14 | Rezeki
"Awak, awak tahu tak kawan awak tu tengah sakit?" Najla memandang suaminya. Dia yang bertudung litup itu sudah lama hendak menyuarakan tentang keadaan Salman dan Aisyah. Malam ini mood Zack seakan sudah pulih. Kesibukan mereka menjaga Puan Asma membenarkan lelaki itu untuk melegakan amarah perihal kemalangan Naufal dan Ahmad.
"Sakit apa?" Zack mengangkat wajah. Hujung keningnya digaru perlahan. Kawan yang dimaksudkan Najla sudah tentu si Firash yang asyik disebut ibu mertuanya selama ini. Itu saja kawan lelaki yang dikenali Najla.
"Dia demam dah masuk tiga hari," ujar Najla. Aisyah yang khabarkan tentang keadaan Salman kepadanya buat dua tiga hari ini. Al-Quran itu dibawa ke dalam dakapan sesudah dibaca.
"Biarlah dia. Nanti dia sihatlah. Salman tu bukannya lembik sangat. Awak tak payahlah kisah pasal dia." Rasa bencinya pada Salman masih tersisa. Dengan betis Naufal yang membiru, panas pula hati lelaki itu. Salman baik? Hidup lama-lama dengan dia, tahulah baik buruk Salman Firash itu.
"Dia memanglah akan sihat. Tapi kesian Aisyah nak kena jaga anak-anak dia lagi. Dia tak pergi kerja dah tiga hari sebab nak jaga Salman. Lagipun Aisyah tengah mengandung. Saya risaukan kandungan dia tak kuat lagi kalau asyik buat kerja berat. Siang tadi dia ada mengadu yang perut dia sakit. Saya risau..." luah Najla ikhlas dari lubuk hati. Dia sangat risaukan keadaan Aisyah yang terpaksa menghadapi segalanya seorang diri. Keluarga Aisyah tinggal agak jauh dari mereka. Untuk melihat Aisyah, Najla perlukan juga keizinan dari Zack.
Wajah sayu Najla menjentik ego Zack. Zack akhirnya melepaskan keluhan. Matanya beralih melihat betis Naufal yang sudah beransur pulih sejak kejadian tempoh hari. Kemarahannya menjulang kerana asyik dibandingkan dengan Salman Firash. Terasa diri itu hina di mata Puan Asma.
" Salman dah pergi hospital?" Setinggi mana pun ego, dia tidak boleh berlaku kejam terhadap sahabat sendiri.
"Aisyah kata dia bawa pergi klinik je lepas tu Salman minta balik rumah. Saya letak Al-Quran sekejap ya?"
Hati itu mula berbelah bahagi. Zack mengetap bibirnya lama mengenangkan perbuatannya yang mengabaikan Aisyah tempoh hari. Wajahnya diraup lalu dia terbaring ke atas katil.
"Kita pergi melawat dia esok, nak?" Najla kembali mendapatkan suaminya. Dia menyimpulkan senyuman kepada Zack.
"Awak, saya jahat ke?" Zack lemah, hatinya asyik berbolak balik.
"Kenapa pula?"
"Saya cemburu dengan rezeki kawan sendiri. Saya iri hati dengar isteri dia hamil." Zack telah mendoakan keburukan untuk Salman selama ni kerana mahu melihat lelaki itu buruk di mata Puan Asma.
"Jangan la macam tu, ya? Dia kan kawan baik awak." Najla menanggalkan tudungnya lalu dia duduk bersimpuh di sebelah Zack.
"Tahu." Benarlah dia telah berlaku kejam pada Salman. Beberapa hari yang lalu dia telah terdetik alangkah bagusnya andai kandungan Aisyah gugur. Nauzubillahi min zalik. Takut detikannya akan menjadi kenyataan. Salman sedang sakit di rumah, Aishah pula terkapai-kapai menguruskan rumah tangga.
Lengan direhatkan pada dahi. Zack diserbu rasa bersalah yang teramat. Dia tak mampu menerima diri yang telah mengharapkan mudharat ke atas Salman sekeluarga.
"Zack, pergi kahwin dengan Najla. Kau dah sampai sini dah, jangan patah balik pula."
"Kau tu?" Zack memeluk lututnya rapat ke dada.
"Aku kena uruskan Ahmad. Takpelah kau kahwin dulu pun. Aku tak kisah. Lagipun siapa je nak aku, kan?" Salman ketawa halus.
Zack menarik nafas dalam. Dia tidak dapat menimbang kebaikan lelaki itu padanya selama ini kerana hasad dengki. Habis perbuatan Salman jadi salah di mata.
"Dia pregnant. Dah dua bulan."
Wajah Salman tersenyum juga mendengar khabar itu. Bahagia Zack turut menjadi kebahagiaan buatnya.
"Apa ni? Dah lah kau kahwin awal. Kau dapat anak awal?"
Padahal yang dikurniakan zuriat awal ialah dia. Dia yang dapat merasai nikmat menjadi seorang bapa lebih awal daripada Salman. Salman pula bersabar menanti rezeki sendiri yang entah bila akan tiba selama dua tahun lamanya. Sedikit pun rakannya itu tidak mencemburui akan kelahiran Muhammad Naufal malah anak itu dijaga seperti anaknya sendiri.
"Aku dan Aisyah akan doakan kau. Kalau perlukan apa-apa, beritahu je aku. Pukul satu pagi pun aku sanggup tolong kau."
Zack menyepikan diri di dalam pelukan Najla. Dia tidak tahu mahu menangis atau apa. Dibiarkan saja diri itu ditenangkan isteri buat seketika. Hatinya sarat memikirkan salah sendiri. Mungkin benar Salman ada salahnya tetapi itu tidak akan menghapuskan kebaikannya selama ini.
"Saya jahat, kan?" Mata Zack berkaca. Bibirnya mengoyak senyuman hambar. Perlahan-lahan air mata jatuh berguguran.
"Iman kita memang naik turun. Nanti awak minta maaf pada dia esok, ya? InsyaaAllaah segalanya akan baik." Kepala Zack yang tersembam padanya diusap.
Zack masih tidak dapat memaafkan diri sendiri jika apa-apa terjadi pada Salman.
"Kau dah macam adik aku, Zack. Aku tak kisahlah kalau kau nak minta tolong aku. Aku minta maaf sebab asyik menyusahkan kau selama ni."
"Nanti kita melawat dia esok," putus lelaki itu.
Segalanya yang telah dilalui bersama takkan boleh terpadam hanya kerana iri hati. Dia perlu menjaga Salman sebagaimana lelaki itu telah menjaganya sepanjang 10 tahun tempoh berkenalan. Dari zaman hingusan hingga berkeluarga, Salman masih setia menjadi rakan baiknya. Baik buruk dirinya tidak pernah diungkit Salman walaupun dia yang asyik menyusahkan lelaki itu.
"Ya Allah, jagakan Salman Firash sekeluarga untuk aku," bisik hari Zack.
***
Cengkaman pada lengan Salman mengejutkan lelaki itu dari lena yang panjang. Salman bingkas bangun melihat Aisyah terduduk di sebelahnya dalam kegelapan malam. Lelaki itu memegang kepalanya yang sakit, telapak tangan sendiri dapat merasai panas tubuh yang masih belum kebah.
3 pagi.
Air mata Aisyah berguguran sewaktu itu. Kesakitannya teramat pada bahagian rahim sejak tadi. Dia tak mampu berbuat apa-apa melainkan menahan sakit itu sendiri. Salman masih belum kebah demamnya, jadi ditahan saja sakit itu dari menggerakkan lelaki itu. Namun, dia tidak kuat. Lengan Salman digenggamnya erat.
"Aisyah?" Salman melekapkan tangan pada wajah Aisyah hingga isterinya terdongak memandang.
"Sakit..." lirih Aisyah. Dia masih melinangkan air mata kesakitan. Sakitnya mencengkam seperti waktu dia hendak melahirkan bayinya. Hanya Tuhan yang tahu betapa sakit dia terpaksa tanggung.
Cengkaman pada lengan Salman sejak tadi bagi menahan rasa sakit itu. Mula-mula rasa sakit hanya beberapa minit kemudian berpanjangan hingga saat ini. Dia mula teresak-esak apabila dipeluk suaminya. Nafasnya tercungap-cungap apabila kesakitan itu semakin hebat. Peluh dinginpada dahinya dilap Salman dengan telapak tangan.
"Zack, tolong aku. Cepat datang rumah aku. Aisyah sakit, aku tak boleh nak bawa kereta sekarang ni." Panggilan dimatikan.
Air mata lelaki itu mengalir tanpa sedar. Dia terus memeluk isterinya sepanjang Aisyah mengerang kesakitan. Rasa dirinya tidak berguna saat itu.
"A-abang. Aisyah rasa a-ada ketulan daging keluar-" Aisyah masih tercungap-cungap. Nafasnya tidak menentu alunan. Peluhnya merembes keluar membasahi wajah hingga ke ceruk leher.
"Sabar ya, nanti Zack datang." Salman mengusap wajah isterinya lembut. Kepala Aisyah disandarkan pada dadanya.
"Sa-sakit..." Adu Aisyah lagi. Linangan air mata menemaninya pada malam itu. Dia merelakan diri sahaja apabila Salman menyarungkan tudung padanya.
Panggilan telefon diangkat Salman menandakan sahabatnya telah tiba. Dia menguatkan langkah ke pintu hadapan untuk membenarkan Zack masuk. Tiga hari demam, tiga hari juga dia tidak berkudrat. Penumbuknya digenggam bagi menguatkan diri. Pintu rumah dibukanya lalu dia berlari anak ke pagar rumah. Perkarangan rumahnya diterangi cahaya lampu kereta Zack. Lelaki itu sedang menunggu di hadapan pagar rumah bersama-sama Najla.
"Mana Aisyah?" Soal Zack cemas. Salman dipandangnya atas dan bawah.
"Dalam bilik," balas Salman. Dia memejamkan mata erat apabila dunianya menjadi gelap seketika. Tangannya terpasak pada hadapan kereta Zack bagi menahan tubuh dari terlorot jatuh ke tanah.
Tanpa berlengah Zack pergi mendapatkan Aisyah yang terduduk di atas katil. Tubuh gadis itu dicempungnya dan diletakkan ke sebelah tempat duduk pemandu. Dia hanya memikirkan keselamatan Aisyah saat itu dan menolak tepi soal lain.
Najla terkedu melihat wajah pucat Salman. Lelaki itu mengalirkan air mata sepanjang menunggu Zack kembali bersama-sama Aisyah. Dia hanya mampu berdoa segalanya akan jadi baik-baik sahaja.
"Anak-anak aku..." ujar Salman kepada Zack.
Zack meraup wajah kasar. Dia ingin cepat membawa Aisyah ke hospital saat itu tetapi takkanlah nak tinggalkan anak-anak Salman berseorangan di rumah?
"Najla, awak tengokkan anak-anak Salman ya? Nanti saya datang balik." Dahi Najla dikucup suaminya.
Zack dan Salman meloloskan diri ke dalam kereta setelah menyerahkan kunci rumah pada Najla. Dua pemuda itu bertarung dengan masa untuk cepat sampai ke unit kecemasan hospital. Kereta Zack dipandu membelah angin malam.
Tiba di ruang legar hospital, Zack mencempung tubuh Aisyah bagi menyerahkan kepada petugas hospital. Gadis itu sudah kuyu matanya saat dibaringkan ke atas katil.
"Man, kau okay tak ni?" Lengan Salman dibawa ke belakang lehernya.
"Aku nak duduk," ujar Salman.
Dia sedang bergelut dengan demamnya sejak tadi lagi. Dalam masa yang sama, rasa bimbang pada Aisyah tak mampu dikawal. Air matanya mengalir di bahu Zack.
"Anak aku, Zack..."
Leher dan dahi Salman dirasai Zack. Memang panas, suhu badan kawannya sedang mencanak naik. Dia membiarkan lelaki itu menangis di bahu sementara tangannya mengusap belakang lelaki itu.
"Sabar, Man. Allah yang tentukan rezeki kita," pujuk Zack. Dia tidak pernah melihat Salman selemah ini. Salman menangis tidak berbunyi. Mukanya semakin membahang. Kulit sawo matangnya telah disulam dengan kemerahan padahal selama ini wajah Salman jarang sekali memerah.
Zack memanggil seorang jururawat bagi memeriksa keadaan Salman. Salman yang sudah lesu dibawa pergi untuk menerima rawatan. Dia terpaksa melepaskan Salman, jika tidak demamnya pula akan melarat teruk.
Zack terduduk di ruangan menunggu. Dia menekur lantai sambil menitiskan air mata.
"Ya Allah, berikan yang terbaik untuk sahabat aku," rintih hati Zack. Jika baik untuknya anak itu gugur, terserah pada Engkau. Limpahkan rahmatMu buat Salman dan Aisyah. Kami hanya mampu menerima.
Air matanya segera dikesat apabila seorang jururawat memanggil nama Aisyah Qomar. Dia hadir ke dalam untuk berjumpa dengan doktor. Ketiadaan Salman sebagai suami membuatkan Zack dijadikan wakil. Tanda tangannya diturunkan apabila doktor itu mengatakan mahu membuat pembedahan bagi mengeluarkan sisa janin yang masih berada dalam rahim Aisyah Qomar. Gugurnya tidak sempurna, sisa-sisa tisu yang tinggal mungkin boleh menyebabkan pendarahan yang berpanjangan dan jangkitan kuman jika tidak dikeluarkan.
Zack mengizinkan sahaja setelah mendengar risiko andai dilakukan Dilation & Curettage ke atas isteri sahabatnya.
Aisyah gugur. Usia kandungannya 11 minggu. Degupan jantung janin itu telah lama berhenti.
Rezeki itu milik Allah. Kebahagiaan yang ada hanyalah pinjaman sementara. Bersyukur selagi punya masa.
***
vote x komen
Rezeki manusia siapa yg tahu :)
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro