Bab 5
Gadis yang bernama Liyana itu dipandang tanpa perasaan. Entah kenapa sejak tadi rimas dia dengan perlakuan gadis itu. Bicaranya, tawanya, senyumnya seakan-akan dibuat-buat bukan seikhlasnya dari hati. Nampak macam mengada-ada pun ya juga. Sama sahaja dengan pelajar-pelajar perempuan yang tergedik-gedik mengurat dia.
"Air untuk Abang Adam." Liyana lempar senyum. Semakin meleret dari tadi. Air teh tarik yang baru dibuatnya diletakkan di hadapan calon bakal suaminya itu. Ketika diberitahu tentang kedatangan Adam dan keluarganya ke kampung, dia cuak juga. Bimbang andai lelaki yang dicanang-canang Hajah Maimon itu tidak seperti yang digambarkan. Tetapi sebaik wajah lelaki itu menerpa pandangannya, hati terus terpaut. Bukan hanya kepada rupanya sahaja tetapi dengan jawatan yang disandangnya.
Bekerja sebagai pensyarah tentulah lumayan gajinya. Dengar cerita dari tok wan pula, kalau berkahwin dengan lelaki itu semuanya sudah disediakan. Kereta, rumah malah Adam turut memiliki sebidang tanah di kampung mereka. Hurmmm... Lelaki berduit begitu tentulah dia tidak akan menolaknya.
Adam berdeham.
"Terima kasih," ucapnya perlahan. Hajah Rosnah yang sedang tersenyum memandangnya dikerling sekilas. Hurm... Tentu emak suka sekarang melihat calon bakal menantu yang rajin begitu. Selepas ini tentu melambung-lambung emaknya memuji.
"Air mak cik, pak cik," pelawa Liyana sopan. Orang kata, hendak memikat anaknya tentulah kena pikat kedua-dua ibu bapanya dulu, bisiknya sambil simpan senyum.
"Terima kasih, Yana. Allah, baiknya kamu. Rajin pula tu," puji Hajah Rosnah. Sejuk hatinya memandang gadis itu.
"Mahu tak rajin, Ros. Makan tengah hari tadi Si Yanalah yang masak. Mak cuma tengok-tengokkan aje. Dah ditegah tapi dia tetap nak buat juga. Kira rezeki kamu anak-beranaklah dapat merasa masakan bakal orang baru," celah Hajah Maimon membangga diri. Calon pilihan dia tentulah bukan sembarangan. Tengok sahajalah cucu menantu pilihannya yang seorang lagi, tip top semuanya. Serba-serbi pandai.
"Betul ke mak, Yana yang masak? Sedap." Hajah Rosnah memuji lagi. Gadis yang sedang tersenyum simpul di sebelah ibu mentuanya dikerling. Rupa ada, pandai pula buat kerja-kerja dapur. Hurmmm... Memang sesuai sangatlah dengan Adam, getus hatinya.
Adam dan Haji Badaruddin berpandangan sambil simpan senyum.
"Ala, Yana bukannya pandai masak sangat pun, mak cik. Setakat masak simple macam tu bolehlah. Lagipun Yana memang dah biasa masak dekat rumah. Maklumlah, Yana kan ada ramai adik-beradik," balas Liyana malu-malu.
"Haaa... Inilah calon pilihan yang terbaik kalau nak dibuat bini, Dam. Rajin, pandai masak, cantik dan belajar pun pandai." Adam dipandang beria-ia.
Senyum Liyana semakin meleret. Bangga dirinya dipuji begitu.
Adam hanya berdeham sahaja. Langsung tidak membalas kata-kata tok wannya itu. Malaslah dia hendak melayan lebih-lebih nanti terperangkap susah pula dia.
"Yana sekarang dah kerja?" Hajah Rosnah mula mengorek rahsia. Yalah, kalau perancangan perkahwinan itu berjaya, tentulah gadis itu terpaksa tinggal di Kuantan nanti.
"Belum, mak cik. Tengah tunggu panggilan dari mana-mana hospital."
"Oh! Ada minta hospital mana?"
"Banyak juga. Dekat Kuantan pun ada juga." Adam dikerling. Melihat riak kaku lelaki itu, senyum lebarnya terus menipis. Sejak tadi Adam langsung tidak memberikan sebarang reaksi terhadapnya. Kalau tersenyum pun hanya senyum tawar sahaja yang dipamerkan. Kalau berbicara pun boleh dikira dengan jari patah-patah perkataan yang keluar dari bibir lelaki itu.
"Ha! Baguslah tu kalau dapat kerja dekat Kuantan. Dekat sikit dengan Adam." Hajah Maimon bersuara teruja.
Adam berdeham. Tidak selesa sebenarnya dengan perbincangan tersebut. Kalau boleh sekarang juga dia mahu angkat kaki dan berada jauh dari situ. Lantakkan sahaja apa yang hendak dibincangkan tok wan dan orang tuanya. Walau apapun yang dibincangkan, keputusannya tetap dari dia juga.
"Kalau kerja di Kuantan nanti nak duduk mana?" Hajah Rosnah bertanya lagi.
"Kakak Yana ada yang tinggal dekat sana. Mungkin tumpang rumah kakak dululah."
"Alaaa... Tak lama kalau menumpang rumah kakak pun. Kalau jadi rancangan tok wan ni nanti bolehlah tinggal di rumah baru Adam. Tak gitu, Adam?" Paha Adam ditepuk bersama senyuman. Dia memang sudah berkenan sangat dengan calon pilihannya itu. Kalau boleh, hari itu juga dia ingin pergi ke rumah keluarga Liyana untuk merisik. Sudah tidak sabar rasanya menerima cucu menantu baru.
Adam tersedak dan terus tersembur air teh tarik yang baru masuk ke mulut. Hajah Maimon dipandang dengan mata terkebil-kebil. Amboi tok wan, beria-ia merancang?
"Cuba senonoh sikit, Adam." Hajah Rosnah menggeleng. Nasib baik keluarga Liyana tiada di situ, kalau tidak buat malu sahaja.
Liyana tergelak kecil. Geli hati melihat wajah terkejut bakal suaminya itu. Ermmm... Kalau jadilah!
Adam hanya tersengih sahaja. Sengih yang dibuat-buat.
"Macam mana, Dam? Okey tak pilihan tok wan?" Beria-ia Hajah Maimon bertanya sebaik Liyana beredar dari rumahnya.
Adam berdeham. Hajah Rosnah dipandang dengan harapan emaknya itu akan menyampuk perbualan tersebut kerana dia masih belum ada jawapan untuk pertanyaan itu. Walau dia awal-awal lagi telah menolak tetapi untuk menjawab dengan tok wan bukannya mudah. Perlu berdiplomasi supaya tok wan tidak kecil hati.
"Tok wan memang berkenan sungguh dengan budak tu. Rasanya dah cukup pakej dah tu untuk jadi isteri Adam. Yang penting pandai masak. Emak kamu juga yang kata kamu tu tak suka makan dekat luar, jadi dah molek sangatlah tu dapat bini yang pandai memasak dan rajin. Ha, macam mana?" asak Hajah Maimon lagi. Selagi tidak mendengar jawapan ya dari mulut cucunya itu, tidak senang hati dia. Apa tidaknya, dia sudah beria-ia dengan keluarga Liyana, kalau tidak jadi nanti, malulah dia dan mana dia hendak sorokkan muka?
Haji Badarudin dipandang pula. Melihat reaksi bersahaja ayahnya, tepu kepala Adam hendak memberikan alasan. Emaknya pula seakan-akan berharap dia bersetuju dengan perancangan tersebut.
"Adam, tok wan tanya tu." Hajah Rosnah menegur apabila anaknya itu hanya terdiam di tempatnya. Boleh pula buat muka blur begitu?
"Ermmm... Errrr..." Adam garu kepalanya yang tidak gatal. Bingung dia dibuatnya.
"Apa yang susah sangat nak bagi jawapan? Liyana tu tak cantik ke?" Air muka Hajah Maimon sudah mula berubah kelat.
"Errr... Bukan. Bukan macam tu, tok wan." Aduh!
"Habis tu?"
"Tok wan bagi Adam masa untuk fikirkan dulu. Lagipun baru sekali jumpa kut," dalihnya.
"Alaaa... Orang dulu-dulu kahwin tak payah nak jumpa selalu. Tak payah nak bercinta-cinta, kekal aje sampai ke tua. Atau Adam tak suka dengan pilihan tok wan? Mana tahu pilihan tok wan tu tak sesuai dengan kamu yang kerja besar, sekolah tinggi," balas Hajah Maimon seakan-akan berjauh hati.
"Bukan. Bukan macam tu tok wan tapi biarlah Adam fikirkan dulu. Hal nikah kahwin ni bukannya boleh buat keputusan melulu."
"Bukannya tok wan nak suruh kamu kahwin esok pun. Ha, bertunang dulu. Lepas bertunang pun boleh kenal-kenal." Tok Wan mengasak lagi.
"Biarlah Adam fikir dulu ya, tok wan. Memang dia tu cantik, rajin, pandai masak, tapi muda sangat untuk Adam. Adam ni dah nak masuk 35 tahun dah, tok wan. Dia pula baru 22 tahun. Rasa macam jauh sangat bezanya tu." Adam terus beralasan.
"Eh! Baguslah tu kalau bini muda. Masih segar lagi orang kata. Takkan Adam nak cari yang sama tua dengan Adam?" Cepat sahaja Hajah Maimon mencelah.
Keluhan kecil dilepaskan. Berbicara dengan tok wan memang bukan mudah. Walau beribu alasan yang dia ucapkan tetap ada beribu alasan lagi yang akan tok wan berikan.
"Betul cakap Adam tu, mak. Bagilah dia masa untuk fikirkan dulu. Lagipun yang nak kahwin dia. Yang nak hidup dengan Liyana itu pun dia." Melihat riak serba salah anak terunanya itu, Haji Badarudin terus mencelah. Kasihan pula dia melihat Adam diasak tanpa henti. Bagi dia, kalau Adam suka, dia memang tiada halangan. Kalau Adam tak suka, dia pun tak akan memaksa.
Hajah Maimon mendengus sambil tarik muka. Sungguh tak puas hati dia mendengar jawapan dua beranak itu. Dia punyalah beria-ia tetapi itu jawapan yang diberikan atas usahanya?
"Hurmmm... Yalah. Aku tak paksa. Kalau Adam dah tak suka, aku nak buat macam mana," jawabnya kecil hati.
Hajah Rosnah dan Haji Badarudin berpandangan sesama sendiri. Tahulah dia orang tua itu sedang berkecil hati. Tapi apa hak mereka untuk memaksa walaupun Adam adalah anak mereka?
"Adam tak suka ke pilihan tok wan?" Hajah Rosnah terus bertanya sebaik kereta Adam meluncur keluar dari pekarangan rumah ibu mentuanya. Pening dia dibuatnya. Ibu mentua bukan main beria-ia hingga tak henti-henti memesan supaya memujuk Adam. Adam pula langsung tidak menunjukkan riak seakan-akan berminat.
"Biarlah Adam fikir dulu, Ros. Janganlah didesak sangat. Lagipun yang nak kahwin kan dia bukannya emak." Haji Badarudin terus mencelah. Adam yang sedang tekun memandu di sebelah dikerling sekilas.
"Ros faham tu bang tapi emak abang tu, mendesak tak berhenti. Esok-esok mesti dia akan telefon Ros tanya apa keputusan kita." Nafas dihela.
"Jawab ajelah Adam belum buat keputusan lagi."
"Abang cakap senanglah tapi takkan abang tak kenal emak abang tu macam mana? Kalau boleh dia nak kita ikut aje cakap dia macam mana Uda setuju kahwinkan anak dia dengan pilihan mak." Hajah Rosnah mula membebel. Geram dengan jawapan suami. Macamlah suaminya itu tidak kenal Hajah Maimon bagaimana sikapnya.
"Dah tu nak setuju aje walau Adam belum beri kata putus?" Suara Haji Badarudin sudah mula naik senada. Rimas pula dia.
Mendengar kedua-dua orang tuanya yang mula hendak berbalah kerananya, Adam hela nafas. Bukan ayah saja yang rimas, Adam pun rimas juga dengan semua ni, bisiknya.
"Adam tak setuju mak dengan calon pilihan tok wan," celah Adam dengan riak bersahaja.
Hajah Rosnah ternganga dan Haji Badarudin hanya senyum sahaja.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro