aku pula jadi patung? Tak naklah."
Salman tertawa sahaja. "Ahmad pun ada sekali. Bila masa pula aku nak berdating?"
Pandangan Zack jatuh pada Ahmad yang makin lemah kerdipan matanya. Mungkin mengantuk barangkali. "Anak kau nak tidur dah ni."
Salman turut memandang wajah Ahmad yang terlentok kepalanya.
"Macam ni lah. Aku duduk luar. Bila Aisyah dah tidur, aku masuk dalam. Okay?" Zack tak mahu menyegankan Aisyah yang mahu bersama Salman. Lagipun dia sedang rindukan Najla. Daripada tengok suami isteri sedang bermesra, baik dia buat video call dengan Najla. Sekurang-kurangnya lepas juga rindu di hati itu.
"Okay, boleh je." Angguk Salman.
Daun pintu bilik Aisyah ditolak Salman. Dia melangkah ke arah katil isterinya dengan secalit senyuman.
Tubuh Ahmad dibaringkan ke sebelah Aisyah apabila gadis itu memberi ruang. Seperti yang dijangka, Salman akan duduk di kerusi dan menemani isterinya. Ahmad berada di tengah-tengah sebagai pemisah. Siapa sahaja tak sayang isteri yang sedang berpantang?
Masa inilah nak pakaikan kaki isteri dengan stoking, nak urut betis yang kebas, nak bagi sokongan moral dan bermacam lagi. Memang hairanlah kalau Zack duduk jadi tugu di situ.
Tak perlu pun sesiapa memberitahu, Zack tahu untuk memberi ruang privasi. Lelaki berkenaan perlahan-lahan beredar meninggalkan rakan baiknya. Dia tersandar di dinding luar.
Telefon pintar dikeluarkan lalu satu nombor didail. Sepanjang menunggu panggilan terjawab, kakinya melangkah di laluan koridor kemudian berpatah balik ke hadapan bilik Aisyah. Dia bermundar-mandir di tempat yang sama.
"Assalamualaikum, Najla."
"Waalaikumsalam."
"Awak okay? Ada apa-apa yang mencurigakan?"
"Takde pula. Semuanya okay. Cuma Naufal asyik tanya mana awak. Awak jaga diri ya? Saya tak sedap hati bila tahu awak nak tidur sana lagi."
"Nak buat macam mana, Salman kan kawan saya? Dia pun dah banyak kali selamatkan nyawa saya. Awak jangan risau, saya baik-baik je dekat sini. Selagi awak ada untuk doakan saya, saya okay je..."
"Ada pula macam tu."
Zack tertawa halus. Dia kembali bersandar pada dinding. Perbualannya akan terus bersambung selagi azan Isyak tidak berkumandang. Kadang-kadang dia tersenyum sendiri tika berbual dengan kekasih hati.
Lelaki itu mengangguk kecil apabila ada seorang jururawat melintasinya. Kopi percuma diambil sahaja.
" Mak sihat? "
" Alhamdulillah, sihat. Mak rindu awak."
"Iya? Jangan reka cerita, Najla."
"Takkanlah saya nak tipu suami sendiri."
Bibirnya mula mencicip kopi panas itu. Senyuman manis Zack terukir mendengar khabar Najla. Puan Asma sudah mula berlembut hati dengannya.
"Awak tak rindu saya?"
"Mestilah rindu."
"Tunggu saya balik nanti. Jaga diri. Saya sayang awak," lafaz Zack. Sayupan azan Isyak menjengah ke gegendang telinga.
Mata yang sudah berair dikesatnya dengan kekura tangan. Zack terkelip-kelip melihat waktu yang masih awal namun dia telah menguap berkali-kali.
Langkah itu dibawa ke surau di aras bawah bagi menunaikan solat terlebih dahulu sebelum kembali berjaga demi Salman.
***
vote x komen
***
okay tunggu esok pula jadi apa huhuhu. jadi apa eh?
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro