Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 9

"Una tak bergurau dengan umi dan mak ngah, kan?" Puan Azra sudah tidak senang duduk. Riak tenang anak gadisnya itu dipandang bersama kerutan.

Aireen menggeleng.

"Una serius, umi."

"Masalahnya, Una kenal ke dengan budak Adam tu? Rasanya baru sekali aje kan Una nampak dia?" Mak Cik Liza mengasak pula.

"Una kenal dia."

Puan Azra dan Mak Cik Liza melongo.

"Kenal gitu-gitu aje bukan kenal in person. Sebenarnya Una dah beberapa kali nampak dia dan setiap kali itu Una nampak dia di rumah Allah. Di masjid atau di surau." Kata-katanya terhenti. Puan Azra dan Mak Cik Liza dipandang silih berganti.

"Una sukakan dia kerana agama dia, umi, mak ngah. Sebabnya, bukan senang nak jumpa lelaki seperti dia pada zaman sekarang. Masih berpegang kuat pada agama dan nampak begitu sopan penampilannya."

"Una selalu minta pada Allah supaya pertemukan Una dengan lelaki yang beriman kepada Dia dan mungkin pertemuan-pertemuan itu adalah petanda dari Allah untuk Una bahawa dialah lelaki yang Una cari dan layak menjadi pendamping dan pembimbing Una."

Teringatkan perbualan dengan anak saudaranya itu, Mak Cik Liza hela nafas. Dia baru sahaja merancang untuk menemukan Aireen dan Adam tetapi tiba-tiba dia dikejutkan dengan permintaan begitu pula. Susahnya, Aireen menyuruh dia yang menjadi orang tengah untuk menyampaikan hajatnya. Haih! Payah... Payah!

Dari duduk, Mak Cik Liza terus berdiri. Apa yang perlu dia lakukan? Terus ke rumah keluarga Adam dan merisik? Haih! Malu pula dia. Maklum la, dia kan dari pihak perempuan.

"Una... Una... Kenapalah bikin kepala mak ngah jadi pusing macam ni? Nasib baiklah kamu tu anak saudara kesayangan mak ngah, Una. Kalau tidak, memang tak kuasa mak ngah hendak layankan kehendak kamu tu," bebelnya sambil mundar-mandir di ruang tamu rumahnya.

"Ngah buatlah apa yang ngah mampu. Kalau budak Adam tu menolak pun sekurang-kurangnya kita dah sampaikan hajat Una."

Kata-kata adik perempuannya menyapa pula.

Aduh! Dia pula yang tersepit sekarang. Gambar Aireen yang diberikan adiknya di atas meja dikerling. Lama gambar itu dipandang sebelum gambar itu dicapai.

"Demi anak saudara mak ngah yang seorang ini, mak ngah akan usahakan sampai berjaya," tekadnya. Berani Adam hendak menolak anak saudaranya? Bukannya Aireen tak ada rupa malah kerjanya juga bukan sembarangan. Bukan Aireen ingin berkahwin dengan Adam untuk menumpang hidup senang tetapi sekadar ingin berbahagi kasih sayang. Itu sahaja.

Nekad dan tidak terus menunggu di situ, Mak Cik Liza terus keluar menuju ke keretanya. Masuk sahaja ke dalam perut kereta, keretanya terus dipandu menuju ke rumah keluarga Adam yang berada tidak jauh dari lorong rumahnya. Sampai sahaja di rumah keluarga Adam, kereta diberhentikan dan dia terus keluar.

"Assalamualaikum... Ros!" laung Mak Cik Liza sebaik berdiri betul-betul di hadapan pagar rumah dua tingkat milik keluarga Adam. Pagar yang berkunci itu ditolak-tolak agar mudah didengari.

"Assalamualaikum... Rosss!" Laungannya semakin dikuatkan.

"Waalaikumussalam..." Hajah Rosnah yang sedang sibuk memasak di dapur terus terkocoh-kocoh keluar. Sebaik terpandangkan Mak Cik Liza di pintu pagar rumahnya, dahi dikerutkan.

"Liza... Hai, pagi-pagi dah sampai rumah aku ni kenapa?" soalnya hairan. Langkah terus dibuka menuju ke pintu pagar.

"Aku ada hal nak bincang dengan kau ni, Ros. Penting sangat ni," ujar Mak Cik Liza beria-ia.

"Amboi... Bukan main lagi tu... Ha, mari masuk dulu. Kita bincang dekat dalam," pelawa Hajah Rosnah sebaik pagarnya dibuka.

Mak Cik Liza mengangguk dan terus mengikut Hajah Rosnah masuk ke dalam rumahnya.

"Kau duduk dulu. Biar aku buatkan air."

"Haih, tak payah susah-susah, Ros."

"Eh! Apa susahnya? Nampak gaya macam nak bincang lama. Nanti tengah sedap-sedap bincang kalau haus dah malas aku nak ke dapur." Hajah Rosnah lepaskan tawa.

"Hurm... Ikut suka kau la. Kalau nak buat air, aku nak air teh panas, ya?" Mak Cik Liza terus duduk.

"Tak naklah sangat, kan tapi bukan main demand!" Tawa kecil Hajah Rosnah terhambur dan dia terus berjalan menuju ke dapur.

Mak Cik Liza ketawa sahaja digiat begitu. Setelah menunggu seketika, Hajah Rosnah muncul semula.

"Ha, minum. Lepas tu baru kita bincang apa yang penting sangat tu," pelawanya sebaik dulang air diletakkan di atas meja.

Dengan senyuman, gelas air teh di atas meja dicapai dan terus dihirup.

"Ha, apa citer?" Hajah Rosnah terus bertanya sebaik jirannya itu meletakkan semula cawan ke atas meja. Melihat dari gaya seperti ada hajat besar sahaja.

"Gini, Ros. Aku datang ni sebenarnya ada bawa hajat."

Hajah Rosnah tergelak kecil. Hurmmm... Sudah dia agak.

"Hajat nak minang siapa? Azwin?" soalnya.

"Haish! Ada pula budak mentah tu nak dikahwinkan. Biorlah dia habis belajar dulu, Ros oiii! Haish! Kau ni pun." Mak Cik Liza geleng kepala.

"Habis tu kau nak minang siapa, Liza? Anak aku yang tinggal pun cuma Adam dengan Azhar aje. Si Azhar pun dah nak bertunang lepas raya nanti. Takkan kau nak meminang Adam pula?" Tawa Hajah Rosnah bersambung lagi. Lebih galak dari tadi.

"Kalau aku kata memang aku datang nak meminang Adam, macam mana?" Mak Cik Liza jongketkan kening.

Spontan itu tawa Hajah Rosnah terus mati. Mak Cik Liza dipandang tidak berkelip.

"Hummm... Terkejut, Cik Ros? Tadi bukan main lagi gelak, kan?" Giliran Mak Cik Liza pula yang ketawa. Amboi, tadi bukan main galak gelakkan dia. Bila dia berterus terang, ha... Terkedu!

"Kau jangan nak main-main, Liza." Air muka Hajah Rosnah terus berubah. Demi Tuhan, tak percaya dia dengan apa yang baru didengarinya itu.

"Apa pula aku nak main-mainnya, Ros? Aku serius ni," ucapnya bersungguh.

"Untuk siapa? Anak kau, Fatihah?"

"Uishhh! Ada pula untuk Fatihah. Budak tu masih berhingus lagi, Ros."

"Habis, siapa?"

"Untuk anak saudara aku, Husna."

Hajah Rosnah terdiam. Otak ligat memikir anak saudara Mak Cik Liza yang mana satu.

"Alaaa... Tak payahlah kau nak susah-susah mikir, Ros... Ni aku tunjukkan gambar dia. Gambar terkini. Baru ambil minggu lepas. Tak ada nak Photoshop atau nak edit-edit guna kamera 360 bagai. Ini memang original. Macam mana gambar, macam gitulah orangnya." Gambar Aireen yang dibawa tadi terus diserahkan kepada Hajah Rosnah.

Hajah Rosnah tergelak. Geli hati mendengar kata-kata sahabatnya itu. Gambar yang dihulurkan tadi diambil.

"Hurmmm... Anak siapa ni?" soalnya bersama kerutan di dahi.

"Anak adik aku, si andak tu. Alaa... Kau kan ada jumpa masa kenduri rumah aku hari tu."

"Yang doktor pakar sakit puan tu?" Bulat mata Hajah Rosnah bertanya. Seakan-akan tidak percaya pula dia.

"Haaa... Anak adik aku yang itulah."

Hajah Rosnah terdiam. Gambar yang diberikan oleh Mak Cik Liza direnung.

"Cantik budaknya," pujinya bersungguh.

"Hoiii... Mestilah. Anak saudara aku, kan." Sengih Mak Cik Liza melebar. Mak saudaranya pun cantik juga, sambungnya dalam hati memuji diri sendiri. Haha!

"Apa kerjanya?" Hajah Rosnah mula mengorek cerita.

"Anak saudara aku ni pun doktor juga. Pakar bedah. Umurnya dah tiga puluh tahun."

Tercengang Hajah Rosnah sebaik mendengar jawapan Mak Cik Liza. Seorang gadis yang sehebat itu meminang anak terunanya? Biar betul?

"Perempuan cantik, bekerjaya bagus, takkan pilih anak aku pula? Takkan dia tak ada calon lain?" Hajah Rosnah menduga.

Laju Mak Cik Liza gelengkan kepala.

"Confirm tak ada," jawabnya bersungguh.

"Aku ni sebenarnya Ros cuma sampaikan hajat anak saudara aku aje. Katanya, dia dah banyak kali terserempak dengan Adam dekat masjid. Dan sebab itu jugalah dia memilih Adam sebagai bakal suami kerana dia yakin Adam mampu untuk membimbing dia. Aku ni pun suka dekat Adam tu, Ros. Baik sangat budaknya sebab itulah aku tak teragak-agak meminang Adam untuk anak saudara aku tu walaupun apa yang kami buat ni mungkin sedikit melangkaui adat, kan?" Panjang lebar Mak Cik Liza buka cerita. Manalah tahu hasil puji-pujian dia terbuka pintu hati Adam menerima lamaran anak saudaranya.

"Haih! Aku ni Liza, tak kesah sebenarnya tapi masalahnya Si Adam tu. Aku pun tak tahulah perempuan yang macam mana yang dia mahu. Puas dah kami ni kenalkan calon tapi semua tak menjadi," keluh Hajah Rosnah kecewa.

"Tak apa, Ros. Kita ni cuba aje. Kalau ada jodohnya, adalah. Kalau tak ada, maknanya bukan jodoh merekalah tu."

Hajah Rosnah mengangguk.

"Nanti kau bincang dengan Bada dan Adam. Kami tak paksa tapi kalau Adam setuju, alhamdulilah. Kami pun nak pilih yang terbaik aje untuk Husna." Mak Cik Liza berbahasa lagi.

"Insya-Allah, Liza. Bagi aku masa untuk bincang perkara ni anak-beranak. Perkara ni bukan perkara kecil. Jadi banyak benda nak kena fikirkan."

"Boleh aje, Ros. Aku tak beri tempoh masa tapi kalau kami dapat jawapan seberapa cepat lagi bagus. Maklumlah, benda baik buat apa nak tangguh-tangguh. Aku pun harap sangat Adam terima lamaran kami ni. Memang nampak macam pelik tapi Siti Khadijah pun boleh meminang Nabi takkan anak saudara aku tak boleh meminang Adam?" Sengih Mak Cik Liza terukir lagi. Memang tak paksa tapi memang gayanya seakan-akan memaksa. Heh!

"Yalah. Cepat aku dapat jawapan, cepatlah aku beri keputusannya. Tapi janganlah mengharap sangat ya, Liza. Adam tu kan pelik sikit."

Mak Cik Liza mengangguk.

"Itu kau janganlah risau. Kami terima apa pun keputusannya dengan tangan terbuka. Ada jodoh, bersaudaralah kita. Kalau tidak pun kita tetap bersahabat dunia akhirat."

Hajah Rosnah mengangguk sedang di dalam kepala bingung memikir bagaimana hendak menyampaikan lamaran itu kepada anak terunanya itu. Entah bagaimanalah penerimaan Adam nanti.

"Aku dah sampaikan niat Una tu, ndak. Sekarang ni kita tunggu ajelah apa jawapan belah lelaki." Beria-ia Mak Cik Liza bercerita sebaik dia keluar dari rumah Hajah Rosnah.

"Ngah rasa Adam terima tak lamaran Una?"

Mendengar resah suara adiknya di talian, Mak Cik Liza hela nafas. Tentu adiknya itu juga mengharap dengan ikatan itu. Maklumlah, dia sendiri pun pernah cuba menjodohkan Aireen dengan Adam sebelumnya.

"Insya-Allah ndak, kalau dah memang jodoh dia orang. Kita doakan aje yang terbaik," balas Mak Cik Liza tidak mengeyakan atau menidakkan.

Puan Azra mengeluh perlahan.

"Jangan risau sangat aih! Beritahu Una tenang-tenang aje. Percayalah dengan rahsia Allah. Kalau Adam menolak, pasti Allah akan temukan Una dengan lelaki yang lebih baik lagi," pujuknya.

"Yalah. Terima kasih ngah tolong uruskan perkara ni. Dan maaflah menyusahkan ngah."

"Allah, kalau aku tak tolong, siapa lagi? Lain kali jangan cakap macam tu lagi, aku tak suka. Kita adik-beradik. Una anak buah aku. Tentulah aku nak yang terbaik untuk keluarga kita," bebelnya.

Puan Azra terdiam sahaja sedang dalam hati tidak henti berdoa agar ada keputusan terbaik buat anak gadisnya. Semoga Allah bukakan hati Adam untuk menerima Aireen. Doanya dalam hati.

Amin... Amin... Amiiin!

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro