Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 4

Lengan baju yang dilipat ke siku dikemaskan dan dikancing semula. Sebaik selesai memakai stoking, kasut terus disarung dan dia bingkas bangun. Baru sahaja dia ingin melangkah, dia terdengar namanya dipanggil. Spontan itu Adam berpaling dan tersenyum.

"Mak Cik Liza," sapanya sopan.

"Shopping ke?" Mak Cik Liza ikut tersenyum. Duduk setaman tapi di pusat membeli-belah juga jumpanya. Kalau di taman memang susahlah hendak bertemu anak teruna Hajah Rosnah yang seorang ini.

Senyum Adam melebar.

"Ada tournament boling, mak cik." Pandangan ditalakan ke arah pintu masuk Megalanes Bowling di hadapan.

"Dah tu buat apa dekat luar sini?" Terkebil-kebil mata Mak Cik Liza memandang Adam.

"Baru siap solat, mak cik."

"Oh!" Kepala diangguk. Haih! Berkenan betul dia dengan budak bernama Adam ini. Bukan setakat elok budi bahasanya tetapi agamanya juga terjaga. Dengarnya Adam juga rajin bersolat di surau taman perumahan mereka.

"Mak cik buat apa sini? Tengok wayang ke?" soal Adam cuba berseloroh.

Mak Cik Liza tergelak.

"Mak cik cari barang hantaran untuk Mizi," terangnya.

"Oh! Habis tu mana Mizinya? Adam pun dah lama tak jumpa dia." Mata melilau memandang sekeliling.

"Allah, kamu ni, Dam. Mizi kan kerja dekat KL. Mak cik datang sini dengan anak saudara mak cik. Dia tengah solat."

"Oh!" Adam mengangguk.

"Saya minta diri dulu ya, mak cik. Nak masuk dalam semula."

"Ha, yalah. Ermmm... Anak saudara mak cik pun dah sudah tu." Pandangan dibuangkan ke arah Aireen yang sedang menyarung kasutnya tidak jauh dari situ.

Adam menoleh sekilas kemudian memandang Mak Cik Liza semula. Dia pun tidak tahu yang mana satu anak saudara wanita di hadapannya itu kerana ramai gadis-gadis berada di situ. Dan dia pula, malas hendak bertanya.

"Saya pergi dulu, mak cik," ucap Adam sekali lagi.

Mak Cik Liza mengangguk dan Adam terus beredar.

"Mak ngah kenal ke dengan lelaki tadi tu?" Aireen terus menyoal sebaik ibu saudaranya itu dihampiri. Terkejut dia bertemu lelaki itu di situ. Sejak tadi dia hanya memerhati sahaja tuan punya diri. Hendak datang dekat dan berkenalan, segan pula dia.

"Lelaki mana?"

"Alaaa, yang borak dengan mak ngah tadi tu."

"Hurmmm... Anak jiran taman mak ngah tu. Adam namanya." Bersahaja Mak Cik Liza membalas dan mula buka langkah.

Oh! Adam namanya. Hurmmm... Nama pun dah sekacak tuan punya badan, bisiknya sambil simpan senyum dan terus mengekor di sebelah Mak Cik Liza.

"Dia buat apa dekat sini?" Rajin pula dia bertanya tentang anak teruna orang. Sebenarnya lebih kepada hendak mengorek rahsia.

"Ada tournament bowling katanya. Jumpa dia pun kebetulan dia baru lepas siap solat."

Erm... Bertambah lagi markah suami pilihan buat lelaki yang bernama Adam itu. Tetapi betulkah lelaki itu masih bujang?

"Dia datang dengan isteri ke, mak ngah?" Tengok? Pandai tak Aireen twist soalan? Masakan dia hendak bertanya Adam sudah beristeri atau belum? Pelik pula mak ngah mendengarnya nanti.

"Haish! Orang tu bujang trang trang trang lagi."

Senyum Aireen terus melebar. Tapi mana tahu dah ada tunang?

"Hurm... Tengok gaya macam dah berumur. Tentu dah ada tunang tu," bersahaja dia bersuara.

"Belum. Puas dah emak dia kenalkan dengan beberapa orang calon tapi satu pun dia tak berkenan. Orang kerja bagus tentulah memilih yang bagus-bagus." Lembik pula mulut Mak Cik Liza bercerita.

"Ohhh!" jawab Aireen sepatah. Jadinya lelaki itu masih single dan available lagi la ni? Hati berbisik lagi. Maknanya peluang dia untuk mendekati masih terbentang luas lagilah? Hurmmm... Entah kenapa ada rasa teruja menjengah jauh ke dasar hatinya.

"Dah beli semua barang-barangnya, ngah?" Barang-barang yang diletakkan di ruang tamu diperhati. Kemudian pandangan dibuangkan ke arah kakak keduanya itu sebelum langkah diayun menghampiri ruang tamu.

"Beli dah rasanya semua yang nak dibuat hantaran ni." Mata turut tertala pada barang-barang di atas lantai. Kalau ikut senarai yang dibuatnya memang semuanya ada di situ. Kalau masih ada yang tertinggal, terpaksalah dia menapak ke bandar lagi nanti.

"Tak apa mak ngah, kalau ada yang tak cukup esok-esok kita pergi beli lagi." Aireen mencelah bicara kedua-duanya.

"Yalah, macam kamu tu free sangat. Hari ni pun nasib baik hari cuti dan kamu tak on duty," bebelnya.

"Alaaa... Tak dapat pergi siang, kita pergi malam." Aireen buang sengih.

"Haah... Macam rumah kamu dengan rumah mak ngah dekat, kan?" Aireen dikerling dan dia terus duduk. Tudung yang masih tersarung di kepalanya terus dilucutkan.

Aireen gelak sahaja.

"Mak ngah nak air ke?" tanyanya.

"Fresh orange satu." Mak Cik Liza buang sengih.

"Amboiii!" Tawa Aireen bersambung lagi dan dia terus bangun.

"Umi nak air?" Puan Azra dipandang pula.

"Tak payahlah. Umi dah minum tadi," tolaknya.

Aireen mengangguk dan terus buka langkah ke dapur.

Sebaik Aireen hilang dari pandangan, Mak Cik Liza cepat-cepat menghampiri adiknya.

"Ndak." Paha Puan Azra ditepuk. Mata diliarkan ke ruang dapur semula.

"Kenapanya ni, ngah?" Pelik dia melihat riak kakaknya itu.

"Una..."

"Kenapa dengan Una?"

"Dah ada calon belum?" soal Mak Cik Liza separa berbisik dan keningnya dijongket.

"Hurmmm... Entahlah, ngah. Rasanya macam tak ada aje." Puan Azra lepaskan keluhan kecil.

"Ngah ada calon ni. Memang terbaik dari ladang punya," bisik Mak Cik Liza lagi. Sesekali pandangannya pasti dibuangkan ke arah ruang makan yang menuju ke arah dapur kerana bimbang Aireen muncul tiba-tiba.

"Siapa pula kali ni, ngah?" Kepala digeleng. Bukan seorang tetapi sudah dua tiga orang yang direkomen kakaknya itu tetapi semuanya dia tolak mentah-mentah kerana masing-masing datangnya dari keluarga kenamaan. Manalah sesuai dengan anak gadisnya yang hanya bekerja di hospital kerajaan.

"Calon kali ni mesti kau suka, ndak. Orangnya kacak, berpelajaran, kerja bagus dan baik budi bahasanya. Keluarganya pun orang biasa-biasa aje bukan anak-anak Dato atau kerabat raja macam yang ngah kenen-kenenkan sebelum ni. Duduk pun dekat taman ngah aje," cerita Mak Cik Liza beria-ia.

"Kalau calon yang bagus macam tu tentulah dah ada yang punya, ngah. Ndak tak mahu anak ndak kahwin dengan laki orang."

"Astaghfirullahalazimmm... Kau ingat aku ni kejam sangat ke ndak, nak kahwinkan anak saudara sendiri dengan lelaki ghupa gitu? Aku dah kenal mak bapak budak ni dah lama, ndak. Budak lelaki ni pun aku dah kenal benor perangainya." Kepala digeleng. Ada ke patut itu yang difikir adiknya itu? Haruslah anak saudara kesayangannya itu digandingkan dengan pilihan yang terbaik. Kan?

"Siapa orangnya?" soal Puan Azra tiba-tiba berminat pula hendak tahu.

"Beria-ia mak ngah bercerita. Gosip artis mana pula tu?"

Baru sahaja Mak Cik Liza ingin bercerita, tiba-tiba bicaranya terus mati. Aireen dipandang dengan senyuman yang dibuat-buat. Bimbang juga andai Aireen terdengar perbualan dia dan adiknya.

"Gosip apanya? Kami bincang tentang majlis perkahwinan Mizi la ni. Kan, ndak?" Puan Azra dipandang dengan muka tercemik-cemik. Apa kelas nak menyibuk tentang gosip kahwin artis. Baik dia baca Page Kisah Rumah Tangga dekat Facebook dan jadi mak cik bawang. Ada faedahnya. Sekurang-kurangnya dapat juga jadi penasihat tak berbayar. Ngeh!

"Haah... Nak bincang tentang perkahwinan kamu entah bila agaknya." Puan Azra mengeyakan pakej dengan mengusik sekali.

Aireen tergelak.

"Soon, umi... Soon. Insya-Allah," jawabnya berseloroh.

"Haih! Dah ada calon ke?" Puan Azra dan Mak Cik Liza menyoal serentak. Aireen dipandang tidak berkelip.

"Calon Una masih sesat jalan lagi tu. Tak lama lagi sampailah depan pintu rumah umi ni. Maklumlah, jauh perjalanannya. Entah-entah masih dekat Dublin lagi," balasnya sambil sambung tawa.

Mak Cik Liza dan Puan Azra mencemik. Sangkanya Aireen serius rupa-rupanya bergurau juga lagi seperti selalu.

Geli hati melihat reaksi umi dan ibu saudaranya itu, tawa Aireen pecah lagi. Malas hendak mengganggu perbualan dua beradik itu, dia mula mengangkat barang-barang hantaran yang perlu digubah ke meja makan tidak jauh dari situ.

"Ngah, nanti bisik-bisik siapa calonnya." Melihat Aireen yang sudah berada agak jauh sedikit dari mereka, cepat-cepat Puan Azra berbisik di telinga kakaknya.

"Una, nanti dah siap gubahan tu telefon mak ngah tau." Kuat Mak Cik Liza bersuara kemudian memandang adiknya semula.

"Malam-malam nanti ngah telefon. Line tak clear ni nak bergosip," bisiknya sedang mata masih liar memerhati anak saudara sendiri.

"Okey," balas Aireen sepatah dan mula mengasingkan barang-barang di atas meja.

"Dengan gambar sekali, ngah." Puan Azra menyambung bicara.

"Allah, jenuhlah pula aku nak ambil gambar budak tu ndak oiii!" bisik Mak Cik Liza lagi sambil ketawa.

"Ndak nak tengok juga sepadan ke tidak dengan Una."

"Uishhh! Jangan kau risau pasal tu ndak, dijamin puas hati. Bagai pinang dibelah dua. Confirm!" Mak Cik Liza beria-ia.

Puan Azra tersenyum dan sesekali anak gadisnya yang sedang leka menyusun barang hantaran tidak jauh dari situ diperhati.

"Allah, buat apa nak sibuk-sibuk tengok gambar ndak, kenduri rumah ngah nanti dah sah-sah budak tu ada. Kau datang awal sikit, ndak. Senang sikit ngah nak tunjukkan budaknya."

"Amboiii! Umi dengan mak ngah ni tak berhenti berbisik dari tadi gosip pasal siapa? Atau tengah mengata Una tu?" sergah Aireen apabila melihat umi dan ibu saudaranya masih galak berbisik sedari tadi.

"Tak baik haih cakap macam tu. Mana ada bergosip atau mengata Una. Una kan anak saudara kesayangan mak ngah, takkan mak ngah nak kutuk-kutuk pula?" nafi Mak Cik Liza beria-ia.

"Ermmm... Yalah tu. Tak apalah mak ngah, umi, Una nak naik dulu."

"Ha, mak ngah pun nak balik ni. Nanti pak ngah kamu bising pula dah seharian berjalan tak reti-reti nak balik." Mak Cik Liza bingkas bangun dan tangannya dihulur untuk Aireen salam sebelum langkah dibuka.

Puan Azra yang turut berdiri terus mengekor langkah kakaknya.

"Jangan lupa, ndak," pesan Mak Cik Liza mengingatkan.

Laju Puan Azra anggukkan kepala. Hurm... Mana mungkin dia lupa kalau berkaitan tentang anak kesayangannya itu. Haih! Tak sabar pula dia hendak menguruskan majlis menerima bakal menantu. Eh! 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro